Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/01/97
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM UNTUK
MERAIKAN TYT RYUTARO HASHIMOTO
PERDANA MENTERI JEPUN
1. Saya ucapkan selamat datang dan mengalu-alukan
lawatan Tuan Yang Terutama dan anggota-anggota
rombongan ke Malaysia. Lawatan Tuan Yang Terutama
adalah kena pada waktunya dan memberi peluang yang baik
bagi Malaysia dan Jepun untuk berbincang demi
meningkatkan lagi hubungan yang erat di antara kedua-
dua negara.
2. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan
tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas perlantikan
semula Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri
Jepun. Kami mengikuti dengan penuh minat usaha-usaha
yang bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Jepun untuk
melaksanakan reformasi pentadbiran dan ekonomi.
Pengalaman kami menunjukkan bahawa memang banyak
halangan yang akan dihadapi dalam melaksanakan
reformasi pentadbiran. Saya tidak syak bahawa Tuan
Yang Terutama akan berjaya dalam usaha ini.
3. Hubungan Malaysia-Jepun telah berkembang pesat
sejak Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan
Jepun kira-kira empat dekad yang lalu. Saya suka
menyatakan bahawa dasar pragmatik sentiasa menjadi ciri-
ciri penting dalam hubungan antara kedua-dua negara
kita. Hasilnya menguntungkan kedua-dua pihak --
Jepun sebagai sumber pelaburan, Malaysia sebagai
pasaran penting dan sumber bahan-bahan mentah kepada
Jepun. Jepun juga telah banyak menyumbang kepada
kemajuan perindustrian Malaysia serta kemakmuran dan
kemajuan sosio-ekonomi negara ini. Saya harap Jepun
akan terus menjadi rakan pembangunan Malaysia dan
membantu kami mencapai cita-cita untuk menjadi negara
maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
4. Dalam bidang perdagangan dua hala, jumlahnya telah
meningkat lebih dua kali ganda daripada RM31.6 billion
pada 1990 kepada RM76.5 billion pada 1995. Jepun hari
ini adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan
jumlahnya kira-kira 20 peratus daripada dagangan dunia
kami. Jepun juga merupakan pasaran eksport terbesar
ketiga Malaysia. Walaupun imbangan perdagangan lebih
menguntungkan Jepun, saya berharap dengan adanya proses
liberalisasi yang sedang berjalan di Jepun, import
barangan Malaysia ke Jepun akan meningkat terutamanya
barangan perkilangan. Syarikat-syarikat Jepun dan
firma-firma usahasama di Malaysia hendaklah juga
digalakkan supaya menggunakan lebih banyak bahan
tempatan untuk produk mereka di sini. Dengan ini
adalah diharapkan ia akan dapat membantu mengimbangkan
perdagangan di antara kedua-dua negara.
5. Pelaburan Jepun di Malaysia terus meningkat dan
pada hari ini Jepun adalah pelabur asing terbesar di
Malaysia dengan pelaburan modal berkumpul berjumlah
RM25.3 billion bagi tempoh 1980 hingga Oktober 1996.
6. Malaysia kini sedang melalui perubahan yang besar
hasil daripada pertumbuhan ekonominya yang pesat.
Untuk memperbaiki kehidupan rakyat, kita berhajat untuk
meneruskan pertumbuhan ini. Malaysia baru-baru ini
melancarkan Pelan Induk Perindustrian Kedua, iaitu satu
pelan untuk memandu negara melangkah ke abad ke-21.
Malaysia boleh mendapat manfaat daripada kemajuan
ekonomi dan teknikal Jepun yang lebih tinggi dan
mengalu-alukan kerjasama Jepun untuk mencapai matlamat
kami. Pelaburan Jepun terutama industri kecil dan
sederhana yang mengeluarkan komponen sofistikated dan
berintensifkan modal dan teknologi tinggi amat dialu-
alukan terutamanya jika diusahakan secara usahasama
dengan syarikat-syarikat Malaysia. Khususnya, kami
mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat IT Jepun di
dalam Koridor Raya Multimedia.
7. Satu aspek penting dalam kerjasama Malaysia-Jepun
ialah dalam bidang pembangunan sumber manusia.
Sokongan Jepun terhadap Dasar Pandang ke Timur telah
membolehkan kira-kira 5,000 pelajar dan pelatih
Malaysia belajar serta memperolehi kemahiran praktikal
di institusi-institusi Jepun. Pelajar-pelajar ini
bukan sahaja menguntungkan Malaysia tetapi juga
syarikat-syarikat Jepun di Malaysia yang mendapati
mereka adalah pekerja yang berkebolehan. Kami
bercadang untuk meneruskan Dasar Pandang ke Timur ini
dan berharap Jepun akan menyediakan lebih banyak lagi
tempat di universiti-universiti dan institusi-institusi
latihannya. Saya suka menyatakan di sini bahawa
walaupun kami memandang ke Timur, kami hanya mempunyai
kira-kira 2,000 pelajar pada satu-satu masa di Jepun.
Kami mempunyai lebih daripada 60,000 pelajar di negara
Barat dan negara-negara lain sepanjang masa.
8. Dalam hubungan di antara Jepun dan Malaysia,
sektor swasta telah memainkan peranan yang besar.
Dialog-dialog sering diadakan di antara mereka dan
mereka telah membantu dalam mengemukakan perkara-
perkara yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan.
Kami berharap kerjasama di antara mereka akan
berterusan dan mereka juga akan bekerjasama di antara
satu sama lain di negara-negara ketiga. Sokongan
Kerajaan Jepun dalam usaha-usaha ini sudah pasti
memberi faedah bukan sahaja kepada Jepun dan Malaysia
tetapi juga kepada negara-negara ketiga yang berkenaan.
9. Akhir kata, sekali lagi saya mengalu-alukan
kedatangan Tuan Yang Terutama dan anggota-anggota
rombongan ke Malaysia. Saya berharap Tuan Yang
Terutama akan berasa gembira dan mempunyai kenangan
manis ketika berada di Kuala Lumpur dan Tuan Yang
Terutama akan meluangkan masa untuk melawat Malaysia
lagi.
|