Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	GAMBANG, KUANTAN, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	17/03/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN MEC DAN MEC CITY 



   1.    Saya  ucapkan  terima kasih kepada  pihak  Malaysia
  Electric  Corporation  Bhd (MEC)  kerana  menjemput  saya
  untuk  merasmikan  pelancaran MEC dan MEC  City  di  sini
  hari  ini.  Saya yakin Projek MEC ini akan dapat membantu
  proses  perindustrian  negara dan  menolong  mengurangkan
  deficit  imbangan  bayaran dengan  mengeksport  barangan-
  barangan   yang   dikeluarkan  dan  mengurangkan   import
  barangan yang sejenis dengannya.
  
  2.    Projek MEC yang besar ini, selain daripada  memberi
  faedah  kepada  rakyat  daripada segi  pulangan  ekonomi,
  juga   melambangkan  tahap  kemajuan  pengusaha  Malaysia
  dalam   industri   pembuatan,  khususnya   dalam   bidang
  `electrical  and electronic appliances'.   Sehingga  kini
  `electrical   appliances'  yang  digunakan  di   Malaysia
  diimport  dari  negara lain atau mempunyai  jenama  bukan
  Malaysia  walaupun  dibuat  atau  dipasang  di  Malaysia.
  Rakyat  Malaysia  sendiri tidak begitu  sanggup  menerima
  barangan  elektrik dan elektronik buatan Malaysia  kerana
  dipercayai  kita tidak mampu mengeluarkan barangan  jenis
  ini   yang   bermutu.   Sebenarnya  kebanyakan   barangan
  elektrik   berjenama  asing  dibuat  di   Malaysia   oleh
  syarikat-syarikat  kepunyaan  pengusaha  Malaysia  secara
  kontrak.   Banyak  juga  daripada  syarikat-syarikat  ini
  telah   mengambilalih  syarikat  asing  dan  mengeluarkan
  barangan  dengan  jenama asing.   Barangan  ini  diterima
  oleh  rakyat Malaysia kerana mereka percaya barangan  ini
  bukan  direka  dan  dikeluarkan oleh  syarikat  Malaysia.
  Kita  juga  percaya bahawa jika jenama Malaysia digunakan
  maka orang asing tidak akan menerimanya.
  
  3.    Masanya sudah tiba bagi kita di Malaysia  mempunyai
  lebih  kepercayaan kepada diri kita dan  kemampuan  kita.
  Sebenarnya  barangan buatan kita mempunyai  kualiti  yang
  sama  dengan barangan import dari negara asing.  Dan  ini
  diiktiraf oleh orang asing kerana mereka sanggup  membeli
  barangan  jenama  asing yang dibuat di Malaysia.   Mereka
  tentu  sanggup membeli barangan kita yang berkualiti  dan
  mempunyai  harga yang berpatutan.  Justeru itu, pengusaha
  dari  Malaysia harus memasuki industri pembuatan barangan
  yang  canggih.   Percayalah besar kemungkinan  kita  akan
  berjaya.
  
  4.    Kerajaan mengalu-alukan penubuhan Syarikat Malaysia
  Electric  Corporation  yang  akan  mengeluarkan  barangan
  elektrik  dengan  jenama  MEC.  Ianya  memenuhi  kehendak
  Kerajaan   dan  keperluan  negara  supaya  kita  memasuki
  bidang   ini  secara  besar-besaran.   Jika  kita   ingin
  menembusi  pasaran dunia tidak ada jalan  lain  melainkan
  mengadakan  perusahaan  secara besar-besaran.  Perusahaan
  kecil   tidak  mungkin  mencapai  `economies  of  scale',
  mengadakan  bekalan yang cukup untuk pasaran  dunia  yang
  besar,  membelanja wang untuk `Research and Development',
  mengeluarkan  jenis  produk  yang  banyak  dan  mempunyai
  jaringan  pemasaran  yang meliputi seluruh  dunia.   Kita
  tentu tahu kita tidak mungkin menjadi pembekal getah  dan
  minyak  sawit di pasaran dunia jika kita hanya  mempunyai
  ladang-ladang kecil yang diurus secara tidak tertib.
  
  5.    MEC  adalah suatu perusahaan yang dirancang  secara
  besar-besaran.   Cadangan  untuk  mengadakan   MEC   City
  seluas  3000 ekar menunjukkan skala industri  ini  sesuai
  dengan  matlamat Malaysia untuk memasuki  bidang  ini  di
  peringkat   dunia.   Saya  percaya  matlamat  MEC   boleh
  dicapai, insya-Allah.
  
  6.    Memang pun semua perniagaan menghadapi risiko.  MEC
  mungkin  gagal.  Tetapi jika kita tidak cuba sudah  tentu
  kita  tidak akan berjaya langsung.  Sebaliknya jika  kita
  cuba  dan  kita  menghadapi masalah, usaha  boleh  dibuat
  untuk  memulihnya.   Banyak sudah syarikat-syarikat  yang
  gagal yang dapat dipulihkan.  Saya yakin juga bahawa  MEC
  mempunyai besar kemungkinan untuk berjaya.
  
  7.    Jenis-jenis barangan yang akan dikeluarkan oleh MEC
  termasuk  dalam  tafsiran `white goods' atau  `electrical
  appliance'.    Sebenarnya  bilangan   jenis   `electrical
  appliance'   amatlah   banyak.   Kuasa   elektrik   boleh
  digunakan  untuk menjana alat-alat yang boleh meringankan
  kerja   harian   kita.   Semakin  lama   semakin   banyak
  `appliance'  yang akan dicipta dan dikeluarkan.   Melalui
  promosi  pemasaran  jenis  `appliance'  yang  baru   akan
  diguna  oleh  pengguna.   Terpulanglah  kepada  pengeluar
  untuk memajukan pasaran barangan ini.
  
  8.     Untuk   tidak  ketinggalan  maka   MEC   hendaklah
  mempunyai bahagian R & D yang besar dan peruntukan  untuk
  R  &  D  yang mencukupi.  Barangan elektrik mudah menjadi
  `out-of-date' dan pengguna menjadi bosan dengan  barangan
  berkenaan.  Oleh itu sepanjang masa produk `upgrade'  dan
  `innovation'   mesti  dibuat  setelah   mengkaji   reaksi
  pengguna  terhadap produk tertentu.  Kualiti adalah  satu
  perkara   yang   perlu  diberi  perhatian  yang   serius.
  Demikian  juga  perkembangan sains  dan  teknologi  dalam
  bidang  elektrik dan elektronik yang mungkin dapat diguna
  dalam  alat-alat ini.  Penggunaan microchip dalam  alatan
  MEC  menunjukkan  kemampuan MEC mengguna  teknologi  yang
  baru.
  
  9.    Wang  yang  dibelanja untuk R & D bukan pembaziran.
  R & D amatlah  penting  jika  sesuatu  perusahaan  hendak
  dikekalkan  dan daya saingannya dipertahankan.  Kos R & D
  hendaklah  dijadikan  kos  biasa  bagi  semua perusahaan.
  Sebahagian aripada budget perlu diperuntukkan untuk R & D.
  
  10.   MEC  merupakan syarikat pertama  di  Malaysia  yang
  memasuki  bidang  `electrical appliances'  secara  besar-
  besaran.   Saya percaya syarikat lain juga akan  memasuki
  bidang  ini tidak lama lagi.  Persaingan antara  syarikat
  di  Malaysia  adalah dianggap sihat.   Tetapi  persaingan
  hendaklah  dibuat  secara tertib  dan  berprinsip.   Saya
  percaya  satu  hari  nanti  jenama-jenama  Malaysia  akan
  semua  terkenal  seperti jenama Jepun  dan  Eropah.   Ini
  bukan  mustahil  tetapi  rakyat  Malaysialah  yang  boleh
  menentukan  sama  ada  ini dicapai  atau  tidak.   Rakyat
  Malaysia  yang dimaksudkan bukanlah semata-mata  pengguna
  tetapi juga pekerja dan pengurus.
  
  11.   Penyumbangan MEC akan terus dirasai di  negara  ini
  kerana   dengan   wujudnya  barangan  elektrikal   buatan
  Malaysia  ini  lebih ramai rakyat kita akan  mampu  untuk
  membeli  produk-produk ini.   Tidak syak lagi taraf  mutu
  hidup  rakyat  Malaysia akan meningkat.  Pembangunan  MEC
  City  tentu  sekali  akan  dapat menjadikan  Kuantan  dan
  Pantai   Timur   sebagai   kawasan   perindustrian   yang
  berdayamaju   dan  akan  menolong  membangunkan   ekonomi
  Pantai  Timur.  Dengan ini maka akan tercapailah imbangan
  pembangunan di Semenanjung.
  
  12.    Dengan  kata-kata  ini,  saya  dengan  sukacitanya
  merasmikan pelancaran projek MEC dan MEC City.

 
 



 
Google