Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN
Tarikh/Date : 31/10/96
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN YANG KE-39
1. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan izin-Nya sekali lagi dapat kita bersama-sama hadir di
Majlis yang penuh berkat ini. Saya juga gembira kerana usia
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ini telah matang
bersama-sama usia kemerdekaan negara kita.
2. Setelah 39 tahun, majlis Tilawah al-Quran ini telah
menempuh berbagai-bagai perubahan dan perkembangan. Bukan
hanya pertukaran tempat-tempat di mana majlis ini berlangsung,
tetapi juga nama bagi majlis ini telah menerima penyesuaian
dari masa ke semasa. Walau bagaimanapun, segala perkembangan
yang berlaku memberikan nafas baru kepada acara tahunan negara
ini dan terus mendapat sambutan. Ia juga tidak kurang memberi
sumbangan dalam meninggikan syiar Islam di negara ini dan
membawa kepada semaraknya nama Malaysia di kalangan umat Islam
di seluruh dunia.
3. Cita-cita untuk membentuk generasi al-Quran adalah suatu
yang murni. Kita bukan hanya mahu melihat generasi yang
berpendidikan tinggi, tetapi sebaliknya kita mahu melihat
generasi yang dapat mengimbangi kemajuan `spiritual' bersama-
sama kemajuan fizikal dan `material'. Kita tidak dapat
meramalkan apa yang akan terjadi pada tahun 2020 nanti, tetapi
yang pasti budaya murni adalah tunggak kemajuan. Aspek sosial
adalah menjadi keutamaan, di samping mengejar kejayaan dan
kemajuan ekonomi dan politik.
4. Memang bukan sesuatu yang mudah untuk membesarkan anak-
anak daripada segi fizikal, tetapi ia tidaklah sesukar
mematangkan pembangunan mental dan spiritual mereka. Oleh
itu, seluruh umat Islam patut menangani tugas ini dengan penuh
yakin dan bersungguh-sungguh. Kerajaan ingin melihat tugas
membangunkan mental dan `spiritual' anak-anak ini dijalankan
bersama oleh semua pihak supaya ia tidak bertentangan antara
satu sama lain.
5. Di zaman pembangunan, termasuk zaman ledakan maklumat
ini, agama menjadi lebih penting daripada di zaman maklumat
terhad dahulu. Sebabnya ialah di samping maklumat yang
membina, ada juga maklumat yang diterima hari ini bukan sahaja
boleh melemah dan mengelirukan, tetapi boleh merosakkan akhlak
dan budaya masyarakat. Ajaran agama dapat menjadi benteng
untuk melindung kita daripada kesan buruk maklumat yang tidak
baik. Dengan itu, masyarakat kita akan terselamat dan akan
terus membangun dan menjadi kuat. Di masa yang sama,
masyarakat Islam yang kuat dan maju akan dapat membantu
menghapuskan anggapan bahawa Islam menjadi halangan terhadap
kemajuan.
6. Ada pendapat di kalangan orang Islam bahawa kemajuan di
dunia ini tidak perlu dikejar. Kemajuan orang Islam, kata
mereka, berbeza dengan kemajuan sepertimana yang ditafsirkan
oleh orang lain, iaitu orang yang bukan Islam.
7. Pemikiran seperti ini hanya menguatkan kepercayaan di
kalangan sesetengah orang Islam bahawa mereka bukan sahaja
tidak perlu maju tetapi tidak mungkin maju di dunia ini. Oleh
itu mereka tidak perlu mengejar kemajuan.
8. Malangnya oleh kerana negara-negara Islam tidak maju,
mereka kerap ditindas oleh negara lain atau mereka terpaksa
mencari perlindungan dari negara-negara lain yang mempunyai
kemajuan. Dengan ini, negara Islam mudah dilaga-lagakan
dengan negara Islam lain, yang mana ini menambahkan kelemahan
mereka. Dan apabila mereka bermusuh sesama sendiri mereka
sekali lagi mencari perlindungan dari negara maju bukan Islam.
Dengan ini negara-negara Islam akan selama-lamanya terikat
dengan kepentingan negara bukan Islam.
9. Oleh kerana negara-negara Islam selalu meminta
pertolongan dan tunduk kepada negara-negara maju bukan Islam
maka agama Islam juga turut terhina. Selagi negara Islam
mundur dan lemah dan memperdayakan diri dengan mendakwa
kononnya mereka tidak perlu kemajuan di dunia, selama itulah
Islam akan dihina dan negara-negara Islam diperkosa.
10. Jika kita kembali kepada ajaran al-Quran mengenai
pentingnya kita mampu mempertahankan diri kita, tentulah kita
akan mengejar ilmu dan kemajuan yang akan membolehkan kita
menyediakan segala alat untuk mempertahankan diri kita. Kita
juga akan diperingati oleh al-Quran bagaimana kemiskinan itu
boleh melemahkan aqidah kita. Kita juga akan diperingati
bahawa orang Islam itu adalah bersaudara dan bukan musuh yang
harus berperang setiap masa. Kita juga akan menolak
keterlaluan dalam semua gerak-geri kita. Pendek kata, banyak
pelajaran berkenaan dengan Ad-din atau cara hidup yang boleh
dipelajari daripada al-Quran. Tidaklah salah jika dikatakan
masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang adalah
kerana membelakangkan ajaran al-Quran dan mengutamakan ajaran
dan tafsiran orang tertentu yang berkepentingan yang lebih
mengutamakan agenda mereka daripada ajaran al-Quran.
11. Tilawah al-Quran bertujuan untuk membaca ayat-ayat al-
Quran bukan semata-mata untuk menjadi halwa telinga tetapi
lebih penting daripada itu, ialah mengikuti penjelasan makna
ayat-ayat ini supaya ia menjadi pengajaran kepada kita semua.
Mudah-mudahan kita akan lebih faham agama kita dan mematuhi
ajaran Islam supaya Islam betul-betul menjadi Ad-din.
12. Dengan harapan ini dan dengan kalimah Bismillahir
rahmanir rahim, saya merasmikan Majlis Tilawah Peringkat
Kebangsaan kali yang ke-39 ini.
|