Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ULAANBAATAR, MONGOLIA
Tarikh/Date : 08/09/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM OLEH PERDANA
MENTERI MONGOLIA
1. Bagi pihak isteri saya dan delegasi Malaysia, saya
ingin merakamkan setinggi penghargaan di atas jemputan
Tuan Yang Terutama untuk kami melawat negara Tuan Yang
Terutama. Kami amat terharu dengan sambutan mesra yang
telah diberikan sejak ketibaan kami di Ulaanbaatar hari
ini. Lawatan ini memberi peluang kepada kami untuk
melihat sendiri kekayaan kebudayaan Mongolia serta
memahami sejarahnya yang panjang. Saya juga gembira
berada di sini kerana dapat melihat sendiri perubahan
hasil daripada pembaharuan ekonomi serta politik yang
dibawa oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama dan juga Kerajaan
sebelumnya.
2. Saya gembira mendapati bahawa dalam jangkamasa yang
singkat sejak pelaksanaan pembaharuan ekonomi dan politik,
Mongolia telah berjaya mencapai kemajuan ekonomi yang
besar. Ini menunjukkan kebolehan dan keazaman rakyat
Mongolia untuk mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi
negara mereka. Ini mengingatkan saya kepada kejayaan
besar di era kegemilangan Mongolia di zaman pemerintahan
nenek moyang Tuan Yang Terutama seperti Chinggis Khaan dan
Kublai Khaan yang berjaya mengatasi segala halangan dan
meninggalkan kesan yang tidak boleh dilupakan dalam
sejarah tamadun manusia.
3. Hubungan antara kedua-dua negara kita telah menempa
lembaran baru berikutan lawatan Tuan Yang Terutama
Putsagiin Jasrai, Perdana Menteri Mongolia ketika itu, ke
Malaysia pada Julai 1995. Dalam hal ini, saya juga
berharap lawatan saya ini akan turut menjadi pendorong
kepada mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara
kita. Oleh yang demikian, saya memang menunggu
perbincangan dua hala kita esok yang mana kedua-dua
delegasi kita akan dapat bertukar-tukar pandangan mengenai
perkara-perkara kepentingan bersama, di samping mengenal
pasti bidang-bidang kerjasama yang dapat memperkukuhkan
lagi hubungan dua hala kita. Saya juga mengalu-alukan
pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Udara, Perjanjian
Induk Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Pendidikan, Teknikal
dan Kebudayaan serta Memorandum Persefahaman Mengenai
Kerjasama Saintifik dan Teknikal dalam Penggunaan Minyak
Sawit di Mongolia. Perjanjian-perjanjian berkenaan akan
mewujudkan satu rangka kerja yang menyeluruh bagi
meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian untuk faedah
bersama di antara kedua-dua negara.
4. Di samping menjalinkan kerjasama di peringkat
Kerajaan, saya juga berharap kerjasama antara sektor
swasta kedua-dua negara turut dipertingkatkan. Saya telah
membawa bersama-sama dalam delegasi saya ini ahli-ahli
perniagaan yang berminat untuk menerokai peluang-peluang
perniagaan dan pelaburan di Mongolia. Saya yakin hubungan
yang dijalinkan oleh ahli-ahli perniagaan Malaysia dengan
ahli-ahli perniagaan serta usahawan Mongolia dalam tempoh
lawatan ini akan membuahkan hasil yang konkrit. Sebagai
penjana kepada pembangunan negara, sektor swasta mempunyai
peranan yang kritikal dalam memperluaskan aspek-aspek
ekonomi dalam hubungan dua hala kita.
5. Berikutan Mongolia memulakan usaha menggalakkan
pelaburan langsung asing dan penswastaan melalui penawaran
insentif dan penyediaan iklim pelaburan yang menarik, saya
akan menggalakkan ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk
meninjau peluang-peluang pelaburan di negara Tuan Yang
Terutama, terutamanya dalam sektor pelancongan,
pengangkutan, telekomunikasi, perlombongan, perumahan dan
pembinaan infrastruktur. Saya gembira mendapati beberapa
syarikat Malaysia sudahpun melabur di Mongolia. Saya
berharap banyak lagi syarikat swasta yang lain akan turut
serta selepas ini.
6. Malaysia mengalu-alukan dan menyokong hasrat Mongolia
untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan negara-
negara di rantau Asia-Pasifik, termasuk negara-negara di
rantau Asia Tenggara. Kemajuan ekonomi yang pesat di
rantau tersebut bukan sahaja merupakan pasaran yang
penting untuk barangan Mongolia tetapi juga sebagai sumber
pelaburan bagi Mongolia. Saya yakin hasrat Mongolia ini
akan diterima baik oleh negara-negara di rantau tersebut.
Lebih daripada memperolehi faedah ekonomi, hubungan rapat
antara negara-negara di rantau Asia-Pasifik, tidak kira
besar atau kecil, kaya atau miskin, merupakan satu-satunya
jaminan untuk keamanan dan kestabilan yang tulen bagi
rantau ini. Sebarang percubaan untuk memencil, menyekat
atau meminggir mana-mana negara daripada memainkan
peranannya yang sah di dalam hal-hal politik dan ekonomi
serantau adalah sama seperti menyemai bibit-bibit rasa
tidak puas hati dan ketidakstabilan.
7. Lawatan saya ini jatuh pada hari ulangtahun ke-26
terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan
Mongolia. Dalam jangka masa tersebut, kita telah
menyaksikan peningkatan beransur-ansur dalam hubungan dua
hala kita. Sekarang, kita sudah bersedia untuk memasuki
satu peringkat yang lebih aktif dalam perhubungan kita.
Sehubungan dengan itu, saya berharap lawatan ini akan
menyumbang kepada usaha bersama kita untuk merapatkan lagi
hubungan antara kedua-dua negara kita. Saya suka memberi
jaminan kepada Tuan Yang Terutama, bahawa Malaysia akan
memberi bekerjasama sepenuhnya untuk menjayakan hubungan
antara kita.
|