Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30/08/97
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
1. Pada tahun ini genaplah 40 tahun negara kita merdeka.
Syukur Alhamdulillah kerana sekali lagi kita dapat
menyambut Hari Kebangsaan negara kita dalam keadaan aman
dan makmur.
2. Empat puluh tahun dalam sejarah kenegaraan bukanlah
satu jangka waktu yang panjang. Namun dalam tempoh yang
singkat ini negara kita telah mencapai banyak kejayaan.
Kita boleh berbangga bahawa kejayaan-kejayaan ini adalah
hasil usaha dan titik peluh kita sendiri. Jika tidak
kerana kita merdeka dan bertanggungjawab terhadap
pembangunan negara kita, sudah tentu kita akan terus
ketinggalan zaman. Tetapi kemerdekaan tidak menjamin
kemajuan tetap akan dicapai. Kita maju kerana kita dapat
menstabilkan politik kita, merancang dan melaksanakan
pembangunan kita secara teratur. Alhamdullillah.
3. Kita bukan sahaja telah berjaya meningkatkan taraf
hidup kita bahkan kita telah berjaya mengagihkan kekayaan
negara dengan lebih adil kepada semua rakyat. Ini bukanlah
mudah memandangkan perbezaan kebolehan yang ketara yang
terdapat pada mulanya antara kaum-kaum di Malaysia. Kita
pula telah syaratkan agihan kekayaan tidak dibuat dengan
mengambil daripada yang kaya untuk diberi kepada yang
miskin. Sebaliknya kita membuat agihan daripada ekonomi
yang tumbuh. Syarat ini sedikit sebanyak menghalang
pertumbuhan ekonomi. Tetapi kita masih berjaya
membangunkan ekonomi mengikut perancangan kita.
4. Empat puluh tahun dahulu kita tidak menduga yang kita
berkemampuan untuk maju dan menempuh kejayaan seperti
sekarang. Apakah kita menduga yang negara kita boleh
mengeluarkan kenderaan bermotor sendiri, memiliki satelit
kita sendiri, mendiri bangunan berkembar yang tertinggi di
dunia? Apakah kita menjangka seorang anak watan kita
menyandang jawatan Presiden Persidangan Agung Bangsa-
Bangsa Bersatu, rakyat Malaysia mendaki puncak Gunung
Everest dan kita menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel
pada tahun depan? Tentulah tidak. Tetapi pada hari ini
kita telah membuktikan bahawa kita juga mempunyai
kemampuan untuk berjaya dalam berbagai-bagai bidang kalau
kita betul-betul berusaha. Jelaslah dengan dasar-dasar
yang baik, dengan rakyat yang sentiasa berusaha gigih dan
bekerjasama antara semua pihak di semua peringkat -- iaitu
pekerja, kerajaan dan swasta -- kita dapat mengisikan
kemerdekaan kita secara bermakna.
5. Kejayaan kita bukanlah disenangi oleh semua pihak.
Ramai yang mengkritik dasar ekonomi kita termasuk
pertumbuhan yang tinggi yang kita usahakan. Sejak 1988
pertumbuhan negara kita ialah pada paras lapan peratus
setahun, dan inflasi dibendung di tahap yang rendah, iaitu
tiga peratus.
6. Pada tahun 1985 dan 1986 ekonomi negara telah
menghadapi kemelesetan dan ramai yang menyalahkan
Kerajaan. Apabila ekonomi negara dipulihkan pada tahun
1987 dan seterusnya, para pengkritik ini tidak pula
memberi kredit kepada Kerajaan. Sebaliknya tahun demi
tahun mereka membuat ramalan bahawa pertumbuhan negara
yang tinggi ini tidak mungkin diteruskan. Tetapi ramalan
mereka tidak menjadi kenyataan.
7. Sejak dua tiga tahun ini masalah `over-heating' pula
ditimbulkan dan Kerajaan disuruh memperlahankan
pertumbuhan ekonomi. Tetapi Kerajaan tidak menerima
pandangan pakar-pakar ini. Dan ekonomi kita terus tumbuh
pada kadar lapan peratus setahun dengan inflasi tiga
peratus.
8. Pada tahun 1997 ini, kita meramalkan kita akan terus
tumbuh pada kadar peratusan yang sama. Tetapi seperti
kita semua maklum, spekulasi oleh orang asing menyebabkan
ringgit dan saham jatuh harga. Ada kemungkinan kita tidak
dapat tumbuh seperti yang diramalkan dan defisit
perdagangan kita akan meningkat kerana lebih banyak
ringgit diperlukan untuk membeli barangan dari luar
negara, sementara barangan eksport kita menjadi lebih
murah dalam matawang asing.
9. Amatlah menyedihkan apabila ada pihak yang mendakwa
dasar Kerajaan adalah salah dan kita hari ini sedang
menerima padahnya. Mereka ini tidak mengambilkira bahawa
kejatuhan nilai matawang dan saham juga berlaku di negara-
negara Asia Tenggara yang lain, di Hong Kong dan Korea
Selatan. Beberapa negara ini lebih teruk daripada
Malaysia. Ekonomi mereka tidak tumbuh tinggi seperti
kita, defisit mereka lebih besar daripada kita dan inflasi
mereka lebih tinggi daripada kita, namun ekonomi mereka
menghadapi masalah yang sama. Bantuan Bank Dunia dengan
syarat-syarat yang ketat tidak juga berjaya menghentikan
masalah kejatuhan nilai matawang dan saham negara
tertentu.
10. Kita faham kenapa orang asing suka memburuk-burukkan
negara kita. Tetapi kita amat kecewa apabila orang kita,
yang mendapat banyak nikmat daripada pertumbuhan ekonomi
yang diusahakan oleh Kerajaan, begitu senang hati melihat
orang asing membelasah ekonomi kita.
11. Rencana berkenaan dengan mekanisma dagangan matawang
disiarkan seolah-olah kita salah apabila menyalahkan
spekulasi. Kita tidaklah begitu jahil. Kerajaan ini
berjaya juga membangunkan negara ini. Justeru itu,
sedikit kepercayaan harus diberikan kepada Kerajaan.
12. Apa yang perlu dibuat oleh rakyat sekarang ialah
membeli saham dan menyimpannya dan jangan jual-beli
ringgit. Jika semua kita berbuat demikian, percayalah
lambat-laun spekulasi akan berhenti. Ingatlah penyangak
yang melakukan spekulasi ini telah menjadikan bilangan
orang miskin di negara kita bertambah dan 10 peratus lebih
miskin.
13. Apabila rakyat miskin, mereka yang kaya juga akan
menjadi miskin termasuklah peramal-peramal yang begitu
gembira kerana dapat berkata: "I told you so" atau "saya
sudah kata".
14. Walau apapun terjadi pada kita, kita tidak harus
melupakan sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita.
Sebab itulah kita mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan
atau Hari Kebangsaan setiap tahun. Selain daripada menanam
semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Hari
Kebangsaan mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan
kemerdekaan negara kita. Dengan mengetahui sejarah negara
sendiri, kita boleh merancang masa depan negara kita
dengan lebih baik dan berkesan.
15. Umpamanya rakyat, terutama generasi muda, akan faham
latar belakang perkara-perkara seperti hak Bumiputera dan
hak bukan Bumiputera, soal bahasa dan persekolahan, soal
kerakyatan dan tanggungjawabnya. Dengan cara ini kita
akan sentiasa menghormati hak kaum masing-masing dan
bersikap lebih toleran terhadap satu sama lain. Saya
yakin jika kita semua sentiasa ingat dan sedar akan liku-
liku dan pahit-maung perjuangan menuntut kemerdekaan;
betapa semangat kerjasama yang erat terjalin antara
pemimpim-pemimpin berbagai-bagai kaum semasa itu serta
pengorbanan dan tolak-ansur yang dibuat oleh semua kaum,
saya pasti kita tidak akan membangkitkan perkara-perkara
yang boleh menyakiti mana-mana kaum. Memahami sejarah
penjajahan dan kemerdekaan juga akan menjadikan kita lebih
bersyukur dan menghargai kemerdekaan dan memeliharanya.
16. Malaysia pada hari ini stabil, maju, makmur dan
berjaya kerana kematangan politiknya, kerana Kerajaan yang
stabil dan berkesan, jentera pentadbiran yang efisien dan
yang paling utama rakyat yang rajin, tekun, sanggup
bekerja keras dan sentiasa mementingkan perpaduan dan
keharmonian kaum. Tanpa faktor-faktor ini negara kita
tidak mungkin dapat membangun dan maju dengan begitu
pesat.
17. Namun demikian, rakyat Malaysia hendaklah berwaspada
terhadap unsur-unsur dalam negara yang boleh juga
menghancurkan semua kejayaan yang telah kita capai dan
nikmati sekarang. Adalah amat penting rakyat berbilang
kaum di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan berbagai-
bagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas. Kita tidak
harus mengambil pendirian yang ekstrim berkenaan dengan
apa-apa perkara. Sebaliknya hendaklah kita membendung
perasaan, bersikap rasional dan sanggup mendengar
penjelasan dan berunding untuk mengatasi apa juga masalah.
18. Asalkan kita berjaya menangani tekanan-tekanan dari
luar dan berwaspada dengan percubaan melaga-lagakan kita
sesama kita oleh pihak tertentu dalam negeri, insya-Allah
negara kita akan terus stabil, maju dan makmur.
19. Kita mempunyai hanya beberapa tahun sahaja lagi
sebelum melangkah ke abad yang ke-21 yang pasti lebih
mencabar. Dalam era globalisasi dan Teknologi Maklumat
atau I.T. yang lebih canggih, kompetitif dan dinamis
rakyat mestilah membuat penyesuaian dan perubahan agar
dapat turut serta menikmati hasil perubahan-perubahan ini.
Kita tidak boleh puashati dengan apa yang telah kita capai
sekarang. Jika kita beku dengan cara kita hari ini maka
kita tetap akan ketinggalan zaman. Oleh itu kita perlu
sentiasa melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu
pengetahuan dan kemahiran terbaru dalam semua bidang.
Teknologi baru, seperti juga dengan teknologi-teknologi
lain boleh dikuasai jika kita sanggup berusaha bersungguh-
sungguh untuk memilikinya. Pihak Kerajaan telah
melancarkan Projek Koridor Raya Multimedia atau MSC untuk
menjamin negara tidak akan ketinggalan dalam era I.T. Kita
hendaklah sambut projek ini dengan melengkapkan diri
dengan ilmu dan kecekapan yang diperlukan.
20. Dalam kita melangkah ke era dunia tanpa sempadan dan
I.T. kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak lagi
dapat dilindungi oleh batas sempadan kita. Hari ini kita
sudah lihat bagaimana mudahnya orang asing boleh
meruntuhkan ekonomi kita dengan sengaja menjatuhkan nilai
matawang dan pasaran saham kita. Apa yang telah kita
usahakan selama 40 tahun boleh dimusnahkan oleh mereka
hanya dalam beberapa minggu sahaja. Dunia tanpa sempadan
boleh menjadi `hutan liar' penuh dengan `binatang buas'
yang tidak menghirau undang-undang atau peraturan. Jika
kita tidak sanggup menghadapi cabaran ini dengan bersifat
lebih patriotik dan sanggup bekerja lebih kuat nescaya
kita akan kembali dijajah semula.
21. Janganlah kita fikir sekali merdeka maka selama-
lamanya kita akan merdeka. Jika kita tidak berusaha untuk
memelihara kemerdekaan kita, penjajah secara langsung atau
tidak langsung akan kembali menjajah kita.
22. Sekarang tumpuan Kerajaan ialah untuk membesarkan
kumpulan kaum Bumiputera yang mempunyai pendapatan yang
sederhana, iaitu `middle-income class'. Di kebanyakan
projek perumahan kos sederhana, pemaju mendapati amat
sukar untuk menjual rumah kepada kaum Bumiputera. Dengan
itu kebanyakan kawasan perumahan yang baru diduduki oleh
satu kaum sahaja. Keadaan ini adalah tidak sihat.
23. Untuk mewujudkan kelas Bumiputera sederhana, Kerajaan
telah mengadakan beberapa rancangan. Tetapi sambutan oleh
Bumiputera hendaklah ditingkatkan. Mereka hendaklah
sanggup berusaha bersungguh-sungguh mempelajari kecekapan
pengurusan dan perniagaan. Mereka yang berusaha secara
serius dan tekun tetap akan berjaya. Sebab itu hari ini
terdapat ramai pengusaha Bumiputera dalam industri kecil
dan sederhana yang berjaya mengeluarkan barangan yang
canggih. Adalah jelas kebolehan Bumiputera tidak kurang
daripada kebolehan bukan Bumiputera. Hanya yang
diperlukan ialah minat dan usaha yang tekun.
24. Jika kita berjaya mengimbangkan peratusan Bumiputera
kelas menengah dengan bukan Bumiputera dalam kelas yang
sama, maka kestabilan negara kita akan lebih terjamin. Dan
sudah tentu ini akan membantu memesatkan pembangunan
negara kita.
25. Segala pembaharuan dan perubahan yang dibawa oleh
Kerajaan adalah untuk faedah dan kebaikan rakyat. Hasrat
Kerajaan ialah untuk melihat negara ini dan rakyatnya
terus maju, makmur dan sejahtera.
26. Dengan komitmen yang penuh daripada semua pihak dan
semangat `Kita Boleh', saya percaya kita akan mencapai
hasrat untuk menjadi negara maju dalam acuan kita sendiri,
Insya-Allah.
27. Sambil mengingati diri kita akan nikmat kemerdekaan,
kita ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan
kita yang menentukan kita hidup aman dan selamat. Kita
tidak akan lupa jasa mereka yang telah terkorban kerana
mempertahan dan menyelamatkan kita.
28. Saya ucapkan selamat merayakan Hari Kebangsaan kita
kepada semua rakyat Malaysia.
|