Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MENARA PGRM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 05/10/96
Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
PERWAKILAN KE-25 PARTI GERAKAN
RAKYAT MALAYSIA
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
Gerakan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dan ahli-ahli
Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk
merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang ke-25
pada hari ini. Penghormatan yang diberikan kepada
saya ini mencerminkan semangat kerjasama rapat yang
wujud dalam Barisan Nasional. Kadangkala orang luar
berasa hairan bagaimana parti-parti yang bergabung
dalam Barisan Nasional yang mewakili berbagai-bagai
kaum dan kepentingan boleh bekerjasama. Inilah
keunikan sistem politik kita yang hanya kita sahaja
yang dapat memahami dan menghargainya. Sebenarnya
semangat kerjasama di kalangan parti-parti komponen
BN inilah yang telah menjadi teras utama kekuatan
dan kejayaan Barisan Nasional.
2. Bahawa BN telah dapat bertahan begitu lama
ialah kerana konsep yang didokong oleh BN jelas
menguntungkan penduduk dan negara dan dapat diterima
oleh majoriti rakyat. BN mengutamakan kerjasama,
kesederhanaan atau `moderation', persamaan (equity)
dan tolak-ansur. Setiap parti dalam BN sentiasa
bekerjasama rapat dan sedia bertolak-ansur dalam
menangani sesuatu isu atau masalah. Pemimpin-
pemimpinnya terdiri daripada mereka yang sederhana,
tidak ekstrim dan semua parti dalam BN, tidak kira
kecil atau besar, mempunyai suara yang sama dalam
Majlis Tertinggi BN.
3. Dengan lebih mementingkan kepentingan negara
daripada kepentingan mana-mana kaum atau parti,
banyak masalah telah dapat diatasi. Inilah antara
kelebihan rakyat berbilang kaum di Malaysia, iaitu
kesanggupan meletak kepentingan negara lebih tinggi
daripada kepentingan-kepentingan lain.
4. Kita tahu bahawa dalam negara yang mempunyai
penduduk daripada satu kaum pun terdapat banyak
masalah kerana ideologi atau kefahaman tentang dasar
dan cara mentadbir atau kerana kesetiaan kepada
kelas atau pemimpin, apatah lagi negara yang
penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai kaum,
agama, bahasa dan budaya. Dalam negara berbilang
kaum sudah tentulah kepentingan-kepentingan kaum
yang ditokok dengan agama, bahasa dan budaya akan
menggugat perpaduan dan kestabilan. Kita bersyukur
bahawa di Malaysia ini tidak berlaku kerana semua
kaum sedia mengenepikan kepentingan kaum masing-
masing demi mengutamakan kepentingan bangsa Malaysia
dan negara Malaysia. Rakyat sedar bahawa dengan
mengutamakan kepentingan negara, matlamat yang lebih
besar, iaitu keharmonian kaum dan kestabilan negara
boleh tercapai. Rakyat sedar bahawa hanya negara
yang stabil di mana rakyat berbilang kaum hidup
dalam harmoni sahaja yang dapat membangun, maju dan
makmur. Adalah lebih baik mendapat sebahagian
daripada nikmat negara yang makmur daripada mendapat
100 peratus daripada negara yang kucar-kacir, miskin
dan merosot sepanjang masa.
5. Pada hari ini Malaysia bukan sahaja mengalami
kestabilan politik, bahkan pertumbuhan ekonomi yang
tinggi. Pertumbuhan yang pesat ini membolehkan
rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang tinggi
kerana terdapat banyak peluang bekerja dan berniaga.
Demikianlah jayanya ekonomi negara ini sehingga
peluang kerja dan peluang berniaga lebih banyak
daripada bilangan pekerja dan kemampuan peniaga
kita. Tidak banyak negara membangun yang lain yang
diserang dengan masalah kejayaan seperti Malaysia.
6. Dengan mengutamakan kepentingan negara tidaklah
bermakna bahawa kepentingan kaum diketepikan begitu
sahaja. Ahli-ahli parti komponen BN tetap mempunyai
saluran untuk menyuarakan masalah-masalah yang
dihadapi oleh kaum mereka. Kita tidak menyekat mana-
mana kaum yang hendak menyuarakan masalah-masalah
atau rasa tidak puas hati mereka. Mereka tetap
boleh menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dan
membangkitkan masalah kaum mereka di Parlimen, Dewan
Undangan Negeri dan Persidangan Perwakilan parti
masing-masing. Tetapi kita sentiasa mengambilkira
sensitiviti kaum-kaum lain.
7. Pemimpin-pemimpin parti komponen BN seperti
Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, Dato' Seri Dr. Ling
Liong Sik dan Dato' Seri S. Samy Vellu juga turut
menyuarakan masalah-masalah dan rasa tidak puas hati
yang dikemukakan oleh ahli-ahli parti masing-masing
dalam mesyuarat Kabinet dan Majlis Tertinggi Barisan
Nasional. Kami pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan dan
Majlis Tertinggi BN sama-sama berbincang dan
mengkaji masalah-masalah yang dihadapi oleh berbagai-
bagai kaum di negara ini. Kami berterus-terang
dalam menyuarakan pendapat kami. Mana-mana perkara
yang difikirkan munasabah dan tidak sensitif kepada
mana-mana kaum kita pertimbangkan dan bersetuju
melaksanakannya. Tetapi akhirnya kepentingan negara
mesti melebihi kepentingan-kepentingan lain.
8. Sebenarnya bukanlah mudah untuk memenuhi semua
kehendak mana-mana kaum. Tetapi pemimpin-pemimpin
Kerajaan dan BN terpaksa pragmatik dan rasional.
Kami terpaksa melihat isu-isu perkauman daripada
perspektif yang lebih luas. Jika kepentingan kaum
itu tidak menjejaskan kepentingan negara isu-isu
yang dibawa kepada pemimpin-pemimpin BN akan
dipertimbangkan. Biasanya terdapat semangat tolak-
ansur dan kompromi dalam mengatasi masalah-masalah
kaum. Kita cuba mengelak daripada menimbulkan
perkara-perkara yang sensitif `in the open'.
Bayangkan keadaan yang akan wujud jika tiap-tiap
kaum membuat tuntutan yang bersifat perkauman tanpa
mengambilkira sensitiviti kaum lain. Keadaan huru-
hara mungkin tercetus. Namun kita tidak "sweep the
problems under the carpet". Tetapi setelah kita
memutuskan sesuatu semua pihak dalam BN perlu
mematuhinya. Begitu juga dengan dasar-dasar yang
telah kita persetujui. Tidak harus ada pihak dalam
BN yang patut tidak menyokongnya. Ini penting demi
menentukan BN berkesan dan berwibawa sebagai sebuah
parti politik.
9. Memanglah mudah bagi mana-mana pemimpin untuk
menjadi popular dengan hanya membangkitkan perkara-
perkara yang bersifat perkauman. Tetapi pemimpin-
pemimpin seperti ini yang hanya mementingkan
kepentingan peribadi tidak kekal lama. Mereka tidak
memikirkan implikasi dan kesan yang lebih luas yang
mereka timbulkan, seperti ancaman terhadap
keharmonian kaum dan kestabilan negara. Jika huru-
hara tercetus dalam negara kita kecekapan berniaga
tidak akan mendatang apa-apa keuntungan.
10. Kita bernasib baik kerana mempunyai pemimpin-
pemimpin dalam Kerajaan dan Barisan Nasional yang
pragmatik, rasional, sederhana, tidak ekstrim,
bertanggungjawab dan sentiasa mementingkan
kepentingan negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Tan
Cheng Lock, Tun Sambanthan, Tun Abdul Razak, Tun
Hussein Onn, Tun Tan Siew Sin dan Tan Sri
Manikavasagam adalah antara bekas pemimpin-pemimpin
negara ini yang mempunyai sifat-sifat kepimpinan
yang senang diterima oleh rakyat berbilang kaum.
Mereka adalah contoh yang baik untuk diikuti oleh
rakyat Malaysia yang ingin menjadi pemimpin negara
ini. Saya yakin jika rakyat terus memilih pemimpin-
pemimpin yang pragmatik, rasional, `moderate',
bertanggungjawab dan meletak kepentingan negara di
atas segala-galanya, negara kita akan terus stabil,
maju dan makmur.
11. Semasa saya merasmikan Persidangan Perwakilan
Parti Gerakan tahun lalu kita baharu sahaja
merayakan kemenangan cemerlang BN dalam pilihanraya
umum 1995. Walaupun pilihanraya umum akan datang
masih jauh lagi ini tidak bermakna parti-parti
komponen BN tidak berfungsi dan dengan itu boleh
`relax' sahaja. Mungkin bagi sesetengah orang, parti
ditubuhkan untuk bertanding dalam pilihanraya
sahaja. Bagi BN parti tidak ditubuhkan untuk
pilihanraya sahaja. Matlamat kita adalah lebih luas
daripada itu, iaitu untuk membawa pembangunan,
kemajuan, kemakmuran dan kestabilan kepada negara
dan rakyat. BN adalah parti yang berkhidmat
sepanjang masa.
12. Oleh itu, banyak yang boleh kita lakukan. Di
samping mengukuhkan kedudukan parti, parti-parti
komponen boleh membantu Kerajaan meningkatkan
kesedaran dan kefahaman rakyat, terutama anggota-
anggota parti, tentang pentingnya projek-projek
tertentu dan dasar-dasar Kerajaan seperti melawan
inflasi dan sebagainya.
13. Seperti yang kita sedia maklum, hasrat kita
untuk menjadi negara maju menjelang 2020 bukan lagi
merupakan satu mimpi atau khayalan. Proses kearah
itu sedang berjalan dengan baik dan kita yakin kita
akan berjaya dengan cita-cita kita itu, Insya-Allah.
Yang penting ialah rakyat hendaklah terus memberi
sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan di samping
terus berusaha dengan gigih. Di sinilah parti-parti
komponen BN boleh memainkan peranan mereka. Parti-
parti komponen BN boleh menerangkan usaha-usaha yang
dijalankan oleh Kerajaan dan peranan-peranan yang
perlu dimainkan oleh rakyat seperti meningkatkan
kecekapan, produktiviti dan kemahiran.
14. Negara juga sedang memberi perhatian berat
kepada industri teknologi maklumat, termasuk multi-
media. Dalam `information age' di mana `information
is power' kita tidak boleh mengenepikan perkembangan
terbaru yang sedang berlaku di hadapan kita. Dalam
zaman di mana siapa yang memiliki maklumat dan
menganalisanya dengan pantas akan memiliki kelebihan
atau `advantage' dalam apa juga bidang, terutama
pelaburan, kita tidak boleh menjadi pemerhati
sahaja. Kita juga perlu sama melibatkan diri jika
kita tidak mahu ditinggalkan zaman.
15. Itulah sebabnya kita telah menubuhkan Koridor
Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC)
untuk menarik syarikat-syarikat multi-media dan
teknologi maklumat mendirikan industri mereka di
situ.
16. Usaha kita untuk menjayakan MSC ini adalah satu
usaha yang besar yang memerlukan sokongan semua
golongan rakyat. Ianya adalah antara usaha-usaha
kita untuk menentukan negara kita akan terus maju
sehingga menjadi negara yang maju.
17. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita
dalam BN menentukan rakyat benar-benar faham akan
usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh Kerajaan.
Dengan penerangan dan penjelasan yang betul daripada
kita, rakyat akan lebih memahami usaha-usaha
Kerajaan dan dengan itu akan memberi kerjasama dan
sokongan sepenuhnya. Dengan cara ini kita juga akan
mematah sebarang cubaan oleh pihak-pihak tertentu
untuk mempengaruhi rakyat supaya menentang projek-
projek dan dasar-dasar Kerajaan.
18. Sebagai sebuah parti komponen BN yang penting,
Gerakan telah turut sama memainkan peranan utama dan
menyumbang kepada kemajuan dan kestabilan negara.
Barisan Nasional telah membuktikan bahawa ia bukan
sahaja berupaya dan mampu memerintah negara dengan
cekap dan berkesan tetapi juga dengan adil dan
saksama. Bahawa Malaysia kini stabil, maju dan
makmur adalah kerana konsep yang didokong oleh
Barisan Nasional adalah sesuai dan menepati citarasa
dan keperluan semua kaum.
19. Dengan harapan ahli-ahli Gerakan akan terus
menyumbang ke arah mengukuhkan lagi Barisan Nasional
demi perpaduan, kemajuan dan kestabilan negara, saya
dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan
Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang ke-25.
|