Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/08/97
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
MIC YANG KE-51
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden MIC
Dato' Seri S. Samy Vellu dan ahli-ahli Jawatankuasa
Pusat Parti kerana menjemput saya untuk merasmikan
Perhimpunan Agung Parti MIC yang ke-51 pada hari ini.
2. Saya ucapkan tahniah kepada Dato' Seri Samy Vellu
dan Dato' S. Subramaniam kerana dipilih tanpa
bertanding untuk terus memimpin MIC sebagai Presiden
dan Timbalan Presiden. Inilah satu lagi keunikan yang
terdapat dalam parti komponen Barisan Nasional. Demi
kestabilan parti ahli-ahli lebih suka supaya jawatan
tertinggi dalam parti tidak menjadi rebutan. Ahli-ahli
parti kini sedar bahawa keghairahan merebut jawatan
boleh menyebabkan perpecahan dalam parti. Jika ini
berlaku parti akan menjadi lemah dan tidak dapat
memperjuangkan kepentingan ahli dan parti dengan
berkesan. Kini ahli-ahli sudah lebih matang dan bijak.
Mereka sedar bahawa jika pemimpin itu masih berupaya,
berkebolehan dan boleh terus memberi sumbangan yang
berkesan kepada parti, bangsa dan negara, tidak ada
sebab pemimpin itu perlu ditukar ganti hanya kerana
kita boleh tukar.
3. Banyak pihak terutama orang asing yang tidak faham
mengenai keunikan amalan ini. Mereka mendakwa kononnya
demokrasi tidak wujud melainkan pemimpin-pemimpin
ditukar setiap kali pemilihan diadakan. Sebenarnya
pertukaran yang kerap hanya melemahkan parti atau
negara. Ini adalah kerana masa diperlukan untuk
mendapat sesuatu hasil dari pertukaran. Namun belum
tentu pemimpin yang baru akan membawa kejayaan. Jika
setelah diberi masa pemimpin yang baru gagal membawa
kejayaan maka sia-sia sahajalah pertukaran yang telah
dilakukan.
4. Walaupun begitu pertukaran patut diadakan jika
pemimpin yang ada jelas tidak baik atau tidak dapat
mendatangkan apa-apa kejayaan.
5. Di negara kita ahli-ahli parti komponen BN bebas
menyuarakan pandangan mereka mengenai sesuatu isu.
Tetapi kita mempunyai cara tersendiri menyuarakan
pandangan kita jika dirasakan sesuatu isu itu mungkin
boleh menyinggung perasaan kaum atau agama lain. Kita
tidak mengenepikan sesuatu isu itu begitu sahaja jika
ianya penting demi kebaikan negara dan rakyat. Para
pemimpin BN akan membincangkannya sesama mereka tetapi
tidaklah secara terbuka. Cara tersendiri yang unik
inilah yang telah membolehkan BN menyelesaikan banyak
masalah yang dihadapi oleh negara. Sebaliknya jika
masalah kaum terutamanya di bahas secara terbuka pihak
ekstrimis akan memainkan isu ini untuk membakar
perasaan dan berlagak sebagai pejuang kaum. Ini akan
menyebabkan pemimpin menjadi kaku kerana takut kepada
reaksi dan hilang populariti. Dengan ini masalah sukar
diselesai.
6. Rakyat Malaysia mesti bersedia untuk memasuki abad
yang akan datang. Kita hanya mempunyai kurang dari
tiga tahun lagi untuk melangkah ke abad yang ke-21 yang
pasti penuh dengan cabaran-cabaran yang lebih hebat.
7. Setakat ini Malaysia adalah sebuah negara yang
berjaya daripada segi ekonomi dan politik. Negara
telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi,
iaitu lebih lapan peratus setahun bagi sembilan tahun
berturut-turut. Pendapatan kita adalah antara yang
tertinggi di kalangan negara-negara membangun. Kita
menikmati taraf hidup yang tinggi dan mempunyai
kemudahan-kemudahan kesihatan dan pendidikan yang baik.
Ekonomi negara begitu baik sehinggakan tidak ada
pengangguran di kalangan rakyat. Malaysia juga
dianggap sebagai model ekonomi bagi negara-negara
membangun.
8. Daripada segi politik negara kita adalah stabil
walaupun penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai
kaum dan agama. Kita telah berjaya menyelesaikan
masalah politik kita secara aman. Kita tidak
menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah kita.
Setiap masalah kita selesaikan melalui meja rundingan.
9. Kita sedar bahawa semua kaum mempunyai pendapat
bahawa nasib mereka kurang baik dan masalah mereka
tidak diberi perhatian oleh Kerajaan. Kaum keturunan
India juga berpendapat bahawa mereka tidak menikmati
banyak kemajuan yang dicapai oleh negara.
10. Pendapat ini, seperti juga pendapat di kalangan
kaum-kaum lain termasuk kaum Bumiputera, adalah
disebabkan masing-masing tidak memandang keadaan mereka
secara menyeluruh. Sebaliknya mereka tumpukan kepada
kes-kes tertentu yang ternampak mereka tidak mendapat
kemajuan. Demikian bagi kaum keturunan India keadaan
dalam beberapa estet memang tidak memuaskan. Tetapi
banyak juga kemajuan yang telah berlaku dalam estet,
seperti perumahan yang lebih baik dan sekolah-sekolah
yang telah dipulih atau dibina semula. Pendapatan
pekerja estet juga telah meningkat. Di samping itu
ramai yang tidak lagi bekerja di estet tetapi
sebaliknya bekerja di kilang atau tempat-tempat lain di
mana pendapatan bertambah dan iklim bekerja lebih baik.
11. Kita juga tidak boleh lupa bahawa ramai daripada
ahli-ahli profesional, terutama doktor dan peguam
terdiri daripada mereka yang berketurunan India.
Peratusan mereka jauh lebih tinggi daripada peratusan
orang keturunan India di Malaysia. Demikian juga
dengan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Walaupun
ramai pekerja terdiri daripada bukan keturunan India,
pemimpin kerapkali terdiri daripada keturunan India.
12. Tidaklah benar dakwaan bahawa keturunan India
diabaikan dalam pembangunan negara kita. Dalam bidang
politik juga suara kaum keturunan India begitu lantang,
baik di sebelah Kerajaan mahupun di sebelah parti
lawan.
13. Terdapat ramai juga peniaga dan pengusaha jutawan
keturunan India di Malaysia. Bagi suatu kaum yang
kecil jumlahnya, bilangan dan peranan orang keturunan
India dalam bidang perusahaan dan perniagaan amatlah
besar. Mungkin kerana mereka ini kurang aktif dalam
politik maka mereka tidak diambilkira sebagai kaum
India. Tetapi sebenarnya ramai daripada mereka ini
giat membantu kaum India dengan sumbangan wang dan lain-
lain.
14. Semua kaum di Malaysia mempunyai masalah dan tidak
puas hati. Saya telah berkali-kali berkata bahawa di
Malaysia yang berbilang kaum ini, keadaan yang terbaik
ialah semua kaum tidak puas hati, tidak gembira. Jika
mana-mana kaum berasa puas hati dan gembira maka ini
adalah satu petanda bahawa layanan berat sebelah dan
tidak adil sedang berlaku. Mereka hanya akan gembira
jika layanan terhadap mereka lebih daripada layanan
terhadap orang lain. Dengan itu orang lain berasa
kecewa dan tidak puas hati.
15. Kita tidak mungkin memberi layanan sepenuhnya
kepada semua kaum, kerana tuntutan masing-masing kaum
bertentangan dan boleh merugikan kaum lain. Tetapi
kita boleh dan mudah melayan separuh sahaja daripada
tuntutan setiap kaum kerana ingin melayan juga kaum
lain. Dengan ini tentulah perasaan tidak puas hati
didapati di kalangan semua kaum. Perasaan tidak puas
hati ini menjadi bukti yang kita adil kepada semua.
Inilah keadaan yang terbaik bagi negara berbilang kaum
-- iaitu tidak ada satu kaum yang terlalu puas hati.
Saya sendiri dikecam oleh orang Melayu kerana dikatakan
tidak memberi layanan kepada orang Melayu. Hakikatnya
ialah saya tidak mampu melayan semua tuntutan orang
Melayu atau bukan Melayu. Presiden MIC tidak berhenti-
henti meminta itu dan ini untuk kaum India. Beliau
berjumpa saya selepas tiap mesyuarat Kabinet. Ada
sahaja masalah yang memerlukan penyelesaian daripada
saya. Malangnya banyak daripada masalah-masalah ini
tidak mampu saya selesaikan. Dengan itu timbullah
perasaan di kalangan kaum keturunan India bahawa
layanan tidak diberi kepada kaum mereka.
16. Peluang untuk kaum keturunan India terbuka luas
seperti juga kepada kaum-kaum lain. Jika mereka
berusaha lebih sedikit, ramai lagi daripada mereka akan
memperolehi kejayaan. Kerajaan dan saya sendiri sedia
memberi pertolongan jika ia boleh dibantu. Tetapi
tentu ada perkara yang tidak boleh dibuat apa-apa dan
dengan itu tentu kekecewaan akan terus berlaku.
17. Malaysia hari ini tidak lagi seperti Malaysia
semasa kita mencapai kemerdekaan pada dekad lima dan
enam puluhan. Kita telah maju jauh ke hadapan. Dengan
itu cara hidup lama mestilah ditukar dan diganti dengan
cara hidup baru. Kita perlu perbaiki keadaan hidup
kita dengan menekankan kebersihan dan cara hidup dan
berniaga yang lebih teratur dan tersusun.
18. Dalam melakukan perubahan-perubahan ini, Kerajaan
semata-mata tidak akan berjaya. Rakyat sendiri perlu
sanggup menukar cara-cara mereka bekerja dan kehidupan
seharian mereka. Dengan perkataan lain budaya kita
mestilah disesuaikan dengan kemajuan negara kita. MIC
sebagai parti yang disertai oleh ramai rakyat keturunan
India boleh memainkan peranan yang besar dalam
memperkenalkan cara hidup baru ini. Saya yakin dengan
pertukaran budaya, kaum keturunan India akan dapat
mengurangkan sedikit perbezaan antara kaum-kaum di
Malaysia dan sekaligus memajukan kaum sendiri.
19. Dengan harapan ahli-ahli MIC akan terus menyumbang
ke arah pembangunan kaum keturunan India dan
mengukuhkan lagi Barisan Nasional, saya dengan
sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MIC yang ke-
51.
|