Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KEDAH DARUL AMAN
Tarikh/Date : 12/05/97
Tajuk/Title : PERASMIAN KILANG BEAM & SECTION
1. Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak-banyak terima
kasih kepada Pengurusan Perwaja kerana menjemput saya
untuk berucap pada majlis ini dan seterusnya merasmikan
Kilang Beam & Section Perjawa di Kompleks Gurun ini.
2. Saya berasa bangga kerana Perwaja, di sebalik
masalah serta kritikan pelbagai pihak, masih dapat
mengekalkan operasinya bukan kerana sokongan Kerajaan
semata-mata tetapi berkat hasil usaha gigih daripada
pihak pengurusan serta pekerja-pekerjanya. Sokongan
Kerajaan semata-mata dalam mempertahankan kewujudan
Perwaja tidaklah mencukupi dan tidak akan menghasilkan
sebarang kejayaan tanpa kesungguhan, komitmen, kejujuran
serta dedikasi pengurusan dan pekerjanya. Walau berapa
banyak sekalipun pelaburan yang dibuat oleh Kerajaan
kepada Perwaja, ia akan menjadi sia-sia jika tiada
kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.
3. Untuk menjadi sebuah negara perindustrian yang
berjaya, negara ini perlu mengeluarkan sendiri barangan
kelulinya bagi memenuhi keperluan sektor pembinaan
tempatan dan lain-lain. Industri keluli memerlukan
pelaburan yang besar yang tidak semestinya menjanjikan
pulangan keuntungan dalam masa yang singkat. Pengalaman-
pengalaman industri keluli di Amerika Syarikat, Jepun dan
Korea Selatan menunjukkan mereka melalui proses yang sama
dengan keuntungan hanya diperolehi selepas lama
beroperasi.
4. Kita mahu menjadi sebuah negara perindustrian
sepenuhnya menjelang 2020, di mana kita setanding dan
setaraf atau lebih baik lagi daripada negara-negara yang
telah lama mencapai status negara maju. Kemajuan
industri keluli sesebuah negara menjadi kayu pengukur
kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Sekira di
perhatikan sejarah beberapa negara yang maju, kita dapati
industri keluli telah memainkan peranan terpenting dalam
membawa kemajuan kepada negara-negara itu. Ini telah
jelas berlaku kepada negara-negara seperti Amerika
Syarikat, Jepun, Korea dan Jerman. Malaysia juga harus
menyedari hakikat ini dan mempastikan agar industri
keluli kita akan turut mengiringi kemajuan negara kita.
Malahan lebih daripada itu, Malaysia sepatutnya cuba
menjadi pengeksport keluli yang utama di rantau ini.
5. Dalam kerancakan dan kepesatan kemajuan negara pada
masa ini dengan pelbagai projek pembangunan gergasi
seperti lapangan terbang antarabangsa Sepang, Pusat
Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, Koridor Raya Multimedia
(MSC) dan bandar Cyberjaya, pertumbuhan permintaan
barangan keluli pasti meningkat dengan banyaknya.
Sehubungan dengan itu, Perwaja sebagai perintis industri
keluli negara perlu proaktif dengan perkembangan-
perkembangan ini dan membuat perancangan rapi serta
praktikal, menjurus kepada memenuhi keperluan sektor
pembinaan tempatan.
6. Kita bukan sahaja mahu dikenali sebagai pengeluar
utama barangan keluli tetapi barangan keluli yang
dikeluarkan turut tinggi mutunya serta konsisten
pengeluarannya. Dengan kekuatan ini negara tidak lagi
perlu bergantung kepada import barangan keluli tertentu
bagi menampung keperluan tempatan.
7. Dalam hubungan ini juga, Kerajaan berharap syarikat-
syarikat pengeluar barangan keluli tempatan dapat
meningkatkan daya inovasi dan daya inisiatif mereka untuk
mengeluarkan produk-produk baru yang sangat-sangat
diperlukan oleh sektor-sektor pembinaan serta fabrikasi
tempatan.
8. Memang mudah untuk sesiapa membuat kritikan apabila
sesuatu projek Kerajaan itu menghadapi krisis atau
masalah. Sifat seperti ini adalah perkara biasa.
Kerajaan memang bertekad dengan keputusan meneruskan
industri keluli negara. Kita sememangnya masih baru
dalam kepesatan dan kecanggihan industri keluli.
Bagaimanapun, saya yakin kita telah mendapat sedikit
sebanyak kepakaran dalam bidang keluli, selepas berbelas-
belas tahun menceburi dalam industri ini. Walaupun
Perwaja pernah mengalami masalah, saya yakin pengalaman
lalu yang pahit itu tidak akan disia-siakan dan akan
dijadikan teladan dan panduan bagi membawa semula Perwaja
kepada mercu kejayaan. Kita tidak boleh mudah kecewa atau
menyerah kalah atau semata-mata menyerah kepada takdir
akan nasib kita. Kita perlu berusaha dan berusaha dengan
sepenuh komitmen kita.
9. Dalam lawatan saya ke Kompleks Perwaja Kemaman pada
12 Disember 1996, saya telah berpeluang bertemu dengan
pekerja-pekerja Perwaja di Kompleks tersebut dan saya
menyaksikan sendiri betapa tingginya semangat kerja
mereka. Hari ini, saya bersyukur kerana dapat berjumpa
dengan pekerja-pekerja di Kompleks Perwaja Gurun setelah
kunjungan terakhir pada tahun 1994. Saya nampak pekerja-
pekerja di sini juga mempungai semangat kerja yang tinggi
dan saya berharap semangat ini dapat dikekalkan dan
ditingkatkan lagi. Pada saya semangat untuk bekerja ini
perlu kerana tanpa semangat, kita tidak ubah seperti
robot atau mesin yang hanya mengikut arahan tanpa
menggunakan minda kita untuk berfikir bagi kebaikan kerja
kita dan untuk meningkatkan pencapaian kita. Kita juga
tidak boleh kerja kerana upah semata-mata. Sebaliknya
kita harus kerja kerana ingin melihat hasil kerja yang
memberi kepuasan kepada kita, bahkan kita dapat berbangga
dengannya.
10. Kilang Beam & Section ini adalah yang pertama
seumpamanya di Malaysia. Kilang ini dibina sebagai
sebahagian daripada rancangan Perwaja untuk menjadi
sesebuah kilang pengeluar barangan keluli bersepadu.
11. Pengeluaran `medium and heavy steel section' oleh
kilang Perwaja ini akan dapat menyediakan alternatif
kepada industri pembinaan tempatan di mana sebelum ini
hanya menggunakan "reinforced concrete" dalam struktur
pembinaan mereka.
12. Kekuatan keluli binaan adalah enam kali ganda
dibandingkan dengan "reinforced concrete". Mutunya pula
lebih tinggi dan menepati piawaian antarabangsa.
Penggunaan keluli juga menjimatkan masa dan mengurangkan
tenaga buruh. Tambahan lagi, keluli boleh dikisar semula
dan ini merupakan suatu penjimatan jangka-panjang dan
menjadikan keluli sebagai suatu bahan yang
`environmentally-friendly'. Justeru itu, keluli adalah
suatu bahan yang amat wajar dan patut digunakan dengan
meluasnya di dalam bidang pembinaan di negara kita.
13. Masalah-masalah seperti kekurangan bekalan simen,
tenaga buruh yang menyebabkan pembanjiran buruh-buruh
asing ke negara akan dapat diatasi dengan penggunaan
keluli dalam struktur binaan ini. Ini adalah satu
alternatif yang perlu diambilkira oleh perunding
pembinaan termasuk arkitek, jurutera dan kontraktor.
Saya yakin, kebolehan kita untuk mencari alternatif
terhadap penyelesaian segala masalah ini akan menentukan
kejayaan dan kemajuan kita dalam industri keluli dan
perindustrian negara.
14. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan kilang
Beam & Section Perwaja di Gurun.
|