Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/12/97
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
KECEMERLANGAN INDUSTRI
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke
Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri ini.
Semoga kejayaan ini akan mendorong mereka untuk
meningkatkan lagi usaha bagi terus mencapai prestasi
cemerlang dan kejayaan dalam bidang-bidang yang diceburi
di masa hadapan.
2. Ketika kita sedang menghadapi masalah ekonomi
adalah penting semua pihak -- industri, kerajaaan dan
orang awam -- bekerjasama rapat untuk membina benteng
yang teguh bagi menangkis segala ancaman yang dihadapi.
Dalam masa yang sama, semua pihak perlulah berganding
tenaga dan usaha meningkatkan produktiviti dan daya
kompetitif negara bagi memanfaatkan negara daripada
peluang yang timbul di sebalik permasalahan yang
dihadapi. Sekiranya mana-mana pihak tidak bersedia
bekerjasama atau sengaja mengambil kesempatan daripada
situasi yang bermasalah ini, kerana kepentingan jangka
pendek diri masing-masing, akhirnya semua pihak akan
menerima akibatnya dan ketahanan ekonomi serta keutuhan
negara akan tergugat. Kita telah melihat di negara
lain, yang menghadapi masalah ekonomi, di mana golongan
perniagaan dan politik bertelagah sesama sendiri, yang
akhirnya membawa kepada kelemahan dalam mengatasi
masalah yang merugikan negara. Kita haruslah sedar
bahawa selagi kita bekerjasama dan menguatkan azam serta
ketekunan memperbaiki diri sendiri, dalam apa jua
bidang, kita akan lebih berupaya menghadapi dan
mengatasi apa jua permasalahan yang dihadapi negara.
3. Oleh kerana industri merupakan sektor terpenting
dalam pertumbuhan ekonomi negara, adalah amat mustahak
industri mengambil langkah-langkah strategik
mempastikan prestasinya terus utuh dan tidak tergugat
dengan cabaran ekonomi yang dihadapi kini. Ini bermakna
industri perlulah memperlengkap dan memperkukuhkan
kedudukan dan prestasi setiap syarikat dan firma dalam
semua sektor. Persatuan-persatuan industri perlu lebih
aktif dalam mengesan masalah-masalah yang mungkin
dihadapi oleh ahli-ahli dan merumuskan langkah-langkah
yang wajar untuk mengatasinya. Di mana perlu maklumat
yang benar mestilah disampaikan kepada Kerajaan supaya
kita dapat sama-sama mengatasi kesulitan yang dihadapi.
4. Aspek pengawalan kos perlu diberi perhatian dalam
menghasilkan barang atau perkhidmatan. Penyusutan nilai
Ringgit mengakibatkan kos input dan komponen yang
diimport menjadi lebih mahal. Bagi menjimatkan kos,
pengeluar perlulah sedapat mungkin mengalihkan pembelian
input dan komponen kepada sumber bekalan tempatan yang
tidak kurang kompetitif. Cara ini juga akan dapat
menjimatkan pertukaran asing dan memperbaiki imbangan
pembayaran negara.
5. Dunia perniagaan adalah dinamik dan sentiasa
berubah. Barang yang dikeluarkan atau perkhidmatan yang
disediakan pada hari ini mungkin tidak lagi diperlukan
atau diperlukan dalam bentuk lain oleh pengguna pada
hari esok. Kita tidak dapat menyekat arus perubahan.
Salah satu arus utama dunia perniagaan sekarang ialah
proses globalisasi dan liberalisasi. Industri tidak
dapat dilindungi, malah perlu bersama arus tersebut.
Industri perlu bersedia beroperasi dan bersaing dalam
dunia perniagaan yang lebih luas dan terbuka.
6. Proses globalisasi memaksa syarikat memberi fokus
kepada produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi ciri-
ciri yang dikehendaki oleh pengguna di pasaran dunia
daripada segi kualiti dan harga. Proses liberalisasi
pula membawa implikasi bahawa, walaupun produk atau
perkhidmatan yang dikeluarkan tidak dieksport,
persaingan dari pengeluar asing di pasaran tempatan
masih akan dihadapi, memandangkan bahawa proses
liberalisasi melibatkan penurunan atau penghapusan
sekatan-sekatan, sama ada dalam bentuk tarif atau bukan
tarif, yang dahulunya didirikan untuk melindungi
industri tempatan. Proses liberalisasi ini tertakluk
kepada peraturan-peraturan dan jadual pelaksanaan
tertentu yang telah dipersetujui oleh Malaysia di bawah
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan juga kumpulan
perdagangan serantau ASEAN dan secara bersendirian
termasuk di bawah APEC. Walaupun terdapat beberapa
kelonggaran yang bersifat sementara bagi Malaysia dalam
melaksanakan proses liberalisasi tersebut, pada akhirnya
pasaran tempatan dan pengeluar tempatan akan menghadapi
persaingan sepenuhnya daripada pengeluar asing.
7. Industri perlulah melengkapkan diri menghadapi
persaingan tersebut daripada sekarang. Industri yang
bergantung kepada pasaran domestik yang terlindung
semata-mata tidak akan berupaya bertahan dan bersaing
apabila berhadapan dengan pesaing-pesaing dari luar
negeri yang jauh lebih teguh dan berkeupayaan.
Pertumbuhan dan `survival' industri akan bergantung
kepada keupayaan industri untuk mempertingkat dan
memodenkan operasi syarikat ke tahap yang sekurang-
kurangnya sama dengan pesaing. Oleh itu industri perlu
mengubah pendekatan operasi mereka kepada pendekatan
secara global, tanpa mengira sama ada mereka
mengeluarkan barang untuk pasaran tempatan ataupun untuk
eksport. Sekiranya saiz operasi merupakan satu halangan
untuk meningkatkan daya saing, industri perlulah mencari
jalan mengatasi halangan tersebut, umpamanya melalui
penyatuan, usaha bersama atau perkongsian pintar.
8. Pertumbuhan ekonomi negara selama ini lebih
berteraskan penggunaan faktor pengeluaran daripada
berteraskan produktiviti. Pelaburan telah merupakan
faktor utama dalam menggerak dan meningkatkan
pertumbuhan. Memandangkan bahawa di masa akan datang,
persaingan untuk mendapatkan pelaburan akan menjadi
lebih sengit, penekanan perlu diberikan kepada
produktiviti, khususnya faktor produktiviti keseluruhan
(total factor productivity - TFP), bagi menerajui
pertumbuhan. TFP yang lebih menekankan `knowledge',
cara pelaksanaan dan pengawasan yang lebih efisien bagi
mencapai `efficiency' dan produktiviti faktor
pengeluaran, akan menjadi teras pembangunan ekonomi.
Untuk menjayakan pendekatan ini, industri perlu
mengambil langkah-langkah tertentu, seperti meneliti
semula sistem pengurusan, mengutamakan aktiviti
penyelidikan dan pembangunan, melaksanakan otomasi,
menggunakan teknologi maklumat dan meningkatkan
kecekapan sumber manusia melalui latihan dan latihan
semula.
9. Industri yang tidak berorientasikan eksport perlu
mengurangkan pergantungan kepada buruh asing yang
kebanyakannya tidak mahir dan kurang produktif.
Pergantungan ini tidak membawa kepada peningkatan
produktiviti. Operasi pengeluaran perlu diubahsuai
untuk menjimatkan penggunaan buruh yang sedemikian.
Sebalikya industri perlu melatih buruh berilmu dan
berkemahiran untuk membolehkan industri beralih kepada
pengeluaran nilai ditambah yang lebih tinggi dan
peningkatan penggunaan teknologi.
10. Industri perlu lebih peka terhadap penggunaan dan
aplikasi teknologi baru dan teknologi yang dipertingkat
bagi mencetuskan inovasi dalam industri dan
memperkukuhkan asas teknologi negara. Pelaburan dalam
teknologi perlu dipertingkatkan. Berbagai-bagai
kemudahan telah disediakan oleh Kerajaan bagi membantu
industri memperolehi teknologi yang bersesuaian,
termasuk Skim Tabung Komersilisasi Penyelidikan dan
Pembangunan untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan
ahli penyelidik tempatan dan Tabung Perolehan Teknologi
untuk memudahkan pemilikan teknologi strategik dari luar
negeri oleh industri tempatan. Peluang kemudahan ini
perlulah dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri.
11. Walaupun ekonomi negara menghadapi tekanan dan
cabaran, sektor perkilangan telah menunjukkan prestasi
yang meyakinkan. Sektor ini telah berkembang pesat dan
telah menyumbangkan sebanyak 78.2 peratus kepada jumlah
pendapatan eksport negara bagi tempoh tujuh bulan
pertama tahun ini, berbanding dengan 56.8 peratus pada
tahun 1990. Perkembangan sektor perkilangan diterajui
oleh pertumbuhan industri berorientasikan eksport yang
telah mencatatkan pertumbuhan keluaran sebanyak 13.3
peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini,
berbanding dengan 11.4 peratus dalam tempoh yang sama
tahun lalu. Kerajaan yakin sektor perkilangan akan
terus berupaya menunjukkan prestasi yang diharapkan dan
terus menjadi penggerak penting dalam proses pembangunan
ekonomi negara.
12. Di samping sektor perkilangan, sektor perkhidmatan
juga perlu dibangunkan sebagai satu sektor yang
produktif, berdaya saing dan yang berasaskan sumber
kepakaran dan perkhidmatan profesional tempatan. Pada
masa sekarang, negara banyak bergantung kepada sumber
kepakaran dan perkhidmatan profesional luar negara, yang
mengakibatkan pengaliran keluar pertukaran asing.
Keadaan ini perlu diperbaiki. Sektor perkhidmatan perlu
diperkukuhkan agar ianya dapat menyumbangkan secara
berkesan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembetulan
imbangan pembayaran negara.
13. Salah satu `senjata' yang boleh meningkatkan
produktiviti dan daya saing industri ialah teknologi
maklumat (IT). Penggunaan IT dalam perniagaan telah
menjadi semakin meluas. Mereka yang gagal menguasai dan
menggunakan IT akan menghadapi masa depan dunia
perniagaan yang sempit dan tidak berkembang. Pembangunan
Koridor Raya Multimedia (MSC) perlu diceburi dan
dimanfaatkan bersama oleh syarikat tempatan. Syarikat
tempatan perlulah merebut peluang yang dihasilkan oleh
MSC daripada segi pembangunan perisian multimedia,
peralatan otomasi, robotik dan perkakasan
(instrumentation).
14. Di samping memperlengkapkan kemahiran dan kepakaran
teknikal, industri juga perlu mengutamakan disiplin diri
dan menghayati amalan-amalan perniagaan yang beretika.
Dalam hal ini, industri perlu mengelakkan diri daripada
melakukan amalan yang boleh membawa kepada keuntungan
yang tidak wajar (profiteering). Kerajaan sentiasa
mengesan dan mengawasi aliran pergerakan harga barang
dan perkhidmatan di seluruh negara dan tidak akan
teragak-agak menghukum mereka yang didapati melakukan
amalan `profiteering'.
15. Menjelang abad ke-21, negara memerlukan lebih ramai
usahawan yang mempunyai pemikiran strategik dan berilmu
pengetahuan dalam bidang perniagaan bagi menghadapi
persaingan global. Usahawan ini harus berani menghadapi
risiko untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang baru
dan pasaran-pasaran bukan tradisional. Usahawan ini
perlu agresif, menggunakan kaedah dan amalan perniagaan
yang terkini dan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang -
peluang perniagaan yang ada seperti meneroka dalam
industri teknologi maklumat dan multimedia. Golongan
usahawan baru ini ialah usahawan-tekno (techno-
entrepreneurs), iaitu ahli perniagaan yang dapat
menggabungkan kemahiran menggunakan teknologi dengan
kemahiran menguruskan syarikat.
16. Kecemerlangan merupakan satu sasaran yang dinamik
dan tidak statik, malahan tafsiran bagi maksud
kecemerlangan akan terus menjadi lebih kompleks serta
ukuran pencapaian kecemerlangan akan terus meningkat
pada tahap yang lebih tinggi.
17. Melalui anugerah ini, diharapkan industri dapat
mengekalkan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti
mereka dengan menggabungkan secara bijak sumber
pengeluaran yang sedia ada dan mampu bersaing dengan
lebih hebat dalam usaha untuk membangunkan industri ke
peringkat global. Pendekatan ini memerlukan industri
menerap dan mempraktikkan budaya kecemerlangan (culture
of excellence) supaya keupayaan dan ketahanan mereka
untuk bersaing di pasaran dalam dan luar negeri akan
dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan.
|