Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/08/96
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG MIC YANG KE-43
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih
kepada Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya
untuk merasmikan Majlis Perhimpunan Agung MIC yang
ke-43 pada hari ini. Sepertimana lazimnya saya
selaku Presiden Barisan Nasional (BN) diberi
penghormatan untuk merasmikan Perhimpunan Agung
parti-parti komponen BN. Langkah seperti ini memang
ada baiknya kerana selain memberi peluang kepada
saya menyampaikan pesanan, ia juga membolehkan saya
berjumpa dengan ahli-ahli parti MIC. Lagi pun ia
adalah satu amalan yang unik di negara ini, yang
malangnya terhad kepada Barisan Nasional sahaja. Ia
menunjukkan bahawa kita mampu bersatu dan menerima
bahawa kejayaan perjuangan memerlukan pengiktirafan
pemimpin. Sebab itu, saya gembira diberi peluang
hadir bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan di majlis
ini. Semoga semangat ini dapat mempereratkan lagi
perhubungan antara ahli-ahli MIC dengan ahli-ahli
komponen-komponen Barisan Nasional.
2. Saya percaya Perhimpunan Agung MIC kali ini
akan menghasilkan resolusi-resolusi yang dapat
menyumbang ke arah memperbaiki lagi kepentingan,
nasib dan masa depan masyarakat India Malaysia.
Sebagai sebuah parti yang mempunyai peranan penting
dalam menggerakkan masyarakat India, saya yakin MIC
berupaya membawa masyarakat India ke arus
pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang lebih
tinggi.
3. Walaupun orang India Malaysia merupakan hanya
10 peratus daripada jumlah rakyat negara ini, tetapi
peratusan mereka dalam berbagai kumpulan profesional
adalah jauh lebih tinggi daripada 10 peratus. Oleh
itu, amatlah penting MIC menarik mereka ini
menyertai parti. Setakat ini penyertaan golongan
profesional dalam MIC tidak mencerminkan komitmen
mereka, yang dipercayai tidak kurang daripada
kumpulan lain.
4. Di dalam era yang menitikberatkan pembangunan
teknologi yang canggih serta pembangunan industri
yang kompetitif, dinamik dan efisien, adalah penting
semua rakyat membuat persediaan yang rapi untuk
mengambil peluang supaya tidak ketinggalan daripada
arus kemajuan. Saya yakin MIC akan dapat memberi
kepimpinan yang berkesan bagi membawa masyarakat
India kepada pembaharuan yang diperlukan. Sementara
Kerajaan berhasrat untuk melihat masyarakat India
turut sama melangkah ke depan dengan kaum-kaum lain,
tetapi mereka hendaklah melayakkan diri dengan ilmu
pengetahuan dan kecekapan. Sebagaimana kita ketahui
perpaduan rakyat di negara ini bergantung besar
kepada wujudnya perseimbangan penyertaan oleh semua
kaum daripada semua peringkat. Dalam hal ini saya
berbangga kerana masyarakat India kini lebih kukuh
dan mantap lagi berbanding dengan tahun-tahun 80an.
5. Tahun ini Kerajaan telah melancarkan Rancangan
Malaysia Ketujuh (RM7) dan seperti rancangan-
rancangan pembangunan lima tahun yang lain sebelum
ini, RMK bertujuan antara lain membawa rakyat
Malaysia ke arah pembangunan yang lebih tinggi dan
seimbang. Matlamat penting dan teras rancangan-
rancangan ini adalah supaya rakyat berbilang kaum di
negara ini mempunyai taraf hidup yang tinggi dalam
suasana aman damai. Saya telah menyeru supaya
masyarakat Cina mencipta budaya Cina Malaysia baru
untuk berjuang bersama Melayu Baru mendirikan
Malaysia yang lebih maju. Saya percaya masyarakat
India Malaysia juga perlu pembaharuan budaya untuk
berganding bahu dengan kaum-kaum lain dalam
membangunkan negara kita Malaysia.
4. Semua rakyat tidak mengira kaum atau peringkat
sama ada atasan atau bawahan mempunyai peluang yang
luas untuk menikmati kekayaan negara. Berbagai-
bagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan
terbuka kepada kaum India Malaysia untuk
menyertainya. Bahawa tidak adanya tumpuan khas untuk
India Malaysia tidak bermakna tidak ada langsung
tumpuan oleh Kerajaan untuk mengatasi masalah orang
India Malaysia. Walaupun terdapat hanya seorang
Menteri daripada kaum India Malaysia dalam Kabinet
tetapi penyertaannya amatlah besar dan tidak terhad
kepada Kementeriannya sahaja.
5. Dalam kontek ini, sukalah dinyatakan bahawa
masyarakat India Malaysia juga telah turut menikmati
faedah hasil daripada pembangunan pesat negara.
Sebagai contoh dalam tempoh Rancangan Malaysia
Keenam (RME), pendapatan purata isi rumah masyarakat
India telah bertambah dengan begitu ketara sekali
walaupun fenomena ini adalah menyeluruh dan telah
memanfaatkan semua masyarakat, sama ada India, Cina
ataupun Bumiputera.
6. Dilihat daripada sudut kemiskinan, kadar
kemiskinan di kalangan masyarakat India juga telah
berkurangan daripada 8 peratus pada tahun 1990
kepada 2.3 peratus pada 1995. Didapati juga bahawa
pada tahun 1995 lebih daripada separuh (53.3
peratus) masyarakat India tergolong daripada
kumpulan pertengahan, iaitu yang berpendapatan
RM1000 dan RM3000 sebulan.
7. Malahan didapati bahawa kadar pertumbuhan
purata tahunan pendapatan isi rumah bagi kaum India
adalah yang tertinggi sekali berbanding dengan kaum-
kaum Cina ataupun kaum Bumiputera. Bagi tempoh 1990-
1995 kadar pertumbuhan bagi kaum Bumiputera adalah
9.3 peratus, kaum Cina 10 peratus dan kaum India
10.1 peratus. Begitu juga dengan pemilikan ekuiti
korporat, di mana didapati bahawa kadar pertumbuhan
purata bagi kaum Bumiputera adalah 12.1 peratus,
Cina 8.3 peratus manakala bagi masyarakat India
ianya adalah 20.6 peratus. Jumlah ekuiti korporat
yang dipegang oleh kaum India pula telah meningkat
lebih sekali ganda iaitu daripada RM1.1 billion pada
1990 kepada 2.7 billion pada tahun 1995. Daripada
segi kadar pertumbuhan bagi tahun 1991-1995 kaum
India adalah kedua yang paling cepat.
8. Ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat India
tidak ketinggalan dalam pembangunan negara
sepertimana yang sering diperkatakan. Malahan
statistik menunjukkan bahawa berbanding dengan
golongan-golongan lain masyarakat Indialah yang
paling banyak mendapat manfaat daripada beberapa
rancangan-rancangan Kerajaan. Hanyalah oleh kerana
`base' atau asasnya kecil, maka pertumbuhan yang
tinggi pun masih meletak kedudukan orang India
Malaysia di taraf yang belum memuaskan. Namun
pertumbuhan yang lebih tinggi daripada kaum lain
jika diteruskan akan membolehkan kaum India Malaysia
mengejar dan `catch-up' dengan kaum-kaum lain.
9. Satu sebab yang penting yang membolehkan
keadaan positif ini berlaku ialah kerana wujudnya
perpaduan di kalangan rakyat. Sikap toleransi dan
hormat menghormati di antara satu sama lain telah
membawa kepada kestabilan politik. Tidak ada
sesuatu yang lebih penting untuk kemajuan negara
daripada kestabilan politik. Ini tidak bermakna
tidak ada pertukaran baik daripada segi dasar atau
kepimpinan. Pertukaran boleh dibuat asalkan ia
dibuat secara tersusun dan teratur, aman dan
selamat. Bahawa tidak adanya pertukaran walaupun
pertukaran boleh dibuat tidak bermakna politik
negara tidak sihat dan tidak demokratik. "Change
should be possible when there is a need for change,
but changing simply because we can change is
wasteful and unproductive. It does not even mean
democracy is working."
10. Walau bagaimanapun, faktor yang tidak kurang
pentingnya dan menjadi kunci kepada kejayaan kita
ialah perpaduan dan sikap toleran di kalangan
rakyat. Bila rakyat memahami kepentingan negara
mendahului kepentingan diri atau kepentingan satu-
satu kaum maka ini akan akhirnya memenuhi
kepentingan tiap-tiap kaum. Ini adalah satu
`paradox' atau keganjilan. Tetapi ia adalah benar.
Di mana juga didapati kaum-kaum mengutamakan
kepentingan diri secara keterlaluan, seperti di
Ireland Utara dan Yugoslavia, yang akhirnya
menyebabkan kepentingan kaum itu tidak dapat
menghasilkan apa-apa. Adalah lebih baik mendapat
separuh daripada menuntut semua tetapi akhirnya
tidak mendapat apa-apa. Rakyat Malaysia bertuah
kerana lebih makmur daripada rakyat negara-negara
membangun yang lain. Oleh itu kita tidak harus
membuat apa-apa yang boleh mengancam kestabilan
politik atau perpaduan kaum.
12. Kita sedar bahawa masih ada rakyat yang perlu
dibela nasib mereka. Kita tidak melupakan mereka
ini dan di bawah RM7 kita telah menggariskan
berbagai-bagai program dan langkah untuk mengatasi
masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan rakyat
termiskin atau yang berpendapatan rendah. Sebagai
contoh Kerajaan akan terus berusaha untuk
mengurangkan lagi kadar kemiskinan di kalangan
rakyat tanpa mengira kaum. Ini adalah sejajar
dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru, yang masih kita
junjung.
13. Saya berbangga bahawa kedamaian, kestabilan dan
kemakmuran negara kita sedikit sebanyak disebabkan
oleh peranan yang dimainkan oleh MIC. Kewibawaan
parti MIC membawa imej yang positif di kalangan
masyarakat India. Justeru itu, rakyat keturunan
India hendaklah menyertai dan diberi tempat dalam
MIC. UMNO telah dan akan menerima semua mereka yang
meninggalkannya dahulu jika mereka ingin menyertai
UMNO semula. Parti-parti komponen yang lain juga
perlu memberi peluang penyertaan dengan seluas-
luasnya.
14. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada
Datuk Seri Samy Vellu di atas kegigihan dan komitmen
beliau untuk membawa pembangunan dan pembaharuan
kepada kaum India. Saya percaya MIC merupakan parti
yang paling layak dan berwibawa untuk memperjuangkan
nasib dan masa depan kaum India. Saya berharap
masyarakat keturunan India di Malaysia akan terus
memberi sokongan kepada MIC dan kepada parti Barisan
Nasional untuk membantu mereka dalam menempuh masa
depan yang lebih cerah.
15. Untuk menentukan usaha-usaha Kerajaan supaya
pertumbuhan ekonomi kita dapat diteruskan dengan
jayanya, semua pihak hendaklah memberi kerjasama
dalam pelaksanaan RM7 ini. Tiada siapa boleh
mendakwa bahawa tidak wujud peluang untuk rakyat
merebut kekayaan di negara ini. Jika kita ingin
kehidupan yang lebih baik, tiap seorang rakyat
Malaysia hendaklah mampu mengganti dua atau tiga
rakyat asing yang datang bekerja di sini. Sudah
tentu pendapatan kita juga akan dilipatgandakan.
16. Dengan harapan masyarakat India akan terus
bersama MIC dan menyokong Barisan Nasional demi
perpaduan, kemakmuran dan kestabilan negara, saya
dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MIC
kali ini.
|