home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MENARA PGRM, JALAN PUDU ULU, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/09/96 
Tajuk/Title  	: 	MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG PARTI 
			PROGRESIF PENDUDUK MALAYSIA 
			(PPP)(BARU) 



     1.    Saya  mengucapkan terima  kasih  kepada  Parti
    Progresif  Penduduk Malaysia atau PPP (Baru)  kerana
    sudi   menjemput  saya  untuk  merasmikan  mesyuarat
    agungnya  hari ini.  Sesungguhnya jemputan ini  amat
    besar  ertinya kepada saya bukan kerana saya  selaku
    Pengerusi  Barisan Nasional ataupun Perdana  Menteri
    tetapi  kerana  kepercayaan tinggi  yang  diletakkan
    kepada  perikatan  parti kita atau `alliance'  dalam
    Barisan Nasional.
    
    2.    Barisan Nasional yang dulu kita kenali sebagai
    `Perikatan' kini sudah semakin matang dan  bertambah
    kuat   dari   sehari   ke  sehari.    Tiga   anggota
    komponennya  yang  menjadi  parti  pengasas   kepada
    penubuhan  `Perikatan'  iaitu  UMNO,  MCA  dan  MIC,
    masing-masing  sudahpun berusia  kira-kira  setengah
    abad.   Usia  ketiga-tiga parti komponen ini  adalah
    lebih  tua  daripada  usia  negara  kita  yang  baru
    menyambut  ulangtahun  kemerdekaannya  yang  ke   39
    tahun.
    
    3.   Betapa ketiga-tiga parti politik ini yang jelas
    mewakili kaum masing-masing, iaitu Melayu, Cina  dan
    India,  dapat  wujud bersama dan  bekerjasama  dalam
    politik   berbilang  kaum  dan  dengan   itu   dapat
    membangun  dan  memajukan negara sehingga  hari  ini
    adalah sesuatu yang menakjubkan.  Ketiga-tiga  parti
    politik ini yang sudah dapat bekerjasama dari  sejak
    1952  lagi  adalah satu testimoni rakyat negara  ini
    dapat  bersatu dalam kepelbagaian rupa  kulit,  asal
    keturunan, bahasa, budaya dan agama.  Mereka bersama-
    sama  dapat  berdepan dan mengharungi  segala  macam
    halangan,  cabaran  dan  dugaan  dalam  membangunkan
    negara kita dengan jayanya.
    
    4.    Kewibawaan  yang ditunjukkan oleh  ketiga-tiga
    parti  politik  kaum ini sejak sebelum  merdeka  dan
    selepas itu, telah menarik minat parti-parti politik
    lain    untuk    menyertai    `Perikatan'.     Dasar
    bermesyuarah dan saling faham memahami  antara  satu
    sama  lain  serta hormat menghormati dalam perikatan
    itu    begitu    menyenangkan    parti-parti    yang
    menganggotai  `Perikatan'.  Masing-masing  merasakan
    yang   ianya  diberi  dan  mempunyai  tempat   dalam
    perikatan   tanpa  mengira  samada  partinya   besar
    ataupun  kecil.   Semua anggota diberikan  kedudukan
    dan  taraf  yang  sama  daripada  segi  layanan  dan
    pandangan   mereka.   Inilah  keistimewaan   Barisan
    Nasional.
    
    5.    `Perikatan' semakin lama semakin  popular  dan
    diminati  oleh  parti-parti politik yang  lama  atau
    baru.  Parti politik yang pernah menjadi pembangkang
    kuat kepada `Perikatan' atau `Barisan Nasional' dulu
    turut   menjadi   anggota   komponen.    Yang   baru
    ditubuhkan juga ingin menyertai barisan kita.   Yang
    serpih dan berpecah-belah dulu pun ingin bersama dan
    bersatu kembali di bawah naungan Barisan Nasional.
    
    6.    Parti-parti  politik dari  negeri-negeri  lain
    seperti  Sabah  dan Sarawak turut menyertai  Barisan
    Nasional kerana kepercayaan mereka terhadap  Barisan
    Nasional  yang mampu memberi keadilan  kepada  semua
    rakyat  tanpa mengira di mana mereka berada daripada
    segi   pembangunan.   Perikatan  ini   lama-kelamaan
    semakin   membesar  dan  kemudian  dikenali  sebagai
    `Barisan  Nasional'.   Ia berkembang  sesuai  dengan
    pertambahan  keanggotaannya  dan  berubah   mengikut
    peredaran masa.
    
    7.    Inilah  Barisan  Nasional yang  ada  sekarang,
    semakin  berkembang, mantap dan  maju.   Kekuatannya
    adalah  kerana  dokongan setiap anggota  komponennya
    dan  kepercayaan yang diletakkan kepada prinsip  dan
    asas perjuangan Barisan Nasional.  Keunikannya ialah
    kebebasan  diberikan kepada semua  anggota  komponen
    untuk  menyuarakan  pendapat atau  pandangan  mereka
    terhadap  sesuatu agenda, isu atau masalah.   Mereka
    bebas  melahirkan  sokongan atau  bangkangan  mereka
    terhadap  apa-apa  perkara yang  dibangkitkan  dalam
    mesyuarat-mesyuarat  tertinggi   Barisan   Nasional.
    Hanya  yang dikehendaki ialah semua anggota  Barisan
    Nasional merapatkan barisan dan mempertahan apa yang
    telah dipersetujui bersama.
    
    8.   Jika terdapat percanggahan pendapat yang ketara
    di  kalangan  anggota komponen, satu konsensus  akan
    dicari  untuk  menyelesaikan masalah  itu.   Barisan
    Nasional   mengamalkan   demokrasi   tulen.     Jika
    konsensus  tidak dapat dicapai maka  suara  majoriti
    dijadikan  pendirian Barisan Nasional.  Namun  suara
    majoriti   tetap   mengambilkira  pendapat   anggota
    Barisan Nasional.
    
    9.    Cara  ini  dapat  mengelakkan  masalah-masalah
    dalaman atau yang melibatkan anggota komponen secara
    langsung   atau  yang  boleh  menjejaskan  kedudukan
    mereka  sebagai parti politik, daripada diselesaikan
    di  luar  Barisan Nasional.  Justeru  itu,  anggota-
    anggota  komponen Barisan Nasional  tidak  kelihatan
    bercakaran  atau  saling tuduh menuduh  di  khalayak
    ramai apabila mereka mempunyai pendapat yang berbeza
    dalam apa juga perkara.
    
    10.   Perkara  ini kerap berlaku di kalangan  parti-
    parti  pembangkang  yang  sering  menggunakan  media
    untuk menghentam sesama mereka.  Baru-baru ini  kita
    lihat  bagaimana  satu perikatan pembangkang  saling
    tuduh-menuduh dan kecam-mengecam di antara satu sama
    lain  hingga berlaku perpecahan.  Mereka mendedahkan
    keburukan  diri  masing-masing, seperti  kata  orang
    Inggeris "washing dirty linens in public".
    
    11.   Inilah  yang  kita tidak  mahu  lihat  berlaku
    kepada Barisan Nasional.  Kita tidak mahu kerana ada
    sebuah parti komponen tidak puashati tentang sesuatu
    perkara   atau   tidak  bersetuju  dengan   pendapat
    majoriti, ia pergi ke khalayak ramai yang tidak  ada
    hubungan    kait    dengannya    untuk    menyatakan
    pendiriannya  dan cuba mendapatkan   sokongan   atau
    simpati.   Tindakan  sedemikian  bukan  sahaja  akan
    menjejaskan  imej  baik  Barisan  Nasional   sebagai
    tunggak  Kerajaan  bahkan akan merosakkan  perpaduan
    kita.
    
    12.   Penyelesaian atau perbincangan apa-apa masalah
    yang  melibatkan  keluarga anggota  komponen  secara
    dalaman  akan  dapat menghalang orang luar  daripada
    terseret  masuk  atau  campur  tangan  dalam  urusan
    Barisan Nasional.  Sudah banyak perkara yang menjadi
    `duri' dalam hubungan kita telah diselesaikan dengan
    baik tanpa perlu kita heboh kepada dunia luar.  Soal
    bahasa, hak bumiputera, hak bukan bumiputera,  agama
    dan politik yang sering menjadi bahan sensitif kaum-
    kaum di negara ini selalu dibincangkan dalam suasana
    yang penuh persefahaman dalam Barisan Nasional.
    
    13.    Pendekatan  ini  membawa  kepada   kestabilan
    politik  yang membolehkan negara kita bangun  dengan
    pesat.  Daripada  pembangunan yang  pesat  ini  kita
    semua  mendapat faedah.  Sebaliknya jika  kestabilan
    politik tidak ada, pembangunan tidak akan dihasilkan
    dan siapa pun, termasuk yang menuntut hak tidak akan
    mendapat  apa-apa.  Adalah lebih menguntungkan  jika
    kita  dapat sebahagian daripada hasil kejayaan  yang
    tinggi  daripada kita mendapat 100 peratus  daripada
    kegagalan  negara.  `Twenty percent of a  successful
    enterprise  is better than 100 percent of  one  that
    fails.'
    
    14.   Saya  berpendapat bahawa mana-mana parti  yang
    menjadi  anggota  komponen  Barisan  Nasional  sudah
    tentu   memahami  konsep  atau  falsafah  perjuangan
    Barisan Nasional, iaitu kita bergerak atau bertindak
    secara  berpasukan, as a `team'.  Jika  konsep  atau
    falsafah  ini  tidak boleh diterima, eloklah  jangan
    menyertai Barisan Nasional.
    
    15.     Oleh    yang   demikian,   adalah    menjadi
    tanggungjawab setiap parti komponen Barisan Nasional
    dan  ahli-ahli parti mereka menjaga nama baik ikatan
    dan  perpaduan  anggota parti kita.  Kita  hendaklah
    sentiasa bertindak `in unison' dalam menangani  apa-
    apa masalah atau dalam membuat apa-apa keputusan.
    
    16.  Saya gembira mendapati Parti Progresif Penduduk
    Malaysia  atau  PPP (Baru) semakin berkembang  maju.
    PPP  (Baru)  ternyata  menjalankan  tanggungjawabnya
    dengan  berkesan sebagai salah sebuah parti komponen
    Barisan  Nasional  yang prihatin  terhadap  masalah-
    masalah rakyat.
    
    17.     Dengan  kesedaran  bahawa  keutuhan  Barisan
    Nasional  bergantung  pada kebijaksanaan,  ketaatan,
    disiplin  dan wawasan setiap anggota parti  komponen
    dan   ahli-ahlinya,  saya  dengan   ini   merasmikan
    mesyuarat agung Parti Progresif Penduduk Malaysia.

 
 



 
Google