Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TOKYO, JEPUN
Tarikh/Date : 26/03/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM OLEH PERDANA
MENTERI JEPUN, RYUTARO HASHIMOTO
1. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi penghargaan
atas sambutan mesra yang diberikan kepada saya, isteri
saya dan juga delegasi Malaysia oleh Tuan Yang Terutama
dan Kerajaan Jepun. Saya dan isteri juga merasa amat
berbesar hati kerana diterima mengadap Maharaja dan
Maharani Jepun pada pagi ini. Masih segar lagi dalam
ingatan saya layanan dan sambutan mesra yang serupa
daripada Kerajaan Jepun semasa lawatan saya yang pertama
ke sini kira-kira 13 tahun yang lalu. Lawatan itu telah
memberi inspirasi kepada saya untuk mengukuhkan Dasar
Pandang ke Timur. Dasar itu telah banyak membantu dalam
memperkukuhkan asas hubungan dua hala negara kita.
2. Tahun ini suasana adalah amat baik untuk
meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin
rapat di antara Malaysia dan Jepun. Lawatan Tuan Yang
Terutama ke Kuala Lumpur pada bulan Januari yang lepas
adalah satu permulaan dan telah memberikan kesempatan
kepada kita untuk bertukar-tukar pandangan secara
berterus-terang mengenai berbagai-bagai isu yang
berkaitan di dalam meningkatkan hubungan baik di antara
kedua-dua negara kita. Hasilnya, bukan sahaja kita dapat
mengenalpasti dan meneliti rintangan-rintangan yang boleh
menjejaskan hubungan dua hala kita tetapi lebih penting
kita telah bersetuju untuk mencari jalan untuk menangani
masalah-masalah ini.
3. Hari ini kita telah dapat bertukar-tukar pendapat
sama ada kita telah berjaya membuat kemajuan dalam isu-
isu berkenaan. Bahawa kita telah berjumpa dan
bermesyuarat di antara kita dan di antara pegawai-pegawai
kanan kita menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk
mewujudkan hubungan dua hala yang lebih rapat dan
berkesan. Saya sesungguhnya berharap bahawa mekanisma
yang kita telah wujudkan bagi perundingan dua hala akan
dapat diteruskan dan membantu kita mencapai matlamat kita
sebagai rakan demi untuk kemajuan.
4. Malaysia dan negara-negara lain di Asia tidak
melihat Jepun hanya sebagai satu sumber pelaburan dan
tempat pasaran untuk barangan kami. Pada kami, negara
Jepun adalah lebih daripada itu. Malaysia terutamanya
mendapat inspirasi daripada kejayaan dan pencapaian di
negara Jepun. Sentimen kita terhadap Jepun adalah amat
mendalam kerana hubungan kita begitu mesra dan berkait
rapat dengan pembangunan semula dan kejayaan ekonomi
Jepun.
5. Kebanyakan daripada kami, terutamanya mereka yang
tergolong daripada generasi saya telah melihat bagaimana
Jepun berjaya membangunkan semula ekonominya yang telah
musnah akibat peperangan. Jepun banyak memberikan
penumpuan kepada negara-negara membangun di Asia termasuk
Malaysia sebagai pasaran utamanya. Negara-negara ini
umumnya miskin dan negara-negara miskin dengan kuasa
membeli yang lemah lazimnya tidak boleh menjadi pasaran
yang baik. Sama ada kerana tiada pilihan atau satu
keputusan ekonomi yang bijak, Jepun telah melabur dalam
kemudahan pengeluaran dengan mengambil peluang atas
kelebihan-kelebihan perbandingan termasuk kos pengeluaran
yang rendah yang ditawarkan oleh negara-negara miskin
itu. Apabila Jepun maju sehingga menjadi gergasi ekonomi
dunia, negara-negara miskin ini secara perlahan-lahan
juga turut menjadi makmur dan kini menjadi pasaran yang
baik bagi barangan Jepun.
6. Tidak dapat diragukan bahawa pelaburan Jepun,
kerjasama ekonomi dan bantuan yang diberikan kepada
negara-negara miskin sebelum ini telah membantu negara-
negara berkenaan memajukan infrastruktur sosio ekonomi
mereka dan mencapai kemajuan ekonomi yang baik. Negara-
negara ini sebaliknya kini membuka pasaran-pasaran mereka
kepada Jepun dan telah membantu meningkat dan memajukan
ekonomi Jepun. Malaysia adalah salah satu negara yang
mendapat faedah daripada perkembangan ekonomi luar Jepun
dan ia kini menikmati pelaburan Jepun yang besar serta
menjadi pasaran yang terbuka luas bagi barangan dan
perkhidmatan Jepun.
7. Kita kini berada tiga tahun lagi sebelum memasuki
abad baru dan alaf baru. Kemajuan teknologi dan
perkembangan ekonomi dunia yang pesat sekali memaksa kita
untuk menilai dan membina semula perhubungan kita bagi
mengeksploit potensi kerjasama ke tahap yang lebih
tinggi. Jepun adalah rakan dagang dan pelabur asing yang
terbesar di Malaysia. Jepun telah memainkan peranan yang
penting dan banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi
Malaysia. Saya berharap Jepun tidak sahaja akan
meneruskan statusnya sebagai rakan dagang dan pelabur
asing terbesar di Malaysia tetapi juga akan meningkatkan
penglibatannya selaras dengan perubahan di Malaysia di
mana penekanan kini dibuat terhadap pelaburan dalam
sektor teknologi tinggi dan yang berintensifkan modal.
Projek Koridor Raya Multimedia yang baru sahaja
dilancarkan di Malaysia adalah satu bidang di mana kami
ingin mendapat penglibatan Jepun.
8. Saya adalah penyokong kuat dasar `memajukan jiran'
(prosper thy neighbour). Sejarah perkembangan ekonomi
rantau kita baru-baru ini jelas membuktikan kebijaksanaan
falsafah ini. Oleh kerana komitmen kami terhadap
semangat membantu orang lain inilah yang telah membawa
rantau ini menjadi satu pusat pertumbuhan dunia dengan
ekonominya yang cergas dan dinamik. Marilah kita terus
memperkukuhkan kerjasama kita hingga menjadi satu rakan
kongsi yang kuat demi untuk membawa kebaikan kedua-dua
pihak.
|