home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DI HOTEL CITY BAYVIEW 
			LANGKAWI, KEDAH 
Tarikh/Date 	: 	11/04/96 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN KONVENSYEN 
			SUKAN KEBANGSAAN 



     1.    Saya  mengucapkan terima  kasih  kepada  pihak
    penganjur,   Kementerian  Belia  dan  Sukan   kerana
    menjemput   saya  pada  hari  ini  untuk  merasmikan
    Konvensyen Sukan Kebangsaan.

    2.   Sukan sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat
    di  negara  ini sejak dari dulu lagi.  Kita  berjaya
    menjadi  juara  dunia  dalam sukan  badminton  dalam
    tahun-tahun   empat   puluhan  dan   lima   puluhan.
    Bolasepak,  kriket,  sepaktakraw  juga  popular   di
    kalangan  rakyat di kampung atau di  bandar.   Sukan
    diuruskan   oleh  kelab-kelab  dan  persatuan   yang
    semuanya   bergerak  secara  sukarela.   Dalam   hal
    badminton, banyak kelab ditubuhkan untuk menguruskan
    latihan  dan pertandingan di antara kampung atau  di
    antara  kelab.    Semua ini bergerak  di  atas  daya
    usaha  individu  dan kumpulan yang bergabung  secara
    sukarela  kerana tujuan yang sama.   Pada  masa  itu
    tidak   ada   bantuan   daripada   Kerajaan   kerana
    Kementerian   Kebudayaan,  Belia  dan  Sukan   hanya
    ditubuhkan pada tahun 1964.  Tidak ada pun syarikat-
    syarikat  yang  menaja seperti Program  Rakan  Sukan
    sekarang  ini.  Namun kekurangan ini  dapat  diatasi
    melalui  komitmen  yang ikhlas daripada  semua  yang
    terlibat  tanpa mementingkan kedudukan masing-masing
    sama  ada  dalam kelab atau persatuan masing-masing.
    Tidak  ada  perebutan jawatan di antara mereka  yang
    terlibat,   malah  kerapkali  ramai  yang   mengelak
    daripada dipilih untuk memimpin kelab atau persatuan
    masing-masing.

    3.    Negara  kita  semakin maju di bidang  ekonomi.
    Tetapi   tahap  kemajuan  sukan  kita  belum   boleh
    disamakan  dengan kemajuan kita dalam  bidang-bidang
    yang  lain.  Kita hanya mampu memenangi semula Piala
    Thomas  setelah 25 tahun berlalu.  Kita  juga  hanya
    mampu memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik
    pada  tahun  1992 apabila acara badminton  dijadikan
    acara  rasmi.  Kita belum mampu menjadi juara  sukan
    SEA  dan  masih tertinggal di kalangan negara-negara
    jiran kita.  Pendek kata kejayaan atlit-atlit negara
    di  arena antarabangsa masih belum boleh dibanggakan
    lagi.   Demikian  juga  dengan  kegiatan  sukan  dan
    rekreasi  yang  melibatkan  rakyat  terbanyak  masih
    terhad  perkembangannya.  Sukan belum lagi merupakan
    satu  kegiatan rakyat yang menyeluruh dan  ia  belum
    lagi menjadi budaya masyarakat kita.

    4.    Dasar  Sukan  Negara yang  telah  digubal  dan
    diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 Januari  1988
    telah     menetapkan    supaya    sukan     mendapat
    pengiktirafan,  penghormatan  dan  penggalakan  yang
    sama  sebagaimana  yang diberikan  kepada  keperluan
    asasi  sosial yang lain.  Dasar ini merupakan  garis
    panduan  menyeluruh yang merangkumi  sukan  prestasi
    tinggi   serta   sukan   massa   yang   menggalakkan
    penyertaan  yang meluas di semua peringkat.   Kedua-
    dua   bidang  ini  hendaklah  dibangunkan   serentak
    walaupun dengan penekanan yang berlainan.

    5.    Di  samping itu Dasar Sukan Negara juga  telah
    menggariskan dengan jelas peranan semua  pihak  yang
    terlibat  dengan  pembangunan sukan  di  negara  ini
    seperti   sektor   awam,  swasta,  badan   sukarela,
    organisasi  bukan  kerajaan dan  sebagainya.   Sudah
    hampir  10  tahun  Dasar tersebut diluluskan,  namun
    kedudukan  sukan negara secara keseluruhannya  tidak
    juga  menunjukkan  kemajuan yang dapat  membanggakan
    kita semua.

    6.    Apa  yang  kerap berlaku ialah  pergeseran  di
    antara  pemimpin-pemimpin persatuan, kurang komitmen
    para   atlit   serta  berbagai-bagai  masalah   yang
    menunjukkan bahawa terdapat kelemahan kepada  sistem
    dan  struktur  pengurusan yang ada sekarang  ini  di
    samping sistem nilai yang mungkin sudah berubah.

    7.     Pelaksanaan   program  masih   tidak   begitu
    meyakinkan.   Saban  hari  kita  didedahkan   dengan
    berbagai  masalah  yang sentiasa  melanda  persatuan
    atau  pertubuhan  sukan di negara  ini.   Pergeseran
    antara  pegawai, jurulatih serta atlit tidak  putus-
    putus  berlaku  yang mana akhirnya akan  menjejaskan
    sukan   masing-masing.    Sikap   berpuak-puak   dan
    politiking   begitu   ketara  diamalkan   di   dalam
    kebanyakan  badan-badan sukan.  Ini  sudah  tentunya
    akan membawa kepada kemerosotan pencapaian mereka.

    8.      Kemajuan    sukan    negara    juga    mesti
    berorientasikan kepada sistem dan nilai yang  wajar.
    Sukan tidak akan maju dan berkembang sekiranya masih
    terdapat golongan yang sentiasa mengambil kesempatan
    serta mementingkan diri.  Atlit-atlit jangan terlalu
    memikirkan  soal  insentif dan ganjaran  yang  boleh
    memesongkan  arah serta perjuangan  mereka.   Mereka
    perlu  lebih komited dan meletakkan nama  negara  di
    atas  segala-galanya.  Sejarah  pencapaian  gemilang
    atlit-atlit   negara   pada   masa   dahulu    telah
    membuktikan  bahawa yang penyumbang kepada  kejayaan
    adalah komitmen yang tinggi dan semangat juang  yang
    tidak ada batasannya.

    9.    Sukan  adalah sama pentingnya  dengan  sektor-
    sektor   lain   seperti   ekonomi,   pelajaran   dan
    pertahanan  dalam  memajukan  negara.   Kita   telah
    menerima   hakikat   bahawa  sukan   mampu   memberi
    rangsangan ke arah pembentukan rakyat Malaysia  yang
    bersatupadu.    Ini   jelas   ditunjukkan   daripada
    pengalaman kita ketika memenangi semula Piala Thomas
    pada  tahun  1992.  Sukan juga mampu menaikkan  imej
    negara  melalui  kejayaan-kejayaan  atlit  kita   di
    pertandingan antarabangsa. Oleh yang demikian, sukan
    memang mempunyai peranan di negara ini.

    10.   Kita  perlu melihat bahawa sukan  bukan  hanya
    semata-mata  untuk  sukan tetapi  mempunyai  peranan
    yang  lebih  daripada  itu khususnya  dalam  konteks
    negara menuju ke arah tahun 2020.  Sukan juga  mampu
    memberi   sumbangan   ke  arah  pembentukan   rakyat
    Malaysia yang menepati ciri-ciri Wawasan 2020.  Kita
    semua  tahu sukan dipertandingkan melalui peraturan-
    peraturan  yang dipersetujui oleh semua  pihak  yang
    bertanding.  Ada  pula pihak yang memastikan  supaya
    peraturan  ini  dipatuhi  dan  mereka  ini  dikenali
    sebagai  pengadil.  Mereka yang melanggar  peraturan
    akan  dihukum  mengikut peraturan yang dipersetujui.
    Di  samping itu di dalam sukan terdapat juga  konsep
    `fair  play',  persefahaman,  disiplin,  taat,  daya
    saing,  perjuangan, persediaan melalui  latihan  dan
    kesempurnaan dalam melaksanakan segala gerak geri ke
    arah memenangi satu-satu pertandingan.

    11.   Apa yang disebutkan itu tadi ialah nilai-nilai
    murni  yang terdapat dalam sukan.  Sekiranya  nilai-
    nilai ini dapat dilahirkan oleh setiap anak muda dan
    juga pentadbir yang terlibat dalam sukan sudah tentu
    usaha  kita  untuk  membentuk rakyat  Malaysia  yang
    berkualiti  dan berhemah tinggi akan  menjadi  lebih
    mudah  lagi.  Dan sekiranya sukan berjaya  diamalkan
    oleh  sejumlah  besar  rakyat Malaysia  maka  proses
    pembentukan   rakyat  Malaysia  yang  kita   idamkan
    mungkin   lebih  cepat  dicapai.   Apa  yang   perlu
    ditekankan  di  sini  ialah sukan   boleh  digunakan
    untuk  pembentukan akhlak yang mulia dan  melahirkan
    nilai-nilai  dan  sifat-sifat  positif  di  kalangan
    kita.  Memang benar ada banyak cara lain untuk  kita
    membentuk peribadi dan sikap setiap individu  tetapi
    sukan  adalah  landasan yang baik  bagi  tujuan  itu
    kerana ia dapat menarik minat sebahagian besar  anak
    muda   kita.   Dengan  demikian  sukan  adalah  satu
    pendekatan yang harus digunakan dengan baik.

    12.   Kejayaan-kejayaan  atlit  yang  gemilang  juga
    sering  dikaitkan dengan komitmen yang jitu daripada
    pegawai-pegawai yang mengendalikan persatuan ataupun
    pertubuhan  sukan.  Amalan nilai-nilai  yang  murni,
    sikap  saling memahami, bertolak ansur  dan,  paling
    penting,  ialah semangat kesukarelaan (volunteerism)
    yang  tinggi  perlu  ada di kalangan  pentadbir  dan
    pemimpin sukan.  Setiap sumbangan atau khidmat  yang
    diberikan  adalah  ikhlas tanpa berlandaskan  kepada
    niat  untuk menerima balasan, imbuhan atau insentif.
    Bagaimanapun  sekarang  ini, nilai-nilai  murni  ini
    tidak  lagi  ketara  diamalkan di kalangan  pemimpin
    sukan.    Semangat  kesukarelaan  tersebut   semakin
    luntur dan saya khuatir sedikit masa lagi ianya akan
    terhapus  sama  sekali.  Sekiranya ini  berlaku  apa
    sahaja sumbangan yang perlu diberikan, mesti dibayar
    dengan  wang  ringgit.   Maka  tentulah  kita  dapat
    bayangkan  apakah yang akan terjadi kepada  aktiviti
    sukan  di  mana ianya menjadi satu aktiviti komersil
    semata-mata.

    13.   Oleh  yang demikian, langkah yang drastik  dan
    tegas  haruslah diambil agar semangat tersebut dapat
    digerakkan   semula  dan  dikekalkan  supaya   ianya
    sentiasa  segar  dan  menjadi  tunjang  utama  dalam
    gerakan  kesukanan.  Saya yakin sekiranya  ketulusan
    jiwa  dan  nurani  di dalam proses kesukarelaan  ini
    dapat  disemaikan, maka tahap pencapaian serta kadar
    kegiatan  akan melonjak semula ke tahap  yang  lebih
    tinggi.

    14.   Tabiat menyediakan perancangan jangka  panjang
    di  kalangan  Persatuan Sukan bukan merupakan  suatu
    yang  lumrah  meskipun  ianya merupakan  suatu  yang
    penting. Pelaksanaan program yang tidak tersusun dan
    dibuat  secara  `adhoc'  tentunya  tidak  memberikan
    pulangan yang bermakna.

    15.    Program  pembangunan  yang  menyeluruh  perlu
    dirancang  dan  dilaksanakan supaya dari  semasa  ke
    semasa dan di dalam jangka waktu yang panjang negara
    akan  sentiasa mempunyai atlit yang berkaliber untuk
    mengisi  kekosongan atlit yang telah  bersara.   Ini
    juga  pasti  akan dapat mengatasi masalah  setengah-
    setengah   sukan  yang  terlalu  bergantung   kepada
    seorang  atau  dua atlit sehingga ada kalanya  atlit
    yang  sudah  melampaui zaman gemilangnya masih  lagi
    diperlukan  khidmat  mereka kerana  kita  ketandusan
    jaguh.

    16.  Kita haruslah mencontohi sesetengah negara yang
    mempunyai sistem yang begitu tersusun sehingga dapat
    melahirkan  begitu ramai atlit yang berpotensi  yang
    dapat diketengahkan sepanjang masa.

    17.   Walaupun  begitu kita perlu  mengakui  hakikat
    bahawa tidak semua sukan mampu mencapai kejayaan  ke
    peringkat  yang  paling  tinggi.   Ada  sukan   yang
    membataskan kemampuan atlit negara ini untuk maju ke
    peringkat  dunia  kerana bentuk fizikal  kita.   Ada
    yang  memerlukan belanja yang tinggi dan  masa  yang
    lama  untuk  sampai ke tahap yang paling  cemerlang.
    Namun demikian, ianya tidak bermakna sukan-sukan ini
    tidak  perlu diperluaskan penyertaannya.  Kita perlu
    selektif  dalam  usaha memajukan  jenis-jenis  sukan
    mengikut  tahap keupayaannya.  Apa yang  dimaksudkan
    di  sini  ialah  ada sukan yang patut  dimajukan  di
    setiap  peringkat  hingga ke  tahap  yang  tertinggi
    termasuk menjadi jaguh dunia.  Kebanyakan sukan pula
    perlu dimajukan di kalangan rakyat negara ini supaya
    ianya  menjadi  sebahagian  daripada  Program  Sukan
    Untuk Semua.

    18.   Kita  perlu mengadakan program-program  supaya
    budaya  sukan  boleh  diwujud  dan  dikembangkan  di
    kalangan  rakyat  negara ini.  Sudah  tentu  melalui
    program sukan yang lebih luas, kemungkinan munculnya
    jaguh-jaguh akan lebih cerah.  Aktiviti yang  meluas
    juga  akan dengan sendirinya membentuk sokongan yang
    kuat   terhadap   sukan   tersebut.    Sukan   tidak
    seharusnya   dianggap  milik  segolongan  masyarakat
    sahaja.   Peluang  mesti diberi supaya  mereka  yang
    berminat dapat menceburkan diri dalam aktiviti sukan
    dan  rekreasi.  Peratus mereka yang layak  ke  tahap
    yang  tinggi  amat terhad.  Ini bermakna  kebanyakan
    daripada  mereka yang menceburkan diri  dalam  sukan
    adalah  untuk  kecergasan fizikal dan faktor  sosial
    yang  lain.  Ini bermakna Persatuan Sukan juga tidak
    terhad  batas tugasnya bagi aktiviti sukan  prestasi
    tinggi tetapi juga perlu melaksanakan program  untuk
    golongan  yang  lebih  ramai bagi  memenuhi  Program
    Sukan Untuk Semua.

    19.   Kita  akan  menjadi tuan rumah Sukan  Komanwel
    1998.   Pihak  Kerajaan  sememangnya  berazam  untuk
    menjadi  tuan  rumah  yang  cemerlang  seperti  juga
    ketika kita menjadi tuan rumah acara-acara lain pada
    masa  yang  lalu.  Meskipun SUKOM NINETY  EIGHT  BHD
    telah ditubuhkan untuk menganjurkan acara ini tetapi
    Kerajaan    telah    komited    untuk    menyediakan
    infrastruktur sukan yang baru di samping menaiktaraf
    tempat pertandingan yang sedia ada.  Peruntukan yang
    banyak  juga  disediakan  untuk  melatih  atlit  dan
    pegawai-pegawai teknik.   Penglibatan  agensi-agensi
    Kerajaan   dan   penubuhan  Majlis  Sukan   Komanwel
    menunjukkan   betapa  seriusnya  usaha   dan   tekad
    Kerajaan  untuk  membuktikan  kemampuan  negara  ini
    sebagai  negara  Asia dan negara  membangun  pertama
    menganjurkan  dengan cemerlangnya sukan  yang  kedua
    terbesar selepas Sukan Olimpik.

    20.  Kita semua sedar bahawa kemampuan atlit kita di
    Sukan  Komanwel `98 yang akan datang adalah  terhad.
    Kita   mungkin  memenangi  beberapa  pingat  melalui
    beberapa  sukan seperti badminton dan  angkat  berat
    seperti  yang telah dibuktikan sebelum ini.   Tetapi
    apa   yang   penting  bagi  kita  ialah  cara   kita
    merancang, berlatih dan bertanding menghadapi  lawan
    kita  meskipun  ianya lebih besar dan  lebih  tinggi
    daripada kita.  Cara kita mempersembahkan diri  kita
    di  atas  gelanggang menjadi ukuran  sama  ada  kita
    seorang atlit yang tulen atau sebaliknya.  Sekiranya
    kita bersetuju dengan pendapat ahli sosiologi sukan,
    bahawa apa yang ditunjukkan oleh atlit di gelanggang
    permainan  mencerminkan  sifat-sifat  peribadi   dan
    bangsanya,  maka kita perlu menentukan supaya  atlit
    kita  berlatih dengan penuh disiplin dan  bertanding
    dengan bersungguh-sungguh tanpa mengaku kalah  awal-
    awal lagi.

    21.   Oleh  sebab  itu,  saya berharap  semua  pihak
    menjadikan latihan untuk Sukan Komanwel `98  sebagai
    tapak  dan titik permulaan untuk merubah konsep  dan
    falsafah  sukan negara supaya ianya dapat  memainkan
    peranan  yang sesuai.  Sama ada kita akan  memenangi
    pingat   yang   banyak  atau  tidak,   tidak   harus
    mempengaruhi usaha kita untuk melahirkan  sekumpulan
    rakyat  Malaysia yang berdaya saing yang dapat  kita
    tonjolkan  di  mata  dunia.   Sekiranya  usaha   ini
    berterusan   sudah  tentu  atlit  kita  akan   dapat
    menjuarai dalam beberapa sukan termasuk di peringkat
    dunia.

    22.   Perubahan  dalam  memahami  dan  mempraktikkan
    konsep  dan  falsafah  sukan  supaya  ianya  secocok
    dengan  dasar-dasar dan matlamat  negara  ini  bukan
    sahaja  terhad kepada atlit-atlit kita  tetapi  juga
    meliputi  pemimpin, pengurus, jurulatih dan pegawai-
    pegawai  teknik  sukan.  Kelemahan  kita  melahirkan
    atlit  yang  berjaya adalah kerana  kepimpinan  yang
    kurang berkesan.  Saya percaya antara kelemahan yang
    terdapat ialah kurang kemampuan kepimpinan sukan  di
    negara ini untuk merubah pendekatan dan gaya ke arah
    melahirkan   atlit  dan  pengurusan  yang   berjaya.
    Kelemahan  ini bukan kerana tempoh mereka  menerajui
    organisasi  masing-masing  sangat  terbatas   kerana
    ramai  daripada mereka telah memegang jawatan  lebih
    daripada  sepuluh tahun.  Kelemahan kepimpinan  yang
    saya  maksudkan  ialah kerana kurang  wawasan  untuk
    membawa   kemajuan  kepada  organisasi   pimpinannya
    sehingga  tidak  jelas perubahan dan  kemajuan  yang
    berlaku kepada sukannya.

    23.  Pihak Kerajaan ingin melihat supaya sukan terus
    diuruskan  oleh  tenaga sukarela melalui  persatuan-
    persatuan dan kelab-kelab sukan.  Ini termasuk usaha
    mencari   punca   kewangan   kerana   seperti   yang
    ditunjukkan oleh Rakan Sukan, banyak syarikat swasta
    berminat  untuk  menjayakan  program  sukan.    Saya
    sendiri  kadang-kadang kurang faham  di  atas  sikap
    setengah-setengah pihak yang menerajui dan  memimpin
    sukan.  Di satu pihak mereka ingin kebebasan seperti
    yang  disarankan  oleh  Badan  Olimpik  Antarabangsa
    (International     Olympic     Committee),     tanpa
    campurtangan   daripada  mana-mana  pihak   termasuk
    pengaruh  atau tekanan politik.  Namun demikian,  di
    pihak yang lain pula mereka meminta bantuan Kerajaan
    sepenuhnya    seolah-olah   menjadi    tanggungjawab
    Kerajaan untuk membantu semua kegiatan mereka.  Saya
    yakin    Kerajaan    mempunyai   peranannya    dalam
    membangunkan sukan seperti juga persatuan-persatuan.
    Saya juga yakin kebanyakan persatuan sukan di negara
    ini  khususnya di peringkat kebangsaan  akan  lumpuh
    atau  hampir lumpuh sekiranya Kerajaan tidak memberi
    bantuan  kewangan  atau membantu  mencarikan  penaja
    masing-masing.   Oleh  yang  demikian,  kita   perlu
    melihat  sukan daripada perspektif kita sendiri  dan
    bukan  dengan membuta tuli mengikut apa  yang  orang
    lain buat.  Saya tidak percaya pihak IOC akan datang
    membantu persatuan-persatuan sukan negara ini  dalam
    usaha untuk memajukan diri masing-masing. Saya  juga
    tidak   percaya  mereka  begitu  prihatin  di   atas
    prestasi atlit negara di Sukan Olimpik.

    24.   Kita  di Malaysia mempunyai cara kita sendiri.
    Maka sesuai dengan hasrat untuk meletakkan sukan  di
    atas  landasan  yang paling sesuai,  pihak  Kerajaan
    akan terus memainkan peranan khususnya dalam membina
    infrastruktur dan melaksanakan program-program  yang
    sesuai.   Untuk itu satu akta iaitu Akta Pembangunan
    Sukan  sedang  digubal  supaya  setiap  pihak   yang
    terlibat  dalam  sukan  akan faham  peranan  masing-
    masing   dan  melaksanakannya  mengikut   apa   yang
    dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

    25.   Saya percaya Konvensyen yang diadakan ini akan
    dapat  mencari  penyelesaian kepada  masalah-masalah
    yang  dihadapi  oleh sukan negara ini.   Kita  perlu
    belajar  dari  negara yang lebih  maju  dalam  usaha
    untuk   bersaing   dengan   mereka.    Dalam    kita
    mempelajari  segala kebaikan dan keburukan  daripada
    mereka,  kita perlu juga menyedari bahawa  sukan  di
    negara  ini mempunyai peranan yang lebih,  khususnya
    untuk  membentuk  rakyat Malaysia yang  bersatupadu,
    berkualiti dan memenuhi ciri-ciri negara maju  dalam
    semua aspek.

    26.   Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan
    Konvensyen  Sukan Kebangsaan ini.

 
 



 
Google