Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SUNWAY LAGOON RESORT,
PETALING JAYA, SELANGOR
Tarikh/Date : 03/08/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SENIMAN
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Seniman
Malaysia atau SENIMAN yang telah menjemput saya dan
isteri saya untuk hadir di majlis makan malamnya yang ke-
23 ini. Industri filem adalah salah satu industri yang
turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Oleh
itu, mereka yang melibatkan diri dalam industri filem
haruslah sentiasa mempunyai wawasan dan iltizam untuk
meningkatkan lagi prestasi industri ini. Saya percaya
jika mereka yang terlibat dalam industri filem di
Malaysia bekerja kuat dan bersungguh-sungguh tanpa
mengharapkan bantuan orang lain, filem Malaysia mampu
mencapai tahap antarabangsa.
2. Negara kita kini sedang giat memajukan `Koridor
Raya Multimedia' atau MSC. Di mana-mana saja kini
masyarakat bercakap mengenai MSC. Karyawan filem juga
haruslah mengambil peluang daripada usaha Kerajaan
mewujudkan MSC ini. Salah satu daripada objektif negara
dalam mewujudkan MSC ialah untuk menentukan Malaysia
boleh turut sama memainkan peranan penting dalam bidang
I.T. atau Teknologi Maklumat yang juga ada kaitan dengan
industri perfileman yang kian hari semakin banyak
menggunakan teknologi multimedia.
3. Selaras dengan ini masyarakat filem hendaklah
meningkatkan mutu filem mereka sehingga ke satu tahap
yang boleh dikagumi di peringkat antarabangsa. Olahan-
olahan di dalam filem hendaklah sesuai untuk pasaran
yang lebih global. Kita tidak boleh lagi membuat filem
semata-mata untuk pasaran dalam negeri dan mengharapkan
keuntungan besar. Malahan kita telah menekankan
pentingnya pasaran filem secara global selaras dengan
misi dasar perfileman negara yang telah dilancarkan oleh
Kementerian Penerangan iaitu `Filem Malaysia Nilai
Universal'.
4. Adalah tidak benar bahawa untuk berjaya membuat
filem di negara ini, kita perlu meniru filem-filem yang
telah tersohor seperti filem-filem keluaran Hollywood.
Kita tidak perlu meniru atau mengikut filem-filem olahan
barat termasuk budaya-budaya yang tidak baik yang sering
dipaparkan menerusi filem-filem mereka. Malahan kalau
kita lihat di Festival Filem Cannes pada bulan Mei yang
lalu filem dari negara bukan Barat iaitu `The Taste of
Cherry' dari Iran telah berjaya memenangi anugerah
tertinggi festival tersebut sedangkan filem ini hanya
mengisahkan seorang manusia yang sedang mencari `Human
Compassion'. Malahan filem-filem dari negara yang tidak
terkenal seperti Burkina Faso dan Mali turut berjaya
memenangi anugerah di Cannes.
5. Saya suka menyentuh tentang pencapaian filem di
negara Iran kerana perkembangan industri filem di negara
itu bolehlah dianggap menakjubkan kerana Iran telah
banyak memenangi anugerah filem. Dalam tempoh 10 tahun
sahaja, ia telah memenangi 160 award dari pelbagai
festival antarabangsa walaupun menghadapi pelbagai
sekatan dan garis panduan daripada pihak berkuasa.
Melalui filem jugalah, IRAN berharap dapat
memperbetulkan pandangan barat mengenai aspek positif
Islam.
6. Hakikat ini membuktikan kepada kita bahawa tidak
semestinya filem-filem yang mendapat sentuhan tema dari
negara barat merupakan filem yang bermutu dan terbaik.
Kita boleh wajahkan filem-filem kita dengan wajah-wajah
Malaysia sendiri agar dapat kita perkenalkan `trademark'
Malaysia di mata dunia. Akan tetapi isu-isu yang kita
ketengahkan perlulah isu-isu yang universal agar dapat
menarik mata dunia iaitu isu yang relevan dan yang
menyentuh asasi kemanusiaan di mana jua tanpa sempadan
geografi, politik, budaya dan masa. Hanya dengan cara
ini, sesuatu filem dapat menarik pelanggan dari seluruh
dunia. Inilah yang dimaksudkan dengan nilai universal.
7. Untuk menjamin mereka yang terlibat dalam industri
filem mendapat hak perlindungan bagi hasil karya mereka,
Kerajaan menerusi perwujudan `Multimedia Bill of
Guarantees' telah mensyaratkan antaranya `The MSC will
become a Regional Leader in Intellectual Property
Protection and Cyberlaws'. Kerana itu dalam usaha
Kerajaan memajukan MSC, karyawan filem haruslah merebut
peluang-peluang yang ada kerana telah ada jaminan bahawa
hasil karya mereka akan dilindungi.
8. Jika dilihat, kita boleh membuat filem dengan
berasaskan kepada olahan-olahan mengenai isu yang lebih
konkrit. Kebanyakan filem pembikinan negara ini
berkisar kepada kisah-kisah cinta. Kalau kita lihat
filem-filem yang memenangi anugerah perfileman peringkat
antarabangsa filem-filem ini tidak menjadikan cinta
sebagai tema utama mereka. Kebanyakan filem yang menang
lebih memaparkan tema kemasyarakatan yang serius.
Kemenangan mereka dihasilkan menerusi filem-filem yang
humanis sambil memberikan komentar sosial secara halus
seperti filem `The English Patient' dan `Forrest Gump'.
Persoalan-persoalan yang dikemukakan menyentuh kisah
sejagat dan bukannya kisah-kisah yang berunsurkan cinta.
Kejayaan filem-filem seperti ini tidak terhenti apabila
ia memenangi sesuatu anugerah tetapi terus hangat
diperbincangkan oleh masyarakat.
9. Dalam usaha Kerajaan memajukan MSC, Kerajaan tidak
ada model untuk dijadikan contoh tetapi kita berusaha
untuk menjadikan MSC mengikut citarasa kita sendiri.
Saya percaya mereka yang terlibat dalam filem mempunyai
citarasa tersendiri dalam memajukan industri filem kita.
10. Sekiranya kita berusaha kuat sehingga filem kita
dapat menarik minat antarabangsa, dengan sendirinya kita
telah mewujudkan pasaran untuk filem tersebut. Pasaran
di peringkat global pada masa kini adalah penting. Untuk
itu kita seharusnya berusaha untuk mempelajari dan
mendalami bidang pemasaran perfileman. Jangan apabila
filem yang kita buat tidak laku, kita menyalahkan orang
lain. Untuk mengkaji bidang pemasaran ini di peringkat
yang lebih global, kita kenalah luaskan fikiran kita
dengan cara melihat negeri-negeri lain yang telah lama
maju di bidang ini. Kita harus belajar apa yang baik
daripada kemajuan yang telah mereka perolehi.
11. Kita akui Hollywood memang masyhur dengan filem-
filem keluaran mereka, tetapi kita perlu tanya "mengapa
ia begitu berjaya?" Kunci kejayaan mereka ialah sejak
dahulu lagi mereka amat agresif dalam pemasaran keluaran
mereka. Kepada mereka pemasaran sesuatu filem tidak
mengira betapa jauh atau kecilnya negara tersebut.
12. Saya percaya masyarakat filem di negara ini
telahpun mempelajari sesuatu hasil daripada perkembangan
teknologi pada masa ini. Penggunaan teknologi
multimedia untuk memajukan filem pada masa sekarang
adalah sesuatu yang amat penting. Kalau kita lihat
pembikinan filem-filem yang memecah 'box office' dari
Barat, mereka lebih menumpukan pembikinan filem mereka
daripada segi penggunaan teknologi multimedia ini.
Menerusi filem mereka, kita dapat lihat sesuatu yang
seolah-olah benar wujud. Dalam filem `Forrest Gump'
kita dapat melihat watak utamanya bersalaman dengan
Presiden Amerika Syarikat yang sudah meninggal dunia.
Ini dapat dibuat melalui `software' komputer, iaitu
digital grafik. Saya percaya sekiranya kita mempunyai
kesungguhan untuk menjadikan filem kita seperti filem
mereka, kita mampu mempelajari teknik-teknik teknologi
multimedia yang terkini. Filem-filem iklan buatan
Malaysia sudah banyak yang menggunakan teknologi ini.
13. Untuk membuat sesebuah filem saya menyeru SENIMAN
agar tidak takut bahawa industri filem kita akan mati
begitu sahaja kerana wujudnya televisyen. Ini kerana
kita juga boleh membuat filem untuk pasaran televisyen
kita. Kita sekarang telah ada satelit kita sendiri.
Menerusi satelit ini `footprint' telah sampai ke Asia
Timur termasuk utara Australia, Hong Kong, India,
Kampuchea, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Taiwan,
Thailand, Vietnam dan sebahagian dari selatan China.
Saudara-saudari mungkin beranggapan bahawa halangan
utama dalam pemasaran filem ialah bahasa. Saya tidak
percaya bahawa filem Amerika dan British laris di
pasaran dunia kerana filemnya berbahasa Inggeris.
Sekiranya filem bermutu dan baik, filem kita akan tetap
mendapat pasaran. Masalah bahasa tidak timbul kerana
kita juga boleh menterjemahkan filem tersebut ke bahasa
yang dikehendaki oleh pelanggan tanpa mencacat arus atau
tema cerita tersebut.
14. Sebagai contoh ialah filem Hindustan. Saya percaya
kita di sini kadangkala lebih kenal pelakon-pelakon
filem Hindustan daripada pelakon-pelakon negara kita
sendiri. Filem Hindustan walaupun memaparkan tema-tema
yang berunsurkan percintaan tetapi ada mesej yang lebih
besar dipaparkan pada setiap filem mereka iaitu
persoalan kemanusiaan, nilai-nilai murni seperti
menghormati ibubapa dan tolong-menolong. Sebab itu ada
negara yang tidak memahami bahasa Hindi, termasuk negara
Eropah, menayangkan filem-filem Hindustan.
15. Saya ingin menyeru syarikat-syarikat filem supaya
mengikis sikap menganggap dunia "berhutang" kepada
mereka. Kikiskan mentaliti `The government and
everybody owe you'. Kita tidak boleh menuntut Kerajaan
membela kita mengikut kehendak kita, sedangkan Kerajaan
telah menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif.
Sekarang kita berada dalam era `survival of the
fittest'. Sebagai contoh `MSC' sendiri, ia tidak ada
`precedent' sebelum kita. Kita tidak ada punca rujukan.
Tiada model untuk dicontohi tetapi kita kena berani
mempeloporinya dan setelah kita wujudkannya kita perlu
memasarkan dengan lebih agresif. Sekarang orang sudah
mula yakin dengan kita. Pada hari ini sudah ada 90
syarikat yang telah memohon untuk mendapat status `MSC'.
Begitulah juga dengan filem; filem Hollywood mengetuai
industri ini di seluruh dunia bukan kerana semata-mata
budget yang besar, tetapi lebih kerana pemasaran yang
cukup agresif dan meluas ke seluruh pelusuk dunia. Untuk
membikin filem yang berjaya dan bermutu, kita perlu
menjadi usahawan yang berjaya. Dalam perniagaan juga
kita perlu ada teknik-teknik untuk berunding. `The Art
of Negotiations' perlu ada kepada kita. Pada pandangan
saya, orang filem di negara ini perlu mewujudkan
hubungan yang baik dengan semua pihak yang terlibat
dalam industri filem.
16. Saya ucapkan tahniah kepada SENIMAN di atas usaha-
usahanya untuk menubuhkan yayasannya sendiri di samping
berusaha mewujudkan dananya sendiri. Saya percaya
melalui usaha SENIMAN ini kita akan dapat melahirkan
lebih ramai pelakon atau penyanyi yang terlatih serta
meningkatkan lagi mutu filem kita.
|