Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
Tarikh/Date : 24/02/97
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KILANG-KILANG
SAMSUNG ELECTRONICS
1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan
Samsung Electronics kerana sudi menjemput saya pada hari
ini untuk merasmikan pembukaan tiga syarikat mereka.
Pembukaan kompleks bernilai RM2 bilion ini melambangkan
keyakinan syarikat ini terhadap suasana pelaburan yang
terdapat di Malaysia.
2. Foreign Direct Investment (FDI) atau pelaburan
langsung asing adalah penting dalam pertumbuhan ekonomi
dan pembangunan Malaysia. Ianya telah menyumbang dengan
nyata sekali kepada pembangunan ekonomi di Malaysia.
Sejak dua setengah dekad yang lalu, kebanyakan keluaran
pengilangan dan peningkatan pesat eksport Malaysia telah
disumbang oleh aktiviti-aktiviti syarikat-syarikat
multinasional, anak-anak syarikat dan syarikat sekutu
mereka. Pelaburan yang dibuat oleh multinasional,
terutama dalam industri elektronik, telah menerajui
orientasi eksport negara sejak tahun 70an. Kejayaan
Malaysia bukan hanya dalam menarik pelabur-pelabur
multinasional ini untuk melabur di Malaysia, bahkan dalam
menyediakan persekitaran yang secukup untuk mereka
membesar dan mempelbagai operasi mereka selaras dengan
keperluan pertumbuhan perniagaan mereka.
3. Industri elektrik dan elektronik terus menjadi
subsektor utama dalam sektor perkilangan daripada segi
keluaran, eksport dan gunatenaga. Dalam tempoh penggal
kedua Pelan Induk Perindustrian Pertama dari tahun 1991
hingga 1995, sektor ini mencatatkan purata pertumbuhan
keluaran sebanyak 30.7 peratus setahun, manakala
sumbangannya kepada eksport dan gunatenaga mencatatkan
kadar pertumbuhan purata sebanyak 30.1 peratus dan 16.8
peratus setiap satu.
4. Industri ini telah mengalami pengubahsuaian
struktur. Industri elektronik pada hari ini merangkumi
berbagai-bagai aktiviti termasuk pengeluaran komponen
elektronik, sehingga kepada barangan pengguna elektronik.
Keadaan sekarang berbeza dari tahun 70an di mana industri
elektronik terhad kepada pengeluaran komponen elektronik
sebanyak 85 peratus keluaran sektor berkenaan. Dengan
kemasukan FDI yang tinggi serta pelaburan domestik pada
penggal kedua tahun 80an pengeluaran barangan elektronik
telah meningkat dengan pesatnya. Industri tersebut pada
amnya telah mengatasi sektor-sektor industri yang lain
daripada segi keluaran dan pertumbuhan selama 25 tahun
yang lalu. Pada hari ini, Malaysia merupakan pengeksport
utama barangan elektronik pengguna, peralatan elektrikal
pengguna dan semikonduktor. Industri tersebut juga telah
mempelbagaikan kegiatan kepada aktiviti-aktiviti R & D.
Ini terbukti dengan peningkatan jumlah syarikat
multinasional yang menubuhkan pusat R & D mereka di
negara ini.
5. Industri ini terus menjadi sektor utama daripada
segi bilangan projek yang diluluskan dan juga menduduki
tempat teratas daripada segi jumlah modal pelaburan yang
diluluskan. Pada tahun 1996, sebanyak 215 projek telah
diluluskan di dalam sektor ini, iaitu 27 peratus daripada
782 projek yang diluluskan di dalam sektor perkilangan.
Projek-projek yang diluluskan ini melibatkan jumlah modal
pelaburan bernilai RM13 bilion, iaitu kira-kira 38
peratus daripada jumlah pelaburan RM34.3 bilion yang
diluluskan di dalam sektor perkilangan. Pelaburan
langsung asing berjumlah RM9.2 bilion atau 71 peratus,
manakala pelaburan tempatan pula ialah RM3.9 bilion atau
29 peratus.
6. Walaupun pelaburan dari Republik Korea tidak
setinggi Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan Singapura,
tetapi pelaburan Korea telah naik mendadak dari tahun
1988. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini pelaburan
Republik Korea merupakan salah satu daripada enam
pelaburan utama di dalam sektor perkilangan. Sehingga
akhir 1996, sebanyak 235 projek yang melibatkan pelaburan
Korea bernilai RM4.6 bilion telah diluluskan bagi sektor
perkilangan. Kebanyakan daripada pelaburan Korea adalah
di dalam sektor keluaran barangan bukan logam, keluaran
elektrikal dan elektronik, kayu dan barangan kayu,
barangan getah dan bahan kimia. Dalam tahun 1996 sahaja,
sejumlah 18 projek dengan penyertaan modal dari Korea
bernilai RM644.3 juta telah diluluskan bagi sektor
perkilangan. Projek elektrikal dan elektronik merupakan
sebahagian besar yang diluluskan, dengan enam projek
bernilai RM17.3 juta yang mempunyai penyertaan Korea.
Samsung yang merupakan sebuah multinasional unggul di
Korea, telah menyumbang ke arah keteguhan prestasi
Malaysia di dalam industri elektronik dunia.
Bagaimanapun terdapat ramai syarikat gergasi Korea yang
aktif di Malaysia tidak membuat pelaburan yang bermakna.
Saya harap mereka akan mencontohi Samsung.
7. Saya berbangga bahawa pelaburan utama Samsung
berpusat di Komplek Seremban ini dan saya pasti negeri
ini telah mendapat faedah daripada kehadiran operasi
Samsung di sini. Saya juga percaya komplek bernilai RM2
bilion yang mengeluarkan monitor warna, casis pemasangan,
tiub sinar katod dan senapang elektron untuk penerima
TV/monitor warna dan kaca panel tergilap dan serombong
untuk tiub gambar warna, telah menyumbang kepada
pembangunan ekonomi di negeri ini.
8. Kerajaan baru sahaja melancarkan Pelan Induk
Perindustrian Kedua (PIP2) yang bertujuan untuk mencapai
ekonomi `Manufacturing Plus Plus'. Di bawah PIP2,
syarikat-syarikat digalakkan untuk mempelbagaikan
aktiviti-aktiviti mereka termasuk keupayaan rekabentuk
dan kemahiran pemasaran, yang akan merintis jalan bagi
pencapaian matlamat sektor perkilangan. Oleh itu, untuk
terus berdaya saing, Malaysia kini sedang beralih
daripada industri berintensifkan buruh dan memberi
tumpuan kepada industri-industri berteknologi dan
bernilai tambah yang tinggi, berintensifkan kepakaran dan
modal dan di mana R & D menjadi komponen yang penting di
dalam fasa pembangunan baru ini.
9. Pada masa ini, industri elektronik keseluruhannya
berasaskan kepada pembuatan semikonduktor dan komponen
lain, komputer dan perkakasan, kelengkapan
telekommunikasi, barangan elektronik pengguna,
kelengkapan elektrikal dan peralatan elektrikal industri.
Teras masa depan di bawah PIP2 akan tertumpu kepada
pengilangan semikonduktor dan komponen `high-end',
elektronik digital, peralatan dan kelengkapan
profesional, kelengkapan industri dan perisian
multimedia. Sebahagian daripada jumlah nilai ditambah
pengilangan barangan industri elektrikal dan elektronik
terdiri daripada semikonduktor, komputer/perisian,
elektronik pengguna, alat dan kelengkapan elektrikal
dijangka meningkat kepada 33.3 peratus pada tahun 2005,
daripada 30.3 peratus pada masa sekarang. Adalah
diharapkan rancangan masa depan Samsung di Malaysia akan
tertumpu kepada keluaran dan aktiviti nilai ditambah yang
tinggi yang merangkumi R&D rekabentuk dan prototaip,
perkilangan, pengedaran dan pemasaran sejajar dengan
strategi semasa untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti
tersebut di kalangan syarikat tempatan dan asing yang
beroperasi di Malaysia.
10. Saya diberitahu satu daripada tiga perniagaan utama
Samsung dalam abad ke-21 ialah di dalam bidang
multimedia. Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, Kerajaan
telahpun melancarkan Koridor Raya Multimedia yang
menawarkan pakej menarik untuk teknologi maklumat dan
logistik infrastruktur, dasar pengawalan, insentif-
insentif dan persekitaran yang secukupnya. Usaha
Kerajaan dalam membangunkan MSC ini akan memperluaskan
peluang-peluang di dalam industri teknologi maklumat.
Ini akan mempercepatkan lagi usaha-usaha Malaysia untuk
menjadi negara perindustrian dengan lebih cepat lagi.
Samsung, syarikat yang telahpun mempunyai pelaburan yang
besar di Malaysia, dialu-alukan untuk menempatkan
aktiviti-aktiviti mereka yang berkaitan dengan multimedia
di MSC.
11. Malaysia akan menjamin persekitaran pelaburan di
Malaysia terus menarik dan `cost-efficient' untuk
syarikat-syarikat yang menubuhkan operasi sejagat mereka
di sini. Oleh itu, saya berharap Samsung akan meneruskan
operasi pembesaran dan mempelbagaikan operasi mereka di
Malaysia. Saya juga menggesa syarikat-syarikat lain,
khususnya syarikat-syarikat Korea, sama ada yang besar
atau yang sederhana untuk mencontohi kejayaan Samsung di
Malaysia supaya menubuhkan operasi yang mempunyai nilai
ditambah yang tinggi dan berintensifkan teknologi di
negara ini.
12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan syarikat-syarikat Samsung, iaitu Samsung
Electron Devices (M) Sdn. Bhd., Samsung Corning (M) Sdn.
Bhd., dan Samsung Electronics Display (M) Sdn Bhd.
|