Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	AUDITORIUM BESAR, ANGKASAPURI, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/10/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN KEMPEN TEKNOLOGI 
			MAKLUMAT (IT) 



   1.   Kita  sedang  menghadapi satu  revolusi  baru.   Ianya
  adalah  satu  revolusi yang bersifat global  yang  berupaya
  mengubah  kehidupan manusia di mana-mana sahaja.   Revolusi
  ini  adalah  yang  ketiga  dalam  sejarah  manusia  selepas
  revolusi  pertanian dan revolusi perindustrian  yang  telah
  mengubah  dunia  dan meninggalkan kesan yang  hebat  kepada
  masyarakat  dunia.  Revolusi ketiga dalam  sejarah  manusia
  ini  sedang  membawa perubahan yang mendadak kepada  dunia.
  Revolusi    ini   sedang   mempercepatkan    lagi    proses
  globalisasi,  mencorak semula ekonomi kita dan mempengaruhi
  cara  hidup kita dan cara kita bekerja.  Revolusi yang saya
  maksudkan ini ialah Revolusi Maklumat.  Teknologi  Maklumat
  atau  Information Technology (IT) adalah peneraju  revolusi
  ini.
  
  2.    Malaysia sedang berusaha gigih dan bersungguh-sungguh
  untuk  memanfaatkan kuasa IT ini.  Hampir setiap hari  kita
  mendengar  mengenai  IT dan Koridor  Raya  Multimedia  atau
  Multimedia   Super  Corridor  (MSC)  yang  akan   dijadikan
  kawasan  bagi menguji pembangunan IT di negara kita.   Saya
  percaya  ramai  orang  tertanya-tanya mengapa  kita  begitu
  mengambil  berat tentang teknologi baru ini.  Kita  memberi
  perhatian  berat  kerana  jika  teknologi  baru  ini  tidak
  diuruskan  dengan  baik  dan  betul,  ianya  mungkin   akan
  memberi  kesan  buruk kepada peradaban manusia.  Sebaliknya
  penggunaan  maklumat  yang  betul  akan  membolehkan   kita
  mencorak   dasar-dasar,  strategi-strategi  dan   tindakan-
  tindakan  yang dapat memberi faedah besar kepada kita  atau
  mempertingkatkan daya saing kita.
  
  3.    Demi  masa  depan  kita,  kita  tidak  boleh  menjadi
  pemerhati  sahaja  terhadap revolusi  maklumat  ini.   Kita
  perlu  menyertainya; bahkan menerajuinya.  Inilah  sebabnya
  kita  meluangkan banyak masa dan usaha untuk  mengembangkan
  industri  IT  tempatan yang bertaraf  dunia.   Inilah  juga
  sebabnya   projek   MSC   akan  diteruskan   seperti   yang
  dirancangkan walaupun negara dilanda krisis matawang  baru-
  baru ini.
  
  4.    Seluruh  dunia  sedang  memerhati  usaha  kita  untuk
  mempelopori  pembangunan IT.  Mereka akan  mengkritik  kita
  jika  kita gagal dan akan mengikuti jejak langkah kita jika
  kita  berjaya.   Kebanyakan mereka sedar  akan  potensi  IT
  tetapi    mereka   mempunyai   kepentingan   sendiri    dan
  infrastruktur  lama dan perkakas tertentu  yang  sedia  ada
  yang menghadkan keupayaan mereka untuk menguji potensi  IT.
  Di  MSC, syarikat-syarikat IT akan berupaya menguji ide-ide
  mereka  mengenai  aplikasi IT tanpa diganggu  oleh  masalah
  alatan  usang  bahkan mendapat sokongan  dengan  disediakan
  infrastruktur  yang terbaik dan dasar-dasar  Kerajaan  yang
  membantu mereka.
  
  5.    IT  dan  revolusi  maklumat akan  menukar  peraturan-
  peraturan  persaingan antarabangsa dan akan  mengubah  cara
  kita mentadbir masyarakat dan negara.
  
  6.    Di  masa yang lepas kita telah berjaya mengubah  asas
  ekonomi   kita  daripada  pertanian  kepada  perindustrian.
  Arah  aliran  global sekarang memerlukan kita menukar  asas
  ekonomi  kita sekali lagi, daripada ekonomi yang bergantung
  kepada  buruh murah kepada yang berteraskan pekerja berilmu
  atau   `knowledge  worker'.   Dalam  hal  ini,  kita  tidak
  mempunyai  pilihan  melainkan  kita  sanggup  ditinggal  di
  belakang,  menjadi  miskin  dan akibatnya  terpaksa  tunduk
  kepada  kehendak orang lain.  Perubahan yang  perlu  dibuat
  kali  ini  adalah  lebih  sukar  tetapi  bukanlah  di  luar
  kemampuan kita.  Yang penting ialah kesanggupan kita  untuk
  memiliki  kemahiran  yang  diperlukan  melalui  usaha  yang
  gigih dan dedikasi.
  
  7.    Daya  saing  ekonomi negara di masa depan  bergantung
  kepada  kesediaan  kita untuk menggunakan  IT  dan  menjadi
  pekerja  berilmu.   Melalui penggunaan  maklumat  dan  ilmu
  kita   boleh  meningkatkan  produktiviti  kita  di  samping
  kualiti   barangan   dan  perkhidmatan   kita.    Teknologi
  komputer  dan  multimedia boleh membantu  kita  menjalankan
  tugas-tugas   kita   dengan  lebih  produktif   dan   lebih
  berkesan.   Walaupun  orang lain  juga  boleh,  kita  telah
  menunjukkan  bahawa apabila rakyat Malaysia  memutus  untuk
  melengkapkan   diri   dengan   kemahiran,   mereka    boleh
  melakukannya  dengan lebih cepat daripada kebanyakan  orang
  lain.
  
  8.    Untuk  mewujudkan  para pekerja berilmu,  kita  mesti
  bermula  sekarang.  Titik permulaannya bukan  hanya  dengan
  anak-anak  kita  tetapi  kita sendiri.   Bagaimanakah  akan
  kita  memulakannya?  Dengan tidak takut  kepada  teknologi,
  dengan  menguasainya dan dengan mengamalkannya dalam tugas-
  tugas  kita.   Kita  perlu mempunyai sikap  yang  baru  dan
  terbuka kepada perubahan yang dibawa oleh teknologi.   Kita
  mesti  sedia  belajar  dan terus belajar.   Akhirnya,  kita
  mesti  berupaya menggunakan teknologi sebagai saluran untuk
  memperbaiki kerja kita dan kualiti hidup kita.
  
  9.    Kita  mempunyai aspirasi besar.  Malaysia tidak  mahu
  menjadi  pemasar barangan selama-lamanya.  Kita  juga  mahu
  menjadi  pengeluar barangan yang kita sendiri  reka.   Kita
  mahu  menjadi sebuah negara yang menggunakan kemahiran  dan
  ilmu  daripada hanya kekuatan fizikal.  Bagaimanakah  dapat
  kita   menjadi  sebuah  negara  seperti  ini?   Kita  boleh
  menjadi   negara  seperti  ini  dengan  berani  mempercayai
  bahawa  kita  adalah sama berkebolehan seperti orang  lain,
  jika  tidak  pun lebih baik; bahawa kita boleh belajar  dan
  kita  boleh  menjadi inovatif seperti orang lain.   Sesuatu
  itu  hanya  rumit  jika  kita  tidak  memahaminya.   Tetapi
  apabila  kita  tekun  belajar untuk  memahaminya,  ia  akan
  menjadi mudah dan logik.
  
  10.   Sesiapapun boleh menjadi pekerja berilmu.  Kita tidak
  perlu  berkelulusan  sains komputer untuk  menjadi  pekerja
  berilmu.   Seorang  pemandu  teksi  boleh  menjadi  seorang
  pekerja  berilmu  jika  ia boleh menggunakan  maklumat  dan
  teknologi  bagi  memperbaiki lagi kerjanya.   Sebagai  satu
  lagi  contoh  kita  ambil seorang  penjual  kuih.   Seorang
  penjual   kuih  boleh  dianggap  sebagai  pekerja   berilmu
  sekiranya  ia  membuat  kuih  tradisional  dengan  menambah
  bahan-bahan berkhasiat tanpa kolesterol.  Ada lagi perkara-
  perkara  lain  yang  ia mungkin boleh  belajar  yang  boleh
  memperbaiki lagi kedua-dua kualiti barangannya  dan  jumlah
  jualannya.   Dia  mungkin  belajar  mengenai  cara  terbaru
  menyediakan   kuihnya,  bahan-bahan   membuat   kuih   yang
  terbaik,  cara  persembahannya, harga yang terbaik,  tempat
  jualan  yang  terbaik dan sebagainya.  Di mana sebelum  ini
  ia  kekal  dengan cara pengeluaran dan jualan  tradisional,
  ilmu  barunya membolehkannya mengubahsuai kepada permintaan
  masyarakat  yang  lebih canggih.  Dan ia  akan  memperolehi
  faedah daripadanya.
  
  11.    Hanya  apabila  sektor  pembuatan  dan  perkhidmatan
  mempunyai  pekerja-pekerja  berilmu  dan  dibantu  oleh  IT
  baharulah   kita   dapat  mengekalkan   kadar   pertumbuhan
  Keluaran   Dalam  Negara  Kasar  (KDNK)  per  kapita   yang
  diperlukan  untuk  kita  mencapai  Wawasan  2020.   Unjuran
  sekarang  menunjukkan bahawa kita boleh meningkatkan  paras
  KDNK  kita sebanyak empat kali ganda dalam tempoh 20 hingga
  25  tahun  jika ekonomi kita berasaskan maklumat dan  ilmu.
  Apa  yang  dimaksudkan ialah secara purata rakyat  Malaysia
  akan  dapat melipatgandakan pendapatan sebanyak empat  kali
  di  masa  hadapan.   Ini akan membolehkan  rakyat  Malaysia
  menikmati kualiti hidup yang setanding dengan kehidupan  di
  negara maju.
  
  12.   Kedua-dua Rancangan Malaysia Ketujuh dan Pelan  Induk
  Perindustrian  Kedua  mengiktiraf IT  sebagai  satu  elemen
  perubahan  yang besar, satu alat untuk membantu pertumbuhan
  ekonomi  negara  dan meningkat kualiti hidup  kita.   Dalam
  Pelan  Induk Perindustrian Kedua, sektor perkhidmatan  yang
  dipandu   oleh   IT  telah  dikenalpasti  sebagai   jentera
  pertumbuhan  ekonomi negara, sektor kedua  penting  selepas
  sektor   pembuatan.    Pentingnya  IT   sebagai   teknologi
  strategik  tidak  boleh dinafikan.  IT bukan  sahaja  kunci
  kepada  meningkat  daya saing Malaysia  di  pasaran  dunia,
  tetapi  juga  cara  utama  bagi mencapai  matlamat-matlamat
  Wawasan  2020.  Memandangkan ianya penting,  maka  IT  kini
  diletakkan   di  barisan  hadapan  dalam  pembangunan   dan
  perancangan  sosio-ekonomi negara.  Untuk membolehkan  kita
  merancang  ke  hadapan  dan  mempunyai  arah  tujuan  dalam
  bidang  IT, kita telah mewujudkan satu Agenda IT Kebangsaan
  atau NITA.
  
  13.   NITA  menyediakan  rangka  kerja  bagi  negara  untuk
  bertindak   terhadap   IT   dan  revolusi   maklumat.    Ia
  memerlukan   semua  rakyat  Malaysia  sama-sama  menyumbang
  tenaga   bagi  menjamin  Malaysia  bersedia  memasuki   Era
  Maklumat.   Kita  boleh melakukannya  dengan  memahami  IT,
  memanfaatkannya,     merealisasikan     potensinya      dan
  menggunakannya  secara yang paling produktif  bagi  memberi
  faedah kepada rakyat dan negara kita.
  
  14.    Matlamat  akhir  NITA  ialah  untuk  membentuk  satu
  masyarakat  madani dalam bentuk Malaysia,  satu  masyarakat
  yang   menguasai  ilmu  dan  mempunyai  sistem  nilai  yang
  tersendiri.   Masyarakat  yang  dicita-citakan  ini   ialah
  masyarakat  yang kaya dengan sejarah, tradisi,  budaya  dan
  pengalaman  pembangunannya  sendiri.   Masyarakat  sebegini
  terdiri  daripada gabungan individu-individu  melalui  satu
  warisan    bersama,   individu   yang   menerap   maklumat,
  mengamalkan  ilmu  dan  menggunakan nilai-nilai  moral  dan
  etika  untuk  membuat  keputusan dan tindakan.   Masyarakat
  sebegini  adalah  satu  masyarakat  yang  mendokong  maruah
  manusia,  menjamin  hak asasi anggota  masyarakat  daripada
  terjerumus  dalam  kelaparan dan kemiskinan,  dan  di  mana
  setiap    individu   sentiasa   mengambil   kira    tentang
  kepentingan masyarakat keseluruhannya.
  
  15.   Masyarakat  yang  kaya dengan pengetahuan  dan  boleh
  menambah  nilai  akan  membantu  meningkatkan  produktiviti
  negara   ke  peringkat  yang  lebih  tinggi  dan   menjamin
  pertumbuhan  ekonomi  kita.   Masyarakat  ini   juga   akan
  menjadi   lebih   matang,  liberal,  demokratik,   toleran,
  prihatin  dan adil kedudukan ekonominya -- satu  masyarakat
  yang  diimpikan oleh Wawasan 2020.  Teknologi maklumat yang
  berupaya  meningkatkan potensi manusia akan dapat  membantu
  kita  membentuk  satu masyarakat madani yang  sebenar-benar
  mulia.
  
  16.   Kerajaan  telah menerima teknologi  maklumat  sebagai
  keutamaan  yang  tertinggi  melalui  NITA.   NITA   memberi
  tumpuan  kepada tiga elemen yang penting untuk  pembentukan
  masyarakat   mulia  iaitu  pembangunan  insan,  pembangunan
  infrastruktur  maklumat  (kedua-dua infrastruktur  perkakas
  dan perisian) dan pembangunan aplikasi.
  
  17.   Melalui  penekanan ke atas pembangunan manusia,  NITA
  akan  membolehkan  rakyat mengguna dan menguasai  teknologi
  maklumat  serta  menggalakkan  mereka  mencipta  penggunaan
  teknologi   komputer   yang  inovatif   bagi   meningkatkan
  kandungan tempatan.  Program pembangunan struktur  maklumat
  akan   memberi   penekanan  kepada  pembekalan   kemudahan-
  kemudahan  asas  IT  yang  akan membolehkan  setiap  rakyat
  mendapatkan  maklumat.   Di  sini,  infrastruktur  maklumat
  bukan  sahaja  melibatkan lebuhraya  maklumat  tetapi  juga
  undang-undang,  peraturan-peraturan dan amalan-amalan  yang
  diperlukan   untuk  pembangunan  dan  aplikasi  perdagangan
  serta  Kerajaan  elektronik.  Melalui  program  pembangunan
  aplikasi,  kita  akan memberi penekanan kepada  pembangunan
  industri teknologi maklumat tempatan.  Ketiga-tiga  program
  utama  NITA  ini  akan  membantu  kita  membangun  industri
  kandungan  multimedia  yang  akan  membolehkan  pengeluaran
  aplikasi  dengan kandungan pelbagai budaya  untuk  kegunaan
  tempatan dan eksport.  Inilah tujuan utama projek MSC.
  
  18.   Apa  yang  kita  mahu akhirnya ialah  untuk  mengubah
  peranan   rakyat  Malaysia  daripada  menjadi   semata-mata
  konsumer  atau  pengguna kandungan dan aplikasi  multimedia
  asing   kepada  pengeluar  yang  berinovasi   dan   berjaya
  menghasilkan  aplikasi tempatan yang bertaraf antarabangsa.
  Apabila  kita  memiliki kepakaran sedemikian  barulah  kita
  boleh menjadi pusat serantau untuk kandungan multimedia.
  
  19.  Projek MSC mengandungi ketiga-tiga elemen NITA dan  ia
  adalah  pendekatan  utama  untuk  merealisasikan  cita-cita
  serantau  dan global kita.  Projek ini adalah satu  program
  untuk  membawa  masuk syarikat-syarikat teknologi  maklumat
  dan  multimedia  yang  terkemuka dan terbaik  di  dunia  ke
  Malaysia.  Syarikat-syarikat ini boleh membantu kita  dalam
  mencipta  dan  membangunkan aplikasi-aplikasi  yang  sesuai
  dengan   budaya   kita  dan  budaya  Asia   keseluruhannya.
  Syarikat-syarikat  asing  ini  perlu  diberi  daya  tarikan
  untuk   melabur   di  Malaysia  dan  untuk  membantu   kita
  melaksanakan  cita-cita  kita.   Oleh  yang  demikian  kita
  menyediakan   tanah,   infrastruktur   fizikal,   insentif-
  insentif  kewangan dan infrastruktur perisian dalam  bentuk
  Undang-Undang  Siber  termasuk `Undang-Undang  Jaminan'atau
  `The  Bill  of  Guarantees'.  Kita  melabur  dengan  banyak
  untuk  menarik  syarikat-syarikat asing  ini,  tetapi  kita
  juga  berharap  dapat  mempelajari teknologi-teknologi  dan
  aplikasi-aplikasi    mereka    dalam    penyelidikan    dan
  pembangunan kandungan multimedia.
  
  20.   Ketika  ini perbelanjaan kita untuk Penyelidikan  dan
  Pembangunan  (R&D) adalah kecil berbanding  dengan  Amerika
  Syarikat,  Jepun dan Switzerland.  Tenaga  kerja  R&D  kita
  adalah  rendah  iaitu kira-kira 400 bagi  sejuta  penduduk.
  Kebanyakan  negara  maju mempunyai  nisbah  melebihi  4,000
  tenaga  kerja R&D bagi sejuta penduduk.  Justeru  itu,  MSC
  juga  adalah satu program untuk meningkatkan usaha R&D kita
  dengan  bantuan  daripada  beberapa  syarikat  terbaik   di
  dunia.    Ahli-ahli  penyelidik  dan  saintis  kita   mesti
  bersedia untuk menghadapi cabaran ini.
  
  21.   Kita perlu memberi penekanan kepada aplikasi-aplikasi
  yang  sesuai  dengan  pelbagai budaya  kerana,  pertamanya,
  kita  mahu  menggunakan Bahasa Malaysia,  Cina  dan  Tamil,
  yang   disembahkan   dalam  konteks  budaya   kita,   untuk
  memastikan  kejayaan kesemua aplikasi perdana MSC.   Kedua,
  potensi  pemasaran  aplikasi yang  sesuai  dengan  pelbagai
  budaya  adalah  besar.   Ini  adalah  kerana  budaya   kita
  mengandungi  elemen-elemen yang terdapat  di  negara-negara
  yang  mempunyai potensi pasaran yang besar.  Ketiga, mereka
  yang   mengguna  perkhidmatan  kita  akan  beroleh   faedah
  daripada  aplikasi-aplikasi ini  kerana  mereka  juga  akan
  boleh  mendapat  maklumat  dan  pengetahuan  sesuai  dengan
  keperluan  dan  cara  hidup  mereka.   Dengan  MSC,  rakyat
  Malaysia  akan  menikmati kualiti hidup  yang  lebih  baik.
  Melalui MSC, kesemua mereka yang tertarik dengannya,  orang
  Asia  dan  bukan  Asia,  akan dapat  memperbaiki  kehidupan
  mereka  di  peringkat  sosial,  politik,  budaya,  intelek,
  psikologi dan rohani.
  
  22.   Oleh  yang  demikian, MSC adalah satu  kawasan  ujian
  yang  besar  untuk semua rakyat Malaysia dan  rakan  kongsi
  kita  menguji produk-produk yang kreatif dan produktif  dan
  aplikasi-aplikasi mereka.  Ia merupakan satu  tempat  untuk
  menguji  ide-ide  dan  cita-cita kita.   Kita  tidak  harus
  ketinggalan  dalam mengambil peluang yang  disediakan  oleh
  MSC.   Selain  daripada  itu,  penciptaan  dan  pembangunan
  aplikasi-aplikasi  tidak  perlu terhad  dalam  kawasan  MSC
  semata-mata: ianya boleh diperluaskan ke kawasan luar  dari
  MSC.   Apa  yang diperlukan ialah daya kreativiti, kemajuan
  teknologi  dan  sumber-sumber  sokongan  seperti  usahawan-
  usahawan,      syarikat-syarikat,      institusi-institusi,
  kepakaran   mengurus   dan  semangat  untuk   menjadikannya
  kenyataan.
  
  23.   Di  samping  MSC, negara memerlukan  penggubalan  dan
  pelaksanaan  inisiatif-inisiatif  teknologi  maklumat  yang
  lain  di seluruh negara.  Dalam melaksanakannya, kita perlu
  ingat  dua  isu penting, iaitu keadilan (equity) dan  akses
  (access) yang menyeluruh.  Kita harus pastikan mereka  yang
  miskin   tidak   terus   miskin   kerana   halangan   dalam
  mendapatkan  maklumat  atau teknologi.   Kita  tidak  harus
  hilang  komitmen kita terhadap rakyat dalam mengejar impian
  kita.   Kita  mesti membantu semua rakyat Malaysia  membina
  kehidupan  yang  lebih  baik  supaya  kita  boleh   menjadi
  masyarakat yang kaya dengan maklumat dan pengetahuan.
  
  24.    Dengan   meletakkan   teknologi   maklumat   sebagai
  keutamaan  besar  dalam pembangunan dan perancangan  sosio-
  ekonomi  kita,  kita sebenarnya mencuba untuk  menyesuaikan
  diri  dengan zaman baru yang jauh berbeza dari  zaman  yang
  kita   sudah   biasa.    Sudah  semestinya   apabila   kita
  berhadapan  dengan masa depan, kita juga  harus  berhadapan
  dengan  ketidaktentuan.   Contohnya,  sementara  kita  tahu
  bahawa  teknologi  akan  membawa kepada  perubahan  sosial,
  kesan  keseluruhannya  ke atas masyarakat,  kebudayaan  dan
  keadilannya  belum dapat dipastikan lagi.  Ada  kemungkinan
  norma-norma  sosial  dan budaya, amalan-amalan  sosial  dan
  sistem-sistem  nilai  kita  akan  terhakis   sama   sekali.
  Terpulanglah  kepada  kita  untuk  membuat  pilihan.   Kita
  boleh  mengekalkan  warisan budaya dan sosial  kita,  malah
  boleh  meningkatkannya atau kita boleh membiarkannya hanyut
  dengan  sebarang  perubahan yang mungkin  berlaku  sehingga
  hilang  identiti dan personaliti budaya kita  dalam  proses
  itu.
  
  25.   Terdapat banyak cabaran lain dalam Era Maklumat  ini.
  Contohnya,  peningkatan globalisasi dan kemudahan  mendapat
  maklumat   akan  menyebabkan  persaingan  dan  percanggahan
  permintaan   di   kalangan  masyarakat.    Ia   juga   akan
  menyebabkan  penyalahgunaan  maklumat.   Sama  ada   alatan
  dasar  awam  kita  mampu  bertindak balas  dengan  berkesan
  terhadap  cabaran-cabaran  ini  adalah  satu  perkara  yang
  harus  kita  atasi.  Apa yang kita tahu  ialah  kita  boleh
  mengurus  dan  bertindak balas terhadap perubahan-perubahan
  ini  dengan  penuh  kesedaran  akan  ketidaktentuannya  dan
  dengan  menjangkakannya.  Langkah  kita  ke  arah  Kerajaan
  elektronik adalah satu cara menyediakan jentera dasar  awam
  untuk  masa  depan.  Langkah ini menandakan satu  permulaan
  bagi banyak lagi perubahan besar yang akan datang.
  
  26.   Kekuatan  kita  dalam mengatasi cabaran-cabaran  akan
  datang  bukan  sahaja terletak pada pengalaman  kita  dalam
  memula  dan mengurus perubahan pada masa lalu, tetapi  juga
  pada  kesanggupan kita untuk melakukan lebih  daripada  itu
  pada  masa  hadapan.   Pernah  sebelum  ini  kita  mencorak
  untung  nasib atau `destiny' negara kita melalui  DEB,  dan
  kita  berjaya.   Dalam satu generasi kita berjaya  mengubah
  seluruh  rakyat Malaysia.  Daripada menjadi petani, pekebun
  dan  nelayan seperti ibubapa mereka, anak-anak DEB membesar
  untuk  menjadi jurutera, peguam, doktor, ahli akademik  dan
  ahli  perniagaan.   Menukar wajah seluruh  negara  bukanlah
  satu  pencapaian  kecil.  Kita pernah melakukannya  sebelum
  ini.  Dan kita boleh melakukannya sekali lagi.
  
  27.   Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk  mengambil
  peluang  daripada teknologi maklumat ini.   Kita  mempunyai
  25  tahun pengalaman dalam membangun industri elektrik  dan
  elektronik  yang kukuh.  Kita mempunyai satu  tenaga  kerja
  yang    berpendidikan   baik   dan   mudah   dilatih    dan
  infrastruktur teknologi maklumat kita umumnya  sudah  maju.
  Tidak  ragu lagi bahawa banyak yang perlu dilakukan sebelum
  kita    boleh   mengambil   peluang   teknologi    maklumat
  sepenuhnya.   Bagaimanapun, semua ini adalah  faktor-faktor
  positif  yang boleh melonjak negara ke arah satu  peringkat
  pertumbuhan pesat yang baru.
  
  28.   Sebuah  negara mesti sentiasa berfikir  tentang  hari
  esok.   Kerana  memikirkan hari esoklah kita telah  membuat
  keputusan   untuk  menggunakan  kuasa  teknologi  maklumat.
  Kerajaan  telah  memberi  komitmen untuk  berperanan  aktif
  dalam  mencapai  cita-cita ini.   Kita  bukan  sahaja  akan
  menyediakan  kepimpinan dari atas ke bawah yang  diperlukan
  untuk memajukan pembangunan teknologi maklumat tetapi  kita
  juga  akan  membawa masyarakat melonjak  bersama.   Melalui
  pendekatan  dua  hala ini, Kerajaan akan bertindak  sebagai
  penggerak  pembangunan  teknologi  maklumat.   Atas   sebab
  inilah    kita   menjadikan   Agenda   Teknologi   Maklumat
  Kebangsaan atau National Information Technology Agenda  ini
  sebagai strategi pembangunan nasional.  Menerusi NITA  kita
  berharap  dapat  menjana  gelombang  perubahan  di  seluruh
  negara dan dunia yang kita kongsi bersama.
  
  29.   Keunikan  teknologi maklumat ini  ialah  ia  berupaya
  menyentuh  setiap aspek kehidupan dan berkebolehan  menukar
  masyarakat  keseluruhannya.  Apa yang kita  ada  pada  NITA
  ialah  satu  wawasan untuk masa depan, tetapi satu  wawasan
  yang  belum  lagi  menjadi kenyataan.  Satu  wawasan  tanpa
  tindakan adalah satu mimpi kosong semata-mata.  Kita  perlu
  bertindak  dan membentuk semula negara kita.  Marilah  kita
  bersama-sama  mara  ke  hadapan  dengan  kuasa-kuasa   yang
  terkuat  dalam  zaman maklumat ini dan  menjadikan  wawasan
  kita satu kenyataan.
  
  30.   Hari  ini,  sambil saya melancarkan kempen  kesedaran
  teknologi maklumat negara kita, saya ingin meminta  seluruh
  rakyat  Malaysia,  tua  dan muda, di  kampung  dan  bandar,
  Kerajaan  dan  pembangkang supaya menyahut panggilan  untuk
  berjuang    dan   menyokong   inisiatif   Kerajaan    dalam
  menggunakan  teknologi  maklumat.   Marilah  kita  bertekad
  menghadapi dunia tanpa sempadan ini bersama-sama.   Marilah
  kita  sama-sama  berusaha merealisasikan  segala-gala  yang
  kita  idamkan dan tidak menunggu ia datang bergolek  dengan
  sendirinya.   

 
 



 
Google