Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN SAN CHOON, WISMA MCA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/07/96
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
MCA KE-43
1. Saya ucap terima kasih kepada Jawatankuasa
Pusat Parti MCA kerana menjemput saya sekali lagi
untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-43
hari ini.
2. Saya juga ingin mengucap tahniah kepada Yang
Berhormat Dato Seri Dr. Ling Leong Sik yang telah
menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Yang
Berhormat Dato Lim Ah Lek yang menang tanpa
bertanding sebagai Timbalan Presiden. Ucapan
tahniah juga kepada calon-calon CWC (Central Working
Committee) lain yang telah menang tanpa bertanding.
3. Perhimpunan kali ini amat penting kerana negara
kita sedang di ambang pembangunan yang pesat dan
kita sudah pun melancar dan memulakan Rancangan
Malaysia Ketujuh. Rancangan pembangunan negara lima
tahun ini dirangka sebegitu rupa agar rakyat kita
dapat menghadapi cabaran-cabaran yang jauh lebih
rumit menjelang abad ke-21.
4. Rancangan ini lebih merupakan pendekatan bagi
menyediakan rakyat kita dengan pelbagai ilmu dan
kecekapan untuk meningkatkan tahap kemajuan negara
terutama dalam sektor perindustrian. Oleh itu,
penekanan diberikan terhadap pembangunan sumber
manusia agar tenaga kerja yang kita lahirkan kelak
adalah yang berkualiti dan produktif. Bagaimanapun,
kejayaan rancangan ini banyak bergantung kepada
sambutan rakyat khususnya pekerja-pekerja kita
sendiri. Kecekapan hendaklah disertai dengan
semangat ingin menjayakan diri dan negara. Tanpa
semangat bekerja yang kuat, kecekapan tidak akan
mendatangkan apa-apa pulangan.
5. Langkah meningkatkan kecekapan dan kemahiran
tenaga manusia kita menjadi perlu kerana kita ingin
kurangkan penggunaan tenaga buruh kasar yang upahnya
tidak mungkin naik lagi memandangkan kos buruh kita
sudah lebih tinggi daripada kos tenaga buruh kasar
di negara-negara yang bersaing dengan kita. Lagi
pun kita sekarang kekurangan tenaga pekerja.
Sebaliknya jika pekerja kita lebih cekap kita akan
dapat kurangkan bilangan pekerja, menggunakan robot
dan otomasi dan membayar upah yang lebih tinggi
kepada pekerja kita.
6. Hasrat Kerajaan ialah supaya pekerja Malaysia
mendapat pendapatan yang tinggi kerana kegigihan dan
kecekapan mereka. Pendapatan yang tinggi kerana
peluang kerja melebihi bilangan pekerja adalah tidak
sihat, kerana barangan keluaran kita akan lebih
mahal dan tidak dapat bersaing dalam pasaran dunia.
Jika ini berlaku ekonomi kita akan merosot.
7. Kejayaan Rancangan Malaysia Ketujuh bergantung
kepada kerjasama dan tindakan seluruh rakyat
daripada semua kaum. Kita harus sedar dan insaf
Rancangan ini bertujuan membawa kemajuan dan
kemakmuran kepada semua warganegara kita. Ia
bukannya untuk kepentingan kaum-kaum tertentu
sahaja.
8. Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, segala
rancangan yang diusahakan Kerajaan membawa kemajuan
dan kejayaan kerana ia jelas memberikan manfaat
kepada semua rakyat. Walaupun Dasar Ekonomi Baru
bertujuan meningkatkan bahagian Bumiputera dalam
ekonomi negara, tetapi ia tidak menjejaskan
pertumbuhan ekonomi kaum-kaum lain. Sebenarnya
ekonomi kaum lain juga tumbuh dengan pesatnya.
9. Demikian juga Dasar Pembangunan Nasional. Tidak
ada mana-mana kaum yang rugi kerananya. Namun ia
berjaya mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum.
Di waktu yang sama ekonomi negara tumbuh dengan
pesatnya sehingga mencatat rekod dalam sejarah
negara membangun dan juga negara maju. Ini berbeza
dengan percubaan negara-negara lain untuk menyusun
semula ekonomi yang kebanyakannya bukan sahaja gagal
tetapi menimbulkan banyak masalah sosial.
10. Jika kita teliti laporan berkenaan syarikat-
syarikat di Malaysia kita akan dapati hampir
semuanya mencatat kenaikan keuntungan tahun demi
tahun. Nilai modal juga bertambah kerana permintaan
dalam pasaran saham. Hari ini hampir 150 syarikat
termasuk dalam kumpulan yang mempunyai nilai modal
pasaran melebihi satu billion.
11. Dalam pada itu banyak syarikat Malaysia yang
bergiat di negara-negara lain. Mereka melabur dalam
berbagai-bagai perniagaan dan industri dengan
jayanya. Banyak negara menjemput syarikat-syarikat
Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan
ekonomi mereka dan penswastaan agensi-agensi
Kerajaan mereka. Jika dahulu kita terpaksa
menghantar rombongan ke negara-negara maju untuk
menarik pelaburan asing dan bergantung kepada
kontraktor asing untuk projek-projek besar dalam
negara kita, hari ini negara-negara lain pula yang
menghantar rombongan untuk menarik pelaburan kita,
dan kontraktor kita sudah mengambil bahagian dalam
projek-projek besar di negara-negara lain. Bahkan
syarikat-syarikat di negara maju pun sudah mempunyai
penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dan kadang-
kadang diambilalih oleh syarikat kita.
12. Kedudukan negara kita sudah jauh berubah.
Malaysia sudah tidak lagi menjadi negara yang tidak
siapa kenal, bahkan di mana-mana juga Malaysia dan
rakyat Malaysia terkenal.
13. Semua ini adalah bukti bahawa dasar-dasar
Kerajaan tepat dan kena pada masanya. Sudah tentu
dasar ekonomi kita, yang diasaskan kepada Dasar
Ekonomi Baru dan sekarang ini dengan Dasar
Pembangunan Nasional, yang disertai dengan konsep
Persyarikatan Malaysia dan Penswastaan; semuanya
berjaya membangunkan ekonomi negara kita. Lebih
daripada itu dasar-dasar ini tidak menyebabkan kaum-
kaum kita bermusuh dan memburukkan keadaan politik
kita.
14. Dasar-dasar ini dapat dibentuk kerana kerjasama
di antara parti-parti komponen Barisan Nasional,
terutamanya di antara UMNO dan MCA. Saya ingin
memperingati semua ahli MCA, terutama golongan muda
bahawa kerjasama antara parti dan antara kaum ini
bermula dengan ikatan antara MCA Kuala Lumpur dengan
UMNO Kuala Lumpur pada tahun 1951. Daripada
kerjasama yang kecil inilah terbentuk Perikatan atau
Alliance yang hari ini menjadi gergasi politik yang
dinamakan Barisan Nasional, satu gabungan empat
belas buah parti. Tahun ini genap 45 tahun
penjalinan kerjasama di antara MCA dan UMNO.
Kerjasama ini melalui banyak cabaran dan krisis.
Tetapi kerana adanya pemikiran yang waras, adanya
`common sense', baik di kalangan pemimpin mahupun di
kalangan ahli-ahli kedua-dua buah parti pengasas
Alliance ini, semua krisis dan ketegangan dapat
diatasi. Setiap kali kita mengatasi masalah
perhubungan di antara MCA dan UMNO, ikatan kita
menjadi lebih rapat dan lebih kuat.
15. Tidak syak lagi bahawa ikatan dan kerjasama di
antara MCA dan UMNO menjadi tunjang kepada kekuatan
Barisan Nasional. Kesefahaman di antara UMNO dan
MCA dan kepercayaan di antara dua buah parti ini
mencapai puncaknya apabila UMNO diharamkan pada
tahun 1987-88 dan MCA mengetuai Barisan Nasional.
Walaupun masa MCA mengetuai Barisan Nasional adalah
singkat, tetapi ia mempunyai penuh makna. Di masa
yang sama kerana UMNO memberi kepercayaan kepada
MCA, parti-parti lain juga tidak mempertikaikan
kepimpinan MCA. Dengan ini krisis UMNO tidak
menjejaskan kewibawaan Barisan Nasional dan negara
kita terus stabil dan politiknya dapat dipulih
semula.
16. Kerana ianya tidak berlaku maka kita tidak
terfikir akan kemungkinannya. Tetapi jika krisis
seperti UMNO ini berlaku di negara lain, rebutan
kuasa tetap akan berlaku dan pentadbiran negara akan
menjadi kucar-kacir. Tetapi di Malaysia, kerana
perkongsian yang matang di antara UMNO dan MCA dan
juga parti-parti lain dalam Barisan Nasional, krisis
UMNO dapat diatasi tanpa pergelutan politik.
17. Saya menyebutkan perkara-perkara ini,
terutamanya kerjasama UMNO-MCA untuk memperingati
kita semua tentang peranan MCA dalam politik negara.
Ramai juga orang Cina, terutama daripada golongan
muda yang tidak begitu puas hati dengan
kesederhanaan MCA dan kesanggupannya untuk
bekerjasama dengan UMNO. Ramai orang Cina, terutama
di bandar-bandar yang menuntut supaya MCA lebih
`chauvinistic', dan menuntut hak orang Cina dalam
bidang ekonomi dan pelajaran tanpa mempedulikan
keamanan politik negara. Mereka ini terlalu sempit
pemikiran mereka dan tidak mahu mengakui pengorbanan
yang dibuat oleh UMNO dan orang Melayu juga.
Justeru itu, mereka sering menyokong parti lawan
yang bersikap perkauman yang tebal dan suka membaca
berita-berita kononnya hak orang Cina tidak mendapat
layanan yang sewajarnya.
18. Saya ingin memperingati bahawa jika UMNO dan
MCA tidak sederhana dan tidak bekerjasama, politik
negara akan menjadi tegang dan ekonomi akan merosot.
Akhirnya tidak ada sesiapa pun yang beruntung.
Lihatlah keadaan di negara lain, di mana sikap
keterlaluan mempengaruhi politik, tidak ada kemajuan
ekonomi yang dicapai. Sebaliknya ekonomi hancur dan
semua pihak tidak memperolehi apa-apa.
19. Dasar ekonomi dan dasar pelajaran yang kita
amalkan adalah adil dan baik untuk semua pihak. Di
Malaysia pelajaran dalam bahasa ibunda, penggunaan
bahasa dan tulisan sendiri dibenarkan asalkan Bahasa
Kebangsaan diberi tempat yang sewajarnya. Di negara
lain ingin saya menarik perhatian, bukan sahaja
pelajaran dalam bahasa ibunda tidak dibenarkan
tetapi nama pun perlu ditukar.
20. Pada masa ini terdengar banyak sebutan tentang
Melayu Baru. UMNO dan Kerajaan telah berusaha
menukar budaya atau `values system' orang Melayu dan
Bumiputera lain supaya mereka lebih yakin kepada
diri sendiri, lebih sanggup bersaing atau `compete'
dalam bidang ekonomi dan sosial tanpa terlalu
bergantung kepada Kerajaan.
21. Orang Cina Malaysia juga perlu kepada
pembaharuan untuk `meet the Malays and other
Bumiputeras halfway'. Saya tidak hendak mencadang
apakah pembaharuan yang perlu dibuat. Saya yakin
bahawa `sociologists' di kalangan orang Cina ramai
dan mereka mampu mengkaji dan mencadangkan
pembaharuan yang perlu dibuat supaya kerjasama di
antara MCA dan UMNO, orang Cina dan orang Melayu,
menjadi lebih rapat dan lebih berkesan lagi.
Dengan itu dapatlah dikurangkan kemungkinan tumpuan
perhatian dibuat kepada yang negatif dengan
melupakan perkara-perkara yang positif yang begitu
banyak dinikmati oleh `Malaysian Chinese'.
22. Pepatah Inggeris berkata `count your
blessings'. Apabila kita hitungkan nasib baik kita,
maka kita akan rasa lebih tenang. Orang Melayu juga
digesa supaya menghitungkan nikmat yang mereka
dapati. Dengan kedua-dua pihak berbuat demikian maka
negara kita akan terus stabil dan terus maju. Dan
kemajuan ini tetap akan dinikmati, dikecapi, dirasai
oleh semua kaum.
23. Sekali lagi ingin saya memperingati sejarah
kerjasama UMNO dan MCA dan hasil yang gemilang yang
datang daripadanya. Dengan memperingati sejarah ini
kita akan lebih berhati-hati dalam memelihara
perhubungan itu dan mengelak daripada membangkitkan
perkara-perkara yang kontroversil yang hanya
meretakkan hubungan yang kuat ini.
24. Dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional adalah
untuk semua kaum. Buktinya ialah kestabilan politik
dan kemajuan ekonomi yang luar biasa yang terdapat
di negara ini. Justeru itu berilah sokongan yang
penuh kepada Kerajaan yang disertai dan dipimpin
oleh wakil daripada semua kaum.
25. Yakinlah semua pihak akan memperolehi
keuntungan yang besar daripadanya.
26. Dengan harapan bahawa masyarakat Cina Malaysia
akan terus mendokong Barisan Nasional demi keadilan,
keamanan, kemajuan dan kesejahteraan semua kaum di
tahun-tahun akan datang, saya dengan sukacitanya
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-43 bagi
tahun ini.
|