Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 05/09/97
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
MENEBUS MARUAH BANGSA DAN AGAMA
Tahun ini genap 40 tahun UMNO menerajui Kerajaan yang
memerintah negara Malaysia yang merdeka. Parti kita berhak
berbangga dengan pemegangan kuasa pemerintahan negara ini
begitu lama. Sebenarnya kebanyakan parti politik yang
berjuang untuk kemerdekaan dan berjaya mendirikan Kerajaan
apabila merdeka tidak dapat mengekalkan kedudukan sebagai
parti pemerintah walaupun untuk satu atau dua dekad, terutama
jika sistem yang diamalkan ialah demokrasi. Rakyat mudah
bosan dengan parti politik walaupun ia berjaya dan berjasa
kepada rakyat dalam perjuangan kemerdekaan.
2. Parti politik yang memerintah negara yang baru mencapai
kemerdekaan berbeza dengan parti yang memerintah negara yang
tidak pernah dijajah. Pemerintahan negara yang baru dibebas
bukan sahaja dikehendaki mentadbir tetapi juga mengisi
kemerdekaan dan membangunkan negara supaya lebih maju daripada
masa dijajah dahulu.
3. Untuk mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang dan
aturan-peraturan sahaja pun adalah tidak mudah bagi pemerintah
yang baru mengambilalih. Pentadbir biasanya tidak
berpengalaman, mungkin tidak cekap, tidak lurus, mudah disogok
dan sebagainya. Jika tidak demokratik, jika feudal atau
diperintah oleh satu parti atau seorang diktator, tekanan,
kekejaman, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan mudah
berlaku. Rakyat mungkin terpaksa menggulingkan diktator dan
merosakkan segala-galanya dalam proses ini. Tetapi dalam
negara yang demokratik, pemerintahan yang berkesan tidak dapat
diwujudkan jika rebutan kuasa dan tindakan yang tidak
bertanggungjawab oleh rakyat sering berlaku. Sebenarnya tidak
ada sistem politik atau pemerintahan yang boleh menjamin
kemajuan sesuatu negara. Banyak faktor lain diperlukan.
DEMOKRASI BERJAYA DIMANFAATKAN
4. Alhamdulillah kita di Malaysia tidak mempunyai
pemerintahan kuku besi. Kita demokratik. Kita tahu demokrasi
mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu. Rakyat boleh disogok
dengan wang atau pembangunan yang membazir; rakyat mungkin
memilih pemimpin yang tidak waras, yang tamak, yang hanya
ingin mendapat tempat, yang perasuah dan lain-lain lagi kerana
pengundi terpengaruh dengan dakyah tertentu termasuk
menyalahgunakan sentimen ras atau keagamaan. Tidaklah benar
majoriti daripada rakyat tetap bijak dan tahu memilih
pemimpin. Kerana kesetiaan kepada orang tertentu atau kerana
taksub dengan ideologi atau perasaan kedaerahan, majoriti
mungkin membuat pilihan yang tidak bijak yang boleh merugikan
negara.
5. Sesudah dipilih, pemimpin mungkin didapati tidak sesuai,
tidak menunaikan janji, perasuah dan sebagainya. Malangnya
dalam demokrasi, menurunkan mereka yang telah dilantik
tidaklah mudah. Ada puak yang tetap menyokong kuat pemimpin-
pemimpin tersebut kerana kepentingan diri, kerana disogok,
kerana ingin mempertahankan ideologi parti dan bermacam-macam
sebab lagi.
6. Yang jelas ialah untuk mendirikan Kerajaan dan mentadbir
secara biasa sahaja pun tidak mudah. Apatah lagi untuk
membangunkan negara. Bagi negara yang demokratik atau tidak
demokratik yang mudah ialah membiarkan sahaja keadaan
berterusan sementara pemimpin berlagak dengan taraf dan
kuasanya. Hari ini giliran pemimpin ini, esok giliran
pemimpin lain untuk menikmati jawatan.
7. Alhamdulillah, Malaysia berjaya juga menggunakan sistem
demokrasi, memilih Kerajaan dan mempunyai pentadbiran yang
berkesan. Tetapi hanya dengan ini sahaja tidak menjamin kita
akan maju. Untuk mencapai kemajuan kita perlu ada ide-ide
yang baik, pendekatan yang boleh menjayakan ide-ide berkenaan
dan pengurus-pengurus yang berkebolehan. Majunya negara kita,
terlaksananya rancangan-rancangan kita bermakna faktor-faktor
ini ada pada kita.
PERLU KUAT UNTUK ELAK DIJAJAH SEMULA
8. Tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan kemajuan
biasa. Di zaman ini kita perlu kekuatan untuk mengelak
daripada dijajah cara baru. Kekuatan yang dimaksudkan
bukanlah kekuatan ketenteraan, walaupun sedikit-sebanyak itu
juga perlu. Kekuatan yang kita perlu ialah kekuatan yang
datang daripada kestabilan politik, kesihatan ekonomi,
keadilan sosial, kecekapan pentadbiran dan penguasaan ilmu dan
teknologi yang canggih yang tidak kurang daripada yang
dimiliki oleh negara-negara maju yang lain.
9. Soalnya apakah mampu kita mengejar kekuatan yang
menyeluruh ini? Harus kita ingat bahawa mereka yang mengejar
mestilah lebih pantas daripada mereka yang dikejar. Jika
tidak tentulah kita tidak akan mendapat sasaran kita. Sasaran
kita bergerak dan tidak akan menunggu kita. Mampukah kita,
orang Melayu dan Bumiputera, bergerak dengan begitu pantas
sehingga dapat mengejar objektif kita?
10. Memikir tentang besarnya cabaran yang kita hadapi boleh
mengecewakan kita awal-awal lagi. Mereka yang kecewa
kerapkali menolak keperluan mengejar sasaran dan menipu diri
dengan dakwaan bahawa tidak benar sasaran itu lebih baik
daripada keadaan mereka. Ini adalah psikologi `anggur masam'
kerana mereka tidak dapat memetiknya.
11. Orang seperti ini cuba menidakkan keburukan keadaan
mereka dengan berkata kekayaan, kekuatan, kecekapan dan ilmu
yang ada pada orang lain itu tidak membawa apa-apa kebaikan.
Mereka yang dikatakan maju sebenarnya tidak maju kerana
kemajuan tidak boleh diukur dengan kejayaan kebendaan.
Kejayaan kata mereka mempunyai makna lain. Sebenarnya mereka
yang dikatakan mundur lebih berjaya walaupun ternampak tidak
berjaya. Dan bermacam-macam lagi cara penipuan diri yang
dicipta untuk menutup kekecewaan mereka.
12. Ada pula yang kecewa kerana kegagalan, lalu mengganas
secara buta-tuli. Kanak-kanak apabila marah dan kecewa
merosakkan apa yang ada pada mereka sebagai cara melepaskan
geram mereka. Orang yang gagal dan tidak nampak bagaimana
mereka dapat mengatasi kegagalan mereka juga melepaskan geram
dengan cara yang sama. Mereka mengganas, membunuh, meletupkan
bom dan menjatuhkan pesawat dengan penumpang yang tidak
berdosa. Mereka melepaskan geram ke atas yang lemah,
kerapkali ke atas kaum bangsa sendiri dan negara sendiri.
13. Dengan cara-cara yang negatif ini mereka hanya akan terus
mundur, dihina dan ditindas. Tetapi mereka tidak tahu cara
lain selain daripada cara yang negatif ini. Mereka tidak akan
tukar taktik, tidak akan cuba mengejar kemajuan, tidak akan
beralih kepada cara yang lebih rasional kerana awal-awal lagi
mereka percaya mereka tidak berkebolehan, tidak akan berjaya
atau tidak sanggup bersabar dengan masa yang panjang yang
diperlukan untuk mengejar kejayaan. Mereka tidak percaya
kepada diri sendiri. Dengan itu mereka akan teruskan cara
negatif mereka dan kekal dengan kemunduran buat selama-
lamanya. Inilah yang kita lihat di beberapa negara,
terutamanya di negara-negara Islam yang menghadapi masalah
keganasan oleh puak ekstrimis agama.
14. Apakah kita juga termasuk dalam golongan ini, kita juga
sudah kecewa, kita juga percaya bahawa kita tidak mungkin
berjaya, kita juga menipu diri dan melepas geram? Ada antara
kita yang berfikiran seperti ini, sama ada secara sedar atau
tidak sedar. Dengan itu mereka mahu supaya kita jangan cuba
untuk menjayakan diri kita. Mereka hendak kita dengan sombong
mendakwa kita sudah pun lebih baik, lebih berjaya dan lebih
besar daripada orang lain walau apapun bukti yang menidakkan
dakwaan ini. Dalam hati kecil mereka, mereka tahu dakwaan
mereka adalah tidak benar. Mereka tahu mereka bukan `tuan'
tetapi sebenarnya `hamba'. Tetapi oleh kerana mereka tidak
yakin mereka boleh jadi `tuan', mereka tipu diri dengan
membuat dakwaan berkali-kali bahawa mereka adalah `tuan'.
15. Alhamdulillah, sekarang kian ramai yang percaya kita
boleh. Dan memang pun kita boleh. Kita belum boleh dalam
segala-gala yang kita cuba, tetapi insya-Allah, kita akan
boleh. Kita akan boleh dengan percubaan yang berulangkali;
kita akan boleh dengan kesanggupan bertekun, berusaha
mempelajari, mencuba dan mencuba lagi sehinggalah kita boleh.
16. Apakah yang kurang pada kita? Daripada segi fizikal,
daripada segi mental dan daripada segi semangat, kita tidak
berbeza daripada bangsa-bangsa yang maju. Yang berbeza ialah
budaya kita, sistem nilai hidup kita dan tamadun yang telah
kita bina. Apakah kita akan hilang jatidiri atau identiti
kita, identiti bangsa kita jika kita baiki nilai hidup kita
sehingga dapat membentuk budaya dan tamadun yang baru untuk
kita; budaya dan tamadun yang lebih sesuai untuk kemajuan,
yang boleh menebus dan menegak maruah bangsa kita?
BUDAYA KITA BEZA DENGAN BUDAYA MAJU
17. Umpamanya, kita sanjungi kerajinan. Tetapi kita tahu
kita kurang rajin. Jika kita buat sesuatu kita tidak
bersungguh-sungguh sehingga betul-betul berjaya, sehingga
hasil kerja kita bermutu amat tinggi. Kita mudah puas hati
dengan hasil kerja kita. Kurang baik, kurang tahan, kurang
kekal, kurang cantik dan kurang bersih sedikit, tidak mengapa.
Dengan itu hasil kerja kita kurang baik, kurang tahan dan
kurang serba-serbi, iaitu kurang berkualiti. Sebaliknya
bangsa yang maju begitu bersungguh-sungguh, begitu kritikal
terhadap hasil kerja mereka, begitu menitikberatkan kualiti
serta ketahanan dan sebagainya.
18. Umpamanya, tidak banyak terdapat peninggalan nenek-moyang
kita. Di negara-negara maju bangunan-bangunan lama masih
kukuh tersergam indah walaupun dibina seribu tahun dahulu.
Kota-kota mereka tegak dengan kukuh dan masih boleh diguna.
Kecantikan asal masih ada.
19. Bangunan nenek-moyang kita sudah tidak ada. Mereka tidak
mendirikan bangunan yang kekal. Mereka tidak mendirikan
bangunan dengan bahan yang tahan lama atau yang kukuh. Asal
dapat digunakan semasa itu, ianya mencukupi. Apa perlunya
tahan lama? Kita tidak akan menggunakannya selepas kita
meninggal. Memadailah jika untuk sementara sahaja -- satu
hari, satu bulan, satu tahun, 10 tahun. Apa perlu seratus
tahun?
20. Di Eropah, kita dapati kampung dan bandar dalam kota yang
berusia lebih 1000 tahun masih berdiri tegak, masih diduduki
orang dan masih digunakan untuk perniagaan dan pertahanan.
Lebih daripada itu bandar-bandar ini mempunyai bentuk yang
unik dan begitu menarik kepada para pelancong; dan menjadi
punca pendapatan kepada keturunan bangsa negara itu sehingga
sekarang.
21. Kita membuat perahu umpamanya secara kasar. Asalkan
boleh diguna dan tidak tenggelam, sudah mencukupi. Walaupun
untuk kegunaan raja atau pembesar atau negara, ianya tidak
perlu lebih dari sementara. Ianya dibuat secara kasar, dengan
papan dipaku tanpa mengira ukuran, ada yang lebar, ada yang
tidak. Lantai diletak begitu sahaja, tidak berbumbung, tidak
ada bilik, tidak dilengkap dengan alatan yang cukup dan tidak
dihias. Kualiti kerja tidak penting. Asalkan boleh diguna,
memadailah. Sementara di Barat semakin lama semakin besar
perahu yang dibuat hingga menjadi kapal, hingga diperbuat
daripada besi, dilengkap dengan bilik yang dihias seperti
istana; perahu kita tidak membesar, masih dibuat daripada
kayu, tidak dilengkap dengan alatan pelayaran dan tinggal
begitu sahaja.
22. Kita guna dayung atau kita guna layar tanpa mengambil
kira besar atau kecil bentuk atau `efficiency'nya. Kita tidak
jadikan pelayaran sebagai satu ilmu yang dikaji, diselidiki
dan dicatat untuk dipelajari dan digunakan oleh sesiapa sahaja
yang ingin belayar. Kita tidak sediakan peta pelayaran secara
terperinci. Kita agak-agak sahaja. Kita tanya kepada mereka
yang mungkin tahu atau yang sudah biasa dan kita buat panduan
secara kasar, kita gunakan sekali itu sahaja, kita tidak
mencatatnya untuk memperingati kita kemudian atau untuk
menjadi panduan kepada orang lain. Jika kita ingat, baik.
Jika tidak, tidak mengapa. Sekali sesat, sekali bertanya.
23. Kata orang, jika seorang Jerman disuruh menulis berkenaan
nyamuk, kita akan dapat beberapa jilid buku yang tebal yang
mengandungi segala-gala berkenaan dengan serangga itu;
daripada bentuknya, kasar dan halus, secara terperinci
sehingga kepada tabiatnya, makanannya, cara ia membiak, tempat
tinggalnya dan seribu satu perkara berkenaannya. Bagi kita
mungkin dua-tiga ayat sudah memadai berkenaan serangga yang
tidak berguna ini. Apa gunanya menghabiskan masa berkenaan
dengan sejenis serangga yang hanya tahu ketip sahaja. Oleh
kerana kita mempunyai pandangan sebeginilah maka kita tidak
mengaitkan nyamuk dengan demam malaria yang membunuh ratusan
ribu manusia. Sudah tentu jika kita tahu pun ketip nyamuk itu
bahaya, kita akan menganggap semua nyamuk membawa penyakit
malaria, dan tidak mengambil tahu bahawa hanya nyamuk jenis
aedes, yang mempunyai bentuk tertentu dan tabiat tertentu yang
membawa malaria. Dan kerana kita tidak tahu maka kita tidak
dapat menyelamatkan diri kita daripada penyakit yang boleh
membawa maut ini. Jika tidak kerana orang lain yang berlainan
budaya mengkaji selidik, kita mungkin menerima penyakit
malaria di negara kita sebagai sesuatu yang semulajadi atau
lebih buruk lagi kita salahkan Tuhan. Bahawa Tuhan
membekalkan kita dengan akal fikiran tetapi kita yang tidak
menggunakannya, tidak sedikitpun menimbul perasaan tersalah
oleh kita.
24. Contoh-contoh ini menunjukkan betapa bezanya budaya kita
dengan budaya bangsa yang maju. Mungkin kita fikir perbezaan
budaya tidak penting. Tetapi sebenarnya perbezaan-perbezaan
inilah yang menentukan siapa yang maju dan siapa yang tidak.
Soalnya apakah dapat kita menerima dan mengamal budaya yang
boleh memajukan kita? Apakah kita akan menjadi kurang Melayu
atau kurang Iban atau Kadazan atau kurang bangsa Malaysia
kerana kita menerima aspek-aspek tertentu dalam budaya asing?
Saya tidak fikir kita akan menjadi kurang Melayu, atau kurang
Iban atau kurang Kadazan atau kurang bangsa Malaysia semata-
mata kerana kita lebih berminat untuk mendalami sesuatu, kita
lebih berilmu, kita lebih tertib dan tersusun daripada segi
cara dan pendekatan serta lebih mengambil berat akan jumlah
pengetahuan yang kita kumpul yang mungkin dapat diguna bukan
sahaja oleh kita tetapi juga orang lain dan generasi lain.
Kita tidak jadi orang Eropah kerana kita memakai kot dan tali
leher, kita bercakap bahasa Inggeris dan kita mengamalkan
demokrasi dan bukan feudalisma.
25. Bandingkan penyelidikan terbuka dalam budaya Barat dengan
sifat bomoh dan dukun kita. Jika bomoh dan dukun kita
menjumpai atau mencipta ubat yang mustajab, mereka akan
menyembunyi ramuan ubat ini daripada orang lain. Mereka tidak
akan menulis dalam jernal berkenaannya. Mereka tidak akan
membuat kajian secara tulus ikhlas iaitu tanpa dipengaruhi
oleh kepentingan diri. Sama ada mustajab atau tidak, dakwaan
tentang berkesannya ubat mereka diteruskan dan resipinya
disembunyi. Apabila mereka meninggal dunia hilanglah resipi
berkenaan, hilanglah ubat yang mustajab ini, teraniayalah
pesakit yang sakit selepas si bomoh atau dukun itu sudah tidak
ada lagi.
26. Hari ini ilmu perubatan berkembang dengan pesat, kerana
bangsa-bangsa yang maju tidak menyembunyi ilmu mereka. Kita
pun dapat menumpang ilmu ini. Tetapi apakah kita dapat
menumpang ilmu dukun dan bomoh kita yang dahulu dan yang
sekarang? Tidakkah kita rugi apabila ilmu disembunyikan
kerana penciptanya ingin mengawal untuk dirinya sendiri hasil
yang boleh didapati daripada ilmu berkenaan? Namun kita tahu
bahawa tidak ada dukun yang kaya-raya kerana ilmunya, tidak
ada keturunan dukun atau bomoh yang berilmiah, dihormati dan
berharta. Sebaliknya, walaupun ahli-ahli perubatan bangsa
yang maju mendedahkan ilmu pengetahuan mereka, mereka tidak
rugi kerananya. Dunia menghormati mereka dan nama mereka
ditulis dengan tinta emas dan diingati selama-lamanya. Ramai
yang dianugerah Hadiah Nobel. Sudah tentu mereka menjadi
lebih kaya daripada bomoh dan dukun kita yang memiliki ramuan
ubat yang mustajab.
27. Demikian bezanya budaya kita dengan budaya bangsa yang
maju. Apakah mereka maju kerana budaya mereka ini ataupun
kerana mereka maju maka mereka dapat mengamalkan budaya ini?
Apakah dapat kita katakan bahawa budaya ini tidak mempengaruhi
kemajuan yang mereka capai? Sama-samalah kita renungkan.
KITA BANGSA SEPARUH MAJU
28. Banyak lagi perbezaan budaya dan nilai hidup di antara
mereka yang kurang maju dengan mereka yang maju. Kita adalah
bangsa yang separuh maju dan memang ada budaya kita yang
berbeza dengan bangsa yang kurang maju daripada kita. Kita
lihat bagaimana mereka yang kurang maju ini sering berebut-
rebut kuasa, mengamalkan rasuah secara terbuka, tidak suka
hidup berperaturan dan berundang-undang, tidak berdisiplin,
lebih malas daripada kita, tidak langsung cuba untuk menyerap
sistem dan pendekatan yang lebih baik dan bermacam-macam lagi
perbezaan. Sebab itu mereka kurang maju daripada kita. Dan
kerap juga kita menyatakan sesuatu yang tidak baik berkenaan
mereka, kenapa mereka tidak membuat itu dan ini seperti yang
kita buat.
29. Yang kurang maju ini pun mungkin lebih maju daripada
bangsa-bangsa yang primitif yang hidup lebih baik sedikit
sahaja daripada makhluk Allah yang tidak berakal fikiran.
Jika kita kaji perbezaan kecapaian bangsa-bangsa ini tidak
dapat tidak kita akan lihat kaitan budaya dengan prestasi
bangsa.
30. Kita boleh berbangga dengan taraf kemajuan kita setakat
ini. Malangnya apabila kita mula mudah puas hati dengan
sedikit yang ada pada kita, itu adalah alamat kita akan
merosot prestasi kemajuan kita. Ini ialah kerana yang sudah
maju tidak berdiam diri. Mereka terus maju dan akan
meninggalkan kita yang tidak bergerak; semakin lama semakin
jauh, sehingga kita dianggap oleh mereka sebagai bangsa yang
primitif.
31. Dan bukan itu sahaja, mereka akan menindas kita, akan
memperhambakan kita. Mungkin kita terima sahaja dihina dan
diperhambakan. Apa salahnya? Tetapi kita ingin mendakwa kita
`tuan'. Kita hendak orang menghormati kita. Kita hendak.
Tetapi orang tidak akan memberi kepada kita hanya kerana kita
hendak. Mereka hanya akan memberi kepada kita jika ada
sesuatu kepada kita yang memaksa mereka menghormati kita,
memaksa kita dipertuankan oleh mereka.
32. Kata pepatah Inggeris, "tidak perlu kita mencipta roda
semula". Roda sudah diciptakan, tiru sahajalah. Yang perlu
ialah roda hendaklah diperbaiki lagi supaya lebih laju. Perdu
pokok yang bulat boleh dipotong untuk dibuat roda, tetapi roda
ini berat, mudah pecah dan tidak laju. Jika lubang ditebuk di
tengah kayu pipis yang bulat ini, ia menjadi lebih ringan,
lebih laju tetapi mudah patah. Tetapi jika roda diikat dengan
besi di sekeliling, roda akan menjadi lebih kuat dan tahan
lasak. Dan jika roda dipasang pula dengan tayar getah tumpat,
atau pasang tayar berangin, roda akan menjadi semakin efisien.
Bagi budaya yang mengutamakan kemajuan sepanjang masa, kajian
dibuat sepanjang masa untuk mencipta yang lebih baik.
33. Walaupun kita tidak perlu mencipta roda, tetapi kita
harus tingkatkan kecanggihan roda yang kita guna. Demikian
juga jika kita ingin maju, cara dan budaya untuk maju sudah
ada. Tidak perlu kita mencipta cara dan budaya baru. Kita
hanya perlu gugurkan yang dianggap kurang baik dan perbaiki
lagi budaya tiruan yang boleh membawa kebaikan.
34. Bangsa Arab zaman jahiliah dahulu amatlah jahil. Mereka
taksub dengan kabilah-kabilah mereka sehingga mereka tidak
pernah berhenti berperang sesama mereka. Sebabnya mereka
bermusuh mungkin sudah mereka lupa, tetapi permusuhan dan
peperangan diteruskan juga.
35. Budaya mereka kolot dan bengis. Mereka sering membunuh
anak perempuan mereka. Mereka memandang perempuan sebagai
makhluk yang hina, sebagai harta untuk ditukar dengan benda
lain dan sebagai hamba keluarga.
ISLAM JADIKAN ARAB MAJU
36. Pendek kata orang Arab Jahiliah adalah bangsa yang amat
mundur, yang tidak maju, yang tidak dihormati oleh sesiapa,
yang tidak berpengetahuan, tidak berilmu, tidak boleh menulis
dan membaca. Inilah budaya Arab Jahiliah.
37. Kemudian bangsa yang jahil ini menerima agama Islam yang
bukan sahaja membawa kepercayaan kepada Tuhan yang satu iaitu
Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulnya Muhammad, tetapi juga
nilai-nilai hidup yang mulia. Mereka disatukan dalam Islam
sehingga mereka bersaudara, mereka menghormati kaum perempuan,
mereka mengutamakan keadilan, mereka menghargai dan
menghormati Al-Quran dan kitab-kitab lain, mereka menganggap
ilmu sebagai penting dan mereka mempelajari ilmu yang telah
diterokai oleh orang Yunani dan bangsa-bangsa lain.
38. Budaya orang Arab berubah secara radikal selepas mereka
memeluk agama Islam. Daripada orang yang jahil dan lemah yang
hanya tahu hidup di padang pasir dalam keadaan yang primitif,
bangsa ini dapat mendirikan sebuah empayar yang meliputi
hampir seluruh dunia masa itu, iaitu sebelum Amerika ditemui.
39. Mereka bukan sahaja dapat menguasai ilmu sains, ilmu
hisab, ilmu alam dan ilmu-ilmu lama yang lain yang dimiliki
oleh orang Yunani dan Rumawi, tetapi mereka menerokai ilmu-
ilmu baru seperti pelayaran, astronomi, aljibra dan
logarithm. Mereka mencatat hasil kajian mereka sehingga ramai
saintis dari Eropah datang mempelajari ilmu di madrasah-
madrasah mereka.
40. Mereka maju dalam segala-galanya. Mereka dapat mengguna
logam besi sehingga terkenal kualiti besi waja dari Damsyik,
barangan kaca dan seramik, bangunan yang dihias dengan ukiran
`Arabesque' dan taman yang mempunyai air pancutan disalur dari
gunung yang jauh. Orang padang pasir ini berjaya dalam bidang
pertanian di negara-negara yang mereka takluki seperti
Sepanyol. Pelayar-pelayar mereka belayar ke Timur hingga ke
gugusan kepulauan Melayu dan ke Barat hingga ke Sepanyol.
Peniaga-peniaga mereka berjaya di seluruh dunia. Alkaf,
Alsagoff adalah nama-nama peniaga Arab yang kaya yang pada
suatu ketika menguasai perniagaan entrepot di Singapura dan
Jawa. Budaya yang diserap oleh Arab Jahiliah setelah menerima
Islam jelas menjayakan mereka di dunia. Oleh itu tidaklah
benar dakwaan bahawa agama Islam adalah untuk akhirat semata-
mata.
41. Demikianlah kesan penerimaan agama Islam dan budaya Islam
ke atas bangsa Arab yang kolot dan jahil. Daripada bangsa
yang mundur dan hanya tahu berperang sesama sendiri mereka
menjadi bangsa yang bersatupadu, yang jauh lebih maju daripada
bangsa-bangsa Eropah di zaman itu.
ORANG ARAB/ISLAM KEMBALI MUNDUR
42. Hari ini bangsa Arab dianggap mundur, didapati jauh
ketinggalan dalam semua bidang. Mereka dihina dan kerap
dipermainkan oleh bangsa-bangsa Eropah yang pada suatu masa
dahulu menakluki semua negara Arab.
43. Kenapakah nasib ini menimpa mereka sedangkan mereka masih
menganuti agama Islam? Apakah agama Islam dan budaya Islam
sudah tidak sesuai dengan keadaan di zaman moden ini?
44. Jawabnya ialah walaupun orang Arab menganuti agama Islam,
tetapi banyak daripada ajaran Islam yang sudah mereka
tinggalkan. Umpamanya, sementara Islam menyuruh umat Islam
bersatu sebagai saudara, orang Arab Islam bukan sahaja tidak
bersaudara, tetapi mereka bermusuh-musuhan dan berperang
sesama sendiri. Mereka kembali ke budaya zaman jahiliah
dengan bermusuh-musuhan secara berkekalan, antara satu negara
Arab Islam dengan negara Arab Islam yang lain. Wang dan
senjata digunakan untuk berperang dan berbunuh sesama orang
Islam. Orang bukan Islam dijadikan rakan kongsi untuk
berperang dengan orang Islam lain.
45. Kerapkali peperangan didorong oleh ketamakan, ingin
mendapat kekayaan negara Islam yang lain atau kerana ideologi
politik yang berbeza. Kadang-kala alasan yang diberikan ialah
pihak lain kurang Islam, menyeleweng dan tidak lagi boleh
dianggap sebagai saudara dalam Islam. Kumpulan-kumpulan kecil
dalam masyarakat Islam yang kecewa kerana pendapat mereka
tentang agama Islam tidak diterima oleh masyarakat mengganas
dan membunuh orang Islam secara buta-tuli.
46. Ilmu yang dikatakan bukan berkenaan dengan Islam tidak
lagi dituntut. Sudah tentu kajian dan penerokaan dalam bidang
sains dan bidang-bidang lain tidak diberi perhatian oleh orang
Islam Arab dan bukan Arab. Dengan itu orang Islam menjadi
mundur, lemah dan bergantung kepada orang lain, termasuk yang
bermusuh dengan mereka, untuk hampir semua keperluan hidup dan
pertahanan di zaman moden ini. Sementara mereka menolak ilmu
yang dikatakan bukan Islam, mereka tidak segan-segan membeli
dan mengguna hasil ilmu bukan Islam ini, termasuk senjata
untuk membunuh orang Islam lain.
47. Yang diberi tumpuan dan dititikberatkan ialah perkara-
perkara kecil yang tidak berkesan dalam memajukan umat Islam
atau mempertahankan mereka. Walaupun agama Islam telah
membebaskan wanita daripada budaya Arab Jahiliah,
ketidakadilan kepada wanita sudah kembali, sehingga ada yang
berkata semua masalah sosial adalah disebabkan oleh kaum
wanita. Dengan itu percubaan dibuat untuk mengasingkan mereka
supaya mereka tidak dapat menggoda lelaki. Tetapi lelaki
tidak menjadi lebih baik kerana tindakan ini. Kita malu
menyebutnya tetapi di negara kita jenayah tertentu yang
disebabkan nafsu seks lebih kerap berlaku di kalangan orang
Melayu yang Islam daripada orang bukan Melayu. Ajaran Islam
tidak salah. Yang salah ialah kita yang lebih mengutamakan
soal aurat daripada kesan menutup aurat terhadap moral kita.
Seperti juga dengan kuda dan pedang yang tidak lagi berkesan
untuk pertahanan, menutup aurat orang Islam sudah tidak lagi
berkesan dalam menahan nafsu dalam masyarakat berbilang kaum.
Ini kerana pada hari ini ramai orang Islam melawat negara-
negara orang bukan Islam yang mempunyai budaya yang berlainan.
Media massa pula menjadikan larangan supaya menutup aurat ini
tidak dapat dilaksanakan. Kaedah kita dalam menangani masalah
adalah sama dengan mencuba melarang musuh menggunakan senjata
moden kerana kita hendak menggunakan pedang dan kuda.
48. Oleh kerana sebab-sebab inilah maka orang Arab Islam yang
dahulu maju sudah menjadi mundur. Umat Islam lain juga turut
menjadi mundur. Empayar Islam yang didirikan oleh keturunan
Arab Jahiliah yang memeluk agama Islam sudah tidak ada lagi.
Yang ingin mengembalikan kegemilangan Islam dan umat Islam
dengan cuba mengikuti tafsiran ajaran Islam di zaman keagungan
Islam disekat. Yang lain hanya cuba menyedapkan hati dengan
mendakwa kemajuan orang bukan Islam sebenarnya bukan kemajuan.
Mereka juga cuba mendakwa secara langsung atau tidak langsung
bahawa dunia ini bukan untuk orang Islam. Akhirat adalah
tempat mereka, seolah-olah mereka sudah tahu mereka tidak
berdosa sedangkan banyak ajaran Islam yang penting yang mereka
abaikan.
MENEBUS MARUAH BANGSA DAN AGAMA
49. Kita orang Melayu beragama Islam. Lebih daripada Arab
atau bangsa-bangsa lain yang beragama Islam, nasionalisme atau
kebangsaan Melayu dikaitkan secara langsung dengan agama
Islam. Seseorang itu tidak Melayu melainkan ia beragama
Islam. Demikian pegangan kita kepada agama Islam. Jika Arab
Jahiliah selepas menerima Islam boleh menjadi begitu maju dan
kuat sehingga berjaya mendirikan Empayar Islam, tidakkah
mungkin orang Melayu yang begitu kuat berpegang kepada Islam
juga mencapai kemajuan dan kejayaan seperti Arab Jahiliah yang
memeluk agama Islam? Tidakkah mungkin budaya orang Melayu
berubah supaya sesuai dengan kemajuan dan kejayaan yang pada
satu masa dahulu terdapat di kalangan orang Islam?
50. Kita orang Melayu tidak berniat untuk mendirikan sebuah
empayar. Cita-cita kita sederhana sahaja. Kita ingin menjadi
sama maju dengan bangsa-bangsa lain yang sudah maju. Dengan
itu dapatlah kita menebus balik maruah bangsa kita, sedikit
sebanyak maruah agama kita bahkan maruah orang Bumiputera di
negara ini.
51. Selama lebih 50 tahun UMNO telah berjuang untuk menebus
maruah orang Melayu. Perjuangan UMNO tidak boleh dipisahkan
daripada perjuangan orang Islam, kerana nyata sekali apabila
UMNO berjaya, apabila Malaysia berjaya, dunia mengiktiraf
bahawa Islam berjaya. Walaupun terdapat ramai orang bukan
Islam di Malaysia, ini tidak menidakkan bahawa Malaysia adalah
negara yang dipimpin oleh orang Islam. Sebenarnya belum ada
negara Islam yang dipimpin oleh orang Islam telah dianggap
berjaya. Inikan pula negara kita di mana orang Islam yang
merupakan puak majoriti perlu memimpin orang bukan Islam tanpa
menjejaskan keIslaman negara dan menjayakannya. Namun tanpa
menggunakan apa-apa kekerasan, UMNO telah berjaya.
52. Kita tidak melaungkan bahawa kita jaguh Islam. Tetapi
nasionalisme Melayu dengan Islam tidak dapat dipisahkan.
Apabila orang Melayu berjaya maka orang Islam berjaya kerana
orang Melayu semuanya Islam. Tidaklah perlu kita memekik-
mekik, menepuk dada dan menjerit `kami adalah pejuang Islam'.
53. Tetapi kita tentu tahu bahawa kita belum cukup berjaya.
Untuk betul-betul menebus maruah bangsa dan agama, kemajuan
kita hendaklah sekurang-kurangnya sama dengan kemajuan bangsa-
bangsa yang dikatakan maju di dunia ini, bangsa-bangsa yang
disegani, bahkan ditakuti oleh semua, termasuk oleh umat Islam
dan negara-negara Islam. Jelaslah bahawa perjuangan kita
belum lagi selesai dan tidak mungkin selesai dalam masa yang
singkat kerana kita mengejar sasaran yang bergerak, sasaran
yang tidak menunggu kita.
MEMBENTUK BUDAYA MAJU
54. Daripada apa yang telah saya sebutkan mengenai peranan
budaya, berkenaan kejayaan bangsa-bangsa yang maju, berkenaan
dengan kesan Islam ke atas Arab Jahiliah dan perkembangan-
perkembangan dalam sejarah Islam di masa yang gemilang dan di
masa yang mundur, jelaslah bahawa kita boleh mencapai kemajuan
jika kita sanggup dan berusaha menukar dan membentuk budaya
yang sesuai dengan kejayaan. Keupayaan kita tidak kurang
daripada keupayaan orang yang sekarang ini maju. Bukan warna
kulit atau iklim atau bangsa yang menentukan kecapaian. Sudah
tentu bukan agama Islam yang menjadi penghalang kepada
kemajuan. Yang menghalang kemajuan ialah budaya yang kita
telah bentuk untuk kita, yang kita anggap sebagai secocok
dengan Islam dan memberi identiti kepada kita orang Melayu;
budaya inilah yang telah menghalang kemajuan kita ke tahap
yang menjadi cita-cita kita.
55. Bukanlah budaya ini semuanya tidak sesuai. Jika ia 100
peratus tidak sesuai sudah tentu kita tidak sampai ke tahap
sekarang. Tetapi untuk mengimbangkan bangsa kita dengan
bangsa-bangsa yang maju di dunia dan supaya kita tidak lagi
dihina dan ditindas oleh bangsa-bangsa lain, kita mesti secara
sedar dan bijak membentuk budaya yang dapat menentukan kita
akan mencapai matlamat untuk menjadi bangsa yang maju.
56. Dalam usaha ini, UMNO perlu menjadi peneroka dan pelopor.
Jika UMNO tidak berani menunjukkan teladan yang baik, jika
UMNO tidak sanggup menjadi contoh yang baik, percayalah bangsa
kita akan menjadi mundur, ditinggal zaman, diketawakan orang
dan dihina. Kita bukan angkuh tetapi sebenarnya tidak ada
parti lain atau pertubuhan lain yang boleh dan berpeluang
membentuk budaya baru bagi orang Melayu supaya mereka dapat
menghadapi cabaran dunia moden, terutama di zaman teknologi
maklumat yang tidak mengenal sempadan antara negara-negara.
UMNO BENTUK BUDAYA MELAYU BARU
57. Banyak yang sudah diusahakan oleh UMNO sehingga kini.
Budaya orang Melayu di zaman ini tidak sama dengan budaya
orang Melayu semasa Malaysia dijajah, bahkan tidak pun sama
dengan budaya Melayu di waktu kita berjuang untuk kemerdekaan
dan pada tahun-tahun awal kita merdeka. Sebahagian besar
daripada budaya Melayu baru dibentuk secara sedar dan kerap
juga secara tidak sedar oleh UMNO dan perubahan iklim sosial,
politik dan ekonomi negara yang dibawa oleh pemerintahan
kepimpinan UMNO.
58. Umumnya perubahan budaya di kalangan Melayu baru telah
menolong menjayakan mereka. Hari ini mereka tidak tercicir;
tidak lagi terasing daripada arus ekonomi, mahupun politik dan
sosial negara. Dalam bidang perniagaan dan perusahaan mereka
memperlihatkan kebolehan yang tidakpun kita sangka ada pada
mereka. Mereka berjaya menguasai ilmu dan kecekapan yang
dahulu mereka sendiri percaya adalah milik orang lain. Mereka
tidak lagi berasa rendah diri dan malu kerana kekayaan negara
hampir seratus peratus adalah milik orang lain. Umumnya
mereka sudah sedikit sebanyak berjaya menebus maruah bangsa
mereka.
59. Tetapi mereka juga perlu akui bahawa bukan semua budaya
baru ini baik. Terdapat banyak unsur yang tidak baik dalam
budaya Melayu baru ini. Jika dahulu orang Melayu tidak
terlibat dengan kegiatan-kegiatan buruk seperti penagihan
dadah, hari ini majoriti daripada penagih dadah terdiri
daripada anak muda Melayu. Demikian juga dengan penyakit
AIDS, dengan jenayah-jenayah sosial seperti merogol, membuang
anak, mendera anak dan isteri, menfitnah dan bermacam-macam
lagi. Kita khuatir dengan wujudnya gejala-gejala ini, usaha
membentuk budaya baru di kalangan orang Melayu mungkin tidak
berjaya atau akan berjaya separuh sahaja, tidak cukup untuk
kita menjayakan mereka sepenuhnya dan menjadikan mereka bangsa
yang maju.
HAPUS AMALAN BUDAYA RASUAH
60. Sebab itulah kita begitu serius dengan masalah rasuah di
dalam pentadbiran dan dalam parti serta masalah politik wang.
Rasuah akan menyebabkan orang yang tamak, yang tidak bermaruah
dan tidak layak, dipilih menjadi pemimpin parti dan Kerajaan.
Orang seperti ini tetap akan menyalahgunakan kuasa untuk
memperkayakan diri semasa memegang jawatan dan untuk
menentukan ianya terus disokong. Rakyat akan disogok dengan
duit Kerajaan yang sepatutnya diguna untuk pembangunan negara,
untuk kesejahteraan rakyat dan kebahagiaan hidup kita semua.
61. Rasuah hanya akan menguntungkan orang tertentu sahaja,
orang yang dapat menggunakan kuasa pemimpin untuk kepentingan
diri. Tidak mungkin semua rakyat mendapat manfaat. Majoriti
rakyat akan kecewa. Segala-galanya akan menjadi lebih mahal
kerana elemen rasuah perlu dimasukkan. Jika tidak dibendung,
rasuah akan berkembang dan menjadi amalan biasa oleh mereka
yang memegang apa juga jawatan. Budak pejabat pun boleh
memaksa ianya disogok untuk pelanggan mendapat sesuatu. Dan
mereka yang di atas tidak akan melarang budak pejabat menerima
rasuah kerana mereka juga ingin bahagian mereka. Dan
seterusnya hingga ke Menteri dan Perdana Menteri. Orang atas
ini yang menerima sogokan yang diketahui oleh semua pegawai
dan kakitangan tidak mungkin melarang dan mendisiplinkan
sesiapa di bawah mereka.
62. Segala kos urusan dengan Kerajaan akan naik kerana
sogokan kepada semua peringkat -- pegawai, kakitangan dan
Menteri. Kemudian bank pula akan terlibat dan kos modal dan
segala pinjaman akan menjadi lebih daripada hanya kos faedah.
Sogokan kepada pegawai-pegawai bank yang dikenali sebagai
`football money' amat berleluasa tidak berapa lama dahulu.
Apabila sesuatu barang berkurangan dan sukar didapati, sogokan
diperlukan untuk mendapatkannya walaupun daripada peniaga.
Demikian juga dengan semua khidmat penting, baik dari Kerajaan
atau swasta.
63. Pendek kata apabila rasuah menjadi sebahagian daripada
budaya bangsa, kos segala-galanya daripada urusan Kerajaan
kepada pengeluaran barangan atau khidmat dan harga jualan,
akan naik. Segala kerja akan mengambil masa yang panjang.
Tidak ada ketentuan dalam apa juga urusan baik daripada segi
kos atau masa. `Efficiency' tidak mungkin tercapai dan semua
pembangunan akan tergendala. Dagangan dalam dan luar negeri
akan menjadi sukar dan tidak kompetitif kerana kos tinggi dan
khidmat tidak efisien. Akhirnya prestasi pembangunan negara
akan merosot. Semua akan menjadi miskin walaupun memiliki
pendapatan yang tinggi kerana segala-galanya mahal. Mereka
yang terlibat dengan rasuah juga akan menerima akibatnya,
kerana mereka akan hidup dalam negara yang mundur dan miskin
dan mereka akan dipandang hina oleh rakyat dan bangsa-bangsa
lain.
64. Rasuah bukan hanya satu sahaja daripada amalan budaya
yang boleh menghancurkan kita. Terdapat banyak lagi amalan
dan nilai yang buruk yang boleh menghancurkan kita. Dan kita
mestilah hapuskan nilai-nilai buruk ini.
65. Tetapi kita tidak boleh pasif, hanya melindungi diri
daripada yang negatif. Jika kita ingin maju kita perlu
merancang dan melaksanakan strategi yang boleh memajukan kita.
66. Di sini kita perlu tentukan matlamat dan strategi kita.
Apakah benar kita ingin menjadi bangsa yang maju atau apakah
ianya tidak penting atau tidak perlu dikejar kerana kemajuan
tidak memberi apa-apa kelebihan. Ramai juga yang berkata kita
sepatutnya puas hati dengan apa yang ada pada kita. Bahkan
ada yang mendakwa keadaan kita sudah ditakdirkan dan kita
bersyukur sahajalah. Rezeki secupak tidak akan menjadi
segantang. Kemiskinan di dunia akan dibalas dengan kekayaan
di akhirat. Kehinaan di dunia akan dibalas dengan kemuliaan
di akhirat.
67. Kita akan menyangkal dakwaan ini. Tetapi sikap kita yang
tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh, mudah puas hati, cepat
membazir apabila kita berada sedikit, cepat beralih daripada
mengejar kejayaan kepada mengejar keseronokan, kadang-kadang
keseronokan yang ditegah, menunjukkan bahawa kita belum
menerap nilai yang mulia yang mengutamakan maruah lebih
daripada melayan nafsu. Kemewahan sedikit yang kita nikmati
sudah pun meruntuh akhlak kita dan generasi muda kita. Mereka
melepak, terlibat dengan bohsia, mengguna dadah dan
sebagainya. Apakah kita yakin yang kemajuan yang telah kita
capai kini boleh diteruskan oleh mereka yang mewarisi kita?
KUASAI ILMU DAN KECEKAPAN
68. Jika kita betul-betul ingin maju kerana kemajuan di dunia
sama penting dengan kebahagiaan di akhirat; jika kita ingin
maju kerana kita menghargai maruah kita; jika kita ingin maju
kerana kita ingin dipertuankan secara sebenar; maka hendaklah
kita menentukan bahawa kita berkeupayaan dan mempunyai
kedudukan untuk menjadi `tuan'. Tidak ada gunanya kita
mendakwa diri sebagai `tuan' sedangkan kita dan bangsa kita
mudah ditindas dan dihina.
69. Untuk menjadi `tuan' kita perlu memiliki kelebihan-
kelebihan tertentu. Kita perlu memiliki ilmu dan kecekapan
tertentu. Kita tidak akan menguasai ilmu dan kecekapan jika
kita tidak sanggup mengejarnya melalui cara dan pendekatan
yang betul.
70. Dari sejarah Islam kita tahu orang Islam dapat menguasai
ilmu yang diterokai oleh ahli falsafah dan pendita Yunani.
Oleh kerana orang Yunani tidak menulis dalam bahasa Arab, maka
untuk mempelajari dan menguasai ilmu orang Yunani, orang Arab
tentulah mempelajari bahasa Yunani.
71. Demikian juga dengan kita. Jika kita ingin menguasai
ilmu dan kecekapan orang asing maka kita mesti bersedia
mempelajari bahasa asing. Lebih tinggi penguasaan bahasa
berkenaan, lebih mudahlah kita mempelajari ilmu yang diterokai
dalam bahasa itu.
72. Pendapat bahawa kita hanya menjadi nasionalis jika kita
faham hanya bahasa kita sahaja adalah salah. Sama ada kita
sanggup mengakuinya atau tidak, hakikatnya ialah kebanyakan
ilmu yang diperlukan untuk kemajuan tidak diterokai dan
dibukukan oleh kita. Kita tidak pun terdaya untuk mengalih-
bahasa ilmu-ilmu yang penting kerana untuk membuat terjemahan
kita perlu orang yang pakar dalam tiga perkara -- pakar dalam
bahasa sendiri, pakar dalam bahasa asing dan terpelajar dalam
ilmu berkenaan. Kita tidak mempunyai orang ini. Jika ada
pun, mereka sedang menjalankan tugas-tugas lain yang mana
dalam keadaan kita sekarang, kita anggap tugas-tugas ini lebih
penting.
73. Kita tidak boleh tunggu sehingga kita dapat mengadakan
pakar-pakar ini dengan secukupnya. Ilmu dan kecanggihan
teknologi tidak statik. Lebih daripada di masa-masa dahulu,
ilmu dan teknologi baru dicipta dengan begitu cepat. Dalam
zaman `micro-chip' yang melipat-ganda kekuatannya setiap 18
bulan, teknologi akan berkembang dengan lebih pesat lagi.
Tidak mungkin kita mengadakan pakar yang mencukupi untuk
menguasai dan menterjemah kepada bahasa kita segala ilmu yang
datang mencurah-curah hasil penyelidikan dan penerokaan orang
lain. Jika kita tunggu, kita akan ketinggalan, kita akan
menjadi mundur dan tidak faham tentang perkembangan ilmu dan
teknologi yang sudah, sedang dan akan dicipta. Bangsa kita
akan menjadi bangsa yang primitif, dipermain-mainkan, dihina
dan ditindas orang. Kita mungkin lebih nasionalis pada
pendapat kita. Tetapi nasionalis yang menerima dirinya dihina
bukanlah nasionalis.
NASIONALIS YANG SEBENAR
74. Nasionalis yang sebenar ialah mereka yang berusaha supaya
bangsa mereka maju dan mampu bersaing dengan jayanya dengan
orang yang maju. Nasionalis yang sebenar ialah orang yang
dihormati kerana ia daripada bangsa yang berjaya, yang boleh
mengalahkan orang lain dalam apa bidang sekalipun. Nasionalis
yang sebenar ialah orang yang dapat menentukan melalui
kecemerlangannya bangsanya dihormati dan disanjung tinggi.
75. Penguasaan bahasa lain tidak akan menjadikan kita kurang
nasionalis atau kurang patriotik daripada nasionalis yang
hanya menguasai bahasa sendiri. Jika kerana berjuang untuk
menebus maruah bangsa, kita menguasai bahasa lain dan kita
menguasai ilmu yang diterokai dalam bahasa itu, kita tidak
akan menjadi kurang nasionalis dan kurang patriotik daripada
nasionalis yang hanya boleh bertutur dalam bahasa sendiri dan
tidak mempunyai ilmu yang boleh menyumbang kepada penebusan
maruah bangsa. Sebenarnya mereka yang menguasai bahasa lain
dan ilmu-ilmu tertentu jauh lebih nasionalis daripada mereka
yang hanya mampu memekik-mekik kebangsaan mereka.
76. Dalam usaha kita menebus maruah bangsa, amatlah penting
kita mengejar ilmu dalam apa juga bahasa. Jika kita perlu
menyediakan masa yang cukup untuk maksud ini, maka hendaklah
kita sanggup menyediakannya. Kerajinan, ketekunan dan
kesabaran atau masa adalah perlu untuk menuntut sesuatu. Jika
kita berbuat demikian, insya-Allah, kita akan berjaya, kita
akan dapat membangunkan bangsa kita, kita akan menjadi `tuan'
yang sebenar, kalau itulah idaman kita.
77. Penguasaan ilmu perlu dibuat di masa kecil lagi.
Kerajaan pimpinan UMNO sudah pun menyediakan kemudahan-
kemudahan yang diperlukan untuk mempelajari ilmu dan bahasa-
bahasa ilmuan. Tetapi ramai ibubapa mempunyai pandangan lain.
Mereka tidak berminat melihat anak mereka belajar ilmu yang
penting untuk memajukan bangsa dan negara. Sebaliknya mereka
ingin supaya anak mereka kononnya menghayati semangat
kebangsaan Melayu. Mereka tidak memberi galakan kepada anak
mereka untuk mengejar bahasa Inggeris umpamanya secara serius.
Mereka juga tidak memberi perhatian kepada usaha dan prestasi
anak mereka dalam sekolah. Demikianlah ramai pelajar dan
penuntut sekolah daripada kaum kita yang berkeliaran di pusat-
pusat membeli-belah semasa balik dari sekolah dan kadang-
kadang di masa sekolah.
78. Ramai ibubapa yang ingin anak mereka menjadi alim dalam
bidang agama sahaja. Dengan itu sebahagian daripada kanak-
kanak yang berbakat tidak dapat mempelajari ilmu lain yang
mereka berupaya menguasai dengan baik. Apabila lulus kemudian
dalam pelajaran agama mereka dapati mereka tidak mempunyai
banyak peluang untuk bekerja dalam bidang yang berpendapatan
tinggi. Dengan itu, mereka berasa kecewa, berasa masyarakat
tidak adil kepada mereka. Dan mereka marah kepada masyarakat
terutama orang lain yang belajar dalam bidang lain yang hidup
lebih baik daripada mereka. Dan mereka marah kepada Kerajaan
yang mereka cap sebagai sekular. Di air yang keruh inilah
ramai yang akan menangguk.
ILMU LAIN JUGA PENTING
79. Kita bukan tidak memberi perhatian kepada pelajaran
agama. Sebenarnya kemudahan untuk belajar agama lebih baik
sekarang dari zaman dahulu. Sesiapa yang ingin belajar agama
dapat mempelajarinya hingga ke peringkat tertinggi sekali.
Tetapi apakah akan jadi kepada masyarakat Islam jika ilmu yang
ada kepada mereka terhad hanya kepada yang berkaitan dengan
agama, usuluddin dan feqah sahaja? Tidak ada doktor
perubatan, jurutera, panglima tentera, ahli perniagaan dan
perusahaan, petani dan orang lain yang penting untuk
kesejahteraan masyarakat di kalangan mereka. Tentulah
masyarakat yang terhad kepada orang agama sahaja akan menjadi
kaku dan lemah. Mereka boleh berdoa meminta segala-galanya
dari Tuhan tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman
dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita
jika kita tidak berusaha mengubahnya sendiri. Jelaslah bahawa
doa semata-mata tidak akan menjadi kita berjaya dan bahagia.
80. Memang tidak benar semua orang Melayu menghantar anak
mereka untuk belajar agama sahaja. Ramai juga yang belajar
bidang lain. Tetapi kita perlu kepada lebih ramai yang
terpelajar dalam bidang-bidang ilmu yang boleh menolong kita
berjaya dalam saingan dengan orang lain. Hanya jika kita
mempunyai mereka ini dengan cukup untuk menyelamatkan kita,
baharulah boleh kita katakan kita telah menunaikan fardu
kifayah. Jika tidak mencukupi, berdosalah kita.
81. Pertahanan ummah adalah perkara yang diwajibkan bagi kita
orang Islam. Mereka yang terlibat dengan pertahanan
sebenarnya menolong masyarakat menunai fardu kifayah, iaitu
mereka membuat ibadat. Kerana mereka, masyarakat Islam akan
terselamat. Dan kerana mereka masyarakat Islam terlepas
daripada membuat dosa. Mereka yang sengaja tidak berusaha
supaya fardu kifayah yang amat berat ini dapat ditunaikan
tentu berdosa. Mereka yang hanya ingin melihat anak mereka
pakar dalam bidang agama sahaja dan mengabaikan keselamatan
dan kesejahteraan ummah sudah tentu tidak mengikuti ajaran
Islam.
82. Untuk menjayakan pertahanan kita bukan lagi perlu
mengadakan kuda dan pedang sahaja. Kita perlu senjata yang
canggih. Kita tidak boleh bergantung kepada bekalan daripada
orang lain yang mempunyai kepentingan lain. Untuk mencipta
dan mengeluarkan senjata dan kelengkapan pertahanan kita perlu
bermacam-macam ilmu yang tidak khusus berkenaan dengan agama.
Justeru itu, lebih ramai anak kita perlu didorong untuk
menguasai ilmu-ilmu ini sebagai menunaikan kehendak agama,
sebagai satu ibadat.
83. Komen berkenaan dengan pelajaran agama amat sensitif.
Jika sesiapa berkata bahawa orang Islam harus belajar ilmu
lain daripada agama maka ia akan dikecam kerana dianggap
kurang Islam. Ibubapa yang menghantar anak untuk belajar
agama dianggap sebagai orang yang mematuhi kehendak agama
Islam. Sebenarnya mereka yang mengutamakan keselamatan dan
pertahanan Islam dan umat Islam dan dengan itu menyuruh anak
mereka mempelajari ilmu-ilmu tertentu, tidak kurang Islam,
bahkan beribadat kerana menolong menunaikan fardu kifayah.
Demikian juga tidak kurang pegangan agama Islam parti politik
dan Kerajaan yang mendesak supaya lebih ramai anak orang Islam
mempelajari ilmu yang boleh menyelamat dan mengukuhkan
masyarakat dan agama Islam. Kerana banyak Kerajaan negara
Islam mengabaikan keperluan inilah yang hari ini negara Islam
ditindas dan agama Islam dihina. Apakah orang yang
menyebabkan negara Islam ditindas dan agama Islam dihina lebih
baik daripada orang yang memelihara maruah Islam dan umat
Islam?
KUASAI BIDANG TEKNOLOGI MAKLUMAT
84. UMNO sebagai sebuah parti politik tidak harus gentar
dengan tuduhan bahawa kita tidak mengutamakan Islam. Apabila
kita merancang Koridor Raya Multimedia, kita sebenarnya
berusaha untuk menyelamatkan umat Islam dalam zaman yang
mencabar sekarang dan akan datang. Tanpa pengetahuan dalam
bidang teknologi maklumat dan cara-cara menggunakannya untuk
menguatkan umat Islam dan pegangan mereka kepada agama Islam,
kita bukan sahaja akan tertinggal di belakang tetapi akan
terdedah kepada serangan ke atas cara hidup, agama dan budaya
kita. Sebenarnya teknologi CD-Rom sudah pun memudahkan kita
untuk mempelajari ajaran agama Islam dan untuk mengembangkan
ajaran-ajaran ini. Adalah lebih mudah mendengar bacaan Al-
Quran dan mendapat tafsiran yang tepat melalui komputer
daripada hanya membaca Al-Quran. Amatlah merugikan kita jika
kita membaca Al-Quran sebagai satu ibadat tetapi tidak ingin
mengetahui isi kandungannya.
85. Memang benar ada kemungkinan projek MSC kita disalahguna
atau menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini kepada
kita. Tetapi jika kita tidak tahu tentang teknologi dan
pengurusan multimedia, kita lebih mungkin tidak akan dapat
mengawal gejala buruk yang akan berlaku kepada kita dan kita
tidak akan boleh menggunakan teknologi ini untuk kebaikan
kita.
86. Kita tentu tahu bahawa jika kita tidak dapat menguasai
cara dan teknologi televisyen, umpamanya, kita akan terdedah
kepada propaganda dan budaya asing semata-mata. Tetapi kerana
kita tahu bagaimana mengurus dan mengguna televisyen, maka
kita dapat mengurangkan kesan buruk daripada propaganda asing
dan menggunakannya untuk kepentingan kita.
87. Demikian juga dengan teknologi maklumat dan multimedia.
Jika kita tidak menguasai teknologi ini maka tidak dapat tidak
kita akan diserang oleh segala maklumat yang tidak berguna,
bahkan boleh meruntuh dan merosakkan akhlak dan budaya kita.
Koridor Raya Multimedia adalah projek untuk membolehkan kita
menguasai teknologi yang terkini dan menggunakannya untuk
kebaikan kita.
88. Memang mudah untuk mencela Koridor Raya Multimedia dengan
mendakwa Serambi Mekah adalah lebih baik. Tetapi dakwaan
untuk menjadikan negeri Kelantan sebagai Serambi Mekah adalah
sesuatu yang sudah lama dibuat. Apa yang kita lihat ialah
insiden penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS dan khalwat
berlaku lebih di Kelantan daripada negeri-negeri lain.
Dakwaan untuk menjadikan Kelantan di bawah parti tertentu
sebagai Serambi Mekah hanyalah propaganda politik yang
memperalatkan pegangan kuat orang Melayu kepada agama Islam
untuk kepentingan politik orang yang sanggup melihat orang
Islam menjadi mundur dan menderita asalkan mereka dapat
menikmati jawatan yang tinggi.
FATWA DALAM ISLAM
89. Baru-baru ini berbagai-bagai fatwa berkenaan dengan
perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan kehidupan orang
Islam di Malaysia telah dibuat. Dalam undang-undang Islam di
Wilayah Persekutuan, Mufti boleh membuat fatwa yang kemudian
disahkan oleh majlis fatwa yang dipengerusikan oleh mufti yang
sama. Apabila disah dan diisytiharkan atau digezetkan maka
fatwa itu menjadi undang-undang.
90. Tetapi undang-undang yang sama juga memperuntukkan bahawa
mufti boleh membatalkan fatwanya dan mana-mana fatwa yang
telah dikeluarkan sebelum ini oleh dirinya atau mufti lain.
Peruntukan ini tentulah kerana kemungkinan ada fatwa yang
salah atau tidak sesuai yang perlu dibatalkan. Dengan
perkataan lain undang-undang akui kemungkinan ada fatwa yang
dikeluarkan yang salah. Kuasa mufti dalam soal membuat dan
membatal fatwa amatlah besar.
91. Mufti adalah jawatan yang diwujudkan oleh pemerintahan
negara-negara Islam selepas Nabi wafat untuk membantu membuat
keputusan berkenaan dengan soal-soal agama. Jawatan mufti
diperlukan kerana keghairahan mereka yang mendakwa diri
sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendirian yang
kerap bertentangan antara satu dengan lain yang mengelirukan
umat Islam. Dengan adanya mufti maka hanya Jabatan Mufti
sahaja yang boleh membuat dan membatal fatwa. Dengan cara ini
tidak akan ada fatwa yang bercanggah antara satu sama lain
berkenaan perkara yang sama.
92. Sepanjang sejarah Islam banyak fatwa yang diterima-pakai
yang kemudiannya dibatal atau diketepikan. Demikian larangan
mengukir rupabentuk manusia atau binatang oleh agama Islam.
Sebabnya ialah kerana di zaman dahulu orang Arab dan penganut
agama-agama lain suka menyembah berhala yang mereka ukir
menyerupai manusia atau binatang. Ada juga yang mengukir dan
melukis rupa tuhan mereka dan kemudian menyembah ukiran dan
gambar-gambar ini.
93. Untuk mengelak Allah disekutukan dengan objek yang lain
atau dengan percubaan membuat imej Allah yang kemudian
disembah, agama Islam melarang ukiran dan lukisan rupabentuk
manusia atau binatang. Sehingga ke zaman terakhir empayar
Islam Turki, larangan ini dikuatkuasakan.
94. Tetapi di zaman ini larangan terhadap ukiran dan lukisan
manusia dan binatang tidak lagi dapat dikuatkuasakan di
seluruh dunia Islam kerana adanya kamera dan televisyen.
Gambar tokoh-tokoh Islam dan alim ulama terdapat di mana-mana
sahaja.
95. Apakah dengan ini umat Islam sudah tidak lagi menurut
hukum Islam berkenaan ukiran dan lukisan rupa manusia dan
binatang? Dalam hal ini kita perlu merujuk semula kepada
sebab larangan tersebut dibuat. Sebabnya ialah bagi
menghalang Arab Jahiliah yang memeluk agama Islam kembali
menyembah berhala, gambar lukisan, dan sebagainya seperti yang
mereka lakukan dahulu.
96. Jika kita membuat patung atau gambar dan kita
menyembahnya maka sudah tentu kita melanggar ajaran Islam.
Tetapi kita bukan Arab Jahiliah yang baru memeluk agama Islam.
Kita tahu membeza antara Tuhan yang kita sembah, iaitu Allah
Subhanahu wa Ta'ala, dengan ukiran atau gambar yang tidak kita
samakan dengan Tuhan dan tidak kita sembah. Kita juga tidak
melanggar larangan terhadap ukiran atau lukisan gambar Tuhan
atau Nabi. Dengan itu, kita tidak melanggar maksud dan tujuan
larangan terhadap ukiran dan lukisan gambar manusia dan
binatang. Kita tidak menyembah mana-mana ukiran atau lukisan
sebagai Tuhan atau sebagai simbol Tuhan kita.
KERANA SALAH KEUTAMAAN UMAT ISLAM LEMAH
97. Namun demikian ramai orang Islam menganggap tujuan atau
maksud sesuatu hukum dalam Islam tidak penting. Yang penting
ialah cara atau pendekatannya sahaja. Dengan kerana kita
mengutamakan cara maka maksud dan tujuan ajaran Islam
kerapkali tidak tercapai.
98. Agama Islam bukan agama ibadat `ritual' yang perlu
dilakukan tanpa mengambilkira tujuan sesuatu itu dikehendaki
dilakukan. Segala-gala yang disuruh oleh agama Islam
mempunyai kaitan dengan kesejahteraan hidup umat Islam. Sebab
itu apabila sahaja orang Arab Jahiliah memeluk agama Islam
mereka mencapai kemajuan yang luar biasa.
99. Tetapi semakin lama semakin kuat keutamaan diberikan
kepada ibadat berbentuk `ritual' dan apa yang dikaitkan dengan
rupabentuk Islam. Pakaian Arab yang pada zaman Nabi dan
beberapa abad selepasnya dipakai oleh semua orang Arab, sama
ada Islam atau Kristian, dijadikan simbol Islam. Dengan itu
orang Islam memakai pakaian ini tetapi mereka sering berperang
sesama sendiri tanpa menghirau tuntutan Islam yang lebih berat
supaya orang Islam bersaudara.
100. Dalam soal keselamatan, umat Islam disuruh menyediakan
kuda dan pedang untuk menakutkan musuh. Di zaman ini kuda dan
pedang tidak akan menakutkan sesiapa. Jika kita pegang kepada
arahan mengadakan kuda dan pedang, maka hari ini kita tidak
akan dapat membuat apa-apa kerana musuh tidak takut kepada
kuda dan pedang. Tetapi jikalau kita tumpukan kepada tujuan
yang terkandung dalam ayat Al-Quran supaya kita menakutkan
musuh, maka kita tentulah akan menyediakan pasukan perang yang
lengkap dengan senjata-senjata yang canggih yang boleh
menakutkan musuh.
101. Demikian juga dengan menutup aurat. Tujuan menutup aurat
ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliah mempunyai nafsu yang
kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada
kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara
mereka yang tidak pernah tamat.
102. Tetapi di zaman ini di Malaysia kita amat keras berkenaan
dengan menutup aurat. Hukuman keras disediakan terhadap
mereka yang melanggar larangan ini. Bahawa orang yang menutup
aurat ini membuang bayi, mendera dan membunuh anak, merogol
dan melakukan berbagai-bagai jenayah seks tidak kita kaitkan
dengan tujuan menutup aurat. Seperti juga dengan penyediaan
kuda dan pedang tidak menakutkan musuh, dan ukiran dan lukisan
rupabentuk binatang dan manusia tidak disembah sebagai
berhala, menutup aurat sudah hilang kesannya. Ini bukan
bermakna Al-Quran salah. Yang salah ialah kita kerana kita
mengutamakan penutupan aurat dan bukan pencegahan jenayah
nafsu dan seks yang merupakan tujuan utama ajaran Islam.
Seperti juga dengan gambar dan ukiran yang tidak lagi dapat
kita cegah, pendedahan aurat dapat dilihat oleh semua orang
Islam di zaman ini. Tekanan yang penting ialah pendidikan
moral Islam dan bukan menunjuk perbezaan rupa antara orang
Islam dan orang bukan Islam kerana ini tidak mencegah jenayah
seks yang begitu berleluasa dalam masyarakat orang Islam.
103. Kerana tekanan yang salah, kerana keutamaan kepada cara
dan tidak kepada tujuan maka hari ini orang Islam bersengketa
sesama sendiri, berpecah-belah dan lemah. Musuh sebenar tidak
dipedulikan. Kawan dan saudara seagama dikecam dan dijadikan
musuh kerana dianggap kurang Islam. Di seluruh dunia Islam,
inilah yang sedang berlaku. Asalkan sesuatu itu didakwa
sebagai kehendak Islam, perbuatan lain yang terang-terang
tidak Islam dihalalkan. Demikian fitnah dan tuduhan bermacam-
macam dibuat sehinggalah pembunuhan orang Islam lain juga
dihalalkan kerana mengejar apa yang didakwa sebagai tuntutan
Islam.
104. Menutup rambut di kepala mempunyai tujuan yang sama
dengan menutup aurat, iaitu untuk mengelak daripada berlakunya
jenayah seks. Tidak siapa yang melarang amalan ini tetapi
ramai yang ingin memaksa lebih daripada yang disuruh sehingga
anak kecil dan orang amat tua juga mesti menutup kepala
mereka. Dan jangan kita lupa orang yang menutup kepala juga
melakukan jenayah seks tidak kurang daripada yang tidak
menutup kepala. Sebabnya ialah kerana kita mengutamakan
menutup kepala dan bukan pencegahan jenayah. Asalkan kita
menutup kepala sempurnalah amalan kita.
105. Sementara itu ajaran Islam tentang persaudaraan antara
orang Islam, tentang tidak memalukan dan mengecewa orang lain,
tentang pertahanan ummah, tentang keadilan, tentang mengelak
huru-hara dalam masyarakat, tentang kebahagiaan dan
kesejahteraan hidup umat Islam diabaikan. Dengan itu orang
Islam menjadi lemah, tidak berpengetahuan, dipermain dan
dihina oleh musuh-musuh Islam. Semua ini bukan kerana ajaran
Islam itu salah tetapi kerana tekanan kita tertumpu kepada
separuh sahaja daripada ajaran Islam iaitu kepada cara dan
bukan kepada maksud dan tujuan ajaran Islam.
106. Saya sedar apa yang saya katakan ini tidak akan disenangi
oleh ramai orang, termasuk ahli-ahli UMNO. Tetapi kita
menghadapi masalah peningkatan sikap tidak toleran terhadap
sesiapa yang tidak mengutamakan rupabentuk yang dikatakan
Islam ini sehingga yang sunat diwajibkan dan yang wajib
ditingkat dan diperketatkan lagi, dengan dakwaan bahawa
sesiapa tidak melakukannya maka orang itu tidak Islam dan
murtad. Di beberapa negara Islam lain, puak fanatik sanggup
membunuh orang seagama mereka kerana ingin merebut kuasa untuk
melaksanakan pendapat mereka. Di Malaysia golongan seperti
ini sudah sampai ke peringkat menfitnah dan menidakkan
keIslaman orang lain. Jika dibiarkan, kita juga akan menjadi
seperti negara Islam tertentu yang sudah lemah dan ditindas
oleh kuasa asing. Kita perlu mempertahankan ajaran Islam yang
sebenar sebelum malapetaka menimpa kita.
MALAYSIA NEGARA ISLAM CONTOH
107. Malaysia dianggap oleh negara-negara Islam lain sebagai
negara contoh. Ini bukan dakwaan kita. Dalam akhbar-akhbar
di negara Islam, dalam ucapan-ucapan oleh pemimpin-pemimpin
mereka dan dalam cakapan-cakapan mereka kepada kita dan kepada
orang lain, mereka bukan sahaja menyatakan Malaysia adalah
contoh bagi negara Islam lain, tetapi mereka amat berbangga
dan kagum dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang
maju. Dan mereka bertanya akan formula kejayaan sebuah negara
Islam yang mempunyai ramai penduduk bukan Islam.
108. Sebabnya Malaysia dikagumi dan membanggakan mereka
bukanlah kerana kita mempamerkan jenis Islam yang ekstrim atau
rupabentuk Islam, tetapi kerana kita mengamalkan kesederhanaan
dalam Islam. Orang Islam Malaysia berjaya menangani masalah
memerintah penduduk berbagai-bagai kaum dan agama. Mereka,
orang Islam lain ini, percaya cara kita melaksanakan hukum-
hukum Islam amatlah baik kerana jelas sekali bahawa ia membawa
keamanan dan kemajuan kepada negara kita yang mereka akui dan
anggap sebagai negara Islam seperti yang kita maktubkan secara
rasmi.
109. Mereka sebenarnya amat kecewa dengan tindakan dan
pendapat puak-puak di kalangan mereka yang terlalu ekstrim
sehingga mengganas atas nama Islam dan menitikberatkan soal-
soal remeh dalam masyarakat mereka. Mereka ingin melihat
dasar-dasar dan amalan-amalan keIslaman seperti yang didapati
di Malaysia diamalkan oleh rakyat mereka. Pemimpin-pemimpin
Kerajaan mereka juga ingin demikian.
110. Jika mereka yang memimpin dan menduduki negara-negara
Islam ini kagum dengan cara-cara kesederhanaan Islam kita,
kenapakah kita pula ingin kepada cara-cara yang ekstrim yang
menyebabkan banyak negara Islam lain menghadapi masalah dan
tidak dapat dibangunkan? Kenapakah ada antara kita yang lebih
suka kepada simbol-simbol Islam seperti pakaian dan janggut
dan tidak memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih
berat bagi orang Islam seperti persaudaraan dan pertahanan?
Apakah mereka ini suka kita berpecah-belah dan menjadi lemah
hingga ditindas oleh orang lain yang mempunyai kepentingan
sendiri yang suka supaya kita terus lemah?
111. Siapakah yang sebenarnya yang memperjuangkan Islam?
Mereka yang mengutamakan apa yang mereka anggap sebagai simbol-
simbol Islam atau pihak Kerajaan dan UMNO yang mengutamakan
pertahanan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini dan
sedikit sebanyak di negara-negara lain juga.
PEMIMPIN BERTANGGUNGJAWAB MEMANDU UMAT ISLAM
112. Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk
membincang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam
dan amalannya di negara ini. Dalam hal ini, akan ada mereka
yang berpendapat bahawa sebagai orang yang tidak mempelajari
agama secara khusus dan tidak tahu bahasa Arab, saya tidak
berhak bercakap berkenaan agama Islam.
113. Saya ingin tegaskan bahawa perpecahan di kalangan umat
Islam kepada berbagai-bagai mazhab dan kumpulan-kumpulan
dengan berbagai-bagai amalan dan fahaman agama, sedangkan
agama Islam hanya satu sahaja, adalah disebabkan oleh tafsiran
dan ajaran oleh orang yang mengkhusus dalam bidang agama dan
faham bahasa Arab. Pengetahuan agama dan bahasa Arab tidak
menjamin bahawa tafsiran dan ajaran mereka tepat, benar dan
tidak berbeza. Sebenarnya kerana kepentingan tertentu ada di
kalangan mereka yang kerap menyalahtafsirkan ajaran Islam.
114. Saidina Abu Bakar, Khalifah pertama bagi umat Islam, pun
sanggup ditegur jika ia melakukan apa-apa kesalahan. Tetapi
ada orang yang mempunyai sedikit pengetahuan agama dan bahasa
Arab mendakwa mereka tidak boleh ditegur. Apakah mereka lebih
besar daripada Saidina Abu Bakar? Bolehkah mereka dengan
sewenang-wenangnya menuduh orang itu dan orang ini kafir,
murtad dan firaun? Apakah orang yang dikecam oleh mereka
tidak berhak mempertahankan diri?
115. Pemimpin dalam masyarakat Islam bukan sahaja berhak
tetapi bertanggungjawab untuk memandu umat Islam. Jika
pemimpin mendapati ada ajaran yang salah atau yang
membelakangkan perkara-perkara yang penting kepada umat Islam,
pemimpin Islam bukan sahaja harus tegur tetapi wajib tegur.
Umat Islam hari ini ditindas dan dihina kerana pemimpin-
pemimpin negara Islam tidak menegur ajaran-ajaran dan amalan-
amalan Islam yang mudah melemah dan memecahbelahkan orang
Islam. Hingga kini umat Islam di Malaysia tidak diserang oleh
penyakit yang menimpa banyak negara Islam lain. Kita selama
ini tidak ada kumpulan ekstrimis yang menyerang dan
menyembelih orang Islam lain kerana tidak menerima ajaran
mereka. Tetapi sudah nampak mereka yang berminat dengan cara
ekstrimis ini, yang mahukan masyarakat Islam kita mengutamakan
mengelak dosa kecil tetapi melakukan dosa besar. Aliran ini
mesti dibendung dan UMNO sebagai parti pemerintah yang
bertanggungjawab mestilah berani melawan aliran yang tidak
sihat ini.
116. Sudah 40 tahun UMNO menerajui Kerajaan yang memerintah
negara berbilang kaum dan agama ini. Sepanjang sejarah
Malaysia yang merdeka ini, kita telah melihat bagaimana negara
kita yang mundur dan lemah yang terlepas daripada belenggu
penjajah mara dan maju ke hadapan sehingga menjadi sebuah
negara yang dicontohi oleh negara-negara membangun yang lain.
117. Walaupun penduduk Malaysia terdiri daripada berbagai-
bagai kaum yang berbeza daripada segi anutan agama, bahasa dan
budaya, Kerajaan pimpinan UMNO dapat mengawal keamanan dan
mengurangkan sikap perkauman.
118. Orang Melayu dan Bumiputera lain yang lemah daripada segi
ekonomi telah dapat diserapkan ke dalam masyarakat perdagangan
dan perusahaan sehingga perbezaan tidak lagi ketara antara
mereka dengan kaum-kaum lain daripada segi kecekapan dan
pemilikan punca-punca kekayaan.
119. Walaupun dari awal lagi percubaan dibuat untuk
memecahbelahkan orang Melayu melalui politik agama, tetapi
percubaan ini gagal. Majoriti orang Melayu bersikap sederhana
seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, bukan bersikap
keterlaluan seperti yang dikutuk oleh Islam.
120. Oleh kerana semua ini, Malaysia menjadi kaya dan kuat dan
mampu menolong orang lain yang tertindas atau dianiaya,
termasuk orang Islam Bosnia, Palestin, Somalia dan lain-lain.
Kita tidak mengalami masalah rusuhan puak ekstrimis seperti
yang terdapat di banyak negara membangun yang lain, termasuk
sebilangan yang tidak kecil negara-negara Islam.
TANGGUNGJAWAB UMNO LEBIH BESAR
121. Oleh kerana ini kita dapat merancang untuk memajukan lagi
negara kita supaya ia dapat menjadi negara maju menjelang
2020. Sama ada kita akan mencapai matlamat ini bergantung
kepada banyak faktor. Dari luar negeri terdapat banyak musuh
yang ingin menakluk kita semula secara tidak langsung. Mereka
ini dibantu, secara sedar atau tidak sedar, oleh puak yang
mirip kepada cara-cara ekstrimis dan tidak toleran dari dalam
negara kita, termasuk kumpulan orang Islam yang tidak senang
hati kerana kita tidak mempamerkan cara-cara yang pada mereka
adalah cara Islam -- iaitu merusuh, mengecam dan sering
mendakwa orang Islam lain sebagai tidak Islam.
122. Kita, UMNO, perlu tangani segala ancaman ini demi
kebebasan negara kita, demi keamanan negara kita, demi
kesejahteraan dan keselamatan orang Islam dan kaum-kaum lain
di negara kita. Percayalah jika kita benarkan puak ekstrimis
bermaharajalela, kita akan menjadi seperti beberapa negara
Islam lain yang hari ini menghadapi huru-hara, rusuhan, lemah
dan ditindas oleh kuasa-kuasa besar.
123. Tanggungjawab UMNO besar. Cabaran-cabaran yang telah
kita hadapi dan kita atasi dahulu adalah kecil berbanding
dengan cabaran masa depan. Jika kita tidak berani, jika kita
kurang percaya akan kebenaran dan kemuliaan perjuangan kita,
jika kita asyik dengan kemewahan dan kebendaan, jika kita
terlibat dengan rasuah, jika kita benarkan orang yang
memperalatkan agama bertindak liar, maka 51 tahun perjuangan
kita untuk agama dan bangsa akan menjadi sia-sia sahaja.
|