Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA 
			(IKIM), KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/08/97 
Tajuk/Title  	: 	PERSIDANGAN SERANTAU " MENGHADAPI 
			ABAD 21: REFORMASI DAN CABARAN 
			UMAT ISLAM SERANTAU" 



     1.  Saya ucapkan terima kasih kepada Institut Kefahaman
    Islam  Malaysia  (IKIM)  kerana  menjemput  saya  untuk
    berucap  di Persidangan Serantau `Menghadapi  Abad  21:
    Reformasi  dan Cabaran Umat Islam Serantau'  pada  hari
    ini.
    
    2.    Untuk merancang masa depan, kita perlu menoleh ke
    belakang dahulu supaya kita tahu dari mana kita datang.
    Jika  kita  tidak  tahu  dari mana  kita  datang,  kita
    mungkin  menuju ke belakang walaupun kita percaya  kita
    sedang maju ke hadapan.
    
    3.    Demikian  untuk menghadapi Abad ke-21  Masihi  --
    zaman maklumat dengan teknologi yang canggih yang  akan
    menukar  cara  hidup  manusia, dengan  sempadan  antara
    negara-negara  tidak  lagi dapat  menghalang  kemasukan
    maklumat dan segala kegiatan, ekonomi, kewangan, sosial
    dan budaya bersama cabaran baru yang akan datang dengan
    perubahan-perubahan ini -- kita perlu mencari  iktibar,
    panduan dan pelajaran dari sejarah, sejarah dunia serta
    sejarah Islam dan umat Islam.
    
    4.    Ini  tidak  bermakna  kita  akan  mendapat  semua
    jawapan   secara  tepat  daripada  mempelajari  sejarah
    Islam.   Tetapi kita mungkin boleh mengetahui bagaimana
    pendekatan dan strategi umat Islam yang begitu  berjaya
    pada  mulanya  telah menjadi tidak sesuai  dan  membawa
    keburukan kemudian.  Sekurang-kurangnya kita akan kenal
    apa  yang  tidak berkesan dan tidak harus diguna  dalam
    menangani  masalah-masalah tertentu  yang  mungkin  ada
    persamaannya dengan cabaran dan masalah yang akan  kita
    hadapi di masa hadapan.
    
    5.    Jika  sejarah Islam diikuti secara tidak mendalam
    sekalipun,  jelas  sekali  orang  Arab  Jahiliah,  yang
    mundur,  yang  tinggal di padang pasir, yang  berbudaya
    kolot  sehingga  sanggup membunuh  anak  sendiri,  yang
    berperang  sesama sendiri sepanjang masa,  yang  taksub
    dengan  kabilah masing-masing; Arab yang jahil  seperti
    ini,  apabila  menerima Islam dan  mengikuti  ajarannya
    telah berjaya mendirikan sebuah empayar yang amat besar
    dan  mencipta tamadun yang tinggi yang jauh lebih moden
    dari  tamadun Yunani dan Rumawi semasa.  Dari  Sepanyol
    hingga  ke  benua China ajaran Islam dikembangkan  oleh
    bekas  orang  Arab  yang jahil ini sehinggalah  separuh
    daripada umat manusia menerima agama Islam dan  menukar
    cara  hidup mereka, menukar bahasa dan tulisan  mereka.
    Jika  kita ingat bahawa sebahagian besar daripada orang
    Arab  termasuk Nabi Muhammad s.a.w. sendiri buta huruf,
    pencapaian  Arab  yang  telah  diIslamkan   ini   lebih
    mengkagumkan.    Sebenarnya  dalam   jangkamasa   hanya
    seratus  tahun  selepas hijrah ke Madinah,  orang  Arab
    padang pasir yang jahil ini, hanya dengan menerima  dan
    menganuti  Islam  dan  ajaran Islam,  telah  mendirikan
    sebuah  empayar  Islam  yang  begitu  besar  dan  kuat.
    Perkembangan   Islam   selepas  itu   tidaklah   begitu
    menakjubkan, walaupun ia terus diusahakan di  sana-sini
    dengan jayanya.
    
    6.    Kita juga tahu dari sejarah bahawa selepas  orang
    Islam  diusir  dari Sepanyol pada tahun  1492,  Empayar
    Islam  Turki  pula  muncul di  Eropah  Timur  dan  Asia
    Tengah.   Tetapi  Empayar  Islam  Turki  juga  akhirnya
    merosot  sehinggalah  Turki  bukan  sahaja  tidak  lagi
    menjadi  pusat Empayar Islam, sebaliknya Turki  menolak
    Islam    dalam   pentadbirannya   dan   mengisytiharkan
    negaranya  sebagai  negara  sekular  yang  tidak   lagi
    terlibat dengan dunia Islam.
    
    7.    Naik  turunnya Islam dan umat Islam dalam sejarah
    tentu  mempunyai  kaitan yang rapat dengan  agama  yang
    dianuti  oleh  mereka.  Tetapi kenapakah  di  peringkat
    awal apabila Arab Jahiliah menganuti agama Islam mereka
    telah  menjadi  umat  yang begitu dinamik?   Jawapannya
    ialah  semakin  lama semakin banyak ajaran  yang  tidak
    berasas kepada Islam yang sebenar telah disebarkan. Dan
    semakin  lama, semakin ramai orang Islam dan  pemimpin-
    pemimpin  mereka  yang terlibat dengan  rebutan  kuasa,
    dengan  masing-masing mendakwa bahawa  mereka  berjuang
    untuk Islam.
    
    8.    Sebab itu antara empat Khalifah Al-Rashidin, tiga
    mati  dibunuh.  Hanya Saidina Abu Bakar, Khalifah  yang
    pertama  sahaja yang tidak dibunuh.  Saidina Abu  Bakar
    terkenal   dengan  sifat  merendahkan  diri.    Apabila
    dilantik   Khalifah,  beliau  menyuruh   siapa   sahaja
    menegurnya jika ia bersalah, kerana beliau mengakui  ia
    adalah   manusia  biasa  dan  bukan  Nabi.   Pembunuhan
    Saidina  Omar  dan  Osman tentulah  kerana  ada  antara
    penganut  agama  Islam  yang  tidak  bersetuju   dengan
    kepimpinan khalifah-khalifah ini.
    
    9.     Tetapi  apabila  Saidina  Ali  dilantik  menjadi
    Khalifah  tentangan  terhadapnya menjadi  amat  ketara.
    Peperangan  berlaku di antara Saidina Ali dan  Muawiyah
    yang akhirnya tamat dengan Saidina Ali dibunuh dan umat
    Islam  berpecah kepada dua mazhab, puak Sunni dan  puak
    Syiah.   Perbezaan antara Sunni dan Syiah begitu besar,
    namun masing-masing mendakwa bahawa agama mereka adalah
    agama  Islam.  Bagaimanakah agama yang satu yang dibawa
    oleh  Rasulullah  boleh menjadi dua agama  yang  begitu
    berbeza?   Tentulah satu daripada dua ini  bukan  Islam
    atau   yang  lebih  mungkin  lagi  ialah  masing-masing
    mempunyai tafsiran dan ajaran yang benar dan juga  yang
    salah.   Yang jelas ialah perbezaan tafsiran dan ajaran
    Islam  di  antara kedua-dua mazhab ini disebabkan  oleh
    rebutan politik, iaitu keinginan untuk menjadi Khalifah
    oleh pemimpin tertentu.
    
    10.   Tetapi  tafsiran yang berlainan  berkenaan  agama
    Islam  tidak  berhenti-henti dibuat.  Sama  ada  kerana
    masalah  yang  dihadapi  dengan  peredaran  zaman  atau
    kerana   politik  kepimpinan  dalam  kedua-dua  mazhab,
    ijtihad  dan  ijmak kerap dibuat oleh alim ulama  untuk
    mengeluar beribu-ribu fatwa sepanjang masa.   Di  waktu
    yang  sama ada sahaja ulama yang mentafsir dan  membuat
    fatwa  sendiri dan mendirikan kumpulan-kumpulan tarikat
    dan  kumpulan-kumpulan  lain.  Untuk  membantu  dakwaan
    mereka  ramai yang mencipta hadis yang tidak  mempunyai
    asas yang benar.
    
    11.   Demikian hanya 200 tahun selepas Hijrah,  Bukhari
    mengumpul dan mengkaji hadis-hadis yang dipercayai oleh
    orang  Islam  di  zamannya,  berjumlah  hampir  600,000
    hadis.   Daripada jumlah ini Bukhari mengesahkan  hanya
    7000  hadis.  Beliau menolak lebih kurang 593,000 hadis
    yang pada pendapatnya adalah tidak sahih atau palsu.
    
    12.   Pengkaji-pengkaji hadis yang lain seperti  Muslim
    dan  Tarmizi menerima kurang daripada 7000.  Ada  hadis
    yang  dianggap sahih oleh Bukhari ditolak  oleh  ulama-
    ulama lain yang mengkaji hadis dan sebaliknya.
    
    13.   Keadaan  ini  berlaku  hanya  200  tahun  selepas
    Hijrah.   Kemudian  dari  itu banyak  lagi  hadis  yang
    dicipta oleh orang lain.  Dan banyak pendapat, tafsiran
    dan  fatwa yang dibuat melalui ijtihad, ijmak dan kias.
    Ada pula antara fatwa-fatwa ini kemudian didapati salah
    dan  tidak  dipersetujui oleh ulama-ulama  yang  datang
    kemudian,  dan dengan itu dibatalkan.  Penutupan  pintu
    ijtihad  tidak  menghentikan fatwa-fatwa  terus  dibuat
    tanpa proses yang secocok dengan ajaran Islam. Tafsiran-
    tafsiran  berlainan antara satu dengan yang lain  terus
    dibuat.
    
    14.   Hakikatnya ialah selama 1400 tahun sejarah  Islam
    dan  orang Islam, mereka terdedah kepada bermacam-macam
    ajaran yang semuanya didakwa adalah ajaran Islam,  yang
    sering  bertentangan antara satu sama lain, sehinggakan
    mereka  menjadi  amat  keliru.   Daripada  ajaran  yang
    begitu   sempit   yang   menolak   dunia   dan    ingin
    mengembalikan kepada keadaan 1400 dahulu,  kepada  yang
    mengasingkan  Islam dan menerima sekularisme,  terdapat
    seribu  satu  kepercayaan yang menjadikan  orang  Islam
    sesat dan hilang akal.
    
    15.   Apakah  umat  Islam yang begini dapat  menghadapi
    cabaran  Abad ke-21 Masihi di mana dunia sudah  menjadi
    sebuah  kampung, dengan kecanggihan teknologi maklumat,
    roket,  laser,  kapal angkasa dan bom  nuklear?   Dalam
    dunia  yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar yang  tidak
    satu  pun  terdiri daripada negara Islam,  yang  begitu
    tidak  adil  sehingga rela menyerah  orang  Islam  yang
    tidak  bersenjata untuk disembelih oleh  musuh  mereka,
    yang  mampu  dan  sanggup mengepung negara  Islam  yang
    bebas  sehingga rakyat mati lapar; apakah  orang  Islam
    yang   bermusuh-musuhan  sesama  sendiri,  yang  keliru
    dengan  ajaran agama mereka, yang begitu kolot,  miskin
    dan  lemah  dapat menikmati apa-apa di  zaman  maklumat
    Abad ke-21?
    
    16.   Jawapannya ialah mereka tidak akan mendapat  apa-
    apa nikmat, bahkan mereka akan menjadi lebih lemah lagi
    dan akan ditindas dan dijajah secara langsung dan tidak
    langsung.
    
    17.   Tetapi  nasib  sebegini tidak sepatutnya  menimpa
    umat  Islam.  Jika kita rujuk kepada sejarah, kita akan
    dapati  bahawa  kemajuan  dan  perkembangan  Islam  dan
    Empayar  Islam  dalam  abad-abad awalan  adalah  kerana
    tafsiran-tafsiran, hadis-hadis ciptaan dan fatwa  cetek
    belum  begitu  banyak  untuk mengelirukan  umat  Islam.
    Justeru    itu,   mereka   tidak   dihalang    daripada
    mempelajari, menguasai dan menokok-tambah  segala  ilmu
    duniawi  yang  telah diterokai oleh tokoh-tokoh  Yunani
    dan  Rumawi.  Mereka mengalihbahasa segala ilmu ini dan
    membuat  kajian  yang  mendalam sehingga  ilmu  duniawi
    mereka  lebih  tinggi daripada mana-mana tamadun  lain.
    Merekalah  yang  mencipta  ilmu  Astronomi,  Algorithm,
    pelayaran,  perubatan, Aljibra dan cabang-cabang  hisab
    yang   lain.   Mereka  cekap  dalam  penggunaan   logam
    sehingga Damsyik menjadi terkenal dengan besi waja yang
    terbaik sekali untuk senjata.
    
    18.   Semua ilmu ini dituntut kerana tidak ada larangan
    bahawa  hanya yang khusus berkenaan agama  sahaja  yang
    boleh dipelajari oleh umat Islam.  Mereka tahu Al-Quran
    menyuruh  umat Islam melihat segala kejadian Tuhan   --
    gunung-ganang, langit dan bumi, hujan, tumbuh-tumbuhan,
    binatang  yang menjadi makanan, kenderaan  dan  pakaian
    bagi manusia, bulan dan bintang, siang dan malam, iklim
    dan  musim  dan segala-gala yang dijadikan  oleh  Tuhan
    untuk  umat  manusia.  Makna melihat  bagi  tokoh-tokoh
    Islam  dahulu tidak terhad kepada melihat sahaja tetapi
    meliputi  menyelidik dan mempelajari  segala-gala  yang
    dijadikan  oleh Tuhan supaya faedahnya boleh  dinikmati
    oleh umat manusia.
    
    19.  Sebuah hadis ada berkata: "Tuntutlah ilmu sehingga
    ke  negeri  China."  Apabila sahaja hadis  ini  disebut
    maka  dengan  pantasnya  mereka  yang  tidak  bersetuju
    mendakwa bahawa itu adalah hadis dan bukan firman Tuhan
    dalam  Al-Quran.  Apabila mereka tidak bersetuju dengan
    sesuatu  hadis  maka dengan lantang  mereka  menidakkan
    hadis  sebagai punca ajaran Islam.  Tetapi  jika  hadis
    itu   menyokong  pendapat  mereka,  maka  mereka  tidak
    berhenti-henti    menyebut    hadis    itu,    walaupun
    kesahihannya  boleh dipertikaikan.   Menuntut  ilmu  di
    negeri China tentulah bukan berkenaan agama Islam.   Di
    zaman  Rasulullah,  orang Cina  sudah  terkenal  dengan
    berbagai-bagai  ilmu  yang  ada  pada  mereka   seperti
    perubatan,  penulisan  dan kertas,  bahan  letupan  dan
    bermacam-macam lagi.
    
    20.   Dengan  kerana orang Islam dahulu  mengejar  ilmu
    seperti  yang  dituntut oleh hadis maka mereka  menjadi
    orang  yang bijak dan cekap, dapat memahami akan segala
    kurniaan  Tuhan  dan kegunaannya bagi  menjayakan  diri
    mereka  dan agama Islam.  Maka dapatlah mereka  mendiri
    empayar  Islam  yang  berwibawa dan  besar,  mengisikan
    empayar   ini   dengan  pusat-pusat  ilmu,   mengadakan
    perusahaan-perusahaan,   menguasai    perniagaan    dan
    dagangan  bukan  sahaja dalam empayar Islam  tetapi  di
    seluruh  dunia, memodenkan pertanian dengan menggunakan
    teknik  kejuruteraan pertanian yang canggih  dan  lain-
    lain lagi.
    
    21.  Malangnya di tengah-tengah kemajuan umat Islam ini
    muncul tokoh-tokoh yang mempertikaikan ketulenan  agama
    Islam   yang  diamalkan  oleh  orang  Islam  di   zaman
    kemajuan.  Mereka mula menolak segala ilmu yang  mereka
    dakwa tidak Islam dan tidak perlu dipelajari oleh orang
    Islam.   Mereka, terutama yang menumpu kepada soal-soal
    feqah,  mencipta dan mengembangkan ajaran mereka supaya
    orang  Islam takut membuat atau mempelajari apa  sahaja
    yang  didakwa sebagai tidak Islam oleh mereka.   Pusat-
    pusat  pengajian tinggi Islam tidak lagi dibekal dengan
    buku-buku   sains  dan  falsafah  yang   tidak   khusus
    berkenaan dengan Islam.  Khutub-khanah yang besar-besar
    tidak  lagi didirikan dan yang ada tidak lagi mempunyai
    buku-buku berkenaan ilmu-ilmu yang diterokai oleh orang
    Yunani dan bangsa-bangsa lain, atau kajian tentang ilmu-
    ilmu  ini oleh pendita-pendita Islam.  Banyak kitab  di
    musnah  oleh puak anti-ilmu yang dianggap tidak  khusus
    berkenaan Islam.
    
    22.    Sebaliknya   perbahasan  yang   hebat   diadakan
    berkenaan dengan apa dianya agama Islam yang tulen  dan
    apa   hukum-hakam  Islam  berkenaan  dengan  apa   yang
    ditafsir sebagai jenayah dalam Islam.  Dengan diperakui
    dan   diperkenalkan  hukum-hukum  yang  berasas  kepada
    tafsiran yang sempit, maka umat Islam menjadi kaku  dan
    statis dan tidak dapat maju ke hadapan lagi.
    
    23.  Beberapa gerakan reformasi di Afrika Utara dan  di
    tempat-tempat lain muncul dengan pemimpin yang mendakwa
    mereka   adalah   Imam   Mahadi   yang   datang   untuk
    membersihkan   Islam   sebelum  kiamat.    Mereka   ini
    berperang dengan siapa sahaja daripada orang Islam yang
    tidak   mengiktiraf  mereka.   Di  Sepanyol   kumpulan-
    kumpulan  ini  berjaya  menjatuhkan  pemerintahan   dan
    memaksa ajaran mereka yang amat sempit diterima.   Maka
    bertambah  mundurlah  orang  Islam  sehingga   akhirnya
    mereka   diusir   dari   Sepanyol   dan   tidak   dapat
    menyelamatkan diri walaupun di Afrika Utara.
    
    24.   Sejarah Empayar Turki juga demikian.   Kongkongan
    Sultan-Sultan Turki oleh puak ulama yang berkepentingan
    menyebabkan Turki tidak dapat menyesuaikan diri  dengan
    peredaran  zaman.  Tentera Turki menjadi lemah,  sering
    memberontak melawan Kerajaan kerana masalah pakaian dan
    senjata  yang  dikatakan tidak Islam.   Akhirnya  Turki
    ditakluk  oleh  kuasa-kuasa Barat.   Para  intelek  dan
    kepimpinan  tentera Turki menjadi begitu kecewa  dengan
    Islam  Turki  sehingga  mereka  mendakwa  negara   yang
    dibebaskan oleh mereka sebagai negara sekular.
    
    25.   Kejatuhan  empayar Islam Arab  dan  Turki  adalah
    disebabkan  oleh  orang  Islam  pada  zaman-zaman   ini
    menolak  ilmu  yang ditakrif sebagai ilmu duniawi  yang
    didakwa  tidak perlu bahkan dilarang bagi  umat  Islam.
    Dengan pengetahuan dalam bidang hisab, sains, ilmu  dan
    bidang-bidang  lain  yang  penting  untuk  meningkatkan
    kecekapan  dalam  bidang  pentadbiran  dan  pembangunan
    negara  dan  ummah berkurangan, maka  orang  Islam  dan
    agama   Islam  tidak  dapat  menangani  dan  menghadapi
    cabaran dunia yang semakin lama semakin pesat berubah.
    
    26.   Abad ke-21 Masihi sudahpun dikenali sebagai  abad
    yang amat mencabar.  Teknologi moden termasuk teknologi
    maklumat  akan  mengubah  secara  radikal  cara   hidup
    manusia.   Tidak  ada  sesiapa yang boleh  mengasingkan
    diri  daripada  masyarakat  dunia  dan  teknologi  yang
    canggih  ini.  Manusia boleh ke mana-mana sahaja  dalam
    jangkamasa kurang dari sehari.  Manusia boleh bersemuka
    dan bercakap dengan siapa sahaja di mana-mana tempat di
    dunia  `in  real time' seolah-olah berada  dalam  bilik
    yang  sama.  Mengutus orang untuk membawa surat diganti
    dengan  perhubungan secara `instant' melalui  Internet.
    Sesiapa  yang memperolehi maklumat dan tahu menggunanya
    akan  menguasai  politik dan ekonomi  dunia.   Demikian
    juga   peperangan  akan  dimenangi  oleh  mereka   yang
    mendapat dan tahu mengguna maklumat yang terkini.
    
    27.   Berbagai-bagai  alatan yang  hampir  ajaib  boleh
    dicipta   dan  diperbuat  oleh  mereka  yang  mempunyai
    pengetahuan  yang tinggi dalam bidang-bidang  tertentu.
    Demikianlah  kuasa mereka yang memiliki  teknologi  ini
    sehingga  mereka  boleh  lakukan  apa  sahaja  termasuk
    menindas orang Islam dan negara-negara Islam.
    
    28.   Di  Bosnia mereka mengizinkan pembunuhan beramai-
    ramai  orang  Islam dilakukan di hadapan  mata  mereka.
    Lebih  buruk  lagi mereka merampas senjata orang  Islam
    supaya  mereka  boleh dibunuh dengan lebih  mudah  oleh
    musuh  orang Islam.  Di Chechnya, Pakistan dan  Selatan
    Asia, begitu juga.
    
    29.   Tetapi orang Islam lain tidak dapat membuat  apa-
    apa  apabila  ketidakadilan ini berlaku.  Mereka  tidak
    pun  berani  menyuara  tentangan  mereka.   Demikianlah
    nasib  orang Islam hari ini dan demikian jugalah  nasib
    mereka  dalam Abad ke-21 selagi mereka menolak  ajaran-
    ajaran  Islam supaya mampu mempertahankan  umat  Islam,
    supaya  menuntut ilmu untuk maksud ini, supaya mengejar
    kebahagiaan di dunia di samping kebahagiaan di akhirat.
    
    30.  Memanglah ilmu agama perlu dipelajari tetapi tidak
    ada  sebab  kenapa  semua orang Islam mesti  mengkhusus
    dalam  bidang  ini sahaja.  Apakah semua pelajar  Islam
    perlu  menjadi pakar dalam bidang agama sehingga  tidak
    ada  yang  mempelajari bidang-bidang  lain  yang  boleh
    memajukan  dan menyelamatkan umat Islam?  Apakah  tidak
    penguasaan   bidang-bidang  lain  yang  penting   untuk
    menyelamatkan  orang  Islam  tidak  menjadi  sebahagian
    daripada fardu kifayah?  Apakah masyarakat Islam  tidak
    berdosa  kerana  tidak  ada antara  mereka  pakar-pakar
    dalam  bidang-bidang  yang  boleh  menyelamatkan  orang
    Islam?   Apakah tidak bersalah orang Islam kerana  hari
    ini tidak ada satu pun kuasa besar Islam?  Apakah tidak
    bersalah  orang  Islam  jika kerana  lemah  dan  kecewa
    mereka  menolak persaudaraan dalam Islam dan  bermusuh-
    musuhan   sesama   sendiri?   Apakah   tidak   bersalah
    masyarakat  Islam  amnya  jika  kerana  kecewa   dengan
    kelemahan orang Islam disebabkan oleh pengabaian  ilmu-
    ilmu  lain  yang penting, ada orang Islam yang  menolak
    Islam dan menjadikan negara mereka sekular.
    
    31.   Kita  akui ilmu sahaja tidak akan menjamin  Islam
    dan  umat Islam selamat.  Untuk ini banyak lagi  ajaran
    Islam  yang penting yang perlu diamalkan.  Agama  Islam
    menyuruh  orang  Islam bersaudara.   Sebaliknya  mereka
    berperang sesama sendiri kerana ada yang mendakwa  diri
    mereka sahaja yang Islam dan yang lainnya kurang Islam,
    bahkan murtad.  Ini sedang berlaku di kebanyakan negara
    Islam,  bahkan  di  Malaysia ini  pun  ada  yang  mudah
    membuat  keputusan bahawa mereka sahaja yang Islam  dan
    orang lain murtad.
    
    32.   Al-Quran  juga  menyuruh  kita  bersabar.   Usaha
    memulih  kekuatan  umat Islam dan  negara  Islam  tetap
    memakan  masa yang lama.  Ia memerlukan kepada  politik
    yang  stabil, pentadbiran yang cekap, penguasaan  ilmu,
    pengumpulan kekayaan, pemilikan perusahaan yang canggih
    dan    pembangunan    pertahanan   yang    berkemampuan
    menyelamatkan  negara  dan umat  Islam.   Tetapi  ramai
    orang  Islam  terutama puak pelampau tidak sabar,  suka
    mengambil   tindakan  yang  gopoh,   tidak   terancang,
    memberontak  dan  mengganas dengan  tidak  tentu  hala,
    terutama  terhadap orang Islam lain.   Kerana  tindakan
    tanpa persiapan yang cukup, mereka membazirkan kekuatan
    yang  sedikit  yang ada pada umat Islam tanpa  mencapai
    apa-apa  kejayaan  atau  kemajuan.   Sebaliknya  mereka
    mencetuskan  keadaan  kucar-kacir  dalam  negara-negara
    Islam   dan   melemahkan  lagi  umat   Islam.    Mereka
    sebenarnya  secara  tidak  langsung  atau  tidak  sedar
    bersubahat  dengan  musuh-musuh  Islam,  termasuk  puak
    Zionis.
    
    33.   Kerana mereka ini, hampir tidak ada negara  Islam
    yang dapat ditadbir dengan baik dan dibangunkan.  Tidak
    ada negara Islam yang bersedia untuk menghadapi cabaran
    Abad  ke-21.  Sementara bangsa dan penganut agama  lain
    menjadi  lebih  maju dan lebih kuat,  sementara  kuasa-
    kuasa  dunia  menjadi lebih angkuh  dan  menindas  umat
    Islam,  orang  Islam  dan negara  Islam  terus  mundur,
    lemah, berpecah-belah dan mudah diperalatkan oleh musuh-
    musuh  Islam  untuk melemahkan lagi umat Islam.  Mereka
    sering menuduh musuh-musuh Islam memecahbelahkan mereka
    tetapi  kesedaran  ini  tidak  mendorong  mereka  untuk
    menghentikan  kegiatan mereka yang tidak  menguntungkan
    umat Islam.
    
    34.   Memandangkan  keadaan ini apakah  reformasi  yang
    diperlukan  oleh  umat Islam di mana-mana  sahaja  yang
    boleh  menyedia dan menjayakan mereka dalam  menghadapi
    cabaran  Abad  21?   Reformasi  yang  diperlukan  ialah
    reformasi  yang boleh mengembalikan umat  Islam  kepada
    ajaran  Islam yang tidak dicampur-aduk dengan berbagai-
    bagai  tafsiran, ajaran dan fatwa songsang yang  dibuat
    selama 1400 tahun selepas Hijrah.
    
    35.   Reformasi  ini  perlu  mengembalikan  umat  Islam
    kepada  ajaran-ajaran  Al-Quran dan  sunnah  Nabi  yang
    diketahui  umum  telah  berlaku  di  zaman  Nabi.   Ini
    termasuklah bagaimana masalah-masalah tekanan oleh Arab
    Jahiliah  Kuraish  ditangani oleh  Nabi  dan  penganut-
    penganut Islam yang awal.  Ini termasuklah juga keadaan
    yang diketahui umum terdapat di Madinah, serta falsafah
    perjuangan  secara  diplomatik  dan  ketenteraan  untuk
    menawan Mekah.
    
    36.   Yang kita tahu daripada ajaran Al-Quran dan Hadis
    ialah  persaudaraan di kalangan orang Islam diutamakan.
    Mereka  tidak berperang sesama sendiri kerana perbezaan
    pendapat  berkenaan soal rupa bentuk Islam.   Di  zaman
    Nabi, persaudaraan dalam Islam menjadi perkara utama.
    
    37.   Memang  benar segala masalah agama dapat  dirujuk
    kepada  Nabi  untuk diselesaikan.  Tetapi ajaran  Islam
    menentukan  cara  penganut  agama  Islam  menyelesaikan
    masalah   dalam  masyarakat  Islam  --   iaitu   secara
    bermusyawarah.  Semua pihak berhak menyuarakan pendapat
    tetapi  keputusan  yang diputuskan  melalui  musyawarah
    hendaklah  dipatuhi  oleh  semua.   Tidak  ada   siapa,
    termasuk  khalifah-khalifah,  boleh  membuat  keputusan
    sendiri  yang  tidak boleh disoal dan dipaksa  ke  atas
    masyarakat Islam.
    
    38.  Sudah tentu tidak ada kumpulan-kumpulan kecil yang
    taksub  dengan ajaran dan tafsiran mereka sendiri  yang
    mengganas  untuk memaksa penerimaan pendapat mereka  ke
    atas  masyarakat  keseluruhannya.  Semua  pihak  adalah
    toleran.    Nabi   sendiri   tidak   memaksa    anggota
    keluarganya   yang   tidak   menerima   Islam    supaya
    menerimanya.
    
    39.   Umat  Islam  di  zaman Nabi  sabar,  tabah  hati,
    disiplin  dan  patuh  kepada kepimpinan  Nabi.   Mereka
    tidak  dilarang  bekerja  walaupun  pada  hari  Jumaat,
    mengejar segala ilmu duniawi dan mencari kekayaan  yang
    halal.
    
    40.   Mereka  dipertanggungjawab  untuk  mempertahankan
    umat   Islam.    Yang  utama  ialah   keselamatan   dan
    pertahanan dan bukan cara melakukannya atau  alat  yang
    digunakan.   Justeru  itu, jika  pertahanan  memerlukan
    senjata-senjata  lain  maka  senjata  yang   lain   ini
    mestilah  dicipta dan digunakan.  Jika untuk  ini  ilmu
    tertentu  perlu dipelajari, tentulah salah  jika  ilmu-
    ilmu ini diabaikan.
    
    41.   Juga  untuk  menyelamatkan orang Islam,  Kerajaan
    yang  stabil  dan  kuat diperlukan.   Kepimpinan  Islam
    mestilah  dipilih melalui musyawarah,  satu  cara  yang
    demokratik,   dan   bukan  cara  penipuan   atau   cara
    menakutkan orang Islam dengan ajaran yang tidak benar.
    
    42.   Perbezaan  pendapat dan ajaran  tetap  ada  dalam
    masyarakat  Islam.   Sementara yang jelas  sesat  perlu
    dikembalikan   ke  jalan  yang  benar  tetapi   caranya
    hendaklah  lebih  bijak melalui  musyawarah  dan  bukan
    tekanan,    penindasan    dan   ketidakadilan.     Jika
    persetujuan  tidak  dapat dicapai,  sikap  toleran  dan
    persaudaraan  hendaklah  diamalkan.   Percubaan  secara
    keras  yang  hanya membawa perpecahan dan rusuhan  yang
    berlarutan hendaklah dielak.
    
    43.   Pendek  kata  untuk  menghadapi  Abad  21  dengan
    cabaran-cabaran  dunia zaman maklumat,  reformasi  yang
    diperlukan  ialah  reformasi  nilai-nilai  hidup   yang
    dipegang  oleh  umat Islam supaya ianya  lebih  berasas
    kepada  ajaran  Islam  yang tidak dicampur-aduk  dengan
    ajaran-ajaran   dan   tafsiran-tafsiran   agama    yang
    mengelirukan  dan  tidak berasas kepada  Al-Quran  atau
    hadis yang sahih.
    
    44.   Keadaan sebenar yang terdapat di zaman ini  mesti
    diakui.  Penipuan diri akan kebenaran yang sebenar akan
    menggagalkan  usaha  menangani  cabaran   Abad   ke-21.
    Reformasi  utama ialah Reformasi pemikiran di  kalangan
    mereka yang terkongkong dengan ajaran-ajaran yang tidak
    sebenarnya berasas kepada Islam yang mengelirukan  umat
    Islam.     

 
 



 
Google