Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MENARA PGRM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16/08/97
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
PERWAKILAN KE-26 PARTI
GERAKAN MALAYSIA
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
Gerakan Dato' Seri Dr. Lim Keng Yaik dan ahli-ahli
Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk
merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan yang ke-
26 pada hari ini. Persidangan Perwakilan atau
Perhimpunan Agung bagi parti-parti komponen Barisan
Nasional (BN) adalah penting dan sesuatu yang dinanti-
nantikan oleh ahli-ahli. Ini ialah kerana di sinilah
ahli-ahli menerusi para perwakilan mereka berpeluang
memberi pandangan dan pendapat mereka mengenai isu-isu
yang berhubung dengan parti khususnya dan negara amnya.
Di sini jugalah para wakil berpeluang untuk menghentam
atau mengkritik pucuk pimpinan parti dan dasar-dasar
parti. Di sini jugalah nasib para pemimpin ditentukan
sama ada para perwakilan akan memberi sokongan dengan
memilih semula mereka untuk menerajui parti atau
mahukan perubahan dalam barisan kepimpinan.
2. Jika diperhatikan, para perwakilan parti-parti
komponen BN -- sama ada UMNO atau MCA atau MIC atau
Gerakan -- betul-betul menggunakan sepenuhnya peluang
yang diberikan kepada mereka di persidangan agung. Itu
sebabnya saya sendiri sebagai Presiden UMNO dan Dato'
Seri Dr. Lim Keng Yaik dan pemimpin-pemimpin lain dalam
BN tidak dapat lari daripada turut dikecam oleh ahli-
ahli parti. Tetapi ini semua kami terima dengan hati
yang terbuka sebagai risiko menjadi pemimpin dalam
parti yang mengamalkan demokrasi.
3. Sebagai sebuah parti komponen BN yang penting,
parti Gerakan telah turut menyumbang besar kepada
pembangunan ekonomi dan kestabilan politik negara ini.
Kepimpinannya yang sederhana, bertanggungjawab tetapi
berterus terang serta sedia bertolak-ansur demi
kepentingan negara telah membantu mengukuh dan
memantapkan BN. Namun ini tidak pula menyekat parti
Gerakan daripada menyuarakan isu-isu tertentu yang
difikirkan penting oleh parti dan ahli-ahlinya. Tetapi
semua ini dibangkitkan dengan niat yang ikhlas dan
dalam semangat kekeluargaan Barisan Nasional. Sebagai
Kerajaan Barisan Nasional yang peka kita mendengar
pandangan-pandangan yang jujur dan membina dan dalam
banyak hal pandangan-pandangan ini mendapat
pertimbangan Kerajaan. Dalam perkara-perkara yang
difikirkan agak sensitif untuk dibicarakan secara
terbuka kita bangkitkan perkara-perkara ini dalam
mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan mesyuarat Kabinet.
Ini boleh saya akui kepada tuan-tuan dan puan-puan.
Banyak perkara dan masalah yang telah dibangkitkan oleh
Dato' Seri Dr. Lim Keng Yaik dalam mesyuarat-mesyuarat
ini.
4. Sepertimana yang saya katakan ketika merasmikan
Persidangan Agung MIC dua minggu yang lepas, kita tidak
dapat melayani semua tuntutan dan permintaan yang
dibuat. Dengan itu sudah tentulah berlaku rasa tidak
puas hati di kalangan sesetengah pihak. Ahli-ahli
komponen parti BN tidak boleh melihat kedudukan mereka
dari sudut diri sendiri sahaja. Kita perlu melihat
dari semua sudut -- sudut yang lebih luas. Kalau kita
kaji secara rasional, semua kaum telah memperolehi
faedah daripada pembangunan ekonomi negara. Tidak ada
kaum yang diketepikan. Berkenaan penswastaan
umpamanya, semua kaum memperolehi faedah daripadanya --
sama ada usahawan yang ditawarkan projek penswastaan,
pekerja yang bekerja dengan syarikat yang diswastakan
dan rakyat biasa yang berpeluang membeli saham syarikat
yang diswastakan yang disenaraikan di Bursa Saham dan
mengguna kemudahan yang disediakan -- semua mereka ini
terdiri daripada pelbagai kaum.
5. Sebenarnya bukannya mudah untuk mentadbir negara
yang berbilang kaum, agama dan budaya. Pemberian semua
yang dituntut atau diminta oleh semua kaum tidak
mungkin kerana kerapkali permintaan ini bertindih atau
bertentangan di antara satu kaum dengan kaum yang lain.
Jika pihak yang berkuasa melayani hanya tuntutan
daripada kaumnya sahaja, ia mungkin popular dengan
kaumnya tetapi tetap akan dikecam dan ditolak oleh kaum
lain. Dan kita tahu dalam pilihanraya kita perlu undi
daripada semua kaum untuk mendapat kemenangan. Yang
boleh kita buat ialah melayan separuh sahaja daripada
tuntutan oleh semua kaum. Ini akan menjadikan semua
kaum sama-sama tidak puas hati. Tetapi mereka akan
tahu tidak ada pilih kasih oleh Kerajaan Barisan
Nasional dan mereka akan menyokong kita.
6. Para pemimpin dan ahli-ahli BN hendaklah sentiasa
bekerja keras bagi menentukan rakyat akan sentiasa
menyokong penuh BN. Ini adalah tanggungjawab yang
besar yang perlu kita pikul dengan serius. Jawatan
bukan untuk kebanggaan kita yang boleh kita guna sesuka
hati kita. Jawatan adalah untuk memudahkan pengurusan
bagi menjayakan dasar parti untuk negara.
7. BN merupakan parti politik yang berjaya
sehinggakan ia menjadi contoh kepada negara-negara
membangun lain yang berbilang kaum dan mempunyai banyak
parti politik. Mereka sering meminta maklumat yang
terperinci mengenai susunan BN dan cara parti-parti di
dalamnya bekerjasama.
8. Namun ahli-ahli BN tidak boleh berpeluk tubuh dan
bersifat angkuh dan sombong. Kita tidak boleh terlalu
yakin dengan sokongan rakyat kepada BN. Kita tidak
boleh `over confident' kerana ini boleh menyebabkan
kita lalai. Para pemimpin dan ahli-ahli BN mestilah
sedia merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat.
Para pemimpin dan ahli BN hendaklah sentiasa sedia
mendengar rintihan dan masalah rakyat dan cuba membantu
menyelesaikannya. Tanggungjawab ini berat tetapi
ingatlah kita yang memilih untuk menjadi Wakil Rakyat,
dan oleh itu kita perlu memikul tugas Wakil Rakyat.
9. Saya menyatakan bahawa BN adalah parti yang
terbaik di negara ini kerana ia adalah satu-satunya
parti yang mempunyai kredibiliti dan komited untuk
memajukan rakyat dan negara. BN adalah satu-satunya
parti yang boleh memenuhi kehendak pelbagai kaum dan
boleh diterima oleh sebahagian besar rakyat. Oleh
kerana dasar-dasarnya yang pragmatik maka negara kita
hari ini stabil dan telah mengalami pembangunan yang
pesat. Di samping itu, BN telah berjaya menentukan
semua kaum di negara ini menikmati faedah daripada
kemajuan pesat ekonomi negara. Kerajaan BN juga telah
berjaya menjadikan negara kita lebih dihormati dan
disegani. BN juga adalah parti yang mempunyai wawasan
yang jelas untuk membawa negara ke tahap yang lebih
tinggi dan cemerlang. Oleh itu, kita perlu meyakinkan
rakyat bahawa hanya BN yang dapat menjamin masa depan
rakyat dan negara yang lebih cerah.
10. Rakyat kini sudah berubah. Mereka kini lebih
bijak dan matang membuat penilaian terhadap sesuatu
perkara. Mereka tidak lagi hanya menerima sesuatu
perkara atau keadaan begitu sahaja. Jika pemimpin-
pemimpin BN dilihat tidak berminat dengan masalah
rakyat dan mementingkan kedudukan mereka, sama ada
dalam parti atau Kerajaan, BN akan kehilangan sokongan.
11. Oleh itu para pemimpin BN dan ahli-ahli hendaklah
sentiasa bekerja kuat untuk mendapat sokongan terus
rakyat. Kita juga hendaklah elak daripada bertelagah
antara satu sama lain yang boleh melemahkan parti kita.
12. Kita kini sedang berada dalam era Teknologi
Maklumat atau I.T. Dunia juga kini semakin menjadi
`borderless' atau tidak mempunyai sempadan kerana
teknologi satelit telah memudahkan perhubungan dan
komunikasi antara negara. Dalam perkataan lain dunia
pada hari ini semacam satu `village' atau kampung.
13. Sudah tentulah cabaran-cabaran yang akan kita
hadapi dalam memasuki abad yang akan datang ini lebih
hebat. Pendekatan dan
strategi yang kita ambil selama ini untuk memajukan
negara mungkin tidak sesuai lagi, tidak boleh diguna-
pakai lagi.
14. Seperti masa yang lalu, kita perlu membuat
perubahan dan penyesuaian untuk mengikuti peredaran
zaman. Perubahan ini tidak dapat dielak dan kita perlu
berubah mengikut masa jika kita mahu terus maju dan
berjaya. Saya yakin jika dahulu kita enggan mengubah
ekonomi kita kepada perindustrian dan terus bergantung
kepada getah dan bijih timah kita tentu akan menjadi
mundur dan miskin dan mengalami masalah sosial dan
politik yang buruk.
15. Justeru itu, dalam menghadapi era teknologi
maklumat kita perlu membuat perubahan -- seperti
mengubah cara kita berfikir, cara hidup kita dan cara
menangani masalah kita.
16. Parti-parti komponen BN seperti Gerakan boleh
turut memainkan peranan menyediakan rakyat menghadapi
perubahan ini supaya ia tidak datang sebagai satu
kejutan besar. Parti-parti komponen BN boleh membantu
menyedarkan rakyat tentang perubahan yang akan datang
dan membantu membuat persiapan untuk menghadapinya
supaya negara akan terus maju.
17. Saya yakin, jika rakyat bersama-sama kerajaan dan
memberi sokongan penuh terhadap usahanya membawa
Malaysia dengan jayanya ke abad yang akan datang,
negara kita akan terus mencapai kejayaan. Kita telah
membuktikan bahawa kita boleh mencapai apa juga
kejayaan jika kita menumpukan usaha dan tenaga.
18. Dengan harapan para pemimpin dan ahli-ahli Parti
Gerakan akan berusaha dengan gigih menentukan Barisan
Nasional akan terus mendapat sokongan rakyat demi
kestabilan, kemajuan dan kemakmuran negara, saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Parti
Gerakan Malaysia yang ke-26.
|