Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT SAINS NEGARA,KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	29/11/96 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PUSAT SAINS NEGARA  

  
    
    1.     Saya   ucapkan  terima  kasih  kepada   pihak
    Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar kerana
    menjemput saya dan isteri untuk hadir di majlis  ini
    dan  seterusnya merasmikan Pusat Sains  Negara  pada
    hari ini.
    
    2.     Saya   ingin  mengambil  peluang  ini   untuk
    membicara  berkenaan dengan ilmu  sains.   Di  Zaman
    Gelap  atau  `the Dark Ages' di Eropah,  ilmu  sains
    dianggap  merbahaya  dan bertentangan  dengan  agama
    Kristian.   Sebabnya ialah kerana  sains  dipercayai
    menyoal  kuasa  Tuhan  dengan  mendedahkan  kononnya
    segala  rahsia alam yang dicipta oleh Tuhan.  Dengan
    terbongkarnya   rahsia   kejadian   alam   dan   isi
    kandungannya maka akan hilanglah kepercayaan manusia
    kepada Tuhan dan kuasanya.
    
    3.    Padri-padri Kristian pada Zaman Gelap mengecap
    ahli-ahli  sains sebagai pengamal ilmu  syaitan  dan
    mereka  sering  diburu,  diseksa  dan  kadang-kadang
    dibakar hidup-hidup.
    
     4.    Sebaliknya di zaman itu dalam masyarakat Islam
    penyelidikan  berkenaan dengan alam  semulajadi  dan
    berbagai-bagai jenis penyakit tidak dihalang.   Ilmu
    ini  tidak  dikenal sebagai sains tetapi  sebaliknya
    sebagai  ilmu alam dan kejadiannya.  Sebenarnya  Al-
    Quran  menyuruh  orang  Islam memerhatikan  kejadian
    bukit-bukau dan alam sekeliling serta juga  binatang
    dan   tumbuh-tumbuhan  supaya  kita  sedar   tentang
    kebesaran dan kuasa Tuhan.  Dengan itu ramailah alim
    ulama Islam yang mencipta ilmu pelayaran dan gerakan
    bintang-bintang  dan bulan, menjadi  pakar  penyakit
    manusia  dan mencipta ubatnya dan pakar  dalam  ilmu
    pembedahan   dan  penyembuhan  sakit   tubuh   badan
    manusia.  Demikian juga mereka mempelajari berkenaan
    dengan  tumbuh-tumbuhan, pertanian dan  kejuruteraan
    berkaitan  dengan  penyaluran air dari  bukit-bukau,
    untuk  menyuburkan  tanaman  biji-bijian  dan  buah-
    buahan.   Di  mana  sahaja  Islam  berkembang,  maka
     terbangunlah  kawasan kediaman orang  Islam  lengkap
    dengan  tanaman-tanaman dan taman-taman  bunga  yang
    indah  serta  juga  industri  logam  dan  lain-lain.
    Sehingga  ke  hari ini hasil ilmu-ilmu mereka  masih
    berguna untuk kesejahteraan manusia.
    
    5.    Melihat kejayaan masyarakat Islam orang Eropah
    mula  mengejar  ilmu-ilmu sains yang diterokai  oleh
    pakar-pakar  Islam.  Mereka berhijrah ke  Al-Andalus
    atau  Sepanyol dan ke Baghdad untuk mempelajari  dan
    mengalih  bahasa  segala ilmu yang  ada  pada  orang
    Islam.  Ilmu-ilmu ini dipanggil `sains'  oleh  orang
    Barat.
    
    6.    Sementara itu, alim-ulama Islam mula meragukan
    ilmu-ilmu  dan  kegiatan penyelidikan dalam  bidang-
    bidang  tertentu  oleh  cendekiawan  Islam.   Mereka
    menegaskan  bahawa hanya ilmu yang berkaitan  dengan
    agama sahaja yang harus dipelajari.  Yang lain tidak
    boleh  dianggap sebagai ilmu.  Oleh itu, dalam  masa
    yang  tidak  lama  orang Islam kehilangan  kepakaran
     dalam  pelbagai  ilmu  yang tergolong  dalam  bidang
    sains.  Segala  hasil penyelidikan oleh  pakar-pakar
    Islam  hilang dari dunia Islam dan menjelma kemudian
    sebagai  ilmu dari Barat.  Nama cerdik pandai  Islam
    ditukar  sehingga mereka tidak lagi dikenali sebagai
    orang  Islam.  Demikian Ibn Sina dipanggil Avicenna,
    Ibn Rushdi menjadi Averroes dan seterusnya.
    
    7.    Hari  ini  apabila orang Islam  mengejar  ilmu
    sains, mereka terpaksa mempelajarinya daripada orang
    Barat  kerana  penguasaan ilmu ini sudah  tidak  ada
    pada  orang Islam lagi.  Mereka percaya bahawa sains
    adalah  ilmu  orang bukan Islam.  Dengan  itu  minat
    untuk  mempelajari sains juga berkurangan.  Akhirnya
    mereka terpaksa bergantung kepada orang bukan  Islam
    untuk mendapat hasil daripada penguasaan ilmu sains,
    termasuk  ilmu  ubat-ubatan, senjata pertahanan  dan
    alat-alat komunikasi dan maklumat.  Kelemahan  orang
    Islam  dan  negara  mereka hari  ini  adalah  akibat
     kelemahan pengetahuan sains di kalangan mereka.
    
    8.    Kerajaan Malaysia ingin memperbetulkan keadaan
    ini.   Kita  ingin melihat bukan sahaja perkembangan
    ilmu   yang  berkaitan  dengan  sains,  tetapi  juga
    pembetulan   salah  anggapan  terhadap   sains   dan
    penyelidikan  dalam bidang ini.   Pendek  kata  kita
    bukan  sahaja  ingin mempelajari ilmu  sains  tetapi
    pendekatan dalam bidang penyelidikan sains.
    
    9.    Sebenarnya  lebih  mendalam  pengetahuan  kita
    dalam  ilmu sains lebih kuat iman kita.   Ini  ialah
    kerana  sains hanya mampu menjawab bagaimana sesuatu
    reaksi  itu  berlaku  tetapi  tidak  dapat  menjawab
    mengapa   ia   berlaku   begitu.    Demikian   sains
    menjelaskan  bahawa air ada satu  kompaun  dua  atom
    hidrogen  dengan satu atom oksigen.   Tetapi  kenapa
    kombinasi  ini menjadi air tidak dapat dijawab  oleh
    mana-mana  ahli  sains  melainkan  jawapannya  ialah
    kehendak  Tuhan.   Kuasa  Tuhanlah  yang  menentukan
     segala-galanya.  Maka benarlah Allah Maha Besar  dan
    Maha Berkuasa.
    
    10.   Perkembangan  sains di  Barat  setelah  mereka
    menguasai ilmu sains yang diterokai oleh orang Islam
    adalah  juga kerana mereka tidak terlalu merahsiakan
    ilmu  sains  yang  mereka terokai.   Apabila  mereka
    menjumpai  sesuatu hasil penyelidikan,  mereka  akan
    menyiarkan   segala-galanya  melalui  majalah   atau
    jernal   profesion  mereka.   Hak   ciptaan   mereka
    dilindungi   melalui   undang-undang   tetapi   ilmu
    berkenaan  boleh  dipelajari  oleh  sesiapa  sahaja.
    Dengan  itu,  pihak lain dapat menyusul penyelidikan
    atau menggunakannya secara praktikal untuk mengeluar
    barangan tertentu.
    
    11.  Budaya Timur tidak memudahkan perkembangan ilmu
    kerana pencipta atau penyelidik biasanya merahsiakan
    ilmu  yang dicipta atau diterokai.  Kerap kali  ilmu
    ciptaan  atau hasil penyelidikan akan hilang  kerana
    kematian  penyelidik. Tidak ada rekod  lengkap  yang
     disimpan  untuk  generasi yang  berikutnya.   Dengan
    itu, maka ilmu tidak dapat tumbuh dan berkembang  di
    Timur sepertimana di Barat.
    
    12.   Kenyataan-kenyataan ini berkenaan dengan sains
    dan  kemajuannya perlu diketahui dan  difahami  oleh
    masyarakat  Malaysia.   Jika  kita  ingin   mengejar
    kemajuan  dan  ingin bersaing dengan jayanya  dengan
    bangsa-bangsa maju di Barat kita bukan sahaja  perlu
    menguasai  ilmu-ilmu  tertentu  terutamanya   sains,
    tetapi  kita  juga  perlu dan mesti  menerap  budaya
    ilmuan  dan  kajiselidik  yang  terdapat  di  Barat.
    Merahsiakan  ilmu  kita supaya kita  seorang  sahaja
    yang  akan  dapat manfaat dan keuntungan daripadanya
    adalah  amalan  yang  perlu digugur  dengan  segera.
    Tabiat  mencatat  setiap langkah  yang  diambil  dan
    setiap   hasil   yang  didapati   daripada   langkah
    berkenaan mestilah dipupuk.  Hanya dengan  cara  ini
    sahaja   baharulah  sesuatu  dapat  diulangi   untuk
     mendapat  hasil  yang sama. Ingatan  manusia  adalah
    lemah  dan tidak boleh diharap sama sekali.   Tetapi
    catatan  serta-merta akan segala-gala yang dilakukan
    bukan  sahaja  akan memudahkan kaji  selidik  tetapi
    akan  dapat  disusuli oleh orang lain  jika  sesuatu
    berlaku kepada penyelidik.
    
    13.   Kita mungkin bosan mendengar berkenaan  dengan
    sains dan teknologi.  Tetapi percayalah, negara kita
    tidak  akan  dapat dibangun dan maruah bangsa  kita,
    bahkan  agama  kita tidak akan dapat ditebus  selagi
    kita  tidak dapat menguasai ilmu sains dan kecekapan
    teknologi  semasa.  Hanya mereka yang  ingin  dihina
    dan  ditindas  oleh  orang lain, bahkan  oleh  musuh
    sahaja,  yang  akan mengabaikan sains dan  teknologi
    atau   menidakkan   peranan  ilmu-ilmu   ini   dalam
    membangunkan kita, negara kita dan agama kita.
    
    14.   Tujuan Kerajaan membelanjakan wang yang banyak
    untuk  Pusat  Sains  ini bukanlah semata-mata  untuk
    menjadi  pusat  hiburan ataupun produk  pelancongan.
     Tujuan   utama  Kerajaan  ialah  untuk   menyedarkan
    rakyat,  terutama Melayu dan Bumiputera  lain,  akan
    kuasa sains dan teknologi dan peranan yang dimainkan
    oleh  kedua-dua  ini  dalam kehidupan  harian  kita.
    Kita   juga  ingin  membuktikan  bahawa  sains   dan
    teknologi  bukan  suatu misteri, suatu  yang  ajaib,
    suatu  perkara luar biasa yang hanya boleh  difahami
    oleh  orang  yang berotak geliga sahaja.  Sebenarnya
    sains  dan teknologi adalah ilmu dan cara yang mudah
    yang  boleh  dipelajari  dan dikuasai  oleh  sesiapa
    sahaja.   Yang  diperlukan bukanlah kepandaian  luar
    biasa  tetapi  kesanggupan menolak  kepercayaan  dan
    keaslian  pengetahuan lama yang  kolot  dan  membuka
    akal  fikiran  kepada  kemungkinan-kemungkinan  yang
    dahulu dianggap luar biasa, bahkan mustahil.  Apakah
    kita   sangka   kita  dapat  melihat  sesuatu   yang
    dilindungi  dengan  tembok yang tebal?  Tetapi  kita
    tahu  hari  ini kita bukan sahaja dapat melihat  apa
     yang berlaku dalam bilik yang berada di sebalik sana
    dunia,  bahkan  kita  dapat  melihat  peristiwa  itu
    semasa  ia  berlaku iaitu `in real time'. Jika  kita
    bermula  dengan  berkata perkara itu mustahil,  maka
    kita tidak akan berusaha mencari teknologi yang akan
    membolehkannya.   Tetapi jika kita  berhati  terbuka
    dan  percaya kuasa Tuhan adalah lebih besar daripada
    yang  dipercayai oleh kita, maka yang mustahil boleh
    dijadikan  perkara  biasa.   Demikian  setelah  kita
    dapat  melihat  apa  yang berlaku  di  sebelah  sana
    dunia, kita pula boleh berinteraksi dengan apa  yang
    sedang  berlaku secara langsung.  Dengan itu  apakah
    akan  ada lagi orang tertentu di kalangan kita  yang
    akan  berkata  bahawa pendaratan   manusia  di  atas
    bulan adalah cerita dongeng yang dicipta oleh musuh-
    musuh Islam?
    
    14.   Saya  harap Pusat Sains ini dapat  menyediakan
    contoh-contoh dan pameran-pameran yang  menarik  dan
    mudah difahami oleh pelawat kecil dan besar, tua dan
     muda  dan yang terdidik dalam bidang sains atau yang
    tidak berilmu sama sekali.
    
    15.   Saya  harap  Pusat  Sains  ini  akan  menolong
    menjayakan  usaha  negara  untuk  menjadikan  rakyat
    Malaysia yang celek sains dan teknologi, yang  faham
    akan  pendekatan  dan falsafah  keilmuan  sains  dan
    teknologi  dan  yang  akan  berhati  terbuka   dalam
    penggunaan  maklumat  daripada sains  dan  teknologi
    untuk kehidupan seharian.
    
    16.   Dengan  harapan  ini, saya dengan  sukacitanya
    merasmikan Pusat Sains Negara.
                          

 
 



 
Google