Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA ARAU, PERLIS
Tarikh/Date : 15/03/97
Tajuk/Title : PENERIMAAN ANUGERAH CEMERLANG
DIRAJA YAYASAN TUANKU SYED
PUTRA PERLIS
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih serta
penghargaan kepada Tuanku dan Yayasan Tuanku Syed Putra
Perlis kerana memilih saya untuk menerima Anugerah
Cemerlang DiRaja ini. Dengan rasa penuh kesyukuran
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dengan perasaan
rendah diri saya menerima dengan ikhlasnya anugerah ini.
2. Pengurniaan ini adalah satu penghormatan kepada
diri saya yang menyanjung tinggi terhadap kepercayaan
yang diberikan. Ia juga adalah satu tanggungjawab.
Dengan penerimaan ini sudah tentu harapan rakyat
terhadap apa juga sumbangan saya tentulah lebih besar
dan tinggi. Adalah diharapkan sumbangan ini akan
memenuhi harapan rakyat dan negara, insya-Allah.
3. Tidak terlintas pun di hati saya bahawa apa juga
usaha dan sumbangan terhadap rakyat dan negara perlu
mendapat balasan dari mana-mana pihak. Ini ialah kerana
usaha dan sumbangan terhadap rakyat dan negara memang
pun menjadi satu tanggungjawab seorang pemimpin yang
dipilih oleh rakyat sendiri. Lagipun sumbangan yang
telah diberi selama ini yang mungkin telah membawa
kepada kejayaan negara adalah hasil kerjasama berbagai-
bagai pihak termasuk anggota Kerajaan, pemimpin-pemimpin
lain dan rakyat sendiri. Tanpa kerjasama dan sokongan
semua pihak, negara dan rakyat Malaysia tidak akan
mencapai kejayaan seperti pada hari ini.
4. Kita di Malaysia sungguh bertuah kerana negara kita
bukan sahaja stabil dengan rakyat berbilang kaum hidup
aman damai, bahkan negara kita juga maju dan makmur.
Kestabilan politik telah membolehkan kepimpinan di semua
peringkat merancang berbagai-bagai program pembangunan
yang memberi faedah kepada rakyat. Negara sudah tentu
tidak berupaya untuk membangun dan maju walaupun kita
mempunyai banyak sumber asli jika kita membuang masa
bersengketa, dan berebut-rebut tempat bagi diri sendiri.
Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak
memelihara keamanan dan kestabilan negara.
5. Sementara kemajuan di sesetengah negara tertumpu
kepada golongan tertentu dan kawasan-kawasan atau daerah-
daerah tertentu, semua golongan rakyat dan negeri di
negara kita mendapat manfaat daripada pembangunan dan
kemajuan negara. Justeru itu, tidak ada negeri-negeri
di dalam Malaysia yang tidak mendapat kemajuan atau
pembangunan. Perlis sendiri pada hari ini di bawah
naungan Tuanku Raja Perlis adalah jauh lebih maju dari
dahulu dan kini membangun dengan pesat. Inilah antara
keunikan strategi pembangunan negara kita. Semua negeri
turut sama dibangun dan dimajukan.
6. Dalam era Teknologi Maklumat atau IT sekarang
negara tidak boleh berdiam diri dengan hanya memerhati
kemajuan IT tanpa membuat sebarang persediaan. Kita
akan ketinggalan sepertimana dahulu negara-negara yang
enggan menerima perindustrian telah tertinggal dan tidak
dapat maju. Oleh sebab itu Kerajaan telah menubuhkan
satu kawasan yang dipanggil Koridor Raya Multimedia
untuk menarik pelabur-pelabur asing dan tempatan
menempatkan kegiatan-kegiatan multimedia mereka di
kawasan tersebut.
7. Kita yakin dengan negara membuat persediaan awal
untuk memasuki era IT ini, Malaysia akan terus maju dan
makmur. Kerajaan yakin rakyat dan negara akan mendapat
manfaat daripada penglibatan kita secara serius dalam IT
ini.
8. Apa yang diperlukan untuk menentukan usaha terbaru
kita ini akan berjaya ialah sokongan dan kerjasama semua
pihak. Adalah diyakini bahawa semua negeri termasuk
Perlis akan menikmati faedah daripada penglibatan negara
dalam IT.
9. Sekali lagi diucapkan terima kasih kepada Tuanku
dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis diatas
penganugerahan ini. Penganugerahan ini akan menguatkan
semangat dan keazaman saya untuk menyumbang bakti demi
agama, bangsa dan negara.
|