Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN SAN CHOON, WISMA MCA
JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 30/08/97
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
MCA YANG KE-44
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden parti MCA
Dato Seri Dr. Ling Liong Sik dan semua anggota
Jawatankuasa Pusat Parti MCA kerana sekali lagi sudi
menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
MCA yang ke-44 pada hari ini.
2. Tahun ini amat bererti bagi kita semua kerana esok
negara kita akan genap berusia 40 tahun. Sudah 40 tahun
kita merdeka. Saya percaya semua rakyat Malaysia yang
berbilang kaum akan merayakan Hari Kemerdekaan atau Hari
Kebangsaan ini dengan penuh rasa insaf, bangga dan
megah.
3. Nyata sekali, selama 40 tahun rakyat negara ini
yang terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina,
India, Iban, Kadazan, Murut dan lain-lain yang mempunyai
pelbagai kepercayaan seperti agama Islam, Buddha, Hindu
dan Kristian, telah dapat hidup dan maju bersama-sama
tanpa menghadapi banyak masalah sesama mereka atau
menimbulkan banyak masalah kepada negara. Kecuali
peristiwa 13 Mei 1969 yang telah menghitamkan sedikit
sejarah gemilang negara kita, rakyat kita memang hidup
harmonis, saling bekerjasama dan penuh bertoleransi.
4. Sebagai Perdana Menteri, sudah tentu saya berasa
gembira kerana rakyat negara ini hidup aman, maju dan
makmur. Saya juga gembira melihat negara kita terus
membangun dengan pesat. Kita harap keadaan sejahtera
dan makmur ini akan berterusan bukan sahaja setakat
generasi kita yang ada sekarang malah untuk generasi
akan datang. Kita mahu nikmat kemerdekaan yang kita
perolehi sekarang akan juga berterusan. Kita mahu
keamanan, kemakmuran dan kemajuan rakyat dan negara kita
berterusan sehingga ke alaf baru atau `the next
millennium'.
5. Bagi memastikan cita-cita kita tercapai dan masa
depan generasi baru dan negara kita terus terjamin, kita
hendaklah sama-sama sentiasa memperingati diri kita dan
generasi muda akan pentingnya sikap toleransi, sensitif
dan hormat-menghormati antara satu kaum dengan kaum-kaum
yang lain. Di samping itu, kita perlu meningkatkan lagi
azam dan semangat patriotik kita untuk berbakti kepada
negara. Kita hendaklah melipatgandakan lagi usaha untuk
membawa negara ke tahap kemajuan yang lebih tinggi
sehingga ditakrif sebagai negara maju.
6. Rakyat negara ini sungguh bernasib baik. Walaupun
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat
pelbagai kaum, budaya dan agama, tetapi kita tidak
tumpukan kepada perbezaan-perbezaan di antara kita.
Sebaliknya kita fokus kepada persamaan antara kita dan
menggunakan persamaan ini sebaik-baiknya untuk
menjayakan diri dan negara. Ini berlainan dengan
beberapa negara lain yang mempunyai keadaan yang sama
tetapi penumpuan adalah kepada kepentingan kaum masing-
masing sehingga kepentingan negara diabaikan. Dengan
itu, rusuhan kaum sering berlaku dan pembangunan negara
terjejas. Dalam rusuhan-rusuhan ini tidak ada siapa
yang menang. Sebaliknya apa yang dituntut akhirnya
hancur lebur menjadi abu yang tidak berguna kepada
sesiapa, pihak yang menang atau pihak yang kalah. Nasib
negara-negara ini perlu dijadikan pengajaran kepada
kita.
7. Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa di
Malaysia tidak ada siapa yang puas hati dengan hak atau
apa-apa yang dituntut oleh mereka. Tiap kaum di
Malaysia mesti sanggup berkorban sedikit hak mereka,
kerana pihak lain juga menuntut hak yang sama dan mereka
juga tidak akan dapat semua. Jika kita sanggup
berkorban dan akui bahawa orang lain juga terpaksa
berkorban, dan kerana itu negara kita aman dan makmur,
kita, daripada segi `absolute' akan mendapat semua yang
kita tuntut. Yang dimaksudkan di sini ialah keamanan
dan kemakmuran akan membesarkan bahagian kita dan
bahagian yang kita dapat ini mungkin lebih besar
daripada yang kita dapat 100 peratus tetapi saiznya
kecil sahaja. "It is better to get a small portion of a
big cake than to get all of a tiny one."
8. "That is what is happening in Malaysia. Because we
work together we are able to develop this country to
such an extent that our portion is much bigger than the
whole of a small disputed piece".
9. Selama 40 tahun kita merdeka kita telah sama-sama
berusaha untuk membangunkan negara kita, memberi
kehidupan yang bahagia kepada semua rakyat, terutama
mereka yang miskin. Demikian kadar kemiskinan yang pada
tahun 1970 adalah sebanyak lebih kurang 50 peratus telah
dapat dikurangkan kepada tujuh peratus sahaja pada hari
ini.
10. Kita percaya dan mengamalkan demokrasi dan sistem
ekonomi pasaran. Kita buka negara kita kepada pelabur
asing supaya mereka juga boleh dapat keuntungan daripada
kemajuan ekonomi kita. Kita percaya kepada dasar tolong-
menolong, dasar `prosper- thy-neighbour' dan kita
berusaha untuk menolong jiran-jiran kita dengan memberi
latihan dan melabur di negara mereka.
11. Malangnya pelabur asing dari negara tertentu yang
tidak pernah mendirikan apa-apa industri di negara kita
tetapi hanya berminat untuk main pasaran saham tidak
kenal budi. Setelah mendapat keuntungan sekian lama
daripada kemajuan negara kita, mereka sekarang cuba
meruntuhkan ekonomi negara kita dengan menyerang ringgit
kita dan pasaran saham kita.
12. Kegiatan mereka meraih keuntungan sudah melenyapkan
lebih 250 ribu juta ringgit dari pasaran modal kita dan
mengurangkan kekayaan kita sebanyak sepuluh peratus.
Jika pada 1996 pendapatan per kapita seseorang sudah
meningkat kepada AS$4,600, sekarang ia telah turun
kepada AS$4,200. Hutang negara kita pula dalam matawang
asing telah naik sepuluh peratus atau lebih.
13. Inikah pasaran bebas dan dunia tanpa sempadan yang
dilaung-laungkan? Orang yang tamak dari negara yang
kaya boleh menyamun dari negara dan orang miskin atas
nama pasaran bebas. Bagi mereka yang sering melaungkan
keadilan dan `fairplay', hak asasi manusia yang
menentang kononnya `the exploitation of man by man',
yang begitu mengambil berat tentang nasib buruk pekerja
dan orang miskin kita, mereka ini, orang ini, tidak
segan-segan menyamun duit orang miskin. Bagi mereka
`stealing candy from a child' adalah hak yang halal
kerana pasaran mesti terbuka. Sekiranya pasaran tidak
dibuka, ianya bermakna kita tidak menerima norma-norma
perhubungan antarabangsa.
14. Pasaran terbuka dan Dagangan bebas adalah agama
bagi mereka. Walaupun kita dimusnahkan kerana pasaran
terbuka dan dagangan bebas, kita mesti amalkan dagangan
bebas juga. Jika kita menolak pasaran terbuka dan
dagangan bebas, tindakan akan diambil untuk merosakkan
negara kita. Demikian keadilan zaman moden, zaman
`borderless world' dan `free market'.
15. Buat beberapa tahun mereka telah mendakwa kita
tidak boleh mengekalkan pertumbuhan tinggi kita. Tetapi
kita terus mencatat pertumbuhan yang tinggi. Kemudian
mereka memberi amaran bahawa kita akan mengalami
`overheating' kerana terlalu banyak projek mega. Namun
kita meneruskan juga projek-projek kita dan sambil itu
terus tumbuh pada paras yang tinggi. Tidak nampak
bahawa kita akan `slow-down'. Demikian juga negara-
negara Asia Tenggara yang lain.
16. Hari ini mereka tentu gembira melihat ekonomi
negara-negara Asia Tenggara termasuk negara kita
menghadapi masalah dan kemerosotan. Bahawa mereka yang
menyebabkan kemerosotan ini tidak sedikit pun memalukan
mereka. Yang penting ialah ramalan mereka sudah menjadi
kenyataan hari ini. Mereka menafikan bahawa ada
konspirasi oleh mereka untuk merosakkan ekonomi negara-
negara membangun di Asia Tenggara. Tetapi sama ada
konspirasi atau tidak, hakikatnya ialah spekulasi yang
tidak bertanggungjawab oleh merekalah yang menyebabkan
ekonomi negara-negara ini merosot.
17. Semua yang berlaku kepada kita membuktikan bahawa
dunia tanpa sempadan atau `borderless world' boleh
menjadi hutan liar yang penuh dengan binatang buas. Kita
tidak dapat menutup sempadan negara kita dan kita tahu
bahawa kita adalah makhluk yang kecil dan lemah. Tetapi
kata perpatah Melayu "Tak boleh tanduk, telinga dipulas"
atau "If we cannot break the horns we will tweak the
ears". "We will learn to live in this jungle and we
will develop the skills to handle the wild beasts which
roam inside it."
18. Dalam menghadapi masalah kewangan dan pasaran saham
kita semua perlu bersatu hati dan bertindak bersama.
Kita mesti bekerja lebih kuat supaya kita menjadi lebih
produktif. Janganlah kita menyertai kegiatan mencari
keuntungan daripada masalah yang dihadapi oleh negara.
Sebaliknya kita semua patut menolong memulihkan ekonomi
kita. Apabila harga saham menurun kita harus membeli
dan tidak menjual. Ingatlah kejatuhan harga saham akan
menghapuskan modal kita sendiri. Demikian juga dengan
ringgit, janganlah kita turut `speculate' dan tolong
menurunkan nilai ringgit kita. Jika nilai ringgit
turun, kita semua tetap akan menjadi mangsa.
19. Membangunkan ekonomi sebuah negara bukanlah mudah.
Dan ia lebih sukar lagi di sebuah negara seperti
Malaysia di mana kita bukan sahaja perlu membangunkan
ekonomi, tetapi perlu juga menentukan kekayaan diagih
secara adil antara masyarakat yang terdiri daripada
berbilang kaum. Tetapi kita telah berjaya dan berjaya
lebih daripada negara yang tidak menghadapi masalah kaum
seperti kita. Walaupun kita menghadapi masalah sekarang
kita tidak boleh kecewa. Sebaliknya kita harus
menganggap masalah ini sebagai satu cabaran, satu
`challenge' yang akan memberi pelajaran kepada kita,
pelajaran yang akan menguatkan kita.
20. Yang penting ialah dalam usaha mengatasi masalah
ekonomi, negara kita perlu terus mempunyai kestabilan
politik. Lebih daripada masa-masa lain, kita perlu
menentukan negara kita stabil. Kestabilan negara ini
bergantung secara eksklusif kepada Barisan Nasional dan
parti-parti komponennya. Parti-parti dalam Barisan
Nasional mestilah menentukan mereka kukuh dan stabil dan
setiap parti perlu memberi sokongan kuat kepada konsep
Barisan Nasional dan perhubungan sesama kita. Walau
apapun yang menyerang kita, selagi Barisan Nasional
kuat, mempunyai majoriti yang besar, kita akan dapat
mengatasi masalah berkenaan.
21. Kita harus ingat bahawa kita baru merdeka 40 tahun
sahaja. Tempoh ini terlalu singkat untuk mendirikan
tembok yang boleh melindungi kita daripada serangan
negara maju yang ganas. Kita masih memerlukan banyak
tahun lagi untuk mengukuhkan ketahanan negara kita. Kita
masih perlu berusaha dengan gigih untuk meningkatkan
martabat, maruah dan kemajuan negara kita. Dan kita
masih perlu melengkapkan diri lagi untuk mempertahankan
kedaulatan dan kemerdekaan negara kita pada zaman akan
datang.
22. Dengan harapan setiap anggota parti MCA dan setiap
rakyat kita insaf akan perjuangan kita yang belum
selesai untuk menyelamat dan memajukan negara, saya
dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan
MCA yang ke-44 hari ini.
|