Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/12/97
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM TAHUNAN
PPTD 1997
1. Terlebih dahulu, saya dan isteri mengucapkan terima
kasih kerana jemputan PPTD kepada kami berdua untuk
menghadiri perjumpaan dan jamuan makan malam tahunannya
pada malam ini. Saya percaya majlis seperti ini amat
berguna dalam memupuk perasaan `esprit de corp' antara
pegawai-pegawai PTD khasnya dan pegawai-pegawai lain
yang telah dijemput amnya. Amat baik bagi perkhidmatan
apabila sekali setahun diadakan perhimpunan dan
perjumpaan seumpama ini dalam suasana relaks dan tidak
seperti dalam keadaan majlis rasmi.
2. Setelah mendengar ucapan Dato Presiden PPTD tadi,
saya amat bangga di atas penegasan terhadap komitmen PTD
dalam meneruskan khidmat cemerlang yang sedang diberi.
Saya tidak sekali-kali meragui komitmen tuan-tuan dan
puan-puan. Malah saya menghargai jasa bakti yang telah
disumbangkan oleh pihak PTD khasnya dan Perkhidmatan
Awam amnya dalam menerajui dan menjadi pemangkin
pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan. Sumbangan yang telah
diberi tidak pernah luntur dan sungguh berkesan dalam
menentukan kejayaan hampir semua dasar Kerajaan.
3. Seperti semua perkhidmatan awam di seluruh dunia,
Perkhidmatan Awam negara ini juga merancang, membuat dan
menilai semula dasar serta keputusan-keputusan yang
secara keseluruhannya memberi kesan kepada masyarakat
awam. Ianya terlibat dalam suatu bidang perkhidmatan
yang amat luas yang melayani kehendak serta keperluan
masyarakat sejagatnya. Pengharapan masyarakat ke atas
keupayaannya memang selalunya menggunung dan terpaksa
dipuaskan. Dalam keadaan ini, Perkhidmatan Awam tidak
boleh `fall short' daripada harapan atau `expectation'
ini kerana dalam dunia yang lebih `transparent' atau
telus ini, sebarang kekurangan akan menonjol dan akan
mencerminkan kurang kecekapan Perkhidmatan Awam.
Individu dalam Perkhidmatan Awam terpaksa menjadi
seorang yang `versatile' bagi menjamin kekesanan. Bukan
sahaja ianya memain peranan sebagai seorang pemberi
perkhidmatan, ia juga menjadi penyelaras pembangunan
ekonomi, penguatkuasa undang-undang, pelindung integrasi
dan keamanan nasional, dan penjaga kemakmuran generasi-
generasi yang akan datang. Ianya juga perlu berkhidmat
dalam rangka masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai
bangsa dan agama. Untuk menjalan dan melaksanakan tugas-
tugas yang amat kompleks ini, Perkhidmatan Awam perlu
dan wajib mempunyai dedikasi yang kuat,
bertanggungjawab, adil dan beramanah.
4. Sambil menerima hakikat tadi, apakah yang paling
mustahak bagi Perkhidmatan Awam sekarang? Perkhidmatan
Awam kita memang berkelayakan. Berkelayakan daripada
segi kelulusan, berkelayakan daripada segi pengalaman.
Perkhidmatan Awam kita memang diiktiraf daripada segi
khidmat bakti dalam dan luar negeri. Perkhidmatan Awam
kita bukan sahaja terkenal di dalam negara malah sudah
mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan telah jelas diberi menerusi perlantikan
ahli-ahli Perkhidmatan Awam kita oleh Badan-badan
Antarabangsa serta dilantik menerajui perbincangan-
perbincangan serta mesyuarat-mesyuarat antarabangsa.
Pandangan-pandangan bernas mereka ini sering disanjung
dan diterima. Dan Perkhidmatan Awam kita sudah menjadi
contoh banyak negara asing dan mereka sering menghantar
pegawai mereka untuk dilatih di sini. Adakah ini
mencukupi? Nampaknya secara `on the surface' ianya
sesuatu yang amat positif. Adakah ini juga mencukupi?
Sebenarnya apa yang diperlukan juga ialah penghargaan
dan pengiktirafan menyeluruh oleh awam, serta
kepercayaan yang merangkumi keseluruhan perkhidmatan
dari kaca mata awam. Ini yang juga patut dikejar.
5. Perkhidmatan Awam diberi kuasa untuk menjalankan
tugas-tugas mereka. Kuasa-kuasa ini mungkin sedikit,
mungkin banyak, namun kuasa yang diberi sebenarnya
adalah amanah dan perlu diguna dengan penuh
tanggungjawab. Kuasa dan amanah ini memberi
Perkhidmatan Awam kekuasaan ke atas rakyat biasa dan
rakyat biasa mempercayai Perkhidmatan Awam akan
menjalankan tugasnya dengan adil, saksama dan berkesan.
Kepercayaan ini amat mustahak. Justeru itu Perkhidmatan
Awam mempunyai `moral obligation' untuk mengekal
kepercayaan ini. Bagi menjamin kepercayaan atau `trust'
ini berkekalan anggota Perkhidmatan Awam perlu mempunyai
prinsip hidup yang terbaik dan moral yang tidak boleh
dipertikaikan. Ini adalah bagi menangkis kemungkinan
tohmahan-tohmahan rasuah atau amalan buruk laku yang
akan menjejaskan perkhidmatan. Perlu dinyatakan juga
bahawa Perkhidmatan Awam yang mempunyai integriti dan
moral yang suci bersih akan mewujudkan suatu masyarakat
yang juga berintegriti dan berhemah tinggi. Sejarah
sering mencerminkan bagaimana masyarakat dan negara-
negara terdahulu tumbang kerana perkhidmatan awam yang
tiada mempunyai integriti dan hemah yang terpuji.
6. Saya rasa apa yang terdapat di negara ini sekarang
membanggakan. Nilai-nilai positif dan amalan-amalan
yang penuh beretika di kalangan Perkhidmatan Awam sering
kali menjadi tunggak kestabilan negara. Dengan itu,
saudara-saudari yang terlibat secara langsung dalam
mewujudkan keadaan ini bolehlah secara senyap menepuk
belakang dan mengucapkan tahniah serta syabas ke atas
sumbangan saudara-saudari terhadap keadaan ini. Sudah
tentu saya ucap tahniah dan syabas kepada semua anggota
Perkhidmatan Awam.
7. Nampaknya pada tahun ini kita telah mengalami
cabaran yang amat besar. Kita telah dibawa ke dalam
kancah geledakan ekonomi yang tidak pernah kita alami.
`Consolation' yang kita hadapi adalah bukan kita sahaja
malah keseluruhan ekonomi dunia berkocak kerana apa yang
diperbuat oleh pihak-pihak tertentu. Implikasi dan
kesan ke atas kita, sama ada pemerintah atau masyarakat
umum memang diketahui oleh kita semua. Ekonomi kita
menghadapi cabaran demi cabaran. Pengukuhan ekonomi
kita bagi membawa balik kepada keadaan yang sebelum
menjadi keutamaan kita. Saudara-saudari tentu lebih
peka dengan keadaan ini dan saya percaya terlibat secara
langsung dan tidak langsung di dalam usaha-usaha memulih
kembali ekonomi negara ke tahap sebelum serangan ke atas
matawang kita berlaku. Dalam pertemuan saya dengan
semua Ketua Setiausaha baru-baru ini saya telah jelaskan
tentang apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku
serta kemungkinan-kemungkinan yang akan menimpa kita
jika kita gagal dalam usaha kita menangani tekanan-
tekanan terhadap negara kita. Saya gembira dan
berbangga dengan sokongan yang telah diperakui oleh
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha terhadap rancangan dan
pendekatan kita bagi mempertahankan negara kita. Saya
yakin bahawa apa yang telah dijanji oleh Ketua
Setiausaha-Ketua Setiausaha sebagai pengetua Kementerian
masing-masing akan ditunaikan oleh semua anggota
Perkhidmatan Awam.
8. Strategi untuk kita menangkis dan melumpuhkan kesan
hasil penyerang-penyerang matawang ke atas kita sudahpun
kita rancang. Strategi ini memerlukan peningkatan daya
saing kita dalam pasaran antarabangsa -- memerlukan kita
mengawal harga dan perbelanjaan dalam negeri dengan
pengurangan import dan pembaziran yang melibatkan
matawang asing, memerlukan kita meningkatkan eksport
kita ke tahap yang tertinggi sekali untuk menghapuskan
defisit imbangan bayaran bahkan untuk mencapai lebihan
dalam imbangan bayaran, mempertingkat produktiviti dan
kualiti supaya menjadikan barangan kita lebih laris dan
menambah keuntungan, menaikkan pengetahuan dan tahap
kecekapan kita, menghapuskan segala jenis rasuah yang
menghalang kejayaan negara.
9. Dalam semua ini Perkhidmatan Awam tetap mempunyai
peranan yang amat penting. Perkhidmatan Tadbir Awam
(PTA) perlu cipta dan dirikan jentera dan mengurusnya
serta melaksana segala dasar dan tindakan yang dirancang
dan dipersetujui.
10. Penubuhan dan susunan Majlis Tindakan Ekonomi
Negara atau NEAC sebagai badan yang dilengkapi dengan
bilik operasi serta alatan-alatan termasuk komputer yang
boleh memberi maklumat yang terkini serta maklumat dan
angka-angka yang diperlukan adalah tanggungjawab dan
urusan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Pegawai yang akan ditugaskan menyelenggara Bilik Operasi
NEAC dan urusannya adalah juga tanggungjawab PTD.
Demikian juga di peringkat negeri.
11. Berjaya atau tidaknya NEAC dan operasinya
bergantung kepada kecekapan pengurusan ahli-ahli PTD.
Saya ingin tegaskan bahawa kempen kita untuk
meningkatkan daya saing kita di pasaran dunia yang akan
menentukan negara kita tidak lumpuh kerana serangan oleh
pedagang-pedagang matawang banyak bergantung kepada
semua matlamat NEAC dicapai pada tahap yang tertinggi.
12. Kita semua perlu berkorban. Anggota Kerajaan akan
menjadi contoh dalam pengorbanan yang perlu dibuat demi
negara, demi bangsa dan demi kesejahteraan dan
keselamatan kita. Contoh pengorbanan ini perlu
dicerminkan oleh semua anggota PTD. Kita harus sanggup
kerja siang-malam, kerja lebih kuat, kerja secara lebih
produktif tanpa rungutan kerana kita kerja bukan hanya
untuk upah atau kerana diupah tetapi kerana negara,
bangsa dan agama kita. Jika kita gagal maka kita tidak
lagi akan dapat menguasai dan menentukan nasib kita.
Orang lain yang akan menguasai dan menentukannya. Secara
tidak langsung kita akan kehilangan kebebasan,
kemerdekaan kita. Walaupun kita mungkin disogok
sehingga menjadi lebih kaya, lebih mewah tetapi kita
akan diletak di bawah telunjuk orang lain. Kita tidak
lagi akan menjadi Tuan dalam rumah dan negara kita
sendiri. Inilah nasib yang akan menimpa kita jika kita
utamakan kepentingan diri lebih daripada keperluan
negara. Percayalah nasib kita berkait rapat dengan
nasib negara kita. Jika negara bebas, kita bebas. Jika
negara dikuasai orang lain, sama ada secara langsung
atau tidak, kebebasan kita akan terjejas. Kita akan
dihina. Dan kita akan hilang maruah kita.
13. Hari ini kita sudah diberi rasa pahit-maung
penindasan oleh orang lain. Dalam negara yang dikuasai
diktator yang berkuasa penuh, sebarang teguran akan
terus dibalas dengan tindakan kejam terhadap yang
menegur. Dalam beberapa bulan ini kita dapat lihat dan
rasa tindakan bengis ke atas kita apabila sahaja kita
menyuarakan teguran. Mereka menentukan nilai matawang
kita diturunkan dengan serta-merta. Tiap kali kita
perkatakan sesuatu yang mereka tidak ingin dengar, nilai
matawang kita diturunkan dan kita menjadi lebih miskin.
Sekarang mereka ugut pasaran kita dengan memperingati
kita kepada siapa kita bergantung untuk pelaburan dan
pasaran.
14. Kita hidup dalam dunia yang semakin tersekat
kebebasan, dunia di mana undang-undang dan dasar berat
sebelah dikuatkuasakan, dunia `double-standard', satu
untuk satu pihak dan satu untuk pihak lain. Inilah
hakikat yang sebenar. Dan kita perlu susun langkah
supaya kita bukan sahaja `survive', tetapi terus kukuh
dan kuat. Untuk ini kita perlu tingkatkan sumbangan
khidmat kita dan kesanggupan berkorban oleh kita supaya
kita dapat menghadapi segala cabaran.
15. Insya-Allah, dengan korban dan dedikasi kita,
negara akan terus bebas dan berjaya.
16. Saya bagi pihak Kerajaan ucap berbanyak terima
kasih kepada PTD yang telah memberi khidmat yang
cemerlang dan saya yakin akan sanggup bekorban bagi
agama, bangsa dan negara.
|