home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PENTAS, BANDAR UTAMA, PETALING, SELANGOR DARUL EHSAN Tarikh/Date : 22/10/96 Tajuk/Title : PELANCARAN PUSAT OPERASI TV3 1. Saya ucapkan terima masih kepada Sistem Televisyen Malaysia Berhad kerana menjemput saya untuk melancarkan Pusat Operasi TV3 pada hari ini. Dengan berpindahnya operasi TV3 ke Sri Pentas, Bandar Utama, TV3 kini beroperasi dari sebuah bangunan yang lebih besar dan selesa. 2. Sejak mula beroperasi pada 1 Jun 1984 sebagai stesen TV swasta yang pertama di negara ini, TV3 telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Bermula dengan liputan di sekitar Lembah Klang, siaran TV3 kini boleh dinikmati di lebih 93 peratus daripada kawasan-kawasan di seluruh tanah air. Dan oleh kerana TV3 menggunakan satelit Palapa milik Indonesia untuk menghantar siarannya ke Sabah dan Sarawak, siarannya juga boleh dinikmati di wilayah- wilayah yang termasuk dalam 'footprint' satelit itu. Ini bermakna siaran TV3 boleh dinikmati di negara- negara di seluruh rantau ini hingga ke Hong Kong dan utara Australia. Ini dengan sendirinya menjadikan TV3 sebuah saluran TV serantau. 3. Sejarah dan perkembangan TV3 adalah sungguh membanggakan kerana ia lahir tanpa penglibatan seorang pun pakar perunding asing walaupun pada ketika itu negara tidak mempunyai begitu ramai tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan penyiaran televisyen. Ini adalah bukti bahawa 12 tahun yang lalu pun kita sudah mampu berdikari dalam bidang- bidang tertentu dan tidak memerlukan kepakaran asing. Dan ini juga membuktikan bahawa pada waktu itu anak-anak tempatan sudah berjaya menguasai teknologi pembinaan stesen televisyen. 4. Kini kemampuan TV3 sudah mendapat pengiktirafan negara-negara luar. Baru-baru ini TV3 dipelawa untuk mendirikan secara usahasama sebuah stesen TV swasta yang pertama di Ghana, Afrika. Saya dimaklumkan bahawa rundingan dan kajian-kajian mengenai pembinaan stesen TV itu sudah selesai dan kerja-kerja awal sudah dimulakan. 5. Seperkara lagi yang boleh dibanggakan ialah kejayaan Sistem Televisyen Malaysia Berhad mencatat keuntungan pada tahun pertama ia beroperasi dan seterusnya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1988. 6. Selain berjaya menjadi satu `household name' dalam masa yang singkat, TV3 juga terkenal kerana kreativitinya serta pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan ke dalam dunia televisyen negara ini. Daripada sebuah saluran yang berasaskan program- program hiburan, TV3 berani mengubah kedudukannya untuk menjadi saluran TV yang berteraskan berita dan maklumat. Ini dilakukan antara lain dengan memperkenalkan slot-slot `newsflash' yang dikenali sebagai Berita Terkini serta program-program berita satu jam. Usaha ini sememangnya membawa risiko kerana penonton yang sudah biasa disajikan dengan program berita selama 30 minit mungkin belum dapat menerima buletin berita yang lebih panjang. Namun begitu usaha ini ternyata berhasil dan diterima oleh penonton. Saya diberitahu Buletin Utama TV3 terus mendahului saluran-saluran lain dengan mencatat `ratings' yang tinggi. Selain kandungannya yang padat dan liputan beritanya yang lebih menyeluruh, kejayaan Buletin Utama juga adalah hasil persembahannya yang pantas, baik dan menarik yang menyebabkan ia tidak membosankan. 7. Kejayaan TV3 merangkul 'ratings' yang tinggi adalah bukti bahawa rakyat tidak menolak program- program yang berasaskan berita dan maklumat. Langkah ini adalah baik kerana ia secara langsung memberi sumbangan terhadap usaha untuk menjadikan masyarakat negara ini kaya maklumat supaya dapat bersaing dengan negara-negara lain yang lebih maju. Dalam era maklumat atau 'information age' sekarang, masyarakat atau negara yang miskin atau daif maklumat akan terus ketinggalan dalam persaingan global. 8. Penekanan kepada aspek berita dan maklumat oleh TV3 amatlah sesuai dengan kepentingan negara kita. Biasanya stesen TV mencari jalan mudah untuk menjadi popular dengan menyiarkan program-program yang berunsur seks dan keganasan. Pengiklan juga suka dengan program-program seperti ini kerana bilangan penonton biasanya tinggi. Tetapi kesan terhadap masyarakat kita amatlah buruk dan merugikan. Saya harap stesen-stesen TV tidak mengambil jalan yang mudah ini, sebaliknya mengutamakan penyiaran program- program yang menunjukkan bahawa mereka adalah `corporate citizen' yang bertanggungjawab. 9. Kita sekarang berada dalam zaman ledakan maklumat yang menjelma kerana alat-alat komunikasi yang semakin canggih. Dahulu Kerajaan dapat mengawal siaran radio dan televisyen melalui pemilikan stesen oleh Kerajaan. Kemudian lesen dikeluarkan kepada stesen siaran swasta yang mana lesen ini boleh ditarik balik jika syarat-syarat tertentu tidak dipatuhi. Hari ini siaran dari negara asing boleh diterima oleh siapa sahaja dengan menggunakan alat yang mudah diperolehi dan dengan harga yang murah. Dan siaran ini boleh diterima melalui bermacam-macam alat termasuk telefon dan komputer yang digunakan untuk keperluan harian. Siaran-siaran ini boleh pula dipindahkan kepada tape, `disc' bahkan dicetak terus dari `signal' yang diterima melalui telefon dan komputer. Demikian juga pelanggan boleh menerima apa sahaja program yang disukai pada bila- bila masa sahaja melalui sistem `video-on-demand'. 10. Apa yang sedang berlaku ialah kemajuan teknologi komunikasi berjalan terlalu pantas untuk Kerajaan mengadakan undang-undang atau dasar atau jentera untuk menanganinya. Kawalan oleh Kerajaan tidak penting jika maklumat yang berguna sahaja yang disalurkan melalui alat-alat telekomunikasi ini. Malangnya bermacam-macam propaganda, ajaran sesat, ideologi asing dan bahan-bahan lucah juga diedarkan melalui alat canggih ini. Nafsu manusia diperalatkan untuk menghasilkan untung yang banyak. Keadaannya tidak berbeza daripada dadah yang diedar untuk mendapat keuntungan besar, tanpa mengambilkira keburukan kesannya. 11. Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk menghalang penyebaran perkara-perkara yang tidak diingini ini. Kita akan cuba menggunakan undang- undang dan teknologi tertentu untuk menapis bahan- bahan yang buruk yang disalurkan melalui alat telekomunikasi. Tetapi seperti juga dengan dadah, yang ditolak kerana kesedaran oleh majoriti orang ramai mengenai bahayanya, maklumat yang tidak diingini ini hanya boleh ditolak jika rakyat sendiri tahu dan sedar akan keburukan dan bahayanya maklumat yang tidak diingini. Dengan perkataan lain, penapisan terhadap maklumat perlu dibuat oleh pengguna sistem telekomunikasi sendiri. Mereka harus tahu apa yang baik bagi mereka dan apakah yang perlu ditolak kerana kesan buruk dan bahayanya maklumat tersebut kepada mereka dan masyarakat amnya. 12. Memandang kepada masalah yang saya sebutkan ini, seluruh masyarakat perlu sedar dan bertindak serentak. Stesen-stesen siaran TV dan radio di Malaysia yang akan mempunyai beratus saluran sedikit masa lagi perlu memainkan peranan yang utama dalam usaha membanteras gejala yang buruk yang akan kita hadapi. Mereka bukan sahaja harus menapis program dan bahan-bahan yang disiarkan oleh mereka, tetapi mereka juga harus berusaha memilih program-program yang dapat membentuk akhlak yang baik di samping memberi hiburan. Mereka yang akan menapis hendaklah terdiri daripada orang yang terpilih kerana mereka ini harus membuat `value judgement' yang penting semasa mereka memilih dan menapis program. Kita tidak perlu fanatik yang menolak segala-galanya, tetapi kita juga tidak perlu orang yang terlalu liberal atau tidak bertanggungjawab menjadi penapis di stesen-stesen siaran kita. 13. TV3 adalah `pioneer' atau peneroka dalam bidang televisyen swasta. Saya harap TV3 akan cuba menjadi contoh badan korporat dan penyebar maklumat yang bertanggungjawab. Saya yakin tidak siapa pun yang akan rugi jika kita tidak ghairah berlumba untuk mendapatkan penonton atau pendengar sehingga sanggup meruntuhkan masyarakat dan negara kita. Jika semua stesen siaran kita bertanggungjawab dan sederhana, tidak siapa yang akan rugi, baik stesen, baik Kerajaan mahu pun masyarakat dan negara. Sama ada zaman maklumat akan menguntungkan kita atau menghancurkan kita bergantung kepada kita. 14. Saya ucapkan tahniah kepada TV3 yang jelas mencapai banyak kemajuan sejak ianya dilancarkan dan dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Pusat Operasi TV3. |