Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PERAK DARUL RIDZWAN
Tarikh/Date : 15/05/97
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN L0JI
JANAKUASA LUMUT
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Segari Energy Ventures yang menjemput saya untuk
merasmikan loji janakuasanya pada hari ini.
2. Projek ini merupakan salah sebuah projek yang telah
dikenalpasti dalam Rancangan Malaysia Keenam bagi
memenuhi keperluan tenaga elektrik negara yang berkembang
pada tahap 12.8 peratus setahun, iaitu melampaui
pertumbuhan keluaran negara kasar yang berada pada tahap
8.7 peratus. Dengan wujudnya program penswastaan,
pertumbuhan permintaan yang pesat untuk tenaga telah
membuka banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk
memasuki industri yang dahulunya merupakan hak dan urusan
pemerintah. Dengan itu lahirlah `Independent Power
Producers' (atau IPP) di negara ini. Penyertaan sektor
swasta telah membolehkan kita bukan sahaja menambah kuasa
penjanaan yang besar dalam masa yang singkat bagi
memenuhi permintaan yang pesat meningkat, tetapi
membolehkan kita mewujudkan saingan yang sihat dalam
industri ini. Pemecahan monopoli diharap akan
menguntungkan pengguna di samping memberi peluang kepada
pengusaha swasta mencari keuntungan serta meneroka bidang
yang baru.
3. Walaupun IPP menjadi pesaing kepada Tenaga Nasional
Berhad (TNB) tetapi di masa yang sama ia dapat
mengurangkan beban pelaburan dan pengurusan yang
diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawabnya terhadap
permintaan elektrik oleh negara. Dengan itu TNB dapat
menumpukan kepada penjanaan tertentu yang
dipertanggungjawabkan kepadanya dan juga peningkatan
`capacity distribution' yang lebih sesuai dengan
permintaan. Lagipun bekalan hendaklah lebih terjamin dan
jika sesuatu berlaku, `fall-back position' mestilah
disediakan.
4. Segari Energy Ventures merupakan IPP yang ketiga
diberi lesen untuk menjana kuasa elektrik. Saya ingin
mengucapkan syabas kepada Segari Energy Ventures kerana
berjaya melaksanakan projek janakuasa IPP yang mempunyai
kapasiti terbesar di Malaysia. Saya difahamkan bahawa
loji janakuasa berkapasiti 1,303 megawatt (MW) ini yang
mempunyai dua blok terdiri daripada tiga tarbin gas dan
dua tarbin stim telah dapat disiapkan lima setengah
minggu lebih awal bagi blok pertama dan enam bulan lebih
awal bagi blok kedua. Blok kedua telahpun mula
beroperasi pada 10 Januari tahun ini.
5. Saya merasa bangga dengan pencapaian tersebut dan
ini membuktikan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia
mempunyai kemampuan teknikal dan kewangan untuk membina
projek yang besar. Setakat ini, di Semenanjung Malaysia,
sebanyak lima IPP termasuk Segari Energy Ventures telah
beroperasi dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak
4,112 MW. Dengan penambahan kapasiti ini, Insya Allah
negara tidak perlu kuatir dengan masalah bekalan
elektrik.
6. Namun demikian, kita tidak boleh berpuas hati dengan
kapasiti penjanaan yang mencukupi sahaja. Kita perlu
menentukan bekalan yang terjamin sepanjang masa. Kerajaan
memang mengambil berat mengenai perkara ini. Selain
daripada TNB,saya suka menyeru supaya pihak IPP juga
memikul bersama tanggongjawab ini dengan menentukan loji
janakuasa mereka sentiasa beroperasi dengan efisyen dan
diselenggara dengan rapi.
7. Selain daripada memastikan bekalan yang terjamin,
kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti
bekalan elektrik. Tekad dan keazaman kita untuk beralih
ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi,
meletakkan bekalan elektrik yang berkualiti tinggi
sebagai satu dari keperluan asas yang terpenting. Kita
harus sedar bahawa persaingan untuk menarik pelabur dan
industri berteknologi tinggi ini semakin sengit. Dalam
hubungan ini, Kerajaan telah memberi lesen kepada sektor
swasta untuk membekalkan elektrik yang berkualiti tinggi
bagi Kulim Hi-Tech Park. Saya jangka permintaan seperti
ini tidak terhad kepada Kulim sahaja memandangkan
Kerajaan juga menggalakkan pertumbuhan industri
berteknologi tinggi ini dilokasi lain di Malaysia,
seperti di Koridor Raya Multimedia (MSC). Oleh yang
demikian, semua pihak yang terlibat dalam industri
elektrik harus sedar bahawa pada hari ini bukan kuantiti
sahaja yang diperlukan, malah yang juga diutamakan ialah
penyediaan tenaga elektrik yang berkualiti.
8. Saya kerap menekankan bahawa sektor swasta hendaklah
mengutamakan penggunaan bahan mentah dan kepakaran
tempatan. Ini akan dapat membantu Kerajaan menangani
masalah imbangan pembayaran. Sehubungan dengan ini, saya
suka merakamkan penghargaan saya kepada Segari Energy
Ventures kerana telah berjaya mendapatkan perkhidmatan
syarikat tempatan iaitu Teknik Janakuasa Sdn. Bhd untuk
melaksanakan operasi dan penyelenggaraan lojinya. Ini
merupakan satu lagi langkah positif kearah memberi
pengiktirafan kepada kepakaran tempatan. Saya percaya
bahawa negara ini tidak kurang kepakaran dalam sektor
elektrik. Apa yang perlu ialah kita sendiri mesti berani
memberi keyakinan kepada pakar tempatan untuk membuktikan
kebolehan mereka.
9. Langkah menggunakan kepakaran tempatan ini selain
daripada dapat mengurangkan pengaliran tukaran wang asing
ke luar negara, ianya akan membolehkan kita memupuk
kebolehan pakar-pakar kita yang akhirnya boleh menjadi
asas kepada usaha-usaha `reverse investment.' Pada hari
ini kita telah dapat melihat usahawan Malaysia bersaing
untuk mendapatkan projek janakuasa di luar negara seperti
di China, Kemboja, India dan beberapa negara Afrika. Ini
merupakan satu perkembangan yang sihat dan Kerajaan
mengalu-alukan inisiatif yang ditunjukkan.
10. Malaysia harus mengambil peluang dalam proses
globalisasi jika kita tidak mahu ketinggalan. Oleh itu
saya suka menyeru usahawan tempatan supaya menjuruskan
tenaga dan kepakaran mereka ke arah meluaskan horizon
operasi mereka. Saya yakin dengan kepakaran dan
pengalaman yang telah ditimba selama ini, sektor swasta
mampu bersaing dan beroperasi di luar negara.
11. Negara perlu terus melangkah kehadapan dan tidak
harus berpuas hati dengan kejayaan dalam bidang penjanaan
dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan sahaja.
Agenda yang lebih besar yang perlu dicapai ialah
membangunkan industri pembuatan komponen dan fabrikasi
bagi industri elektrik. Ini adalah sejajar dengan usaha
negara kini untuk membina industri barang perantaraan dan
pelaburan bagi mengurangkan import barangan tersebut yang
merupakan 85 peratus daripada import negara. Import
barangan ini akan terus besar selagi kita tidak
berkemampuan mengeluarkannya sendiri.
12. Saya tidak menafikan bahawa terdapat syarikat-
syarikat yang mengeluarkan komponen bagi industri
elektrik. Tetapi bilangannya masih kecil dan tertumpu
dalam bidang yang mudah. Oleh itu kita perlu beralih ke
Komponen yang penting seperti turbin dan generator,
transformer, switch gear dan kabel berkapasiti tinggi.
Mungkin sektor swasta berasa sangsi untuk menceburi
bidang ini kerana pasaran yang terhad di Malaysia. Saya
menyeru supaya mereka memandang lebih jauh ke hadapan dan
ke pasaran di luar lingkungan sempadan Malaysia.
13. Dalam melaksanakna projek janakuasa, saya ingin
menegaskan Kerajaan sentiasa peka kepada aspek alam
sekitar. Setakat ini, kesemua IPP yang beroperasi
menggunakan gas iaitu bahan bakar yang bersih yang telah
menghasilkan loji janakuasa yang lebih environmental
friendly. Sehingga tahun 2000, penggunaan gas dalam
penjanaan dijangka dalam lingkungan 70 peratus.
14. Selaras dengan dasar kepelbagaiaan empat bahan api
dan supaya penjanaan tidak terlalu bergantung kepada gas,
loji janakuasa yang akan datang hendaklah menggunakan
arang batu. Walau bagaimanapun, dalam penggunaan arang
batu, Kerajaan tidak mahu soal alam sekitar diabaikan.
Untuk maksud ini, Kerajaan telah mensyaratkan supaya
janakuasa yang menggunakan arang batu sebagai bahan bakar
menggunakan `clean coal technology.'
15. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk
menyentuh perkara yang berhubung dengan obligasi sosial
IPP. Tahniah diucapkan kepada Segari Energy Ventures
yang telah menyumbangkan kepada kebajikan penduduk
tempatan. Saya difahamkan syarikat ini menjadikan sebuah
sekolah di sini sebagai sekolah angkat, di samping
membina masjid bagi Kampong Segari dan sumbangan lain.
Saya percaya sumbangan yang sama juga diberi oleh IPP
lain. Kerajaan mengalu-alukan sumbangan ini.
16. Namun demikian, Kerajaan menyeru semua IPP supaya di
samping menyumbang kepada aktiviti sosial dan kebajikan,
mereka juga perlu menyumbang kearah meningkat dan
mengukuhkan lagi industri elektrik daripada segi R & D
dan latihan. Kerajaan mengalu-alukan persetujuan IPP
untuk memberi sumbangan kepada Tabung Ses Industri
Bekalan Elektrik iaitu sebanyak 1 peratus daripada jumlah
turnover revenue daripada penjanaan yang dihantar ke
grid. Antara lain, Tabung Ses tersebut akan digunakan
untuk membantu dan mengurangkan beban Kerajaan
melaksanakan program elektrik luar bandar.
17. Sekali lagi, saya ucapkan syabas dan penghargaan
Kerajaan kepada Segari Energy Ventures di atas penyiapan
awal loji-loji tarbin ini. Dengan ini saya dengan
sukacitanya merasmikan loji Segari Energy Ventures di
Lumut ini.
|