Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUANTAN, PAHANG
Tarikh/Date : 17/03/97
Tajuk/Title : PEMBUKAAN W.R. GRACE PACKAGING
(MALAYSIA) SDN. BHD
1. Saya ucapkan terima kasih kepada W.R. Grace &
Company kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan
syarikat W.R. Grace Packaging (Malaysia) Sdn. Bhd. dan
Syarikat W.R. Grace Specialty Chemicals (Malaysia) Sdn.
Bhd. pada hari ini. Malaysia gembira dengan langkah
syarikat yang mempunyai pengkhususan di bidang
pembungkusan dan kimia membuat pelaburan yang bermodal
intensif serta berteknologi tinggi di Malaysia. Ini
membuktikan keyakinan syarikat dengan iklim pelaburan
Malaysia dan negeri Pahang khususnya.
2. Malaysia mengalu-alukan usahasama perniagaan yang
berorientasikan eksport dan teknoloji tinggi seperti ini
kerana ia dapat membantu meletakkan Malaysia dipeta
dunia sebagai pengeluar dan pengeksport keluaran
pengilangan yang canggih dan bertaraf antarabangsa.
3. Pelaburan yang dibuat oleh W.R. Grace ini adalah
selaras dengan penekanan Malaysia supaya sektor
perkilangan mengeluarkan barangan berteknologi tinggi
untuk menampung keperluan pasaran dunia. Pada masa ini,
industri kimia dan keluaran kimia adalah antara sektor
eksport yang utama di Malaysia dan industri ini dijangka
akan memberi kesan penting kepada ekonomi di masa akan
datang. Nilai output industri ini, tidak termasuk
keluaran petroliam dan gas asli, dianggarkan sebanyak
RM11.6 bilion dalam tahun 1995, manakala eksport kimia
dan keluaran kimia (termasuk barangan plastik) pula
adalah sebanyak RM5.7 bilion. Sektor ini mencatatkan
kadar pertumbuhan eksport purata sebanyak 33.9 peratus
berbanding dengan kadar pertumbuhan eksport purata
barangan perkilangan sebanyak 25.8 peratus dalam
jangkamasa lima tahun iaitu dari tahun 1991-1995.
4. Di sektor kimia dan keluaran kimia di Malaysia,
industri barangan plastik dibentuk (fabricated plastic
products) adalah salah satu daripada sektor yang paling
dinamik. Dalam tahun 1996, nilai penjualan industri ini
dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion di mana 30 peratus
adalah di dalam sektor pembungkusan. Sungguhpun
pertumbuhan industri plastik agak meningkat, tetapi
penggunaan per kapitanya masih rendah jika dibandingkan
dengan negara-negara maju. Justeru itu, masih terdapat
banyak lagi potensi dalam sektor pembungkusan ini yang
mana dijangka akan terus berkembang selaras dengan
pertumbuhan ekonomi dan penduduk negara ini yang semakin
mewah.
5. Saya difahamkan bahawa `specialised shrink film'
yang dikeluarkan oleh W.R. Grace di sini bukan hanya
untuk sektor makanan sahaja tetapi juga untuk sektor
bukan makanan dan sebahagian besarnya dieksport ke
pasaran Asia-Pasifik. Saya gembira W.R Grace sedar akan
potensi pertumbuhan plastik yang dinamik di rantau ini
dan telah memilih Malaysia sebagai salah satu daripada
lokasi global untuk operasi keluaran pembungkusan dan
keluaran silika `speciality' ini. Saya percaya ini akan
menguntungkan syarikat-syarikat multinasional yang lain
yang akan mengikut visi jangka panjang dan orientasi
global syarikat W.R.Grace untuk mencari peluang-peluang
yang baik di negara ini yang mempunyai pertumbuhan
ekonomi yang dinamik bagi memperluaskan perniagaan
mereka.
6. Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada
kehadiran pelaburan langsung asing (FDI) di dalam sektor
perkilangan. Amerika Syarikat adalah antara pelabur
utama di sektor perkilangan di Malaysia. Sehingga 1996,
terdapat 528 projek daripada Amerika Syarikat dan
pelaburan sebanyak RM15.0 bilion telah diluluskan di
sektor perkilangan ini. Dalam tahun 1996 sahaja,
pelaburan yang diluluskan dari Amerika Syarikat telah
meningkat 60.6 peratus iaitu daripada RM 1.8 bilion pada
tahun 1995 kepada RM2.9 bilion pada tahun 1996. Walau
bagaimanapun pelaburan dari Amerika Syarikat tertumpu
kepada industri elektrikal dan elektronik, kimia dan
keluaran kimia, keluaran getah, keluaran petroliam,
makanan dan peralatan pengangkutan.
7. Memandangkan sektor perkilangan kini semakin
penting dan akan memainkan peranan yang lebih besar,
maka industri kimia dan keluaran kimia akan terus
dibangunkan dengan pesat sebagai kelompok rantaian
antarabangsa di dalam tempoh 10 tahun akan datang di
bawah Pelan Induk Perindustrian Kedua (PIP2), sejajar
dengan strategi Malaysia yang berorientasikan global.
Selaras dengan Strategi Perkilangan Berganda, industri
ini akan digalakkan untuk beralih kepada aktiviti yang
mempunyai nilai ditambah yang tinggi, berorientasikan
hiliran dan awalan supaya aktiviti dan keluarannya lebih
meluas. Di bawah PIP2, sektor polimer juga dijangka
beralih kepada pembangunan keluaran dan aktiviti `high-
end' dan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.
8. W.R Grace dikenali sebagai antara syarikat-syarikat
awal yang membuat pembaharuan untuk keluaran, proses dan
aplikasi baru dan mempunyai keupayaan teknikal dan
pemasaran untuk mengembangkan perniagaan mereka secara
global. Justeru itu, Malaysia mengalu-alukan syarikat
ini untuk membesar dan mempelbagaikan operasi mereka di
bidang keluaran pembungkusan fleksibel, sistem dan
aplikasinya dan keluaran dan sistem bahan silika
berprestasi tinggi.
9. Saya difahamkan bahawa W.R.Grace juga merupakan
pembekal utama dunia untuk `refinery and polyolefin
catalysts', `specialty polymer' dan barangan rawatan
perubatan seperti cecair dialisis. Bidang ini mewakili
bidang `high-end' sektor kimia dan keluaran perubatan
yang mana Malaysia berhasrat untuk membangunkannya di
masa hadapan. Oleh yang demikian, saya berharap
W.R.Grace akan menimbang untuk meluaskan pelaburannya di
Malaysia di masa akan datang. Dalam masa jangka pendek
terdekat, saya berharap mereka akan membesar dan
pelbagaikan operasi awal mereka di Malaysia sama seperti
syarikat-syarikat Amerika yang sedia ada, yang besar dan
sederhana besar, yang yakin bahawa operasi di Malaysia
amat menguntungkan dan oleh itu telah menambahkan
operasi pengilangan mereka di negara ini termasuk
menempatkan aktiviti pemasaran dan R&D mereka.
10. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan kedua-dua kilang W.R. Grace, iaitu W.R. Grace
Packaging (Malaysia) Sdn. Bhd. dan W.R. Grace Specialty
Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd.
|