Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/10/97
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN BANDARAYA BARU
- PUTRAJAYA
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan usahasamanya
kerana menjemput saya untuk melancarkan Bandaraya Baru
Putrajaya. Projek ini telah menjadi bertambah penting
bukan sahaja kerana ia akan menjadi pusat pentadbiran baru
Kerajaan Persekutuan, tetapi juga kerana persoalan yang
ditimbulkan mengenai Putrajaya sejak kebelakangan ini,
khususnya sama ada ia akan dilancarkan atau tidak.
2. Pelancaran bandaraya ini memberikan mesej yang jelas
bahawa bukan semua projek di Malaysia dibekukan, apatah
lagi pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat.
3. Saya gembira mendapati bahawa projek ini telah
berjalan lancar mengikut jadual. Putrajaya Holdings Sdn
Bhd dan rakan-rakan usahasamanya -- MRCB, Peremba, SP
Setia, Hong Leong Properties dan Malaysian Plantations --
yakin projek ini tidak akan terjejas oleh sebarang kesan
sampingan daripada serangan ke atas ringgit dan pasaran
saham. Malah, keazaman mereka semakin kuat untuk
memastikan projek ini akan mencapai kejayaan besar.
4. Saya juga gembira kerana Malaysia sekali lagi telah
muncul lebih kukuh selepas menghadapi kerumitan ekonomi.
Akibat daripada apa yang berlaku baru-baru ini, kita telah
menjadi lebih miskin daripada segi kewangan, tetapi pada
masa yang sama lebih kaya daripada segi tekad untuk
bekerja lebih keras dan bersatu dalam usaha mengatasi
kerumitan. Tekad yang lebih kuat ini tidak terbatas kepada
pihak yang terlibat dalam pembangunan Putrajaya sahaja,
malah ia dapat dilihat di mana-mana sahaja dan ditunjukkan
oleh mereka yang bangga menjadi rakyat Malaysia. Tekad
yang lebih kuat ini seharusnya dipupuk untuk menempuh
kejayaan -- satu ciri yang telah berjaya kita pupuk selama
40 tahun sehingga kita sanggup berdiri tegap hari ini dan
membuktikan kepada dunia bahawa kita adalah sebuah negara
yang dibina berlandaskan `substance' dan bukan bentuk yang
kosong.
5. Di Malaysia, kita tidak berminat untuk membina tugu,
patung ukiran dan simbol untuk melambangkan kejayaan kita.
Sebaliknya, kita tidak takut untuk mendirikan struktur
yang praktikal dan berfaedah.Putrajaya adalah contohnya.
Tetapi dalam hal ini pun, sudah ada orang yang iri hati.
Ini tidak dapat dielakkan, kerana Putrajaya akan menjadi
sebuah bandaraya alaf akan datang yang kita bina sendiri.
Ia benar-benar bersifat Malaysia. Putrajaya akan
merupakan sebuah bandaraya yang unik yang dibina dengan
semangat Malaysia dan untuk semua rakyat Malaysia.
6. Putrajaya akan mencerminkan ciri-ciri dan semangat
Malaysia di samping menjadi satu lagi mercu tanda yang
memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam pembangunan
bandar, khususnya dalam membina bandaraya untuk kerajaan
dan rakyat. Kerana di Putrajaya nanti dunia dapat melihat
kejayaan simbiosis manusia, alam dan teknologi. Ramai
antara hadirin telah mendengar tentang rancangan untuk
menjadikan Putrajaya sebuah bandaraya taman dan juga
bandaraya pintar.
7. Pusat pentadbiran baru Kerajaan ini akan menjadi
pusat Kerajaan elektronik yang akan membawa Malaysia ke
barisan depan Zaman Maklumat. Dan pada masa yang sama, ia
akan menjadi sebuah bandaraya di mana manusia dapat
menghayati keindahan alam semulajadi dalam suasana yang
damai dan tenteram.
8. Kebanyakan bandaraya di dunia telah membangun dengan
begitu pesat hinggakan manusia dan alam semula jadi tidak
dapat wujud bersama. Ada yang terpaksa dikorbankan untuk
yang lain demi pembangunan. Di Putrajaya, kita akan
mengubah keadaan ini. Ia akan merupakan bandaraya serba
baru yang dirancang dengan teliti dari awal lagi supaya
dapat mengatasi masalah ini. Tumpuan akan diberikan
kepada keserasian dan suasana yang berharmoni antara
manusia, alam semulajadi dan teknologi. Ia akan
menggabungkan perancangan bandar, lanskap dan pemeliharaan
eko-budaya yang paling baik.
9. Tugas dan cabaran yang dihadapi oleh Putrajaya
Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan kongsinya adalah amat
berat. Hakikat bahawa Putrajaya meliputi pembinaan serba
baru akan menjadikan tugas ini kurang rumit berbanding
dengan tugas membina semula bandar atau bandaraya yang
sedia ada. Putrajaya mempunyai kelebihan kerana ia akan
dibina tanpa mewarisi sebarang teknologi dan prasarana
lama.
10. Teknologi dan prasarana yang lama boleh menjadi
halangan dan rintangan dalam melaksanakan teknologi semasa
dan yang bakal dicipta jika bandar lama perlu dibina
semula. Ini bermakna Putrajaya tidak akan mempunyai kabel
berserabut di bawah bandaraya yang hanya mampu menyokong
penghantaran suara, data dan imej pada kelajuan 43 mega
bit sesaat, umpamanya. Putrajaya boleh dibangunkan dengan
prasarana maklumat paling baik dan terkini -- seperti
rangkaian optik gentian bagi lebar jalur setinggi 2.5
gegabit sesaat dan 10 gegabit sesaat -- untuk menyokong
teknologi semasa, teknologi baru dan teknologi yang akan
dicipta dan boleh digunakan dalam persekitaran Kerajaan
elektronik. Dengan ini, kita dapat pastikan bahawa kita
tidak meletakkan Malaysia dalam perahu yang bergerak
perlahan, daripada segi pelaksanaan Kerajaan elektronik.
Sebaliknya, Malaysia akan berada di laluan pantas untuk
membolehkan negara merebut peluang-peluang yang dibawa
oleh Zaman Maklumat.
11. Sebagaimana yang telah saya katakan, tugas Putrajaya
Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan usahasamanya mungkin
kurang rumit tetapi ini tidak bermakna kurang mencabar,
kerana penggunaan tanah dan prasarana perlu dirancangkan
dengan teliti. Dengan dasar dan garis panduan lengkap
yang telah dirangka untuk pengagihan penggunaan tanah,
sistem pengangkutan, utiliti dan prasarana, perumahan,
kemudahan-kemudahan awam, teknologi maklumat, padang dan
taman, saya yakin Putrajaya akan bangkit dari tapak seluas
4,581 hektar menjadi sebuah bandaraya yang memudahkan
urusan perniagaan dan kegiatan ekonomi serta menyediakan
kehidupan bandar yang berkualiti. Bila Putrajaya sudah
wujud akan terdapat sekurang-kurangnya 570,000 orang, yang
mana 300,000 adalah penghuninya. Ini cuma anggaran
penduduk Putrajaya. Beribu-ribu lagi akan berurusan dengan
570,000 orang ini.
12. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru
semua pemaju bandar-bandar baru supaya memberi perhatian
khusus kepada simbiosis manusia, alam semulajadi dan
teknologi dalam pembangunan mereka, sebagaimana yang
ditunjukkan oleh Putrajaya. Ini, bagaimanapun seharusnya
dijadikan kenyataan dan bukan janji kosong. Mereka mesti
berusaha dengan bersungguh-sungguh seperti dalam kes
Putrajaya, di mana kawasan berair dan `wetlands' yang
berjumlah 585.6 hektar atau 12.8 peratus daripada kawasan
Putrajaya, merupakan komponen penting pembangunan dan
identitinya. Usaha dan perhatian dalam menyediakan tasik
buatan manusia dan `wetlands' adalah untuk membolehkan
Putrajaya mempunyai ekosistem yang seimbang dan boleh
dikekalkan.
13. `Wetlands', khususnya, telah direkabentuk sebagai
tapisan semula jadi bagi air yang mengalir ke dalam tasik.
Ia juga akan menjadi tempat bagi kajian ke atas `wetlands'
dan penghuninya.
14. Sambil berdenyut sebagai pusat pentadbiran negara,
Putrajaya juga menampilkan kualiti kehidupan yang
menyatukan manusia dan alam semulajadi secara harmoni.
Kita berharap Putrajaya mendahului dan akan menunjukkan
jalan ke arah bandaraya alaf akan datang.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
secara rasmi Bandaraya Baru Putrajaya, yang akan menjadi
lambang kejayaan dan wawasan Malaysia.
|