Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/11/97
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN HARI PENGGUNA
SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN
TAHUN 1997
1. Terlebih dahulu saya ucapkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita bersama-
sama hadir di Majlis Perasmian Hari Pengguna Sedunia
Peringkat Kebangsaan Tahun 1997 pada hari ini.
2. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna kerana menjemput saya untuk menyampaikan
sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis ini.
3. Pengakuan bahawa pengguna mempunyai hak sudah
diterima di seluruh dunia. Namun hak itu hendaklah
munasabah. Keterlaluan dalam menuntut hak pengguna,
terutama melalui gantirugi yang amat tinggi hanya akan
membebankan masyarakat. Hak pengguna bukan untuk
mengguna segala kecelakaan untuk mendapat gantirugi yang
tinggi. Hak pengguna ialah menuntut keadilan yang
berpatutan dan mengurangkan kemungkinan sesuatu yang
boleh mendatangkan kecelakaan diulangi. Harus diingat
bahawa walaupun ternampak gantirugi dipikul oleh pihak
yang terlibat tetapi akhirnya yang membiayai gantirugi
itu ialah masyarakat pengguna sendiri.
4. Saya ingin mengulangi bahawa pengguna dan pembekal
adalah orang yang sama. Sementara seseorang mengguna
barangan atau khidmat orang lain ia juga membekalkan
barangan atau khidmat kepada orang lain. Jika sebagai
pengguna ia tidak suka bekalan yang tidak baik, sebagai
pembekal janganlah pula ia membekal barangan atau
khidmat yang tidak baik. Jika kita dapat ingat hakikat
ini, insya-Allah, kita sebagai pengguna akan selalu
mendapat bekalan yang baik.
5. Tema Hari Pengguna Sedunia pada tahun ini masih
`Inflasi Sifar Sasaran Kita'. Kerajaan merasakan kempen
ini perlu diteruskan kerana ianya munasabah dan penting
untuk menentukan kos hidup di negara kita akan sentiasa
stabil. Jika kos sara hidup tidak meningkat maka usaha
kita untuk menaikkan pendapatan rakyat negara ini akan
menambah kuasa beli kita atau `purchasing power'
pendapatan kita. Jika kos hidup meningkat, iaitu jika
ada inflasi, kuasa beli kita akan merosot dan kita
menjadi semakin miskin, walaupun percubaan dibuat untuk
menambah pendapatan. Yang penting bukan jumlah wang
yang kita dapat, tetapi kuasa beli wang itu. Apa
gunanya mendapat kenaikan pendapatan jika kenaikan itu
tidak dapat menambah barangan atau khidmat yang kita
boleh beli. Jika inflasi berlaku, pendapatan yang sama
tidak akan dapat membeli barangan yang sama.
6. Ada antara kita yang berpendapat bahawa untuk
melawan inflasi kita hanya perlu menaikkan pendapatan,
sama ada gaji atau `margin' keuntungan. Tetapi kenaikan
gaji atau keuntungan tetap akan menaikkan kos barangan
atau khidmat, iaitu menyebabkan inflasi berlaku. Dengan
itu kenaikan gaji atau keuntungan tidak dapat menambah
kuasa beli yang sebenar.
7. Inflasi hanya boleh diatasi dengan menambah daya
keluaran atau produktiviti, sama ada melalui cara kerja
yang lebih efisien atau pelaburan untuk alatan yang
lebih produktif. Sepanjang masa dalam sejarah ekonomi
moden, tambahan produktiviti dapat dilakukan. Bangsa
yang cekap menambah produktiviti akan berjaya dalam
saingan dengan bangsa-bangsa lain, dan akan menjadi
lebih mewah serta menikmati kehidupan yang lebih
bahagia.
8. Oleh yang demikian adalah penting kita membendung
inflasi melalui peningkatan produktiviti kita dengan apa
juga cara yang mungkin. Tetapi peningkatan produktiviti
perlu dibantu dengan amalan kepenggunaan yang sihat.
Jika kita terus mengejar barangan sehingga ia
berkurangan maka sudah tentu harga akan meningkat.
Sebaliknya jika kita sanggup membeli barang gantian atau
kita kurangkan permintaan untuk barangan yang kurang
bekalannya, maka dengan sendirinya inflasi tidak akan
berlaku.
9. Apabila kita bercakap tentang inflasi, tumpuan kita
ialah kepada barang-barang perlu dan bukan barang mewah.
Inflasi kita disebabkan terutamanya oleh pengimportan
barangan makanan yang tinggi. Sebahagian besar daripada
indeks kos sara hidup adalah barang makanan. Kita tidak
mungkin mengurangkan harga barang makanan yang diimport
tetapi kita boleh mengurangkan makanan berkenaan sebagai
bahan makanan kita. Kita boleh menggantikannya dengan
barang makanan yang lain. Seberapa yang boleh kita
makan barangan yang dikeluarkan oleh negara kita
sendiri. Demikian juga dengan barangan lain yang
terdapat dalam indeks kos sara hidup.
10. Dalam usaha membendung inflasi pengguna dan
persatuan-persatuan mereka boleh memainkan peranan yang
amat berkesan. Kesatuan pengguna boleh menasihatkan
pengguna dengan nasihat yang baik supaya mereka tahu dan
mereka mendapat maklumat yang boleh menolong mereka
membantu dalam usaha membendung inflasi.
11. Sebaliknya jika kesatuan pengguna menggunakan cara-
cara yang terasing daripada budaya kita, maka mereka
akan menyebabkan inflasi meningkat. Umpamanya kita
sedar akan pentingnya memelihara alam sekitar kita.
Untuk ini kita mensyaratkan supaya diadakan Kajian Kesan
Ke atas Alam Sekitar atau Environment Impact Assesment
(EIA) sebelum sesuatu projek dilaksanakan. EIA sendiri
akan menambah kos bukan semata-mata kerana upahan tetapi
kerana kelewatan pelaksanaan. Kita patut sanggup
memikul kos ini.
12. Tetapi apabila persatuan pengguna membuat bermacam-
macam teguran dan tindakan yang tidak bertanggungjawab
dan mendesak lebih daripada yang diperlukan, maka kos
akan meningkat dan pengguna sendiri yang akan memikul
bebannya. Demikian harga barangan, rumah atau tol akan
meningkat kerana bantahan yang berpanjangan oleh
kesatuan pengguna. Projek dan pembangunan yang penting
telah meningkat kosnya dan lambat disiapkan (dengan
tambahan kos lagi) kerana syarat-syarat yang berlebihan.
Kita patut sanggup menanggung kos kerana syarat yang
perlu. Tetapi menambah kos kerana pendapat persendirian
orang tertentu tidaklah wajar. Kesatuan pengguna
sepatutnya menolong mengurangkan kos sara hidup
pengguna, bukan menaikkan kos. Kita ingin hidup seperti
orang di negara maju, tetapi kita tidak perlu mengikuti
cara-cara mereka yang membazir atau yang tidak perlu.
Sebenarnya kos sara hidup kita boleh dikurangkan separuh
jika kita tidak ghairah mengikuti cara-cara bertindak
masyarakat yang sudah maju yang lebih mampu membazir
daripada kita.
13. Baru-baru ini kita telah lihat bagaimana tindakan
`speculators' asing dapat merugikan kita. Apabila nilai
ringgit dijatuhkan maka kos import meningkat. Sebaliknya
jika eksport kita tidak meningkat pendapatan kita dalam
bentuk wang asing akan menurun. Dengan ini bukan sahaja
defisit dagangan kita akan bertambah, tetapi kos sara
hidup kita iaitu inflasi juga meningkat.
14. Untuk mengatasi masalah jatuhnya nilai matawang
kita, kita perlu kurangkan penggunaan barangan import --
bukan sahaja barangan `consumer' tetapi juga `capital
goods'. Jika sebaliknya kita menuntut supaya upah kita
dinaikkan kerana kos barangan tertentu yang diimport
telah meningkat harganya, maka kos barangan keluaran
kita untuk eksport akan naik. Walaupun ia tidak
meningkat dalam bentuk wang asing tetapi kita tidak akan
menjadi kompetitif dan bersaing dengan produk dari
negara jiran yang juga mengalami kejatuhan nilai
matawangnya. Kenaikan upah kita tetap akan menaikkan
inflasi lagi dan ini akan menyebabkan kenaikan upah
tidak menambah dayabeli kita. Lebih dari waktu biasa,
kejatuhan nilai matawang perlu diatasi dengan kenaikan
produktiviti yang lebih.
15. Dalam usaha memerangi inflasi dan mempertahankan
hak pengguna, apa yang perlu dibuat oleh kesatuan
pengguna ialah menerangkan perkara-perkara ini kepada
orang ramai. Dan jika pihak asing yang menyebabkan
kejatuhan nilai matawang kita, kesatuan pengguna
hendaklah mengecam pihak yang berkenaan kerana usaha
Kerajaan untuk memakmurkan rakyat selama 40 tahun telah
digagalkan oleh mereka yang tamak ini dalam jangkamasa
hanya beberapa minggu. Mereka yang mendakwa bahawa
masalah kejatuhan nilai matawang kita adalah disebabkan
kita tidak cekap mentadbir negara kita amatlah jahil.
Mereka hanya pandai menganalisa ekonomi tetapi tidak
pernah mengurus apa-apa dan sudah tentu tidak pernah
mentadbir mana-mana negara dengan jayanya. Kita tidak
harus dipengaruhi dengan pandangan mereka.
16. Akhirnya, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada
pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan
majlis pada hari ini. Dengan ini, saya dengan
sukacitanya merasmikan sambutan Hari Pengguna Sedunia
Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1997.
|