Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 28/08/96
Tajuk/Title : PADA MAJLIS PELANCARAN SKIM AMANAH
SAHAM WAWASAN 2020
1. Pada hari ini, kita akan menyaksikan pelancaran
satu lagi skim saham amanah, iaitu Skim Amanah Saham
Wawasan 2020 atau nama singkatannya Skim ASW 2020.
Walaupun sehingga hari ini sudah banyak saham amanah
dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-
kerajaan Negeri, Skim ASW 2020 ini merupakan satu
skim yang istimewa kepada negara ini.
2. Kerajaan telah menubuhkan Permodalan Nasional
Berhad sebagai satu alat terpenting dalam usaha
untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu
dasar yang bertujuan menghapuskan kemiskinan di
kalangan semua kaum dan menghapuskan pengenalan atau
identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi. Apa yang
didapati sebelum DEB dilaksanakan ialah pertumbuhan
ekonomi kaum-kaum tidaklah seimbang dan tidak pesat.
Rakyat Malaysia terbahagi kepada bumiputera yang
kegiatan ekonomi mereka terhad kepada bercucuk tanam
dan kerja-kerja buruh yang mendapat upah yang
rendah. Hanya segelintir daripada mereka bekerja
dengan Kerajaan dan mendapat upah yang sederhana.
Bukan bumiputera pula cergas dalam bidang
perniagaan dan perusahaan dan kegiatan-kegiatan lain
yang biasanya memberi pendapatan yang lebih tinggi.
Perbezaan kegiatan ekonomi ini merenggangkan kaum
bumiputera daripada bukan bumiputera daripada segi
fizikal dan pendapatan. Keadaan ini adalah tidak
sihat dan dipercayai salah satu sebab rusuhan kaum
meletus pada 1969.
3. Sebaliknya didapati apabila saham dan peluang
perniagaan diberi kepada individu bumiputera, mereka
sering menjual balik hampir semuanya kepada bukan
bumiputera. Sebabnya ialah kerana mereka tidak
mampu membiayai pendahuluan atau tidak cekap dalam
mengurus pelaburan mereka. Dengan menjual balik
saham dan peluang perniagaan kepada bukan bumiputera
maka matlamat mengimbangkan pemilikan punca kekayaan
antara kaum terjejas dan tidak dapat dicapai.
4. Sebagai satu cara untuk mengekalkan pemilikan
bahagian-bahagian ekonomi yang diperuntukkan kepada
bumiputera, Kerajaan menubuhkan sebuah `unit trust'
atau amanah saham yang dinamakan Amanah Saham
Nasional (ASN) di bawah kelolaan PNB. Modal asas
ASN dipinjamkan oleh Kerajaan untuk membeli saham-
saham dan bumiputera dapat membeli unit-unit saham
Amanah Saham Nasional ini tanpa memiliki modal yang
besar. Dengan hanya RM10.00 sahaja pun mereka boleh
memiliki 100 unit saham ASN. Saham-saham ini hanya
boleh dijual balik kepada Amanah Saham Nasional.
Dengan itu saham-saham yang diagih kepada bumiputera
kekal di tangan institusi yang mewakili bumiputera
dan individu bumiputera. Ini dapat menjayakan
matlamat DEB.
5. Kejayaan Amanah Saham Nasional adalah luar
biasa. Ia merupakan unit trust yang terbesar di
dunia dengan jumlah pemegang saham lebih daripada
empat juta dan nilai asas saham lebih daripada RM20
billion. Sumbangannya terhadap Dasar Ekonomi Baru
amatlah besar. Demikianlah kejayaan Amanah Saham
Nasional sehingga banyak Kerajaan asing yang
menghadapi masalah agihan kekayaan antara kaum atau
suku kaum yang tidak seimbang telah mengkaji sistem
Amanah Saham Nasional ini sebagai satu cara untuk
mengatasi masalah mereka.
6. Matlamat Dasar Ekonomi Baru belum tercapai
sepenuhnya tetapi keadaan sekarang tidaklah seburuk
keadaan semasa dasar tersebut dilancarkan lebih 25
tahun dahulu. Bersama-sama dengan pendekatan lain
yang dicipta oleh Kerajaan, keadaan tidak seimbang
antara kaum dalam bidang ekonomi telah banyak
dikurangkan. Demikianlah hari ini sudah ada
individu dan syarikat Bumiputera yang bukan sahaja
tidak lagi menjual saham yang diperuntukkan kepada
mereka, tetapi mereka sekarang mampu membeli saham-
saham yang tidak dikhaskan kepada mereka, bahkan ada
yang mampu membeli syarikat-syarikat milik bukan
Bumiputera. Hari ini ketidakseimbangan ekonomi
antara kaum di Malaysia tidak lagi ketara seperti
sebelum Dasar Ekonomi Baru, walaupun belum tercapai
peratusan yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi Baru.
Di masa yang sama kemiskinan di kalangan semua kaum
sudah dapat dikurangkan sehingga tinggal hanya 8.9
peratus sahaja.
7. Generasi yang terlibat dengan keadaan tidak
seimbang antara kaum sudah pun agak tua. Sekarang
generasi muda sudah mengambil alih dan mereka tidak
terpisah mengikut kaum seperti generasi tahun lima
puluhan atau enam puluhan. Tidaklah wajar keadaan
dahulu dibebankan ke atas generasi muda sekarang.
Layanan terhadap generasi muda daripada berbagai
kaum tidak seharusnya sama seperti generasi tua.
Lagi pun generasi muda sekarang lebih rapat dan
mereka bergerak bersama dalam berbagai-bagai bidang.
8. Sekali lagi perlu ditekankan bahawa keadaan ini
belum menyeluruh. Masih terdapat perpisahan antara
kaum yang mencerminkan keadaan tidak seimbang
mereka. Dengan itu kita belum lagi dapat menamatkan
Dasar Ekonomi Baru. Apa yang kita dapat buat ialah
memberi layanan yang tidak terlalu berbeza antara
belia daripada berbagai-bagai kaum.
9. Justeru itu, Kerajaan telah bersetuju supaya
Permodalan Nasional Berhad menubuh dan menguruskan
satu lagi saham amanah yang dikhaskan kepada
generasi muda daripada semua kaum, sama ada
Bumiputera atau bukan Bumiputera. Generasi ini akan
dewasa menjelang tahun 2020, iaitu tahun yang telah
kita cadangkan Malaysia mencapai taraf negara maju,
Insya-Allah.
10. Permodalan Nasional Berhad dan Amanah Saham
Nasional terbukti mampu memperbaiki keadaan yang
tidak sihat yang sering berlaku dalam mana-mana
masyarakat. Tidak ada masyarakat di dunia yang
tidak menghadapi ketidakadilan sosial dan ekonomi.
Oleh itu banyak cara-cara, bahkan ideologi yang
telah dicipta untuk mengatasi masalah ketidakadilan
dalam masyarakat. Komunisme dan Sosialisme adalah
antara pendekatan yang bertujuan mengimbangkan nasib
semua anggota masyarakat. `Affirmative Action' yang
telah dicuba di Amerika Syarikat juga adalah
bertujuan mengatasi masalah yang sama. Cukai-cukai
juga dicipta supaya perbezaan antara yang miskin dan
kaya dapat dikurangkan. Tetapi kebanyakan daripada
pendekatan-pendekatan ini telah gagal atau mencapai
kejayaan yang tidak memuaskan.
11. Komunisme dan Sosialisme bukan sahaja gagal
mengimbangkan nasib anggota masyarakat, tetapi ia
menyebabkan penindasan yang ketara dan akhirnya
kemiskinan bagi rakyat dan negara. Demikian juga
dengan `affirmative action' di Amerika Syarikat. Ia
gagal kerana rakyat yang berada tidak sanggup
membuat pengorbanan walaupun sedikit kononnya kerana
sebarang pengorbanan oleh mereka adalah tidak
demokratik. Demokrasi dianggap lebih penting
daripada usaha menghapuskan ketidakadilan yang nyata
berlaku dalam masyarakat berkenaan.
12. Cukai-cukai yang dikenakan kepada yang kaya
untuk menolong yang miskin dapat mengurangkan
sedikit keadaan tidak seimbang dan tidak adil dalam
pembahagian kekayaan dalam masyarakat. Tetapi di
Malaysia di mana keadaan yang tidak seimbang ini
bukan semata-mata antara yang miskin dan kaya,
tetapi antara kaum, cukai semata-mata tidak dapat
mewujudkan keadilan sosial dan ekonomi dalam
masyarakat. Oleh itu kita terpaksa cipta Dasar
Ekonomi Baru sebagai alat dan pendekatan yang
penting.
13. Keadaan yang terdapat sekarang dalam masyarakat
berbilang kaum di Malaysia adalah lebih adil dan
saksama daripada keadaan sebelumnya. Dasar Ekonomi
Baru jelas lebih berjaya daripada Komunisme dan
Sosialisme, daripada `affirmative action' di Amerika
Syarikat dan daripada sistem cukai pendapatan biasa.
Sudah tentu orang barat yang gagal memperbaiki
ketidakadilan sosial dan ekonomi dalam negara mereka
tidak akan akui kenyataan ini. Mereka akan memburuk-
burukkan Dasar Ekonomi Baru dan mengecamnya kerana
kononnya tidak adil dan tidak demokratik. Mereka
lebih rela melihat yang kaya menjadi lebih kaya dan
yang miskin terus merana, terutama jika yang miskin
ini terdiri daripada kaum atau kumpulan ethnik yang
lain yang mereka pandang hina kerana warna kulit dan
sebagainya.
14. Kejayaan Dasar Ekonomi Baru lebih mengkagumkan
kerana ia bukan sahaja dapat memperbaiki
ketidakadilan ekonomi di antara kaum di Malaysia
tetapi ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi di
negara ini. Sebenarnya pertumbuhan ekonomi semasa
Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan dan selepasnya
mencatat satu rekod dunia dengan mencapai lapan
peratus lebih tiap-tiap tahun. Sementara itu
inflasi tidak melambung naik sepertimana yang
diramalkan oleh pakar-pakar ekonomi.
15. Penggunaan saham amanah untuk mengagihkan
kekayaan negara secara lebih sama rata juga
menyumbang kepada pembangunan negara. Daripada
tabungan wang yang tinggi di Malaysia yang telah
meningkat kepada lebih daripada 30 peratus, 12
peratus adalah daripada saham-saham amanah. Angka
ini sukar dicapai oleh negara-negara lain termasuk
yang maju.
16. Tabungan yang besar ini mengurangkan kesan
defisit dalam imbangan pembayaran (balance of
payment deficit) yang dikatakan tinggi di negara
ini. Deficit imbangan pembayaran ini menjadi masalah
hanya jika tabungan adalah rendah. Ia tidak menjadi
masalah yang boleh meruntuhkan ekonomi negara kerana
tabungan kita besar. Ramalan kononnya Malaysia akan
turut menjadi seperti Mexico adalah tidak berasas
sama sekali dan nyata tidak berlaku kepada negara
ini. Pakar-pakar Ekonomi Barat yang dengan
sombongnya menyatakan pentadbiran ekonomi negara
kita sebagai 'noddy nomics" sebenarnya mendedahkan
kejahilan mereka. Mereka lupa bahawa negara mereka
berkali-kali menghadapi masalah ekonomi yang merosot
kerana Kerajaan mereka tidak cekap. Adakalanya
mereka bekerja hanya tiga hari seminggu kononnya
untuk memperbaiki ekonomi mereka. Adalah lebih baik
pakar-pakar ekonomi Barat ini menumpukan perhatian
untuk mengatasi masalah negara mereka daripada
memberi "gratuitous comments and advice" kepada
orang lain. Seperti kata pepatah Melayu "Jangan
jaga tepi kain orang" atau dalam bahasa Inggeris
"Mind the edge of your own sarong", or Mind your own
business.
17. Kita tidak sombong dengan kejayaan kita dan
kita tidak berkata tidak ada pelajaran yang boleh
kita pelajari daripada negara-negara lain. Sebab
itu kita adakan `Look East Policy' dan kita hantar
rakyat kita untuk mempelajari dan memeriksa cara-
cara masalah ditangani oleh negara dan bangsa asing.
Tetapi pemilihan hendaklah dibuat oleh kita sendiri
dan bukan dipaksa ke atas kita oleh orang yang
angkuh dan sombong yang berpendapat mereka lebih
tahu bagaimana mentadbir negara kita daripada kita
sendiri. Apakah mungkin Malaysia mencapai kemajuan
seperti sekarang jika kita masih ditadbir oleh
penjajah?
18. Sementara kita tidak perlu sombong, kita perlu
yakin akan kebolehan kita terutama dalam menangani
masalah negara kita. Permodalan Nasional Berhad,
Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera
adalah ciptaan kita dan kita boleh berbangga dengan
kejayaan pendekatan kita dalam menguruskan keadaan
tidak seimbang dalam negara kita. Dalam pada itu
kita jangan terlalu terikat dengan sesuatu
pendekatan walaupun ia berjaya. Jika keadaan sudah
berubah kita harus sanggup menukar pendekatan kita
supaya sesuai dengan keadaan. Sepertimana bila
berhadapan dengan masalah, kita tidak boleh teruskan
dengan cara lama, demikian juga setelah berjaya
mengatasi masalah, kita perlu menukar pendekatan
kita. Lampu di malam yang gelap gelita boleh
menyuluh jalan, tetapi lampu yang sama apabila sudah
siang dan terang benderang tidak dapat memainkan
peranan yang sama. Namun demikian kita tidak harus
campakkan lampu penyuluh kita semasa kita guna
penyuluh yang baru.
19. Oleh kerana Dasar Ekonomi Baru dan Permodalan
Nasional Berhad telah berjaya kita harus berani
mencipta pendekatan yang lain. Kita tidak akan
hapuskan alat yang begitu berkesan seperti Amanah
Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera tetapi
sudah tiba masanya kita cuba memperluaskan sedikit
liputan sistem saham amanah ini. Sebab itulah
Kerajaan bersetuju supaya Permodalan Nasional Berhad
menubuh dan menguruskan satu lagi saham amanah yang
terbuka kepada semua kaum tetapi terhad kepada
generasi muda. Ia bertujuan untuk merapatkan semua
kaum menjelang 2020. Keluarga Skim Amanah Wawasan
2020 akan mempunyai `stake' yang sama bukan sahaja
dalam kejayaan Skim Amanah tetapi juga dalam
kestabilan dan kemakmuran negara ini. Perdagangan
berjaya bukan sahaja kerana kecekapan pengurusannya
tetapi tertakluk kepada iklim persekitarannya. Jika
hari ini banyak syarikat di Malaysia berjaya dan
mencapai keuntungan yang luar biasa, sebabnya ialah
kerana iklim perdagangan di Malaysia membantu
kejayaan perdagangan. Keluarga Skim Amanah harus
sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh iklim
yang tersebut dan dengan itu menolong mengekalkan
iklim ini. Dengan itu lebih mungkin kita mencapai
Wawasan 2020.
20. Inilah sebabnya kita tubuhkan Skim Amanah Saham
Wawasan 2020 atau Skim ASW 2020. Dengan harapan
bahawa Skim ini akan berjaya, saya dengan
sukacitanya melancarkan Skim ini dengan rasminya.
|