Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	17/08/96 
Tajuk/Title  	: 	JAMUAN MAKAN MALAM MERAIKAN TYT 
			PROFESSOR DR. NECMETTIN ERBAKAN,
			PERDANA MENTERI REPUBLIK TURKI 



     1.    Saya  mengucapkan Selamat Datang  kepada  Tuan
    Yang  Terutama  dan anggota-anggota  rombongan  Tuan
    Yang  Terutama  ke Malaysia.  Saya  memang  menunggu
    untuk  menerima  lawatan Perdana  Menteri  Turki  ke
    negara  kami  sejak lawatan rasmi saya  ke  Republik
    Turki  hampir dua tahun lalu.  Saya masih  terkenang
    akan  lawatan saya ke negara Turki yang  cantik  dan
    kemesraan yang ditunjukkan oleh rakyat Turki.   Saya
    berharap  Tuan  Yang Terutama juga  dapat  menikmati
    kemesraan rakyat Malaysia.
    
    2.    Saya  gembira Tuan Yang Terutama telah memilih
    Malaysia  sebagai salah sebuah negara pertama  dalam
    lawatan  rasmi  ke  luar  negeri  sejak  Tuan   Yang
    Terutama dilantik sebagai Perdana Menteri Turki baru-
    baru  ini.  Sesungguhnya ini  adalah  amat  istimewa
    kepada  kami  dan  sudah tentu  akan  membuka  jalan
    kepada   perhubungan  yang  lebih  erat  di   antara
    Malaysia  dan  Turki. Kehadiran ramai anggota  kanan
    Kerajaan  Turki dan pada pegawai, serta pemimpin  di
    kalangan   masyarakat  perniagaan  Turki  di   dalam
    rombongan Tuan Yang Terutama memberi peluang  kepada
    kami   untuk   mengkaji  semula  dan   mengembangkan
    kerjasama  dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua
    negara.
    
    3.    Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki
    sememangnya  sentiasa  baik.   Kita  telah   memupuk
    perhubungan persaudaraan antara umat Islam di negara
    kita.   Dunia  Islam terhutang banyak  kepada  Turki
    kerana   mengekalkan  kecemerlangan  warisan  Islam.
    Turki  yang  moden adalah sebahagian daripada  dunia
    Islam.  Sebagai  sebahagian  daripada  dunia  Islam,
    Malaysia  berkongsi  banyak perkara  bersama  dengan
    Turki   dan  kita  boleh  mengembangkan  ini   untuk
    kebaikan  kita. Dalam beberapa tahun lalu pertukaran
    lawatan  di peringkat tinggi telah mengukuhkan  lagi
    hubungan  kita  dan  telah  meletakkan  asas   untuk
    meningkatkan  lagi kerjasama.  Ia  telah  memudahkan
    hubungan di antara pegawai-pegawai dan sektor swasta
    kita   hingga  membolehkan  kedua-dua  negara   kita
    bekerjasama  dengan  meluas dalam  pelbagai  bidang.
    Saya suka menyatakan kerjasama ini meliputi pelbagai
    bidang  seperti perdagangan, pelaburan,  pertahanan,
    pendidikan,  pelancongan,  kebudayaan   dan   bidang
    teknikal.
    
    4.   Walaupun kerjasama antara kedua-dua negara kita
    meliputi  pelbagai bidang, saya percaya  kita  boleh
    melakukan lebih daripada itu untuk mencapai  potensi
    sepenuhnya dalam hubungan kita.  Ini jelas jika kita
    lihat pada angka perdagangan di antara Malaysia  dan
    Turki yang begitu kecil daripada yang sepatutnya  di
    antara  dua  negara  yang begitu  rapat  hubungannya
    seperti kita.  Semasa mesyuarat kita pagi ini,  kita
    bersetuju  untuk  terus  mengukuhkan  hubungan  kita
    terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan.  Saya
    yakin sektor swasta kita akan mengambil peluang  ini
    untuk  menjalin hubungan yang akan mengukuhkan  lagi
    hubungan  ekonomi dan perdagangan di antara Malaysia
    dan Turki.  Sektor swasta Malaysia saya percaya akan
    mengambil  peluang ini untuk menerokai  keistimewaan
    kedudukan  Turki sebagai pintu masuk ke  Eropah  dan
    Timur  Tengah serta menjalin perkongsian yang  boleh
    mengeksploit keistimewaan ini untuk faedah  bersama.
    Pada  masa  yang  sama, suka saya  mempelawa  sektor
    swasta Turki untuk menjadikan Malaysia sebagai  batu
    loncatan  untuk  memasuki  pasaran  yang  besar  dan
    berkembang di Asia Tenggara.
    
    5.    Satu  aspirasi bersama yang kedua-dua Malaysia
    dan  Turki miliki ialah pencapaian tahap pembangunan
    ekonomi  yang  tinggi  untuk kemajuan  rakyat  kita.
    Kedua-dua  negara kita telah mencapai satu peringkat
    pembangunan,  walaupun  mungkin  dalam  bidang  yang
    berbeza.  Tidak dinafikan bahawa penguasaan terhadap
    teknologi adalah penting untuk pembangunan  ekonomi.
    Dalam  hubungan ini, kemajuan dalam bidang teknologi
    dalam  beberapa  tahun ini amatlah pantas.   Negara-
    negara seperti kita perlu menerima innovasi-innovasi
    ini  sebanyak mana yang boleh untuk memastikan  kita
    tidak  akan  ketinggalan.  Bagaimanapun,  tugas  ini
    tidak boleh dicapai dengan baik secara bersendirian.
    Malaysia   percaya   bahawa   negara-negara    harus
    bekerjasama   dengan   berkongsi   pengalaman    dan
    menyatukan  kepakaran.   Malaysia  telah  mengadakan
    perkongsian secara itu dengan negara-negara lain dan
    bersedia  untuk  berkongsi  pengalaman  kami  dengan
    Turki.
    
    6.    Kerjasama di antara kedua-dua negara kita juga
    meliputi  isu-isu antarabangsa di OIC dan Pertubuhan
    Bangsa-bangsa  Bersatu, terutama Bosnia-Herzegovina.
    Tidak  ada negara pada masa ini yang menjadi  mangsa
    pencabulan  hak  manusia  yang  jelas  seperti  yang
    menimpa negara itu,  tetapi penyerang-penyerang yang
    ganas  dibiarkan selama empat tahun untuk meneruskan
    jenayah yang tidak dapat digambarkan ke atas  rakyat
    negara   itu.   Kegagalan  kuasa-kuasa   besar   dan
    Pertubuhan  Bangsa-bangsa  Bersatu  untuk  mengambil
    tindakan tegas bagi memberhentikan tragedi itu telah
    memaksa    negara-negara   Islam   untuk   mengambil
    keputusan kolektif bagi membantu Bosnia-Herzegovina.
    Tindakan  kita  telah menghalang  Bosnia-Herzegovina
    daripada  kemusnahan.  Kedua-dua Turki dan  Malaysia
    telah   bekerjasama   dalam  OIC   dan   forum-forum
    antarabangsa  yang  lain untuk  menggesa  masyarakat
    antarabangsa memastikan rakyat Bosnia diberikan  hak
    kedaulatan mereka.  Kedua-dua negara kita menyumbang
    pasukan tentera di bawah naungan UNPROFOR dan IFOR.
    
    7.    Malaysia  memandang berat  terhadap  pendirian
    keras yang diambil oleh Perdana Menteri Israel dalam
    proses   keamanan.    Kelambatan  dalam   mengadakan
    rundingan  dengan pihak Palestin, penolakan  prinsip
    tanah   untuk  keamanan  dan  percubaan   mewujudkan
    realiti   baru   melalui  pembukaan  kawasan-kawasan
    penduduk  Yahudi, akan hanya meningkatkan ketegangan
    dan  memperbaharui konfrantasi.  Israel tidak  harus
    mengenakan  syarat-syarat baru yang boleh menghalang
    proses keamanan.
    
    8.     Lawatan   Tuan  Yang  Terutama  ke   Malaysia
    menandakan satu kemajuan penting dalam hubungan  dua
    hala  antara  kedua-dua negara kita.  Kami  berharap
    dapat  bekerjasama  dengan lebih rapat  lagi  dengan
    Turki  untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan
    ekonomi  dan dagangan kita serta bekerjasama  dengan
    Tuan   Yang  Terutama  dalam  isu-isu  yang  menjadi
    perhatian kita bersama.

 
 



 
Google