Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21/08/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM UNTUK MERAIKAN
T.Y.T. LI PENG, PERDANA MENTERI
REPUBLIK RAKYAT CHINA
1. Saya ucapkan selamat datang dan mengalu-alukan
lawatan Tuan Yang Terutama dan anggota-anggota
rombongan ke Malaysia. Kami gembira Tuan Yang Terutama
dapat kembali sekali lagi ke Malaysia sejak lawatan
rasmi Tuan Yang Terutama yang terakhir pada Disember
1990.
2. Saya sendiri telah melakukan dua lawatan rasmi dan
dua lawatan kerja ke Republik Rakyat China di antara
tahun 1985 hingga 1996. Lawatan Tuan Yang Terutama
kali ini memberi peluang kepada saya untuk membalas
layanan baik dan mesra yang diberikan kepada saya dan
rombongan semasa lawatan kami ke China. Saya dan
isteri saya berharap Tuan Yang Terutama dan Puan Zhu
Lin serta anggota-anggota rombongan yang lain akan
gembira semasa berada di Malaysia.
3. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan
tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Tuan Yang Terutama
di atas kejayaan mengambil alih semula secara aman
kedaulatan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong baru-baru
ini. Saya yakin hubungan Malaysia-Hong Kong akan
menyumbang besar kepada perhubungan keseluruhan di
antara kedua-dua negara kita.
4. Saya masih ingat bahawa lawatan Tuan Yang Terutama
pada tahun 1990 telah mengorak satu langkah baru dalam
perkembangan hubungan Malaysia-China, terutama daripada
segi perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat
kedua-dua negara. Sejak itu, beberapa pertukaran
lawatan di peringkat tinggi telah mengukuhkan lagi
rangkaian hubungan dan kerjasama di antara rakyat kita.
Saya yakin lawatan Tuan Yang Terutama ke sini akan
membuka satu lagi lembaran baru dalam hubungan Malaysia-
China, dengan itu membolehkan kita merealisasikan
sepenuhnya potensi kerjasama antara kedua-dua negara.
5. Saya juga ingin merakamkan penghargaan ikhlas
kepada Kerajaan Tuan Yang Terutama di atas persiapan
cemerlang bagi menjayakan lawatan rasmi Yang di-Pertuan
Agong dan Raja Permaisuri Agong ke China pada Julai
tahun ini. Lawatan tersebut meninggalkan kesan yang
kekal terhadap tamadun purba China yang masyhur itu
serta memberi pemahaman terhadap usaha-usaha yang
sedang dijalankan untuk membangun dan memodenkan
ekonomi China.
6. Saya juga gembira mendapati hubungan diplomatik
dan politik di antara kedua-dua negara berjalan seiring
dengan kemajuan pesat dalam hubungan dua hala ekonomi
kita. Pada tahun 1996, jumlah dagangan antara kedua-
dua negara mencapai RM9.45 ribu juta daripada RM1.2
ribu juta dalam tahun 1995. Malaysia yakin kerjasama
perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara akan
terus berkembang memandangkan prestasi ekonomi China
yang cemerlang. Malaysia berharap apabila China terus
mengliberalkan perdagangannya, peluang-peluang akan
terus terbuka kepada Malaysia untuk meningkatkan
eksport, terutama barang-barang pembuatan dan separuh
siap.
7. Adalah menggalakkan juga bahawa hubungan Malaysia-
China telah berkembang meliputi kerjasama dalam bidang
pendidikan. Kami mengalu-alukan penubuhan Pusat Kajian
Melayu di Universiti Pengajian Luar Beijing. Adalah
diharapkan penuntut-penuntut China yang berhasrat untuk
melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia akan
melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan asas Bahasa
Melayu di Pusat tersebut sebelum datang ke Malaysia.
8. Malaysia terus kagum dengan pencapaian besar
ekonomi China, selaras dengan reformasi ekonomi dan
dasar pintu terbukanya. Kami sedar bahawa China,
dengan bilangan penduduk seramai 1.2 ribu juta orang,
menghadapi tugas yang amat berat dalam usaha mencapai
pembangunan sosio-ekonominya. Dalam memenuhi aspirasi
nasional rakyat China untuk pembangunan, Kerajaan China
juga membuat sumbangan bersungguh-sungguh ke arah
keamanan, kestabilan dan kemakmuran di seluruh rantau
ini.
9. Semasa lawatan terakhir Tuan Yang Terutama pada
Disember 1990, China masih merupakan bakal rakan dailog
ASEAN pada masa itu. Hari ini, saya berasa gembira
bahawa China sejak tahun lalu telah menjadi rakan
dailog penuh ASEAN. Perwujudan hubungan dailog ini
menandakan satu era baru dalam kerjasama ASEAN-China.
10. ASEAN dan China mempunyai peranan yang utama dalam
meningkatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di
rantau ini. Sehubungan ini Malaysia mengalu-alukan
penyertaan Tuan Yang Terutama Presiden Jiang Zemin di
Sidang Kemuncak tidak rasmi ASEAN pada bulan Disember
tahun ini. Saya juga menghargai sokongan China ke atas
cadangan ASEAN untuk negara-negara Asia Timur terlibat
dalam pertukaran pandangan mengenai perkara-perkara
yang menyentuh soal keamanan, kestabilan dan
pertumbuhan ekonomi rantau ini. Saya yakin cadangan
ini akan menjadi realiti dalam waktu yang tidak berapa
lama lagi dan akan mencatatkan satu lagi sejarah baru
dalam bidang kerjasama di kalangan negara-negara Asia
Timur.
11. Izinkan saya melahirkan penghargaan kami atas
penyertaan aktif China dalam projek-projek di bawah
Kerjasama Pembangunan ASEAN-Lembah Mekong (AMBDC). Kami
yakin dengan sokongan China, AMBDC boleh mencapai
matlamat dan tujuannya untuk membawa pembangunan dan
kemajuan ke rantau ini.
12. Kemboja terus mendapat perhatian Malaysia dan kami
sedih dengan keadaan di sana. Malaysia percaya bahawa
ASEAN mesti meneruskan peranannya untuk membantu rakyat
Kemboja mencari penyelesaian damai bagi masalah yang
mereka hadapi sekarang. ASEAN mengalu-alukan sumbangan
China dalam usaha bersama untuk mencapai penyelesaian
damai tersebut agar Kemboja dapat menumpukan tenaganya
ke arah pembangunan negaranya. Kami berharap Kemboja
dapat menjadi anggota keluarga ASEAN.
13. Keadaan di Semenanjung Korea terus mendapat
perhatian kami semua. Kami berharap rundingan damai
empat negara akan menandakan permulaan proses dailog
yang akan menghasilkan penyelesaian yang berkekalan
terhadap masalah di Semenanjung Korea. Peranan dan
sumbangan China dalam proses itu telah meningkatkan
harapan kejayaan dalam usaha tersebut. Kami di
Malaysia bersedia untuk menyumbang dalam apa juga cara
yang terdaya dalam usaha untuk membawa keamanan yang
kekal di Semenanjung tersebut. Kita tidak boleh
bersikap tidak endah terhadap nasib rakyat Republik
Demokratik Rakyat Korea ketika mereka memerlukan
bantuan makanan dan keperluan asas untuk hidup akibat
kebuluran. Kami menggesa masyarakat antarabangsa
supaya bertindak segera menyahut seruan kemanusiaan
dengan menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa-
mangsa yang tidak berdaya terutama kanak-kanak, yang
kurang upaya dan orang tua.
|