Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RTM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 09/02/97
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat sekalian,
1. Pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, kita umat
Islam akan berkumpul di masjid-masjid dan tempat-tempat
lain untuk bersembahyang raya dan bertakbir. Kita akan
laungkan kebesaran Allah dengan mengulangi berkali-kali
bahawa "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha
Besar", disusuli dengan "Kepada Allah juga segala
pujian".
2. Inilah pengakuan kita kerana inilah asas kepercayaan
kita, bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala yang kita sembah
ialah Yang Maha Besar. Dan segala puji-pujian adalah
untuk-Nya.
3. Sesungguhnya segala-gala yang kita nikmati adalah
kurniaan-Nya. Walaupun kadang-kadang ditimpakan keatas
kita malapetaka seperti kehilangan nyawa dan hartabenda
disebabkan banjir, kemalangan di jalanraya dan lain-lain
kecelakaan yang berlaku sepanjang masa, namun peristiwa-
peristiwa ini tetap mempunyai hikmatnya. Ia adalah
amaran dan pengajaran bagi kita. Tidak akan berlaku
malapetaka ini jika kita tidak sendiri mencarinya.
Kitalah yang memilih untuk mendiri rumah di tebing dan di
dalam sungai, sedangkan kita tahu tempat itu merbahaya
jika berlaku banjir. Kitalah yang memandu di jalanraya
secara gopoh, tidak bertimbangrasa dan tidak tertib.
Justeru itu, setelah diberi amaran kadang-kadang berkali-
kali, haruslah kita mengambil tindakan mengelak, tidak
tinggal di tebing sungai, tidak memandu tanpa tatasusila
jalan raya dan tidak sengaja mendedahkan diri kepada
bahaya lain. Jika kita tidak endah kepada amaran-amaran
ini maka lambat-laun malapetaka akan menimpa kita lagi.
4. Dan janganlah kita mudah berkata ini sudah
ditakdirkan. Jika kita menjaga keselamatan diri kita dan
dengan itu kita terselamat, itu juga takdir. Kadang-
kadang kita seolah-olah suka menyalahkan Tuhan sedangkan
yang salah adalah kita. Ingatlah segala yang baik itu
datang daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang buruk
adalah daripada kita sendiri. Nasib buruk yang kita
alami adalah kerana kesalahan kita.
5. Sebenarnya di negara ini segala kurniaan Tuhan
adalah baik-baik belaka. Malaysia adalah negara yang
tanahnya subur, dengan hujan yang menghijaukan seluruh
negara, air dan makanan yang tidak pernah tidak cukup,
iklim yang sederhana dan tidak diserang oleh ribut taufan
dan gempa bumi yang dahsyat. Terpulanglah kepada kita
untuk mencapai hidup yang bahagia dengan segala kurniaan
Tuhan ini. Sebenarnya beban kita di negara tercinta ini
amatlah ringan. Kita dapat hidup selesa dengan sedikit
usaha sahaja. Dan jika kita rajin dan berdisiplin
sedikit, kita dapat menjadi kaya dan bahagia.
6. Sepatutnya kita di Malaysia tidak terlalu mudah
mengeluh. Sudah tentu kita tidak harus sengaja mengada-
adakan masalah. Rakyat Malaysia jauh lebih bebas
bersuara, bergerak dan menjalankan urusan peribadi
daripada rakyat kebanyakan negara lain. Kita selamat
kerana dilindungi oleh pasukan keselamatan. Tidak ada
peristiwa anggota keselamatan memukul dan menyepak orang
atau menggari kaki-tangan orang yang dituduh dengan
rantai seperti yang berlaku di negara-negara tertentu.
Tidak ada anggota keselamatan yang menembak orang secara
buta-tuli kerana melepaskan geram. Hanya dalam
menjalankan tugas, mereka tegas dan mungkin terkasar
sedikit.
7. Tetapi apakah kerana ini kita harus memburukkan
orang yang menjaga keselamatan kita ini? Apakah harus
kita memburukkan imej negara dengan bekerjasama dengan
orang asing untuk menghina negara sendiri? Sebenarnya
tidak akan berlaku sesuatu kepada kita jika kita tidak
ingkar dan menolak nasihat. Janganlah mudah terpedaya
oleh orang asing yang tidak sedikit pun berniat baik atau
menolong membangunkan negara kita.
8. Hari ini kebanyakan negara Islam menghadapi masalah.
Pemerintahan mereka lemah, ekonomi mereka merosot,
politik mereka kucar-kacir dan kerap juga rusuhan berlaku
dengan orang Islam menyerang dan membunuh orang Islam
lain kononnya kerana memperjuangkan Islam. Ada yang
membunuh orang Islam secara terancang sempena bulan
Ramadan. Dan semasa melakukan keganasan ini mereka
melaungkan nama Allah, seolah-olah perbuatan mereka
disuruh oleh Allah.
9. Apakah benar mereka ini melakukan keganasan kerana
Allah, kerana mempertahankan agama Islam? Agama tidak
boleh dipisahkan daripada politik orang Islam. Tetapi
apakah huru-hara sebahagian daripada politik Islam yang
dimaksudkan? Tidakkah usaha ke arah persaudaraan dan
keamanan antara orang Islam lebih tepat dengan politik
Islam yang patut dikaitkan dengan agama?
10. Orang Islam disuruh dengan tegas dan jelas, berkali-
kali supaya bersaudara dengan orang Islam lain, bahkan
berbaik-baik dengan orang yang bukan Islam jika mereka
tidak bermusuh dengan orang Islam, jika mereka ingin
berdamai dengan orang Islam. Yang tidak disukai oleh
agama Islam, yang kedatangan agama Islam berjaya
menghapuskan, ialah permusuhan secara berkekalan antara
kelompok-kelompok atau kabilah-kabilah yang terlalu
taksub dengan kumpulan mereka atau pemimpin mereka.
Kelompok-kelompok inilah yang dikatakan kumpulan
assabiah, kerana terlalu taksub dengan puak mereka
sehingga mereka tidak boleh berbaik-baik, turun-temurun
walaupun sebab mereka bermusuh sudah tiada siapa di
antara mereka yang tahu atau ingat lagi. Hanya yang
mereka tahu ialah mereka adalah daripada kumpulan yang
bermusuh. Dengan itu perhubungan antara mereka tidak
boleh dipulihkan selama-lamanya. Kedatangan Islam berjaya
menghapuskan kesetiaan yang keterlaluan di kalangan
kumpulan-kumpulan ini buat beberapa abad. Tetapi ia
telah muncul semula dalam dunia Islam.
11. Demikian di zaman ini. Sebabnya ada permusuhan dan
pemberontakan dan huru-hara di negara-negara Islam
sekarang ialah kerana kedegilan kumpulan-kumpulan
assabiah ini sehingga penyelesaian dan keamanan tidak
dapat dicapai sama sekali. Kumpulan-kumpulan ini bukan
didorong oleh kesetiaan kepada agama tetapi hanyalah
untuk merebut kuasa untuk diri sendiri. Oleh kerana
taksub dengan kumpulan sendiri, banyak negara Islam yang
tidak dapat mendirikan pemerintahan yang berwibawa.
12. Inilah yang menyebabkan negara Islam berada dalam
keadaan kucar-kacir, lemah dan terhina. Inilah yang
menyebabkan agama Islam dipermainkan oleh orang lain.
Dan semua ini bukan kerana kehendak Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Ia bukan telah ditakdir. Ia adalah kerana ramai
orang Islam yang tamak tidak mahu menurut ajaran Islam
yang sebenar. Mereka sengaja menyalahtafsir dan
menyalahgunakan ajaran Islam. Dan mereka begitu taksub
dengan kumpulan sendiri sehingga tidak mahu menerima
kebenaran, terutama pegangan kepada persaudaraan yang
dituntut oleh agama Islam. Apa juga tafsiran yang dibuat
oleh pemimpin mereka, mereka terima tanpa soal walaupun
jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Yang diutamakan
ialah siapa yang mentafsir dan bukan isi kandungan
tafsiran berkenaan. Dengan itu permusuhan berlaku di
antara mereka dengan orang Islam lain.
13. Jelaslah malapetaka yang menimpa orang Islam
didatangkan oleh mereka sendiri dan bukan kerana sudah
ditakdirkan. Sebenarnya mereka boleh menyelamatkan diri
mereka tetapi mereka sendiri yang memilih jalan yang
tidak selamat, jalan yang bertentangan dengan ajaran
Islam. Saya ulangi, benarlah segala yang baik itu datang
daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Yang buruk itu
datang daripada kita sendiri.
14. Mungkinkah pada Hari Raya Aidilfitri ini, apabila
kita bertakbir kita dapat renungkan sedikit akan
perbuatan kita yang menyebabkan kita menjadi lemah,
berpecah-belah dan dikuasai serta ditindas oleh musuh-
musuh kita. Hari Raya dan takbir kita akan lebih
bermakna jika ianya menimbulkan keinsafan dalam hati
kita.
15. Di Malaysia kita bukan sahaja ada orang Islam tetapi
juga orang yang bukan beragama Islam. Secara kebetulan
tahun ini Tahun Baru Cina jatuh pada hari kita masih
berpuasa. Sudah menjadi suatu kebiasaan bagi kita
mengunjungi rakan dan kawan semasa perayaan masing-
masing. Kunjungan kita bukanlah mempunyai apa-apa maksud
keagamaan. Ia hanyalah untuk mewujudkan keadaan
perhubungan sosial yang baik yang menolong membawa
keamanan dan kesejahteraan kepada negara kita. Dengan
keamanan ini juga kita hidup bahagia dan dapat
mengamalkan ajaran dan ibadat agama kita dalam keadaan
tidak terganggu. Sebaliknya kita tahu di negara-negara di
mana usaha menjalinkan hubungan yang baik tidak ada,
permusuhan sering berlaku, walaupun penduduknya seagama.
Dengan itu pengamalan ibadat dan cara hidup beragama
terganggu. Justeru itu, amatlah penting kita melakukan
apa yang telah mendatangkan banyak kebaikan kepada kita.
Saya harap orang Islam di Malaysia tidak berhenti membuat
kunjungan keatas rakan-rakan daripada kaum Cina semasa
Tahun Baru Cina, bukan untuk makan-minum di siang hari
semasa kita berpuasa, tetapi semata-mata untuk menyumbang
kepada iklim yang baik untuk negara kita.
16. Kebaikan perhubungan antara kaum-kaum yang menganuti
agama-agama yang berlainan di Malaysia adalah hasil
kesederhanaan semua rakyat Malaysia. Kerana
kesederhanaan ini negara kita bukan sahaja aman tetapi
juga makmur. Janganlah kita fikir keadaan ini akan kekal
dengan sendirinya tanpa dipelihara oleh kita.
Percayalah, jika kita lupa dan kita ikut nafsu, negara
kita juga akan dilanda huru-hara seperti yang kita lihat
di negara membangun yang lain.
17. Keamanan dan kemakmuran hasil kesederhanaan ini
berlaku semasa negara diperintah oleh sebuah Kerajaan
yang rakan dominannya ialah orang Islam. Ini jelas
menunjukkan bahawa orang Islam mampu mentadbir sebuah
negara demokratik dan moden secara adil dan berkesan.
Anggapan bahawa pemerintahan oleh orang Islam, lebih-
lebih lagi dalam sebuah negara berbilang kaum, tidak
mungkin adil dan berjaya jelas tidak benar. Jika orang
Islam benar-benar ingin memajukan negara mereka,
mengembalikan zaman kegemilangan mereka, agama Islam
tidak menjadi penghalang. Sebenarnya jika ajaran Islam
ditafsir tanpa kepentingan politik tertentu dan tafsiran
ini dijadikan panduan, tidak ada sebab kenapa negara
Islam tidak boleh aman dan maju dan mampu menyaingi
negara-negara maju lain dalam apa juga bidang, termasuk
sains dan teknologi dan keupayaan pertahanan seperti yang
dikehendaki oleh agama Islam.
18. Kita boleh berbangga kerana Malaysia, dibawah
pemerintahan yang majoritinya Islam, aman dan maju jaya.
Rakyat Malaysia lebih mewah daripada rakyat kebanyakan
negara membangun yang lain. Dan kita mungkin akan
mencapai kemajuan yang lebih lagi sehinggalah kita dapat
menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
19. etapi kita telah jelaskan bahawa negara maju yang
kita maksudkan bukanlah seperti negara-negara maju yang
ada sekarang, yang walaupun maju tetapi sudah kehilangan
moral dan etika hidup. Negara maju kita tidak perlu
kepada pendapatan per kapita yang sama dengan negara maju
lain. Negara maju yang kita idamkan ialah negara yang
berkebolehan yang sama dalam semua bidang yang penting,
dengan pendapatan yang memberi kehidupan yang selesa
kepada semua rakyat, yang tidak dibeban dengan
kemiskinan, dan lebih penting lagi ialah dengan moral dan
etika serta pegangan kepada agama yang tinggi.
20. Malangnya sementara daripada segi kebolehan dan
ekonomi kita menunjukkan prestasi yang baik, daripada
segi moral dan etika, sudah ada tanda-tanda yang tidak
sihat yang boleh meruntuhkan masyarakat kita.
21. Dalam masyarakat Malaysia sekarang terdapat banyak
keburukan sosial, seperti jenayah juvana, lepak, bohsia,
membuang anak, mendera anak kadang-kadang sampai mati,
pelacuran, penyalahgunaan dadah, rasuah dan berbagai-
bagai jenis penipuan, perceraian dan ibu tunggal, lari
daripada rumah, tidak menghadiri sekolah dan penyakit-
penyakit sosial lain. Walaupun dahulu juga ada masalah-
masalah ini tetapi ianya tidaklah begitu ketara. Jika
peningkatan bilangan kes-kes ini adalah sama dengan
peningkatan bilangan penduduk, kita boleh juga terima.
Tetapi yang jelas ialah masalah-masalah ini meningkat
jauh lebih tinggi daripada peningkatan bilangan penduduk.
22. Yang lebih menyedih dan memalukan orang Islam ialah
gejala-gejala buruk ini terdapat lebih banyak di kalangan
orang Islam daripada orang bukan Islam. Angka-angka
kajian yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa majoriti
daripada mereka yang terlibat dengan masalah sosial
terdiri daripada orang Melayu yang semuanya beragama
Islam.
23. Mungkin kita akan menyalahkan kemewahan yang
terdapat sekarang. Tetapi yang mewah bukan orang Melayu
sahaja. Kaum-kaum lain juga mewah, bahkan lebih mewah
sekarang dari dahulu dan lebih ramai daripada mereka yang
mewah berbanding dengan bilangan Melayu yang mewah.
Lagipun kajian mendapati bahawa gejala-gejala buruk ini
melibatkan semua lapisan orang Melayu daripada golongan
berpendapatan rendah sehinggalah daripada keluarga
jutawan.
24. Mungkin juga kita salahkan peluang yang lebih banyak
sekarang untuk melakukan perbuatan yang tidak baik.
Dadah lebih mudah didapati, pertemuan lelaki-wanita lebih
mudah diadakan, tempat-tempat hiburan seperti kelab malam
lebih banyak, penghijrahan ke bandar lebih ramai dan
sebab-sebab lain lagi. Tetapi semua ini tidak dapat
menjawab soal kenapa lebih ramai orang Melayu dan Islam
yang terlibat dalam gejala-gejala buruk daripada orang
bukan Melayu. Semua kaum di Malaysia terdedah kepada
gejala yang sama.
25. Kita mungkin malu hendak mengakui ada sesuatu
kelemahan pada diri kita yang menyebabkan kita lebih
mudah terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang tidak baik
ini. Tetapi sama ada kita akui atau tidak umum
mengetahui bahawa kita yang beragama Islam lebih banyak
terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang bukan sahaja buruk
dalam pandangan umum tetapi amat bertentangan dengan
ajaran Islam.
26. Dipandang sekaligus masyarakat Islam sekarang lebih
kuat memegang kepada ajaran Islam. Tetapi, jika masalah
yang terdapat dalam masyarakat Islam diambilkira
nampaknya kita lebih utamakan rupabentuk Islam daripada
amalan ajaran yang sebenar. Kita tentu tahu bahawa rupa
dalam Islam tidak sepenting pegangan kepada suruhan dan
larangan yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.
Jika kita pegang betul-betul kepada ajaran Islam sudah
tentu ketahanan kita terhadap hasutan syaitan akan lebih
kuat dan berkesan. Tetapi oleh kerana pegangan kita
terhad kepada rupabentuk dan tidak mendalam maka kita
mudah ditewaskan oleh nafsu kita apabila berhadapan
dengan godaan syaitan.
27. Bahawa orang bukan Islam di Malaysia lebih berjaya
mempertahankan diri daripada hasutan nafsu bermakna
mereka mempunyai sesuatu yang baik yang patut kita tiru.
Tetapi sementara kita mudah meniru yang buruk dari Barat,
umpamanya mengamal budaya `punk', kita tidak pula mudah
meniru dedikasi kepada pelajaran dan kerja yang
ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang bukan Islam.
Apakah salah dan bertentangan dengan agama kita jika kita
meniru yang baik yang dilakukan oleh orang bukan Islam,
sedangkan kita begitu mudah meniru yang buruk sebagai
sebahagian cara hidup mereka.
28. Pada Hari Raya Aidilfitri kita patut bergembira
kerana kita telah menang dalam melawan nafsu. Kita boleh
berseronok. Tetapi di masa yang sama kita perlu insaf
dan sedar tentang gejala buruk yang sedang menyerang
masyarakat Islam di negara kita bahkan di seluruh dunia.
Dengan keinsafan dan kesedaran ini mungkin kita dapat
berusaha untuk menolong membanteras gejala-gejala buruk
dan membina masyarakat Islam yang mulia.
29. Kerajaan mempunyai peranan untuk melawan masalah-
masalah sosial ini. Ia memang tanggungjawab Kerajaan.
Tetapi orang ramai, guru, media dan ibu bapa perlu
membantu Kerajaan. Janganlah sesiapa mempertahankan
amalan-amalan yang buruk kerana apa-apa sebab. Jika kita
bertanggungjawab maka kita hendaklah akui bahawa ada
sesuatu kepada kita yang menyebabkan kita lebih mudah
ditewaskan oleh tekanan kehidupan di zaman ini. Apa
dianya kelemahan ini yang boleh kita kenalpasti? Insya-
Allah selepas itu kita mungkin boleh mengatasinya.
30. Saya berharap kita sama-sama renung perkara ini.
Dalam kegembiraan kerana Hari Raya dan kejayaan-kejayaan
kita, kita tidak harus lupa akan tanggungjawab kita semua
melawan keruntuhan akhlak dalam masyarakat kita.
31. Pada hari yang mulia ini eloklah kita umat Islam di
Malaysia lupakan apa juga perselisihan faham antara kita
dan kita bermaaf-maafan dan bersalam-salaman. Cabaran
yang menghadapi kita jauh lebih besar. Cabaran yang kita
hadapi ialah membela maruah agama kita.
32. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya, isteri dan
keluarga memohon maaf zahir dan batin kepada semua rakyat
Malaysia yang beragama Islam, di dalam dan di luar
negeri.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd.
|