Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RRIM SUNGAI BULOH, SELANGOR 
			DARUL EHSAN 
Tarikh/Date 	: 	28/04/97 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA UPACARA PERASMIAN PUSAT 
			PAMERAN BARANGAN GETAH 
			ANTARABANGSA MALAYSIA 



   1.   Saya   ucapkan  terima   kasih   kepada   Kementerian
  Perusahaan  Utama  kerana menjemput saya untuk  merasmikan
  Pusat  Pameran  Barangan  Getah Antarabangsa  Malaysia  di
  RRIM,  Sungai Buloh pada hari ini.  Lawatan saya  ke  RRIM
  hari  ini  merupakan  kali yang ketiga.   Saya  perhatikan
  bahawa  banyak perubahan telah berlaku di sekitar  kawasan
  berhampiran RRIM ini, manakala RRIM serta ladangnya  masih
  dengan  kehijauan  pokok-pokok getahnya walaupun  terdapat
  beberapa bangunan baru.

  2.  Struktur  ekonomi negara  kita telah berubah  daripada
  ekonomi  yang  berasaskan pertanian  kepada  ekonomi  yang
  berasaskan   perindustrian  dan  perkhidmatan.    Struktur
  industri  getah juga telah turut berubah.   Malaysia  kini
  bukan  sahaja  mengeluarkan getah untuk  dieksport  secara
  mentah  semata-mata, bahkan juga menggunakan  getah  untuk
  industri  pembuatan  atau  perkilangan.   Walaupun  sektor
  pengeluaran  getah  tidak  lagi  menjadi  komponen   utama
  ekonomi  negara namun ia masih berperanan dalam menyumbang
  kepada  ekonomi  dan  pendapatan eksport  negara.   Antara
  tahun  1986 hingga tahun 1996 keluasan ladang getah  telah
  merosot  daripada  lebih  kurang 1.9  juta  hektar  kepada
  lebih  kurang  1.72 juta hektar akibat daripada  perubahan
  guna   tanah   kepada  aktiviti-aktiviti   ekonomi   lain.
  Pengeluarannya pula telah menurun daripada 1.538 juta  tan
  kepada  1.083 juta tan, manakala eksport menurun  daripada
  1.516  juta  tan kepada 980,295 tan.  Nilai  eksport  pula
  naik  turun mengikut keadaan harga.  Pada tahun 1996 ianya
  berjumlah RM3,500 juta.

  3.  Kebelakangan  ini  Kerajaan telah meminda dasar supaya
  industri  getah  lebih sesuai dengan proses  perindustrian
  negara.   Tumpuan  sekarang bukan lagi kepada  pengeluaran
  getah  mentah  semata-mata, malah akan  merangkumi   semua
  sektor,   daripada  pengeluaran  getah  dan  kayu   getah,
  pemprosesan  dan pemasaran, pembuatan barangan  berasaskan
  getah,  eksploitasi  bahan bukan lateks,  dan  pembangunan
  estet  di  negara-negara yang mempunyai tenaga buruh  yang
  cukup.   Untuk  ini,  Kerajaan  telah  menggabungkan  tiga
  agensi getah yang sediada, iaitu Lembaga Penyelidikan  dan
  Kemajuan  Getah  Malaysia (MRRDB),  Institut  Penyelidikan
  Getah  Malaysia  (RRIM) dan Lembaga  Pasaran  dan  Pelesen
  Getah  Malaysia  (MRELB),  ke dalam  sebuah  lembaga  yang
  dikenali  sebagai Lembaga Getah Malaysia (LGM).  Akta  LGM
  telah  diluluskan  oleh Parlimen dan  akan  dikuatkuasakan
  tidak  lama  lagi.  Saya harap LGM akan dapat melaksanakan
  peranannya    dengan   sempurna   termasuk   mempromosikan
  keluaran  industri  getah  Malaysia.   Apabila  semua  ini
  berjalan  lancar, saya yakin industri getah yang bersepadu
  akan  kembali  menjadi salah satu penyumbang utama  kepada
  pembangunan ekonomi negara.

  4.  Kemerosotan  sektor  pengeluaran telah diimbangi  oleh
  sektor   pembuatan   barangan   berasaskan   getah    yang
  berkembang  pesat  selepas Kerajaan  memperkenalkan  Pelan
  Induk  Perindustrian (IMP) dari tahun  1986  -  1995.   Di
  bawah  IMP,  sektor  pembuatan barangan  berasaskan  getah
  telah  dikenalpasti sebagai salah satu  daripada  industri
  berasaskan  sumber  yang boleh dimajukan.    Semenjak  itu
  penggunaan  getah  dalam  negara  telah  meningkat  dengan
  pesatnya   daripada  71,000 tan  pada  tahun  1986  kepada
  352,000  tan  pada tahun 1995 dan 390,000 tan  pada  tahun
  1996.   Daripada  jumlah  itu,  lebih  kurang  91  peratus
  adalah getah asli.

  5.  Buat  masa  ini kita  merupakan negara pengguna  getah
  asli  yang kelima terbesar di dunia, sambil menjadi negara
  terbesar   dalam  penggunaan  lateks.   Lebih  kurang   70
  peratus  daripada  getah yang kita  gunakan  adalah  dalam
  bentuk  lateks.   Sasaran penggunaan getah  di  bawah  IMP
  ialah  300,000 tan pada tahun 1995.  Pencapaian kita  yang
  melebihi  sasaran  adalah  membanggakan.   Walaupun   kita
  mencapai  sasaran  daripada segi jumlah penggunaan  getah,
  rancangan   untuk   mempelbagaikan  industri   pengeluaran
  barangan  getah  tidak  tercapai sepenuhnya.   Ini  adalah
  kerana industri kita lebih tertumpu kepada subsektor  yang
  berasaskan   celupan   lateks.   Usaha   yang   berterusan
  hendaklah  diambil untuk mempelbagaikan industri pembuatan
  bagi  menjadikannya lebih mantap lagi.  Nilai eksport pula
  telah  meningkat  daripada lebih kurang  RM390  juta  pada
  tahun  1986  kepada RM4,200 juta pada tahun  1996.   Nilai
  eksport  barangan berasaskan getah telah  mengatasi  nilai
  eksport getah mentah mulai tahun 1992, kecuali pada  tahun
  1995  semasa  harga getah begitu tinggi.   Ini  menjadikan
  jumlah  nilai eksport bagi industri getah sebanyak RM7,700
  juta,  tanpa  mengambil  kira sumbangan  daripada  perabot
  kayu getah sebanyak lebih kurang RM1,400 juta.

  6.  Untuk   meneruskan  kejayaan  yang  telah  dicapai  di
  bawah  IMP,  Kerajaan telah mengenalpasti  industri  getah
  sebagai salah satu kelompok yang boleh dimajukan di  bawah
  IMP2.   Salah  satu pendekatan di bawah IMP2  ialah  untuk
  melebarkan  lagi  kepelbagaian barangan yang  dikeluarkan,
  supaya  kita  tidak  terlalu bergantung  kepada  subsektor
  celupan   lateks  yang  telah  menjadikan  kita  pengeluar
  terbesar  di dunia bagi sarung tangan, kateter (catheters)
  dan  benang  getah (latex thread).  Sambil  mempertahankan
  sektor ini yang telah sampai tahap kematangan, kita  perlu
  mempergiatkan perkembangan di sektor-sektor  lain  seperti
  di  bidang  barangan getah am (General Rubber  Goods  atau
  GRG)  dan barangan getah industri (Industrial Rubber Goods
  atau  IRG).  Kita masih mengimport barangan getah bernilai
  melebihi  RM600 juta.  Daripada jumlah ini,  lebih  kurang
  RM300  juta  merupakan  GRG dan lebih  kurang  RM100  juta
  adalah   IRG.    Di  bawah  IMP2  kita  akan  menggalakkan
  pertumbuhan   di   sektor  GRG   dan   IRG    yang   lebih
  berteknologi  tinggi sebagai barangan  yang  sesuai  untuk
  kegunaan tempatan dan eksport.

  7.   Buat  masa   ini   kita  masih   banyak  mengeluarkan
  barangan  untuk  dibekalkan kepada  pengedar  antarabangsa
  yang  memiliki jenama asing yang terkenal.   Barangan  ini
  di  terima  sebagai  barang  buatan  pengusaha  asing  dan
  biasanya  keuntungan  yang lebih  diperolehi  oleh  mereka
  kerana  jenama  mereka  dilekatkan  kepada  barangan  ini.
  Sebaliknya  kita  sendiri yang mengeluarkan  barangan  ini
  dengan  kualiti  yang  tinggi, tetapi mendapat  keuntungan
  yang  rendah.   Masanya  sudah tiba untuk  kita  mencipta,
  merekabentuk  dan mengeluarkan barangan ini dengan  jenama
  kita  sendiri.  Tidak ada sebab kenapa  kita  tidak  boleh
  memasarkan  barangan  dengan jenama kita  jika  kualitinya
  sama  dan harganya berpatutan.  Lambat laun barangan  kita
  akan  diterima dan jenama kita pula akan mempunyai premium
  yang  tidak kurang daripada jenama asing.  Sebenarnya jika
  kita  berjaya memasarkan Standard Malaysian Rubber sebagai
  getah  yang  berkualiti  tidak ada sebab  kenapa  barangan
  getah  kita  yang  dibuat  daripada  getah  Malaysia  yang
  berkualiti tidak akan disanjung.

  8.  Untuk   membantu  menggalakkan  pertumbuhan  pembuatan
  barangan    getah    berteknologi   tinggi,    peningkatan
  penggunaan  tempatan adalah penting.  Salah satu  kejayaan
  yang  telah  dicapai ialah penghasilan  beberapa  komponen
  untuk   kereta  Proton  dan  Produa  di  mana  RRIM  telah
  memainkan  peranan  yang besar.   Namun  begitu  di  dalam
  beberapa    projek   besar   yang   sedang   dilaksanakan,
  penggunaan  barangan  getah tempatan  tidak  menggalakkan.
  Besar   kemungkinan  keadaan  ini  berlaku   kerana   para
  perunding,  arkitek dan jurutera-jurutera  tidak  mendapat
  pendedahan  yang  sepatutnya.  Oleh itu saya  harap,  bagi
  projek-projek   besar  yang  sedang  dirancangkan,   pihak
  berkenaan   serta   pembuat-pembuat   dasar   yang    lain
  didedahkan kepada barangan keluaran kita.  Kita  hendaklah
  memberi   kepercayaan   terhadap  penggunaan   bahan-bahan
  berasaskan  getah asli kita bukan sahaja di  projek-projek
  berkenaan  malah  untuk projek pembangunan keseluruhannya.
  Saya  harap  pada  masa  akan datang  penggunaan  barangan
  keluaran  kita  akan  diberi  penekanan  sewajarnya  dalam
  projek-projek   pembangunan.   Jika  kita  tidak   sanggup
  mengguna  barangan  buatan kita, sudah tentu  orang  asing
  akan kurang percaya kepada barangan kita.

  9.   Untuk   membantu   pengilang  kita   mempertingkatkan
  kemampuan  mereka,  Kerajaan  telah  menyediakan  pelbagai
  insentif   dan  kemudahan.   Salah  satu  kemudahan   yang
  disediakan   ialah   daripada   segi   penyelidikan    dan
  pembangunan  (R&D) yang ada di RRIM ini.  Usaha-usaha  R&D
  perlu  dipertingkatkan supaya dapat memberi sokongan lebih
  menyeluruh   kepada   pengilang  memandangkan   kebanyakan
  daripada   mereka   tidak   mempunyai   kemampuan    untuk
  menyediakan kemudahan R&D sendiri.

  10.  Salah  satu  kemudahan yang ada di sini  ialah  Pusat
  Teknologi  Getah  yang memberi pelbagai  khidmat  sokongan
  seperti    penilaian,   ujian   berdasarkan    spesifikasi
  tertentu,  merekebentuk  dan  sebagainya.   Pusat  Latihan
  Getah  pula  menyediakan latihan untuk pelbagai  peringkat
  keperluan   industri.   Untuk  menambah   lagi   kemudahan
  sokongan  yang ada bagi menggalakkan pertumbuhan  industri
  pembuatan  itu,  Kerajaan telah mendirikan  Pusat  Pameran
  Barangan  Getah  Antarabangsa, Malaysia  yang  dapat  kita
  lihat  pada hari ini.  Pusat ini akan menjadi asas rujukan
  dan   maklumat,  sumber  nasihat  teknikal  yang  disokong
  dengan pakar-pakar penyelidik serta saluran penting  untuk
  mendorong   dan  mempromosi  industri-industri  berasaskan
  getah  di  negara ini.  Sehubungan dengan ini, ianya  akan
  bekerjasama  rapat  dengan Pusat  Penyelidikan  Tun  Abdul
  Razak   atau   Tun   Abdul  Razak   Research   Centre   di
  Brickendenbury, di England.

  11.  Pusat  ini  akan  menjadi satu  sumber  maklumat  dan
  rujukan  kepada  mereka  yang  berminat  dengan  pembuatan
  barangan  getah.   Ia  akan  mendedahkan  kepada  usahawan
  tempatan  pelbagai  barangan yang  boleh  dibuat  daripada
  getah.   Getah boleh digunakan untuk membuat hampir 10,000
  jenis  barangan.   Daripada jumlah  ini  hanya  sebahagian
  kecil  sahaja  dibuat di negara kita.   Pendedahan  kepada
  pelbagai  jenis barangan ini diharap dapat  menarik  minat
  usahawan-usahawan  untuk  mencebur  diri  dalam  pembuatan
  barangan tersebut.

  12.  Pada  masa  yang  sama pelawat akan  didedahkan  juga
  kepada  barangan buatan Malaysia.  Dengan  itu  pusat  ini
  dapat   mempromosikan  barangan  buatan  Malaysia   kepada
  usahawan  luar negara yang ingin mengimportnya ke  negara-
  negara  mereka.   Sambil  itu pengguna-pengguna  tempatan,
  termasuk   penggubal-penggubal  dasar   dapat   didedahkan
  kepada  kecanggihan  barangan buatan  Malaysia.   Maklumat
  lanjut   mengenai   barangan  buatan  Malaysia,   termasuk
  pembuatnya juga disediakan di dalam pengkalan data.   RRIM
  menyediakan  khidmat  untuk  memadankan  pengguna   dengan
  pembuat barangan yang berkenaan.

  13.  Dibawah  RMK7, Kerajaan bercadang untuk  membangunkan
  sebuah  `Rubber City' di sebahagian kawasan RRIM ini.   Ia
  dijangka   mengandungi  ibu  pejabat  LGM  serta   makmal-
  makmalnya, Taman Industri Getah dan kawasan perumahan  dan
  rekreasi.   Ia  akan  dibangunkan secara  penswastaan,  di
  mana  LGM sebagai pemilik tanah akan menjadi rakan bersama
  dalam  usaha-usaha  pembangunan ini.   Kemudahan-kemudahan
  sediada  seperti  Pusat  Teknologi  Getah,  Pusat  Latihan
  Getah  dan  Pusat  Pameran Getah akan  menjadi  sebahagian
  daripada  `Rubber City'.  Taman Industri  Getah  dirancang
  untuk  menjadi  pelengkap kepada kemudahan yang  ada  bagi
  menggalakkan lagi pertumbuhan industri pembuatan  barangan
  getah.   Sebahagian kilang-kilang yang akan  didirikan  di
  Taman  Industri  Getah  itu adalah berkonsepkan  inkubetor
  (incubator)  dan bimbingan.  Di samping itu ia  juga  akan
  memuatkan  industri  berteknologi tinggi,  Industri  Kecil
  dan  Sederhana dan industri sampingan (auxiliary industry)
  yang berkaitan dengan industri getah.  Taman Industri  ini
  akan   disokong  oleh  kemudahan  yang  sediada  di  Pusat
  Teknologi,  Pusat Latihan dan Pusat Pameran  ini.   Dengan
  tersedianya  segala kemudahan ini, saya  percaya  industri
  getah   umumnya   dan  sektor  pembuatan  barangan   getah
  khususnya  akan  berkembang dan  membantu  membawa  negara
  kita ke abad ke-21 dengan lebih berkeyakinan.

  14.  Ditengah-tengah  kemudahan yang  ada  itu,  kewujudan
  Pusat   Pameran   ini  adalah  sebagai  pemangkin   kepada
  perkembangan  industri pembuatan barangan getah,  di  mana
  usahawan,  pengilang, pengguna, pengimport dan pengeksport
  serta  penyelidik  dapat  ditemukan  dalam  usaha  membawa
  sektor  pembuatan  barangan getah  negara  ke  tahap  yang
  lebih tinggi.

  15.   Dengan   kata-kata  ini,  saya  dengan   sukacitanya
  merasmikan   pembukaan   Pusat  Pameran   Barangan   Getah
  Antarabangsa, Malaysia.

 
 



 
Google