Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/04/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA
ULANGTAHUN PENERBANGAN
MALAYSIA KE-50
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Syarikat
Penerbangan Malaysia atau MAS, kerana menjemput saya
untuk menghadiri majlis jamuan malam sempena pelancaran
rasmi sambutan Ulangtahun ke-50 Penerbangan Malaysia.
2. Perayaan ulangtahun ini begitu bermakna sekali bagi
saya kerana seperti rakyat Malaysia yang lebih kurang
sama tua dengan saya, saya telah saksikan pertumbuhan dan
perubahan yang berlaku kepada syarikat penerbangan kita
ini sejak ianya dilahirkan. Tepat 50 tahun lalu,
syarikat pelopornya, Malayan Airways Limited atau MAL,
telah mencipta sejarah apabila ia membuat penerbangan
sulungnya dengan menggunakan pesawat jenis Airspeed
Consul. Syarikat ini beroperasi sehinggalah Singapura
terpisah dari Malaysia.
3. Selepas pemisahan Singapura, MAL telah disusun
semula menjadi MSA atau Malaysia-Singapore Airlines.
Kemudian daripada itu terdapat perbezaan pendapat antara
Malaysia dan Singapura tentang peranan MSA. Sementara
Singapura ingin terbang ke Eropah, Malaysia berpendapat
MSA sepatutnya tumpu semata-mata kepada destinasi dalam
negara sahaja, dengan hanya beberapa penerbangan ke
Bangkok dan Hong Kong. Kita anggap kita tidak layak
bersaing dengan syarikat penerbangan Eropah seperti
British Overseas Airways Corporation dan lain-lain. Kita
tidak mempunyai cita-cita besar dan kita tidak yakin
bahawa negara kita mampu mencabar jaguh-jaguh dunia,
lebih-lebih lagi dari Eropah.
4. Dengan pendirian ini kita bukan sahaja berpendapat
kita harus membahagikan MSA kepada negara masing-masing,
tetapi segala hak mendarat di negara asing yang telah
diperolehi digugurkan oleh kita dan diberi kepada
Singapura. Dengan itu apabila kemudian kita cuba
mendapat hak pendaratan untuk MAS secara berasingan kita
diberitahu hak itu sudah pun diberi kepada Malaysia
tetapi dipindah dengan persetujuan kita sendiri untuk
penerbangan negara lain.
5. Buat beberapa tahun selepas MAS ditubuh,
penerbangannya terhad kepada laluan dalam negeri sahaja.
Tetapi, Alhamdulillah, pengurusan MAS akhirnya sedar
bahawa kita berhak dan sepatutnya terbang ke Eropah dan
destinasi-destinasi lain. Dengan itu bermulalah sejarah
MAS sebagai sebuah penerbangan antarabangsa atau
`international airline' yang sebenar.
6. Sejarah ini tidak patut dilupai oleh kita kerana ia
menjadi pengajaran yang besar bagi kita semua dan bagi
pengurusan MAS sendiri. Kita bukan berangan-angan untuk
menjadi besar sedangkan kita tidak mampu. Sebenarnya ia
bukan angan-angan dan kita bukan tidak mampu. Kita
berhak dan kita mampu, tetapi sama ada kita berjaya
menebus kesilapan kita atau tidak bergantunglah kepada
pelajaran yang kita perolehi daripada sejarah kita.
7. Malaysia mempunyai strategi yang tersendiri untuk
pembangunan ekonominya dan persaingan dengan negara
asing. Strategi kita diasaskan kepada pengawalan kos sara
hidup supaya pendapatan kita yang rendah tidak akan
menyebabkan taraf hidup yang rendah. Kawalan kos dan
harga barangan dan khidmat menentukan kos sara hidup kita
lebih rendah dari negara maju. Hasil daripada kawalan
harga dan pengawasan terhadap inflasi, satu ringgit
Malaysia boleh membeli hampir sama banyak barangan atau
khidmat di Malaysia seperti satu dolar Amerika di Amerika
Syarikat. Mengikut angka statistik, sementara pendapatan
per kapita kita mengikut nilai tukaran wang atau
`exchange rate' ialah Dollar Amerika $4,200 tetapi dari
segi daya beli di Malaysia pendapatan ini bernilai Dollar
Amerika $10,000. Dengan ini walaupun gaji atau pendapatan
kita rendah tetapi kuasa beli kita ialah dua setengah
kali lebih tinggi daripada kuasa beli pendapatan yang
sama di negara maju lain, atau lebih jelas lagi gaji
RM10,000 di Malaysia adalah sama dengan RM25,000 di
Amerika Syarikat. Secara langsung kos pengeluaran kita
dapat dikawal di paras yang rendah tanpa merugikan rakyat
Malaysia dan daya saingan kita pula dapat dipertahankan.
8. Tetapi dengan pendapatan yang rendah ini maka
barangan dari luar negeri atau kos berada di luar negeri
menjadi tinggi. Ini boleh diatasi dengan membayar elaun
luar negeri yang sejajar dengan kos sara hidup di negara
berkenaan. Inilah yang dibuat bagi kakitangan kedutaan
kita.
9. Oleh kerana kos kita rendah maka kita sudah menjadi
negara pengeksport yang ke-17 terbesar di dunia. Dengan
itu juga kita menjadi maju hingga tidak ada yang
menganggur. Syarikat-syarikat Malaysia mendapat
keuntungan yang baik dan keuntungan ini harus dinikmati
oleh syarikat dan kakitangannya secara adil tanpa
menjejaskan kos sara hidup dan meningkatkan inflasi.
Keuntungan yang lebih selain daripada diagih antara
pekerja dan pemegang saham syarikat hendaklah digunakan
untuk melabur terutama untuk pembesaran perniagaan.
Dengan ini perusahaan-perusahaan Malaysia boleh membesar
sehingga dapat menyaingi syarikat-syarikat antarabangsa
di dunia. Tetapi janganlah kita lupa bahawa kejayaan kita
bergantung kepada kawalan kos dan inflasi. Jika kita
menaikkan kos dan inflasi kita melalui apa juga cara,
maka bukan sahaja daya beli atau `purchasing power' kita
akan turun tetapi kita akan `kiss goodbye' kepada
kemewahan kita.
10. Keuntungan MAS tidaklah seberapa berbanding dengan
pelaburan yang besar yang telah dibuat dan nilai harta
yang rendah oleh Kerajaan semasa penswastaan untuk
menolong MAS. Jika Kerajaan menjual MAS dengan kos aset
yang sebenar, MAS tidak mungkin untung bahkan akan rugi
sepanjang masa. Keuntungan MAS adalah rendah berbanding
dengan keuntungan syarikat-syarikat penerbangan yang
bersaing dengannya. Perkara ini harus diambilkira oleh
semua pihak kerana jika kita tidak mempedulikan kos, kita
akan mengalami kerugian dan prestasi MAS akan merosot,
iaitu rancangan MAS untuk membesar mungkin menjadi angan-
angan Mat Jenin sahaja.
11. Alhamdulillah, setakat ini MAS masih dapat
diselenggara dengan jayanya. Dalam industri penerbangan
tidak ada banyak `competitive advantage'. Pesawat yang
digunakan oleh semua syarikat penerbangan adalah sama
sahaja. Demikian juga lapangan terbang. Hanya yang
berlainan ialah khidmat atau `service' yang diberi dan
kos khidmat ini. Justeru itu, jadual dan layanan
terhadap pelanggan menjadi penting dan kita percaya
kakitangan MAS di semua peringkat sedar akan perkara ini.
Kita bernasib baik kerana di Asia tradisi khidmat masih
ada. Di Barat memberi khidmat dianggap hina kerana
pelanggan tidak lebih tinggi daripada kita. Mereka sama
sahaja. Yang mereka lupa ialah ada masanya mereka
menjadi pelanggan dan ketika itu mereka mahu khidmat yang
tidak menghina mereka. Baru-baru ini MAS dianugerahkan
gelaran `The Best Business Airline in Asia' oleh sebuah
majalah kembara perniagaan di United Kingdom dua kali
berturut-turut. Ini merupakan satu bukti MAS mampu
mencapai tahap yang tinggi daripada segi perkhidmatannya.
Kita rasa megah kerana anugerah ini.
12. Seperti juga dengan kerja-kerja lain, kepuasan hati
tidak boleh ditentukan oleh pendapatan semata-mata.
Kepuasan hati datang daripada `job satisfaction' atau
kepuasan kerja, bahawa khidmat yang kita beri adalah
sesuatu yang boleh kita banggakan, yang mencermin diri
kita. Jika kerana khidmat kita ini maka sedikit sebanyak
kita menolong menebus maruah dan kehormatan bangsa dan
negara, maka ini sepatutnya memberi kepuasan yang lebih
kepada hati kita, meralatkan sumbangan yang kita beri.
Hanya pekerja asing atau `mercenary' sahaja yang
mengutamakan pendapatan. Namun `mercenary' pun ingin
mencapai `pride in the quality of his work'.
13. Jika kita semua pegang kepada kenyataan ini, insya-
Allah MAS dan negara akan berjaya. Saya percaya inilah
sifat yang ada pada semua pekerja MAS; semua pekerja
termasuk pengarah, pengurus, kakitangan profesional di
semua peringkat dan yang bukan profesional dan mereka
yang menjadi pembekal khidmat dan barangan kepada MAS.
MAS adalah syarikat kebangsaan negara dan menjadi lambang
negara di seluruh dunia. "We cannot afford to see MAS
fail, or even become less successful than our
competitors."
14. MAS berkembang dan lebih aktif sejak dipindah milik
kepada swasta yang diketuai oleh Tan Sri Tajuddin Ramli.
Tujuan Kerajaan memindah milik kepada swasta ialah kerana
kepercayaan kita bahawa pengurusan oleh pelabur sendiri
adalah lebih baik daripada pengurusan oleh orang yang
tidak mempunyai risiko peribadi dalam prestasi syarikat.
Tidaklah dapat dinafikan bahawa sejak saham MAS yang
terbesar dipindah kepada Tan Sri Tajuddin, pertumbuhan
MAS telah melonjak dengan pesatnya. Demikian juga
perancangan masa depan MAS lebih bercita-cita tinggi.
Sudah tentu ini memerlukan banyak perubahan daripada segi
tanggungjawab, bidang tugas dan cara bekerja. Tidak akan
berkesan peralihan dan pemulihan jika tugas dan kebiasaan
lama dipertahan dan dikekalkan.
15. Sepertimana kita tentu maklum, pertumbuhan negara
kita meningkat dengan pesatnya beberapa tahun yang
kemudian ini. Ini berlaku kerana usaha dibuat untuk
memulih pentadbiran negara dan memperkenalkan banyak
perubahan yang radikal. Semua perubahan ini memerlukan
penyesuaian tanggungjawab, disiplin dan pendekatan kepada
kerja dan tugas yang berbeza dan baru daripada semua
kakitangan Kerajaan yang tetap dan yang dipilih lima
tahun sekali. Alhamdulillah dengan penerimaan perubahan
ini maka tercapailah cita-cita negara untuk menjadi lebih
efisien, maju dan dihormati.
16. Demikian juga dengan MAS. Saya percaya semua
kakitangan MAS termasuk pengarah, pengurusan dan pegawai-
pegawai tinggi dan rendah sedar akan keperluan menerima
perubahan-perubahan dan kesan-kesan kepada diri sendiri
kerana perubahan ini. Dengan ini saya yakin MAS akan
maju dengan lebih pesat dan akan menjadi kebanggaan
negara.
17. Pada tahun ini MAS akan memula setengah abad yang
kedua baginya. Peluang dan potensi untuk MAS berkembang
dan menjadi satu daripada syarikat penerbangan yang
terbesar di dunia memang cerah. Tetapi peluang akan
tinggal peluang jika kita tidak tahu atau tidak mahu
menggunakannya. Saya yakin kecekapan ada kepada semua
anggota MAS. Hanya yang diperlukan ialah dedikasi dan
`pride in your own organisation' dan keinginan untuk
menjayakannya. Kejayaan organisasi sendiri tidak dapat
tidak akan memberi keuntungan secara langsung akhirnya
kepada diri kita. Sebaliknya jika organisasi kita gagal
kerana apa juga sebab maka secara langsung juga kita
tetap akan rugi. Bagi MAS bukan sahaja MAS akan rugi
tetapi negara juga akan rugi dan malu.
18. Oleh itu, sempena Ulangtahun Penerbangan Malaysia
yang ke-50, sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk
menyeru semua kakitangan Penerbangan Malaysia agar
berusaha sungguh-sungguh untuk menjadikan syarikat
penerbangan kebangsaan kita ini sebagai aset negara yang
paling membanggakan dan dihargai. Saya meminta supaya
kakitangan Penerbangan Malaysia sama-sama berusaha
menjayakan aspirasi pengasas syarikat dan mereka yang
menerokai industri penerbangan Malaysia. Kuatkanlah azam
dan daya tenaga serta gunakanlah peluang-peluang yang ada
dengan sebaik mungkin. Saya pasti tuan-tuan dan puan-
puan akan mencapai kejayaan yang kemudian akan turut
dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.
19. Selamat merayakan ulangtahun yang ke-50 Penerbangan
Malaysia.
|