Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21/10/96
Tajuk/Title : MAJLIS MALAM WARTAWAN MALAYSIA 1996
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Institut
Akhbar Malaysia kerana menjemput saya hadir di
Majlis Malam Wartawan 1996 pada malam ini. Kali
terakhir saya hadir di Majlis Malam Wartawan ialah
pada tahun 1990. Walaupun saya kerap ditemui oleh
wartawan, saya gembira dapat bertemu dengan begitu
ramai sekali wartawan Malaysia, termasuk boss-boss
mereka, pada malam ini.
2. Dunia kewartawanan telah mengalami perubahan
pesat dan kebanyakan perubahan ini telah memberi
faedah kepada industri media tempatan. Penggunaan
komputer menggantikan typewriter dan penghantaran
berita dengan pantas melalui telefon yang
di`connect' ke `personal computer' dan tidak lagi
melalui telex atau fax adalah antara pembaharuan
dalam industri media kita. Kini dengan kemunculan
teknologi maklumat yang lebih canggih, termasuk
Internet, peranan yang dimainkan oleh akhbar dan
wartawan sudah pasti menjadi lebih mencabar.
Sepertimana di masa yang lepas saya yakin akhbar
tempatan akan terus berjaya membuat pengubahsuaian
yang perlu bagi menghadapi cabaran-cabaran dalam era
tekonologi maklumat ini.
3. Kita semua tahu bahawa akhbar mempunyai kuasa.
Ungkapan bahawa `the pen is mightier than the sword'
masih benar di zaman ini, bahkan lebih dari dahulu
kerana dahulu ramai yang buta huruf dan tidak mudah
dipengaruhi oleh apa yang ditulis. Tetapi hari ini
maklumat dan pandangan melalui berbagai-bagai media
menembusi setiap keluarga dan individu dengan lebih
berkesan. Tiada siapa yang dapat membebaskan diri
daripada apa yang ditulis dengan pen elektronik 24
jam sehari. Dengan itu, kuasa media sekarang adalah
lebih besar dan lebih menyeluruh.
4. Sebagai sebuah demokrasi kita ingin mengamal
kebebasan berucap dan kebebasan persuratkhabaran.
Untuk ini kita perlu kepada masyarakat yang ideal,
yang tahu mengawal diri, yang sentiasa mengamal yang
ma'aruf dan menolak yang mungkar. Tetapi masyarakat
yang ideal tidak terdapat di mana-mana dalam dunia.
Sebab itu semua masyarakat perlu kepada undang-
undang yang sedikit sebanyak menyekat kebebasan
anggotanya.
5. Tujuan undang-undang ialah supaya mereka yang
melakukan sesuatu yang mengancam kestabilan
masyarakat akan didera dengan hukum-hukum tertentu.
Bermacam-macam hukuman dicipta oleh masyarakat
manusia yang difikirkan setimpal dengan jenayah yang
dilakukan. Ada yang ringan seperti amaran sahaja
dan ada yang berat seperti hukuman bunuh. Tetapi
masyarakat manusia tidak pernah bebas daripada
jenayah kerana adanya undang-undang dan hukuman.
Walaupun hukuman bunuh wujud bagi jenayah tertentu,
masih ada juga anggota masyarakat yang akan
melakukan jenayah yang jika didapati bersalah akan
dikenakan hukuman ini.
6. Mungkin kita berkata bahawa hukuman-hukuman
tertentu tidak berkesan kerana ia tidak menghentikan
jenayah berkenaan daripada dilakukan juga oleh orang
tertentu. Tetapi hukuman bukan sahaja diadakan
sebagai `deterrent' untuk mengingatkan masyarakat
supaya tidak melakukan jenayah berkenaan. Hukuman
juga bertujuan mendera mereka yang melakukan
jenayah. Justeru itu, sama ada hukuman berkesan atau
tidak terhadap perlakuan jenayah oleh manusia,
hukuman masih perlu dikenakan.
7. Masyarakat liberal di Barat amat berbangga
dengan konsep-konsep dan prinsip-prinsip yang
dipegang oleh mereka. Antara konsep ini ialah
kebebasan atau `freedom'. Mereka begitu berbangga
dengan kebebasan yang mereka amalkan sehingga mereka
tidak nampak sekatan-sekatan dan pencabulan terhadap
kebebasan yang mereka lakukan sendiri. Demikian
semasa mereka mendakwa akan hak manusia untuk hidup
bebas, mereka masih menakluk jajahan dan wilayah
kaum bangsa lain yang mereka tidak memberi
kebebasan. Demikian juga di negara mereka sendiri,
selepas mereka mengharamkan simpanan hamba, mereka
buat beberapa lama, masih secara langsung dan tidak
langsung menafikan kebebasan rakyat mereka daripada
keturunan hamba.
8. Hari ini mereka mendewa-dewakan kebebasan surat
khabar mereka, tetapi ada tanda-tanda bahawa tiada
siapa dalam masyarakat mereka senang hati dengan
kebebasan ini. Sebabnya ialah surat khabar mereka
kerap menyalahgunakan kebebasan ini untuk menjayakan
perniagaan mereka. Sementara masyarakat Barat
begitu mengawal barangan lain yang dijual dalam
pasaran, sehingga jika tercacat sedikit pun maka
pengeluar boleh disaman dan dikenakan hukuman yang
berat, tetapi kecacatan laporan akhbar yang boleh
menekan jiwa atau memburukkan nasib seseorang tidak
dianggap salah.
9. Baru-baru ini akhbar menceritakan bagaimana
seorang `princess' yang terkenal berkelakuan buruk
semasa bersama dengan kawannya, lengkap dengan
gambar-gambar. Siapa yang biasa menjadi mangsa
tentu tahu bagaimana sakitnya laporan seperti ini
kepada dirinya. Tetapi akhirnya didapati laporan
itu tidak berasas. Tidak ada apa-apa yang dikenakan
kepada akhbar berkenaan kerana walaupun perkara ini
boleh dibawa ke mahkamah, proses perbicaraan terbuka
akan lebih menekan mangsa daripada yang dituduh.
10. Hari ini kita terpaksa menghadapi kebebasan
Internet. Sementara Internet amat berguna,
umpamanya dengan kemudahan menyampaikan laporan
dengan serta-merta, tetapi Internet juga boleh
digunakan untuk menyebar tulisan dan gambar lucah
kepada bukan sahaja orang dewasa tetapi juga kanak-
kanak.
11. Orang yang kerdil dapat menggunakan Internet
untuk melepaskan perasaan `frust' mereka dengan
mencaci dan memaki-hamun atau memburuk-burukkan
orang lain secara yang boleh merosakkan perhubungan
baik di antara pihak-pihak tertentu.
12. Penapisan berita dalam negara tidak lagi
berkesan kerana di zaman maklumat ini sempadan tidak
menghalang penyebaran maklumat. Jika tidak dapat
dibuat di dalam negeri, mereka menyebar dari luar
negeri. Dengan itu media dalam negeri berasa
terancam dan ingin mengawal kebebasan yang sama,
iaitu supaya mereka boleh bersaing dengan berita
dari luar. Apakah ini wajar?
13. Di kalangan pemikir liberal di Barat sudah
timbul perasaan takut akan kesan `Information
Technology'. Mereka juga sedar bahawa banyak
penyalahgunaan boleh berlaku yang tetap akan membawa
bencana kepada masyarakat manusia. Tetapi mereka
ini bukan daripada kalangan pemilik media. Mereka
terdiri daripada saintis-saintis dan ahli fikir.
14. Maklumat adalah penting dan perlu disebar
secara meluas. Tetapi maklumat tidak selalunya
benar. Ada maklumat yang sengaja dicipta dan
disebar untuk tujuan tertentu, termasuk untuk
merosakkan masyarakat tertentu. Di zaman perang
senjata biasa boleh digunakan untuk memusnahkan
musuh. Tetapi di waktu aman, senjata biasa tidak
boleh digunakan. Di waktu aman senjata maklumat
(misinformation) tidak kurang kesannya dalam
menghancurkan musuh. Kita sedang melihat senjata
ini digunakan dengan begitu meluas dengan
perkembangan `Information Technology'.
15. Para wartawan negara kita sedar akan semua ini.
Walaupun pengaruh wartawan tempatan sudah dicairkan
sedikit oleh pengaruh berita dari luar negara, namun
peranan wartawan tempatan masih besar. Apakah
mereka hanya akan mengikut arus dan sama-sama
mengutamakan pendapatan daripada perusahaan surat
khabar atau apakah mereka akan lebih mengutamakan
kepentingan negara walaupun akan terjejas sedikit
kelarisan berita mereka? -- sama-samalah kita
renungkan.
16. Negara ini masih muda, masih rapuh. Kita perlu
lebih berhati-hati. Keghairahan dengan kebebasan
tetap akan membinasakan kita lebih daripada
pembinasaan negara yang sudah dewasa.
17. Ramai juga daripada kita yang ghairah dengan
aneka jenis kebebasan. Kita tidak nafi bahawa
manusia harus bebas, tetapi semua kebebasan mesti
ada hadnya. Sebab itu semua masyarakat manusia
memerlukan undang-undang yang sudah tentu menghadkan
kebebasan. Apakah kita di negara ini harus malu
kerana undang-undang yang menyekat kebebasan
diperlukan? Apakah kita harus malu kerana di negara
kita kononnya tidak terdapat kebebasan
persuratkhabaran? Apakah kita perlu `apologise'
kepada orang lain sepanjang masa, kerana berasa
tersalah? Tidakkah mungkin kita yang betul dan
mereka yang salah?
18. Usaha sedang dibuat oleh kuasa-kuasa besar
untuk menyamakan atau `standardise' segala-galanya.
Kelainan dan perbezaan tidak akan dibenar oleh
mereka. Dalam usaha ini mereka tidak segan-segan
mengguna kuasa dan memaksa pihak lain untuk menerima
`standard' yang mereka telah ciptakan. Penggunaan
kekerasan ini dalam apa juga bentuk sebenarnya
adalah penindasan, satu sekatan terhadap kebebasan
yang mereka laungkan. Tetapi kita kadang-kadang
tidak nampak hipokrisi dan `double-standard' mereka.
Dan kita turut serta hanya kerana kepentingan
tertentu kita secocok dengan kehendak mereka.
Dengan itu kita menghalalkan kecurangan mereka.
19. Wartawan tentulah orang yang berfikir. Oleh
itu mereka harus merenung perkara-perkara ini yang
muncul di zaman maklumat. Pengaruh wartawan
tempatan perlu diguna untuk kebaikan kita. Kuasa
pen masih ada. Di zaman keamanan kuasa pen lebih
besar daripada senjata perang. Jika kita ingin
bangunkan negara kita, jika kita ingin bersaing
dengan negara-negara maju, kita harus tentukan sikap
kita yang tersendiri dalam apa juga usaha kita,
termasuklah sikap kita terhadap kebebasan
persuratkhabaran.
20. Kita ingin melihat apakah kita mampu berbuat
demikian.
21. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada
Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya untuk
menghadiri majlis makan malam ini.
|