Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/10/96
Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
REKABENTUK MALAYSIA `96, PELANCARAN
`MALAYSIA GOOD DESIGN MARK' DAN
PENYAMPAIAN ANUGERAH PEREKA MUDA
MALAYSIA `96
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Majlis
Rekabentuk Malaysia (MRM) kerana menjemput saya
untuk merasmikan Persidangan Rekabentuk Malaysia '96
dan melancarkan `Malaysia Good Design Mark' serta
menyampaikan Anugerah Pereka Muda Malaysia hari ini.
Persidangan yang pertama kalinya diadakan di
peringkat nasional ini akan dapat menggalak dan
mempertingkatkan usaha-usaha rekabentuk di Malaysia.
Ianya juga tepat pada masanya kerana negara kita
sedang menuju ke arah sebuah negara perindustrian
sepenuhnya menjelang tahun 2020.
2. Persidangan yang bertemakan `Rekabentuk
Penggerak Perindustrian' ini berjaya menyatukan
pihak industri, para pereka, para usahawan dan pihak
pendidik dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat
terhadap pentingnya peranan rekabentuk di samping
mengkaji peranan pihak-pihak yang terlibat dalam
meningkatkan kualiti rekabentuk dalam pengeluaran
produk dan melahirkan pereka yang dapat memenuhi
keperluan pihak industri dan masyarakat secara
khusus. Pelancaran `Malaysia Good Design Mark' pula
merupakan satu lagi langkah yang mencabar
profesionalisma para pereka bentuk dan pihak
industri dalam memenuhi standard rekabentuk Malaysia
dan melihat sejauh mana keupayaan Malaysia dalam
menghasilkan rekabentuk berkualiti serta berdaya
saing. Saya juga difahamkan, Anugerah Pereka Muda
Malaysia `96 merupakan yang pertama diadakan dalam
usaha mengiktiraf keupayaan merekabentuk oleh para
pereka tempatan.
3. Sejak Malaysia memasuki bidang perindustrian
pergantungan ekonomi kita pada sektor komoditi
beralih cepat kepada sektor pengeluaran barangan
buatan untuk pasaran tempatan dan eksport.
Bagaimanapun untuk terus kekal dalam pasaran dan
meningkatkan kedudukan Malaysia di pasaran
antarabangsa, kita perlu perluas dan bangunkan
keupayaan kita seperti dalam teknologi pembuatan,
pemasaran, rekacipta dan rekabentuk. Kesedaran
pihak industri dan institusi pendidikan sekarang
terhadap pentingnya rekabentuk akan membantu
mempercepatkan proses pencapaian kita. Ini ialah
kerana rekabentuk produk memainkan peranan yang
besar dalam meningkatkan kegemaran kepada produk
dalam pasaran dalam dan luar negara. Jika kita
perhatikan semua produk yang dipasarkan bukan sahaja
meningkat daripada segi teknologi dan kualiti,
tetapi bentuk juga bertukar, kadang-kadang pada tiap-
tiap tahun. Bagi produk yang lebih kurang sama
daripada segi teknologi, kualiti dan harga,
rekabentuk menentukan penerimaan dan populariti
dalam pasaran.
4. Justeru itu, penekanan kepada penyelidikan dan
pembangunan rekabentuk perlu dibuat dengan
sewajarnya oleh pihak industri dan institusi
penyelidikan dan pendidikan supaya kita dapat
menghasilkan rekabentuk produk tempatan yang
bermutu.
5. Rekabentuk sesuatu produk mempunyai aliran atau
trend tertentu. Trend ini kadang-kadang berubah
hampir tiap-tiap tahun. Mungkin juga kita boleh
mencipta rekabentuk kita yang tersendiri yang
berlainan daripada trend semasa. Tetapi ini
mempunyai risikonya, melainkan jika kita sudah jadi
`market leader' yang dapat `set the trend'. Hari
ini negara kita masih dalam fasa awal dan belum ada
produk yang kita keluarkan diterima sebagai `market
leader'. Justeru itu, amatlah penting kita kaji
trend rekabentuk untuk produk yang kita keluarkan,
terutama jika kita ingin mengeksport produk ini ke
pasaran dunia.
6. Ini tidak bermakna kita tidak dapat mengadakan
identiti kita sendiri. Kita boleh perkenalkan
identiti kita dengan jenama dan ciri tertentu yang
membezakan sedikit rupa bentuk kita daripada yang
lain. Tetapi jika perbezaan ini terlalu radikal,
pasaran terutama pasaran antarabangsa mungkin sukar
menerimanya. Pereka mestilah sedar akan aliran
dalam pasaran dunia semasa mencipta rekabentuk
produk kita.
7. Rekabentuk tidak harus terhad kepada produk
semata-mata. Bagi sesetengah produk rekabentuk
bungkusan juga perlu menarik. Harus diingat bahawa
bungkusan adalah item pertama yang menarik perhatian
pembeli. Untuk barangan mewah seperti pen dan jam,
bungkusan yang tinggi mutunya, walaupun mahal, akan
menjadi amat menarik, terutama jika barangan
berkenaan sesuai untuk hadiah.
8. Produk dari Malaysia tidak harus terhad kepada
barangan yang dibuat daripada bahan-bahan tempatan
seperti getah, kayu atau timah. Kita harus mampu
mengimport bahan mentah dari luar negeri untuk
diproses menjadi barang pengguna (consumer goods)
bagi kegunaan dalam negeri dan lebih penting
daripada itu untuk dieksport secara besar-besaran.
Negara Jepun yang miskin daripada segi sumber alam
berjaya menjadi pengeluar dan pengeksport yang besar
dengan mengimport bahan-bahan tertentu, menambahkan
nilai dengan memproses bahan-bahan tersebut menjadi
barangan buatan dan mengeksportkannya. Kita tahu
bagaimana Jepun menjadi negara maju melalui eksport
barangan buatan yang begitu tinggi nilai
ditambahnya.
9. Barangan buatan Jepun pada mulanya terkenal
kerana murah, tetapi berkualiti rendah. Tetapi
mereka telah mengubah strategi untuk mengeluar
barangan yang tinggi mutunya dan mempunyai
rekabentuk yang amat menarik, iaitu sesuai dengan
selera pembeli di pasaran-pasaran tertentu. Mereka
tidak mengutamakan selera mereka sendiri untuk
barangan eksport. Kejayaan pendekatan Jepun ini
jelas dilihat.
10. Seperti dengan negara Jepun, Malaysia
bergantung kepada eksport untuk menjayakan
ekonominya. Pasaran dalam negeri adalah terlalu
kecil untuk membantu pembangunan ekonomi negara ini.
Justeru itu, kita perlu mengambil kira selera
pasaran luar jika kita ingin eksport untuk membantu
pertumbuhan ekonomi kita. Pasaran dunia yang
terbesar terdapat di Eropah dan Amerika Utara. Dan
pasaran-pasaran ini amat sensitif terhadap
rekabentuk produk. Jika rekabentuk tidak menarik
mereka akan menolak barangan berkenaan walaupun
harganya murah dan kualitinya baik. Bahawa kita
mampu mengeluarkan barangan yang berkualiti tinggi
yang mudah diterima oleh pasaran luar adalah jelas
daripada begitu banyak barangan dengan jenama
terkenal yang dibuat di Malaysia yang dijual di
Eropah dan Amerika.
11. Di sini jelaslah betapa pentingnya kita
mengikuti aliran atau trend rekabentuk di pasaran-
pasaran berkenaan. Institusi-institusi latihan,
badan-badan yang terlibat dengan rekabentuk, dengan
penentuan standard, penyelidikan dan pembangunan
seperti NATIONAL CAD/CAM CENTRE, SIRIM RAPID
PROTOTYPING SERVICE dan Persatuan Senireka
Perindustrian Malaysia (MIDS) perlu sedar akan
hakikat ini, perlu menyelidik dan mendapat maklumat
tentang trend rekabentuk yang terkini dan perlu
menyampaikan maklumat yang diperlukan oleh pereka
kita dan industri kita. Dengan itu baharulah dapat
kita menjamin penerimaan barangan buatan kita di
pasaran dunia.
12. Kita juga perlu ingat bahawa rekabentuk banyak
bergantung kepada aprisiasi atau kebolehan menilai
kecantikan atau keindahan. Aprisiasi kecantikan
atau keindahan mungkin sifat yang semulajadi bagi
sesetengah daripada kita. Tetapi kebolehan menilai
sesuatu, sama ada kecantikan, keindahan, kesedapan
atau kelazatan makanan atau bunyi-bunyian boleh
dipupuk melalui didikan. Seperti juga dengan ilmu
lain, pemupukan aprisiasi sesuatu mungkin mengambil
masa, tetapi lama-kelamaan seseorang boleh mengenal
dan menilai tahap kecantikan atau keindahan sesuatu.
13. Yang menjadi masalah ialah aprisiasi ini
berbeza mengikut budaya sesuatu bangsa. Kadang-
kadang apa yang dianggap cantik oleh satu bangsa
dianggap hodoh oleh bangsa lain. Ini menjadi
masalah kepada pereka rekabentuk apabila cuba
melayan selera bangsa-bangsa tertentu. Demikian
sementara warna-warna yang keras dan tua disukai
oleh satu bangsa, bangsa yang lain pula lebih suka
warna-warna yang lembut. Pereka rekabentuk harus
tahu dan faham selera pasaran dimana produk yang
berkenaan hendak dipasarkan. Jika selera budaya
tertentu tidak diambil berat maka rekabentuk mungkin
tidak menarik dan pemasaran akan gagal.
14. Perwujudan `Malaysia Good Design Mark' saya
percaya akan menolong menaikkan kualiti rekabentuk
kita. Demikian juga `Anugerah Pereka Muda Malaysia
'96' akan menggalakkan kefahaman dan prestasi
rekabentuk di kalangan pereka kita. Saya yakin
dengan usaha-usaha ini kita akan berjaya
mengeluarkan barangan yang mempunyai rekabentuk yang
akan diterima oleh semua pasaran di dunia.
15. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Rekabentuk Malaysia 1996.
|