Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TAMAN REKREASI, MEDAN IDAMAN, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/03/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN KEMPEN MENANAM 
			POKOK SELURUH NEGARA 



   1.    Saya  ucapkan terima kasih kepada pihak  penganjur,
  Kementerian  Perumahan  dan  Kerajaan  Tempatan,   kerana
  menjemput  saya  pada  hari ini untuk  merasmikan  Majlis
  Pelancaran Kempen Menanam Pokok Seluruh Negara ini.

  2.    Wawasan  Kerajaan  ialah untuk menjadikan  Malaysia
  Negara  Taman menjelang tahun 2005.  Apa yang dimaksudkan
  dengan   Negara   Taman   ini   ialah   wujudnya   secara
  keseluruhan  keseimbangan  di antara  kawasan  hijau  dan
  kawasan  pembangunan di dalam negara.  Ia  juga  bermakna
  kehijauan  di  mana  taman-taman dan pokok-pokok  menjadi
  komponen  penting dalam semua pembangunan fizikal.   Bagi
  negara  seperti  Malaysia  yang  banyak  terdedah  kepada
  matahari,   pokok-pokok  dan  tumbuh-tumbuhan  diperlukan
  untuk   memberi  perlindungan.   Penanaman  pokok  dengan
  kuantiti  yang  banyak  boleh  mengubah  iklim  mikro  di
  sesuatu  tempat di samping dapat mengurangkan pencemaran.
  Juga  terdapat banyak faedah daripada penyediaan  kawasan
  hijau  dan  penanaman  pokok  terutamanya  daripada  segi
  peningkatan    keindahan   dan    keselesaan.     Malahan
  persekitaran  yang bersih dan indah berjaya  meningkatkan
  produktiviti rakyat dan negara.

  3.    Seluruh  negara sedang menjalani  pembangunan  yang
  pesat    hasil    pertumbuhan   ekonomi    yang    sangat
  menggalakkan.  Perubahan ketara sedang  berlaku  ke  atas
  alam  sekitar negara di mana sebahagian daripada  kawasan
  hutan  telah bertukar menjadi kawasan pembangunan.  Namun
  pembangunan  tidak seharusnya disertai dengan  pemusnahan
  pokok   dan  kawasan  semulajadi  secara  total.    Dalam
  hubungan  ini, apa yang penting ialah kawalan  dibuat  ke
  atas   pembangunan  supaya  kawasan-kawasan  hijau  dapat
  dikekalkan  di tahap maksima dan pokok yang telah  hilang
  dapat  diganti  melalui penanaman  pokok  baru.   Tekanan
  pembangunan  yang  tinggi, terutamanya  di  bandar-bandar
  utama  jika tidak dikawal dengan baik, boleh menggantikan
  kawasan  hijau  dengan `concrete jungle' yang  hodoh  dan
  tidak  selesa sepertimana yang wujud di kebanyakan negara
  maju.

  4.    Untuk  membentuk satu masyarakat  yang  maju  dalam
  semua  aspek  seperti yang dicita-citakan  dalam  Wawasan
  2020  khususnya,  mutu  hidup kawasan  persekitaran  yang
  selesa  dan  seimbang  diperlukan.  Kualiti  persekitaran
  yang  baik  adalah penting dalam memupuk masyarakat  yang
  sihat    daripada   segi   mental   dan   fizikal   serta
  berkeyakinan.  Dengan adanya persekitaran kehidupan  yang
  teratur   dan  mampan  sahaja  baharulah  Malaysia   akan
  mencapai  taraf negara maju mengikut acuan  kita  sendiri
  menjelang tahun 2020.

  5.    Oleh  itu  usaha untuk menghijaukan  bandar  adalah
  penting.   Sejak  Deklarasi Langkawi 1989  dan  Deklarasi
  Kuala  Lumpur mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan  yang
  dimeteraikan  pada tahun 1992, Kerajaan telah  menekankan
  keperluan  untuk menghijaukan bukan sahaja negara  tetapi
  dunia.   Kita  juga  berpegang kepada pernyataan  prinsip
  bagi  hutan  dalam  Agenda  21  yang  dipersetujui  dalam
  Persidangan Antarabangsa Alam Sekitar di Rio  de  Janeiro
  dalam  tahun  1992,  iaitu semua negara  perlu  mengambil
  bahagian  dalam penghijauan dunia melalui  penanaman  dan
  pemeliharaan pokok.  Sebarang kerja penanaman pokok  yang
  dilaksanakan   tidak  bererti  hanya  bagi   persekitaran
  sendiri  atau  alam  sekitar negara sahaja,  tetapi  juga
  secara  langsung  menyumbang kepada  peningkatan  kualiti
  alam sekitar dunia.

  6.     Malaysia   sedang  mengalami  proses  transformasi
  ekonomi  yang  pesat.   Dengan itu, kita  perlu  bergerak
  pantas  dan  kompetitif.  Negara-negara  maju  telah  pun
  mengguna  unsur-unsur  kecantikan  dan  keselesaan  hidup
  sebagai  komponen penting untuk menarik para pelabur  dan
  pelancong.   Industri  lanskap mereka  berkembang  pesat.
  Dalam  hal  ini, saya yakin dengan sumber  dan  kepakaran
  yang  sedia ada di negara kita, pembangunan lanskap  kita
  boleh  menandingi  pembangunan lanskap  di  negara-negara
  maju.   Apa  yang  penting ialah  kita  mesti  bijak  dan
  profesional   dalam   merancang  dan  melanskap   seluruh
  negara.  Lanskap bukan lagi aspek sampingan  pembangunan,
  malahan   adalah   penyumbang   penting   kepada   sektor
  pelancongan  dan pembangunan ekonomi negara.   Oleh  itu,
  aspek   lanskap  mesti  diwajibkan  dalam  setiap  projek
  pembangunan.  Saya  ingin menyeru kepada  semua  Kerajaan
  negeri  dan pihak berkuasa tempatan supaya menangani  isu
  lanskap   ini   dengan   lebih  serius.    Mereka   mesti
  melengkapkan  keupayaan organisasi  dan  kepakaran  dalam
  bidang ini bagi menghasilkan mutu lanskap yang tinggi.

  7.    Dalam usaha kita menghijaukan sekitaran kita,  kita
  perlu   mengambil  kira  faktor-faktor  tempatan.    Yang
  pertamanya  ialah  penyediaan  ruang  yang  sesuai   bagi
  penanaman  pokok.  Jumlah bangunan dalam  satu-satu  skim
  pembangunan hendaklah dihadkan untuk memberi lebih  ruang
  bagi  kolam  takungan, pokok-pokok  perhiasan  dan  bunga
  yang  boleh  mewarnakan  taman.  Di  samping  kecantikan,
  penanaman  ini  boleh  menolong kita  mengelakkan  banjir
  kilat  dan keruntuhan tanah.  Jika dilihat daripada sudut
  ini,  penanaman pokok dan penyediaan kawasan hijau  dalam
  kawasan  pembangunan adalah sesuatu keperluan  yang  amat
  mustahak.

  8.    Perancangan pembangunan hendaklah disediakan dengan
  kawasan   penanaman   pokok.    Kawasan   ini   hendaklah
  dikekalkan  dan  tidak diambil alih untuk  kegunaan  lain
  apabila  tanah hendak dibangun semula.  Jika  perancangan
  dibuat   dari  mula  lagi,  kawasan  pokok   tidak   akan
  dimusnahkan kerana kegunaan-kegunaan tanah lain.

  9.     Selain  daripada  mewajibkan  penyediaan   kawasan
  lapang  minima  10 peratus, pihak pemaju  juga  hendaklah
  melanskap    dan   mencantikkan   kawasan   lapang    dan
  keseluruhan  kawasan  perumahan dan kawasan  pembangunan.
  Dalam  hal ini, pihak Kerajaan Negeri dan Pihak  Berkuasa
  Tempatan  harus  memastikan rezab lanskap  untuk  tanaman
  pokok   disediakan  di  tepi-tepi  jalan  bagi   mengelak
  pemusnahan  pokok  yang  kerap  berlaku  akibat  daripada
  kerja-kerja   pelebaran  jalan  dan   penyediaan   talian
  utiliti.    Bagi   memastikan   perkara   ini   dipatuhi,
  peraturan  dan  akta berkaitan dengan  lanskap  hendaklah
  diadakan.

  10.   Dalam melaksanakan aktiviti penanaman pokok,  jenis
  pokok  yang  sesuai  hendaklah  ditentukan.   Jika  tidak
  pokok  yang  ditanam  akan  membawa  masalah,  umpamanya,
  mengganggu talian elektrik dan telefon atau akarnya  akan
  merosakkan jalan atau paip air dan kabel di bawah  tanah.
  Cara  menyelenggara  juga adalah penting.   Jika  dibiar,
  pokok  mungkin  condong  dan tidak  tumbuh  dengan  baik.
  Ranting-ranting  juga  perlu  dipotong   secara   teratur
  supaya  tidak terlalu rendang dan menghalang lalu lintas.
  Tiap  pokok mempunyai `character'nya yang tersendiri yang
  perlu     diketahui    supaya    penyelenggaraan    dapat
  menghasilkan  tumbuhan  yang indah  dan  menepati  tujuan
  menanam pokok berkenaan.

  11.   Untuk  kawasan awam, pihak-pihak berkuasa  tempatan
  terutamanya   mempunyai   peranan   yang   penting   bagi
  memastikan   pokok-pokok  yang  telah  ditanam   sentiasa
  dijaga   dengan  baik.   Pihak-pihak  berkuasa   tempatan
  perlulah  memastikan pelaksanaan satu  bentuk  pengurusan
  penyelenggaraan  yang sempurna dalam kawasan  pentadbiran
  mereka.   Janganlah kita anggap tanggungjawab  dan  kerja
  kita  tamat  apabila pokok ditanam.  Penjagaan  sepanjang
  masa  tidak kurang pentingnya daripada penanaman,  bahkan
  mungkin lebih penting.

  12.    Untuk   menanam  pokok  di  seluruh  negara   ini,
  penyediaan  stok tanaman perlu ditingkatkan.   Sebenarnya
  masalah  stok `planting material' amat mudah  diatasi  di
  Malaysia.   Iklim  Malaysia  dan  tanahnya  begitu  subur
  sehingga  apa  sahaja  yang ditanam dapat  tumbuh  dengan
  baik.   Namun  demikian  cara  menyelenggara  benih  yang
  ditanam   memerlukan  pendekatan  yang  separa  saintifik
  sekurang-kurangnya.  Kerajinan dalam mengawasi juga  amat
  penting.

  13.    Penanaman  pokok  secara  komersil  tidak   begitu
  menguntung  kerana kos tanah yang tinggi  dan  masa  yang
  amat  panjang  sebelum  hasil  diperolehi.   Justeru  itu
  siapa  sahaja  yang  memiliki  tanah  lapang  yang  tidak
  diguna,  umpamanya  di tepi jalan raya dan  sungai-sungai
  atau  di  mana sahaja ada kawasan yang tidak akan  diguna
  buat  beberapa  lama,  pokok  hendaklah  ditanam  sebagai
  punca  bekalan pokok `instant'. Jika pemilik tanah,  sama
  ada  kuasa tempatan, Kerajaan atau swasta tidak berminat,
  mereka   hendaklah   membenarkan  pihak   yang   berminat
  menggunakan  tanah  mereka  untuk  tanaman  pokok  dengan
  bayaran  nominal sahaja untuk tanah.  Sebaliknya  pemilik
  tanah  yang  enggan  memberi kebenaran tetapi  membiarkan
  tumbuh-tumbuhan   yang   tidak   sempurna   tumbuh   atau
  menjadikan  tempat  membuang sampah  atau  diduduki  oleh
  setinggan,  pihak  kuasa  tempatan  hendaklah  mengenakan
  bayaran atau denda tertentu.

  14.   Keindahan dan keselesaan adalah satu keperluan asas
  bagi   masyarakat  Malaysia  yang  semakin   makmur   dan
  canggih.  Untuk itu piawaian dan syarat yang khusus  bagi
  penyediaan  kawasan  lapang  dan  penanaman  pokok  perlu
  diadakan    dan   dipatuhi.    Pemaju-pemaju    perumahan
  seharusnya  peka terhadap kehendak masyarakat.   Lagipun,
  taman  perumahan  yang disediakan dengan  kehijauan  yang
  secukupnya   akan   lebih  menarik  minat   pembeli   dan
  mempunyai nilai pulangan yang lebih baik.

  15.   Selain  daripada kawasan perumahan, kawasan-kawasan
  bandar,  kawasan pelancongan dan kawasan  industri  perlu
  juga diberi penekanan untuk dilanskap dan diindahkan.

  16.   Tugas untuk menjadikan Malaysia `Negara Hijau' yang
  indah  bukanlah  tanggungjawab yang  harus  dipikul  oleh
  Kerajaan  semata-mata, malahan ianya adalah tanggungjawab
  bersama  semua pihak.  Oleh itu, saya menyeru pihak-pihak
  swasta,  pekilang,  pemaju,  sektor  korporat  dan  orang
  perseorangan  untuk  tampil ke  hadapan  membantu  menaja
  lampu-lampu  dan program-program lanskap di bandar-bandar
  dan   kampung-kampung  di  seluruh   negara.    Syarikat-
  syarikat   bekalan  elektrik,  termasuk   IPP   hendaklah
  memberi  sumbangan kepada lampu hiasan sama  ada  melalui
  tarif  yang  rendah  atau dengan  membayar  tarif  kepada
  Tenaga Nasional yang menjadi pembekal tunggal.

  17.   Pelancaran kempen menanam pokok secara serentak  di
  seluruh negara pada hari ini menandakan bermulanya  usaha
  menanam   pokok   secara  besar-besaran  untuk   mencapai
  matlamat  tiga  juta pokok pada tahun 2000  dan  20  juta
  pokok  pada tahun 2020.  Untuk menentukan kejayaan kempen
  ini  ada  baiknya jika tiap negeri mengadakan  satu  hari
  yang   dikhaskan  untuk  tiap  seorang  penduduk  menanam
  sepohon  pokok  di  tempat tertentu.  Dengan  usaha  ini,
  diharapkan  suasana kehijauan, keindahan  dan  keselesaan
  akan  menjadi  sebahagian daripada  kehidupan  masyarakat
  negara  ini.  Kerajaan-Kerajaan  negeri  dan  pihak-pihak
  berkuasa    tempatan   adalah   bertanggungjawab    untuk
  memanjangkan  hasrat ini kepada semua pihak  dan  seluruh
  rakyat.    Kepada  semua  agensi  Kerajaan,   pihak-pihak
  swasta,  badan-badan bukan Kerajaan  dan  individu,  saya
  juga   menyeru  supaya  sama-sama  melibatkan  diri  bagi
  menjayakan  kempen  ini. Semoga dengan  adanya  kerjasama
  yang   rapat  antara  semua  pihak,  bukan  sahaja  dalam
  melaksanakan   kempen  ini  tetapi   juga   usaha   untuk
  mempertingkatkan  lanskap  negara,  kita   akan   berjaya
  menjadikan cita-cita `Negara Hijau' yang indah  ini  satu
  kenyataan.

  18.   Dengan  itu,  saya  dengan sukacitanya  melancarkan
  Kempen Menanam Pokok Seluruh Negara.

 
 



 
Google