Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUCHING, SARAWAK 
Tarikh/Date 	: 	15/03/96 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			MAJLIS HAKIM-HAKIM MAHKAMAH 
			PERSEKUTUAN/MAHKAMAH RAYUAN/
			MAHKAMAH TINGGI 



           Saya  mengucapkan terima kasih  kepada  Majlis
    Hakim-Hakim  kerana menjemput saya untuk  merasmikan
    Persidangannya  pada hari ini.   Saya  juga  gembira
    kerana   diberi  kesempatan  untuk  pertama  kalinya
    merasmikan Mesyuarat Majlis Hakim-hakim.
    
    2.     Sebagaimana  termaklum,  Perlembagaan   telah
    membahagikan  kuasa pentadbiran negara  kita  kepada
    Kuasa   Eksekutif,   Kuasa  Legislatif   dan   Kuasa
    Kehakiman.    Ketiga-tiga   pihak   ini    mempunyai
    peranannya  masing-masing dan sejak negara  mencapai
    kemerdekaan  kesemua  badan ini telah  masing-masing
    menyumbang  ke arah pembangunan dan kemajuan  rakyat
    dan   negara.    Walaupun  ketiga-tiga   badan   ini
    mempunyai   fungsi   yang   berbeza   dan   mengikut
    Perlembagaan bebas di antara satu sama  lain,  namun
    kesemuanya   bertanggungjawab  menjamin  kemakmuran,
    kebajikan dan kesejahteraan negara dan rakyat.  Saya
    tidak  fikir kebebasan mana-mana pihak akan terjejas
    hanya kerana pendapat dan nilai-nilai yang dipegang,
    termasuk  nilai-nilai berkenaan keadilan dan  konsep
    keadilan,  adalah  sama.  Yang harus  berbeza  ialah
    peranan   dan   pendekatan  masing-masing   terhadap
    perkara yang sama.
    
    3.    Sementara  pihak  Legislatif  cuba  menentukan
    keadilan  melalui  pembentukan  undang-undang   bagi
    mencegah kejadian atau perbuatan yang dianggap  oleh
    masyarakat  sebagai  tidak adil,  pihak  Pentadbiran
    pula  dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas
    mereka   mengikut   undang-undang   dan   peraturan-
    peraturan.  Jika undang-undang yang diluluskan  oleh
    pihak   Legislatif  didapati  tidak  dapat  mencapai
    maksudnya  kerana  apa-apa  sebab,  badan  berkenaan
    boleh  memindanya supaya maksudnya tercapai.   Pihak
    Pentadbiran  pula  akan meminda cara  pelaksanaannya
    supaya sesuai dengan pindaan yang telah dibuat  oleh
    pihak Legislatif.
    
    4.    Jika  undang-undang  yang  dibuat  oleh  pihak
    Legislatif dicabul atau dilanggar oleh sesiapa, maka
    berhaklah  pihak yang menjadi mangsa  atau  Kerajaan
    merujuk kepada mahkamah untuk mendapat keadilan  dan
    penyelesaian.   Hakim  berhak  mentafsirkan  undang-
    undang berkenaan semasa pengadilan.  Untuk ini hakim
    berpegang  kepada  perkataan dan  susun  ayat  dalam
    undang-undang  mengikut  kefahaman  hakim berkenaan.
    Tetapi kefahaman ini mungkin berbeza di antara  satu
    hakim  dengan hakim yang lain.  Justeru  itu,  pihak
    yang  dihukum  berhak merujuk kepada  mahkamah  yang
    lebih  tinggi.  Kemudian jika mana-mana pihak  masih
    tidak  puas hati dengan keputusan mahkamah berkenaan
    maka  hak diberi untuk merujuk kepada mahkamah  yang
    lebih  tinggi.   Tetapi  proses  ini  tentulah   ada
    hadnya.  Rujukan kepada mahkamah terpaksa ditamatkan
    di  satu  peringkat.   Di  Malaysia  kita  mempunyai
    susunan  mahkamah tiga peringkat.  Namun dalam  kes-
    kes  tertentu  wujud hak untuk merayu  kepada  badan
    pengampunan.
    
    5.    Inilah  sistem penghakiman kita  di  Malaysia.
    Sistem  ini  adalah ciptaan manusia dan tentulah  ia
    tidak   bebas   daripada  kecacatan.   Sistem   kita
    berasaskan  kepada  sistem  British  yang  dikatakan
    sesuai dengan demokrasi, tetapi kita tahu bahawa  di
    zaman   penjajahan  British  mereka   tidak   begitu
    demokratik.    Mereka   juga   mempunyai   `Internal
    Security  Act'  dan ahli `Legistative Council'  yang
    tidak dipilih, tetapi hanya dilantik.  Demikian juga
    `Common Law' mereka berasaskan kepada pengalaman dan
    nilai hidup mereka yang kerap juga tidak sama bahkan
    bertentangan dengan nilai hidup kita.   Lagipun  apa
    yang `common' pada satu zaman menjadi tidak `common'
    dan tidak sesuai dengan zaman yang lain.    
    
    6.    Pemisahan  antara  pihak  Legislatif/Eksekutif
    dengan  Kehakiman  memang  wajar  dan  baik.   Ketua
    pemerintahan  tidak boleh campurtangan dalam  urusan
    kehakiman  dan  ini  juga wajar  dan  baik.   Tetapi
    kehakiman  tidak wujud dalam kekosongan mutlak  atau
    `vacuum'.   Kehakiman wujud dalam masyarakat  dengan
    budaya  dan  nilai hidup yang nyata  dan  diiktiraf.
    Keadilan yang diterima oleh masyarakat sepatutnyalah
    menjadi    takrif   bagi   bentuk   keadilan    yang
    dikuatkuasakan oleh kehakiman.  Demikian di  Britain
    pada   suatu  masa  dahulu  mencuri  seekor  kambing
    dianggap  jenayah  yang besar dan  hukumannya  ialah
    digantung   sampai  mati.   Masyarakat  ketika   itu
    menerima  pandangan  ini dan hakim  pun  menjatuhkan
    hukuman  mati  kepada pencuri kambing.   Masa  telah
    berubah  dan  hukuman ini dianggap tidak  lagi  adil
    oleh  masyarakat di Britain sekarang dan hakim tidak
    lagi  mengenakan hukuman mati kerana mencuri kambing
    walaupun ada banyak `precedence' dan `authority'.
    
    7.    Bukanlah  niat  saya untuk campurtangan  dalam
    urusan kehakiman tetapi kebebasan hakim adalah  sama
    seperti pihak lain, iaitu terhad juga.  Hakim  tidak
    perlu  popular seperti ahli politik yang  memerlukan
    sokongan ramai.  Hakim perlu menjalankan tugas tanpa
    `fear or favour'.  Namun hakim juga tertakluk kepada
    undang-undang dan tidak boleh menghukum sesuka hati.
    Jika  undang-undang menghadkan hukuman kepada sekian
    sahaja tentulah hakim tidak akan menjatuhkan hukuman
    melebihi  had  yang  telah  ditentukan.   Hakikatnya
    ialah  kebebasan  semua  anggota  masyarakat  adalah
    terhad.  Tidak ada kebebasan mutlak bagi sesiapa.
    
    8.    Malaysia yang membangun ini menghadapi masalah
    yang  berlainan dengan negara-negara maju.   Justeru
    itu,  undang-undangnya  dan  penguatkuasaan  undang-
    undangnya  perlulah sesuai dengan keadaan dan  tahap
    pembangunan ini.
    
    9.    Di  sesetengah  negara barat  konsep  keadilan
    telah  banyak berubah.  Kerana ingin melindungi  hak
    individu, hak masyarakat mereka ketepikan.   Demikan
    pampasan   yang   ditentukan  oleh  mahkamah   sudah
    meningkat begitu tinggi sehingga menimbulkan masalah
    kepada masyarakat.   Umpamanya kecederaan pada tubuh
    badan   atau  tekanan jiwa  kononnya  kerana sesuatu
    kemalangan ditakrif   nilainya  berjuta-juta  dollar
    sebagai pampasan.    Mungkin  ini  dianggap  sebagai
    sikap  bertimbang  rasa kepada yang  menjadi mangsa.
    Tetapi   akibat  daripada  pampasan yang tinggi  ini
    premium insuran  meningkat   berkali  ganda dan  kos
    perubatan juga melambung  tinggi. Dengan  ini  orang
    ramai   terpaksa  membayar  premium yang tinggi  dan
    bayaran    rawatan  yang   mahal.  Sudah  tentu  ini
    membebankan orang miskin yang ramai yang tidak mampu
    membayar premium  insuran  atau  kos perubatan  yang
    tinggi. Kerana  ingin melindungi individu, puak yang
    miskin yang lebih ramai menjadi mangsa.
    
    10.   Demikian  juga dengan penilaian  harga  tanah.
    Jika  mahkamah  menilaikan harganya terlalu  tinggi,
    yang  membayar akhirnya bukan pengusaha  pembangunan
    tanah  tetapi pembeli atau penyewa bangunan.  Sekali
    lagi  yang  miskin mungkin tidak mampu  dan  menjadi
    mangsa  apa  yang  dianggap sebagai keadilan  kepada
    tuan  punya  tanah, yang menjadi kaya-raya  `at  the
    expense of the poor'.  Apakah ini adil?
    
    11.   Kesan  daripada  pampasan dan  penilaian  yang
    tinggi  ini  ialah  kenaikan  kos  sara  hidup  bagi
    masyarakat.   Di Barat keadilan bagi majoriti  tidak
    dianggap  penting  lagi.   Yang  penting  dan   yang
    diutamakan ialah hak individu semata-mata.
    
    12.   Kita  di Malaysia berpendapat bahawa sementara
    hak   individu   perlu  dilindungi,   hak   majoriti
    masyarakat  juga  perlu  diberi  pertimbangan   yang
    seimbang.   Bagi  kita  inilah  keadilan.   Sebarang
    penilaian yang berat sebelah kepada mana-mana pihak,
    miskin atau kaya, tidak boleh dianggap adil.
    
    13.   Bagi  sebuah negara membangun seperti Malaysia
    di  mana  urusan ekonomi amat penting, segala  usaha
    untuk  membendung  peningkatan  harga  barangan  dan
    khidmat, iaitu kos sara hidup, amatlah penting.   Ia
    mempunyai  kaitan  dengan  kebahagiaan  hidup  semua
    rakyat,  terutama  yang miskin yang  tentulah  lebih
    ramai daripada yang kaya.  Individu dalam masyarakat
    boleh  mencari kekayaan dan memperbaiki nasib  tanpa
    merugikan  masyarakat  tetapi  individu  juga  boleh
    mencari  kekayaan  dengan menganiaya  dan  merugikan
    masyarakat.  Tentulah kita tidak ingin melihat mana-
    mana  pihak memperbaiki nasib diri sendiri  `at  the
    expense  of  others, particularly at the expense  of
    the  poor'.   Bagi menentukan keadilan  terpelihara,
    kita  perlu melihat jauh sedikit daripada fakta yang
    dipamerkan  di depan mata kita, umpamanya  di  dalam
    mahkamah.   Inilah konsep keadilan  masyarakat  kita
    yang  berbeza  daripada masyarakat  maju  di  Barat.
    Kita   mengejar   kemajuan  tetapi  bukanlah   jenis
    kemajuan   yang   memperlihatkan  diskriminasi   dan
    penindasan ke atas pihak tertentu semata-mata kerana
    ingin  kononnya mempertahankan pihak yang  dikatakan
    lemah.   Konsep Robin Hood mungkin sesuai  di  zaman
    penindasan oleh `the Sheriff of Nottingham',  tetapi
    dalam    masyarakat   bertamadun,   berbudaya    dan
    berundangan,  konsep Robin Hood sudah  tidak  sesuai
    lagi.    Di  mahkamah  semua  pihak  patut  mendapat
    keadilan, iaitu pertimbangan dan hukuman yang  waras
    dan  saksama.   Mahkamah  kita  bukan  tempat  untuk
    sesiapa  membuang geram, membalas dendam atau  untuk
    `rob  the  rich  to give to the poor' atau  menyamun
    daripada  yang  kaya  untuk  diberikan  kepada  yang
    miskin.   Menyamun walaupun daripada yang kaya  atau
    daripada  Kerajaan  adalah  sama  jenayahnya  dengan
    menyamun  daripada  yang miskin.   Kita  tidak  mahu
    melihat  sesiapa menyamun sesiapa.  Dalam masyarakat
    yang  ideal  tidak ada samun-menyamun.  Tetapi  jika
    ada, tindakan dan hukuman mestilah sama.
    
    14.   Walaupun kita tidak menerima nilai-nilai Barat
    berkenaan  dengan hak individu dan hak  orang  ramai
    dan  Kerajaan, ini tidak bermakna kita menolak semua
    cara  dan pendapat Barat berkenaan keadilan.  Sistem
    yang  teratur  dalam menjalankan proses  penghakiman
    yang  diterokai  oleh Barat amatlah baik  dan  perlu
    diterima.  Demikian juga susunan dan bentuk  undang-
    undang, iaitu `codification of the law' amatlah baik
    bagi  menyeragamkan undang-undang dan proses undang-
    undang  supaya  seberapa  yang  boleh  persepsi  dan
    pegangan  seseorang hakim terhadap  sesuatu  perkara
    tidak  terlalu mempengaruhi penghakiman.  Tidak  ada
    siapa yang boleh menafikan bahawa penyeragaman dalam
    penguatkuasaan undang-undang adalah baik  dan  lebih
    memungkinkan keadilan berlaku.  Cara menyerah segala-
    galanya   kepada  budi  bicara  hakim   tetap   akan
    menyebabkan   kelainan  hukum   dan   ketidakadilan.
    Justeru itu, dalam penguatkuasaan undang-undang  dan
    penghakiman,  termasuk  dalam  menjalankan   undang-
    undang  syariah,  kita di Malaysia mempunyai  sistem
    dan  peraturan-peraturan  serta  undang-undang  yang
    disusun  rapi.   Namun demikian ada juga  kelemahan-
    kelemahan  dalam sistem ini dan ini perlu diperbaiki
    dari  semasa ke semasa apabila didapati tidak begitu
    berkesan  atau  sesuai.  Kita tidak tolak  apa  yang
    datang  dari  Barat kerana ianya datang dari  Barat.
    Yang  jernih  tetap  kita terima,  yang  keruh  kita
    buang.
    
    15.   Saya  ingin menyentuh sedikit tentang  masalah
    penyeludupan dadah.
    
    16.    Hari  ini  terdapat  lebih  daripada  200,000
    penagih  dadah  di dalam negara.  Majoriti  daripada
    mereka  adalah  pemuda Melayu.  Mereka  ini  menjadi
    beban  dan  masalah  kepada  diri  mereka,  keluarga
    mereka,  Kerajaan dan masyarakat amnya.   Wang  yang
    banyak terpaksa dibelanjakan untuk menangani masalah
    dadah  serta  merawat  dan menahan  mereka.   Mereka
    bukan  sahaja  tidak produktif tetapi  mereka  lebih
    bersifat bangkai yang masih bernyawa.
    
    17.   Memandangkan seriusnya masalah ini, pencegahan
    penyeludupan  menjadi  amat penting.   Sebab  itulah
    Kerajaan   memperuntukkan  hukuman  mati   ke   atas
    penyeludup secara mandatori jika didapati bersalah.
    
    18.   Soal  banyak mana dadah yang dimiliki  sebelum
    hukuman  mati dikenakan adalah rumit.   Sudah  tentu
    jika  hanya  mencukupi untuk kegunaan  diri  sendiri
    oleh penagih, hukuman mati tidak dikenakan.
    
    19.   Tetapi  jika jumlahnya banyak dan bukan  untuk
    kegunaan  diri  sendiri  tetapi  untuk  edaran  maka
    hukuman mati dikenakan.  Soalnya ialah apakah kerana
    lebih sedikit sahaja daripada angka yang ditetapkan,
    hukuman seberat hukuman mati patut dikenakan?
    
    20.   Masalahnya  ialah apabila ditentukan  `cut-off
    point'  masalah  lebih sedikit  tetap  akan  timbul.
    Jika   budi   bicara   digunakan  maka   kemungkinan
    ketidakadilan  berlaku adalah besar.   Justeru  itu,
    adalah  lebih baik jika `cut-off point'  yang  telah
    ditetapkan dikuatkuasakan.
    
    21.   Dalam  soal  ini juga hukuman  hendaklah  sama
    antara  rakyat  Malaysia dengan  yang  bukan  rakyat
    Malaysia,   terutama  rakyat   negara   besar   atau
    berbangsa    lain.    Amatlah   tidak   adil    jika
    diperbezakan  hukuman ke atas penjenayah  yang  sama
    tetapi berlainan bangsa atau kulit.
    
    22.  Suatu `maxim' dari Barat yang perlu kita terima
    ialah  `Justice  delayed is justice  denied'.   Kita
    sanggup  menerimanya  kerana  ianya  benar.   Dengan
    berlalunya  masa yang panjang segala `evidence'  dan
    ingatan  pihak-pihak yang terlibat,  sama  ada  yang
    mendakwa atau didakwa, akan menjadi luntur dan lemah
    dan  tidak tepat lagi.  Dengan itu perbicaraan tidak
    dapat  dijalankan  dengan betul dan  adil.   Kadang-
    kadang   saksi  sudah  meninggal  dunia  atau   yang
    mendakwa  juga sudah tidak ada lagi.  Dalam  keadaan
    ini bukan sahaja keadilan tidak tercapai tetapi bagi
    yang dituduh atau yang menuduh yang sudah meninggal,
    keadilan tidak didapati sama sekali.
    
    23.     Sebab    itulah   tekanan    dibuat    untuk
    mempercepatkan  proses  penghakiman.    Benar   jika
    terlalu cepat, ketidakadilan mungkin berlaku.   Yang
    dimaksudkan  dengan  pencepatan  bukanlah   sehingga
    terlalu gopoh.  Tetapi mahkamah, pendakwa dan peguam
    kerap  menangguhkan perbicaraan dengan begitu mudah.
    Ini tetap melewat dan melambatkan proses penghakiman
    dan menafikan keadilan.
    
    24.   Saya sedar bahawa ada pihak yang tidak  senang
    hati  dengan arahan merakam waktu masuk  dan  keluar
    kerja  yang  diarah oleh Ketua Hakim.  Surat  layang
    berkenaan  perkara ini pun disebarkan.   Badan-badan
    tertentu juga membuat teguran dan membantah  langkah
    mengadakan   kad   perakam   waktu.    Kononnya   ia
    menjatuhkan maruah hakim.
    
    25.   Hakikat yang tidak boleh dinafikan  ialah  ada
    juga  hakim  yang tidak berada di tempat kerja  pada
    masa  yang  ditetapkan.  Dan  ini  juga  melambatkan
    proses undang-undang dan menafikan keadilan.
    
    26.   Dalam  masyarakat kita hakim  datang  daripada
    golongan  anggota masyarakat, terutama dalam  sistem
    demokrasi amalan kita.  Kini tidak ada keluarga atau
    keturunan  hakim  yang berhak  menjadi  hakim  hanya
    kerana keturunan.  Sebagai anggota masyarakat biasa,
    apa  yang diterima oleh masyarakat perlulah diterima
    juga  oleh pihak hakim.  Jika anggota Kerajaan perlu
    merakam waktu, bahkan mengguna lencana nama,  amalan
    yang  sama  tidak boleh dianggap hina oleh mana-mana
    anggota masyarakat.
    
    27.   Hari ini kes-kes yang terbengkalai di Mahkamah
    sudah  banyak berkurangan hasil daripada usaha gigih
    oleh  hakim-hakim  dan dengan itu `delayed  justice'
    dan  ketidakadilan sudah berkurangan.  Saya  ucapkan
    tahniah kepada semua hakim.  Namun masih ada  banyak
    lagi  kes  yang  menunggu untuk  dibicarakan.   Saya
    percaya perakaman waktu boleh membantu sedikit dalam
    usaha membawa keadilan kepada masyarakat.  Oleh  itu
    janganlah  menjadikan  perkara  ini  satu  isu  yang
    hangat  sehingga berlaku perkara-perkara yang  tidak
    diingini.
    
    28.     Malaysia  sedang  membangun  dengan   pesat.
    Kegiatan    perniagaan   dan   perusahaan    semakin
    bertambah.  Dan dengan ini jenis-jenis jenayah  yang
    baru  telah banyak muncul.  Dalam menangani  jenayah
    komersil  ini `speed' menjadi penting.   Dalam  pada
    itu ada pula pihak tertentu yang ingin memperalatkan
    mahkamah untuk menjayakan `boardroom battle' mereka.
    Hanya    dengan    mendapat    `injunction'    boleh
    memperkayakan   seseorang  `at   the   expense   of'
    seterunya.
    
    29.   Saya yakin semua hakim sedar akan hakikat  ini
    dan  berhati-hati supaya tidak diperalatkan.   Namun
    kadang-kadang mahkamah berjaya diperalatkan juga.
    
    30.   Yang  jelas ialah dengan perubahan pesat  yang
    berlaku  dalam  negara  kita, pemikiran  hakim  juga
    mungkin  perlu berubah.  Saya percaya dengan  adanya
    persidangan  ini perkara-perkara seperti  ini  dapat
    dibincang dan penyesuaian dapat dibuat.
    
    31.   Dengan  harapan  ini saya  dengan  sukacitanya
    merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim bagi tahun
    1996.  Selamat bersidang.                      

 
 



 
Google