Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/12/97
Tajuk/Title : MAJLIS ANUGERAH KUALITI PERDANA
MENTERI DAN SIMPOSIUM KEBANGSAAN
KERAJAAN ELEKTRONIK
1. Syukur Alhamdulillah kerana dapat kita sekali lagi
berkumpul untuk meraikan tiga organisasi cemerlang yang
telah terpilih menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri
bagi tahun 1997 dan seterusnya bersama-sama menyertai
Simposium mengenai Kerajaan Elektronik.
2. Saya ucapkan syabas kepada ketiga-tiga penerima
Anugerah Kualiti Perdana Menteri pada kali ini. Selain
merupakan pengiktirafan Kerajaan kepada agensi awam,
swasta dan badan sosial-ekonomi yang cemerlang, anugerah
ini diharapkan akan memupuk semangat persaingan yang
sihat.
3. Kejayaan ketiga-tiga organisasi ini membuktikan
kesungguhan mereka untuk sentiasa cemerlang dalam bidang
masing-masing. Kecemerlangan mereka perlu dijadikan
teladan kepada yang lain. Pembelajaran yang berkesan
ialah mengikut jejak mereka yang telah berjaya kerana
dalam usaha mencapai kejayaan tersebut, berbagai-bagai
dugaan dan ranjau telah dilalui, malah setengahnya
pernah mengalami kegagalan. Daripada pengalaman ini
kita bukan sahaja dapat belajar daripada kekuatan mereka
yang berjaya tetapi juga kesilapan yang telah dilakukan.
4. Hakikat ini adalah benar dalam semua bidang dan
relevan kepada semua bentuk organisasi malah kepada
sesebuah negara. Kita terpesona dengan kejayaan Jepun
yang telah bangkit daripada kekalahan yang paling teruk.
Jepun berusaha dengan cekal dan terus membina semula
negara mereka sehingga menjadi contoh bagi banyak negara
lain. Dalam proses menuju kejayaan ini, Jepun juga
mempelajari daripada pengalaman negara yang lebih
berjaya pada masa itu, seperti Amerika Syarikat. Jepun
dengan tekun menerima setiap ilmu dan pengalaman yang
boleh dimanfaatkan. Jepun tidak hanya menjadi pengikut
secara membuta-tuli. Mereka mengkaji, menilai dan yang
lebih penting mengubahsuai ilmu dan pengalaman tersebut
supaya hasilnya adalah yang terbaik mungkin. Mereka
menerima konsep QCC dan TQM yang dipelopori oleh Barat
tetapi mengolah dan menyesuaikannya dengan keperluan
serta budaya kerja mereka. Mereka pintar dan inovatif
dalam menambah nilai teknologi yang dipelajari untuk
mengeluarkan barangan yang lebih menarik dan berkualiti
tinggi. Berasaskan prinsip kaizen, Jepun tidak jemu-
jemu berusaha meningkatkan kecemerlangannya sepanjang
masa. Dengan tekad untuk menjadi jaguh, akhirnya Jepun
berjaya melonjak ke mercu ekonomi dunia.
5. Contoh kejayaan Jepun ini memberi beberapa
pengajaran kepada kita. Pertama, kita harus belajar
daripada mereka yang telah berjaya. Kedua, kita harus
menambahnilai ilmu dan pengalaman yang diperolehi dan
memanfaatkannya mengikut acuan kita sendiri, secocok
dengan visi dan aspirasi kita yang berteraskan nilai dan
budaya masyarakat dan organisasi kita. Ketiga, kita
harus mempunyai cita-cita yang tinggi dan matlamat yang
jelas. Satu lagi pengajaran ialah bahawa sesebuah
organisasi atau negara mungkin menjadi jaguh pada satu
ketika tetapi mungkin kecundang pada ketika yang lain.
Keadaan ini boleh berlaku kerana kealpaan dan tabiat
mudah puas hati dengan kejayaan yang dicapai.
6. Jelaslah bahawa kecemerlangan yang berterusan hanya
wujud kepada organisasi yang sentiasa peka kepada
perubahan. Mereka berupaya mengalih haluan dengan cepat
dan mengembleng usaha secara tersusun serentak dengan
arus perubahan tersebut. Di sinilah pentingnya setiap
organisasi sentiasa kritis terhadap hubungannya dengan
persekitaran dan sentiasa menyoal tentang relevannya
usaha mereka dengan apa yang berlaku di sekeliling.
Organisasi yang berjaya mengambil berat kehendak dan
keperluan pelanggan. Standard kualiti perkhidmatan dan
barangan yang disediakan perlu disesuaikan dengan
citarasa dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah.
Penentuan standard kualiti ini perlu dilaksanakan secara
sistematik dan berpandukan kaedah-kaedah yang diterima
umum seperti siri standard ISO 9000. Bagi memastikan
standard sentiasa berada pada tahap terbaik, maka
organisasi terpaksa mengkaji semula dan menilai proses-
proses yang berkenaan. Penambahbaikan ini boleh
diasaskan melalui ukurtakat atau `benchmarking'. Malah
setengahnya pula memerlukan rombakan semula keseluruhan
proses. Di sinilah pentingnya konsep `process
reengineering' untuk menghasil `breakthrough' yang telah
banyak diamalkan oleh syarikat-syarikat besar yang
pernah digugat oleh kemerosotan bisnes atau yang pernah
dikalahkan dalam persaingan. Melalui peningkatan
kualiti yang berterusan inilah syarikat-syarikat
tersebut berupaya mengekalkan prestasi dan daya saing
yang tinggi dan sukar ditandingi.
7. Sementara kita harus belajar daripada mereka yang
berjaya, kita juga patut mengambil iktibar daripada
kekalahan. Kekalahan bukan bermakna tidak langsung
berjaya. Kekalahan harus dijadikan pengajaran untuk
perjuangan yang lebih gigih. Kekalahan patut
memuncakkan semangat baru. Kita patut menerima
kegagalan sebagai ukuran pencapaian dan berazam untuk
terus berusaha sehingga menjadi johan. Kita patut terus
bersaing dan mengambil peluang untuk mendapat manfaat
daripada penyertaan dalam persaingan itu sendiri. Kita
patut mempunyai keyakinan kepada keupayaan diri sendiri
untuk meningkatkan prestasi kita sepanjang masa.
8. Kita menempa kejayaan yang dinikmati negara
sekarang kerana kita yakin bahawa kita boleh. Kita
sanggup mencuba sesuatu yang baru dan besar walaupun
setengah pihak menganggapnya angan-angan. Dengan
ketabahan dan keyakinan yang tinggi kepada keupayaan
kita, akhirnya sesuatu yang tidak dijangka boleh
dicapai. Banyak contoh yang kita telah saksikan.
9. Apabila kita bercita-cita mengeluarkan kereta
nasional, ada pihak yang senyum sinis meragui kebolehan
kita. Kesangsian mereka akhirnya terbukti tidak
berasas. Dengan kegigihan dan kesediaan menerima
risiko, kita berjaya mengeluarkan kereta nasional yang
amat popular dan dapat menguasai pasaran otomobil dalam
negeri malah berjaya menembusi pasaran beberapa negara
termasuk negara maju.
10. Dahulu kita terpesona dengan kecanggihan komputer
dan kebijaksanaan negara-negara maju menerokai teknologi
multimedia. Kita mengekorinya dengan tekun dan mengikuti
perubahan pesat teknologi maklumat ini. Akhirnya kita
bertekad untuk membangunkan koridor multimedia sendiri
untuk dijadikan medan bagi kita menjana, mengembang dan
mengguna teknologi maklumat secara terancang. Inisiatif
ini diusahakan kerana kita yakin bahawa kita tidak boleh
selama-lamanya menjadi pemerhati atau pengguna teknologi
yang berkembang pesat ini. Kita yakin bahawa orang
Malaysia berupaya untuk belajar dan seterusnya menguasai
bidang ini seperti juga bangsa-bangsa lain. Kita yakin
bahawa kita boleh mencipta dan membangun sendiri
berbagai-bagai aplikasi supaya kita dapat menyertai
negara-negara yang lebih maju dalam menghadapi era
`global village' yang bercirikan perkongsian maklumat
berteknologi canggih.
11. Saya berbangga bahawa sikap yakin pada keupayaan
diri sendiri yang dipupuk di kalangan Bangsa Malaysia
telah semakin menyerlah. Semangat baru ini telah
memungkinkan matlamat yang dihasratkan tercapai.
12. Tidak ada yang mustahil jika kita tidak membelenggu
minda dengan paradigma sempit atau dihantui oleh
kompleks rendah diri. Ia juga membuktikan bahawa jika
kita yakin kepada keupayaan diri, kita tidak akan gentar
untuk mencuba sesuatu yang baru atau menghadapi apa jua
bentuk saingan.
13. Pada hari ini, selain meraikan pemenang-pemenang
Anugerah Kualiti Perdana Menteri, kita akan sama-sama
memperkemaskan lagi kefahaman mengenai pelaksanaan
Kerajaan Elektronik, salah satu `flagship application'
penting dalam pembangunan MSC. Pelaksanaan Kerajaan
Elektronik menjanjikan satu perubahan dalam cara kita
mengurus dan mentadbirkan Kerajaan. Malah ia merupakan
lonjakan besar dalam gerakan kualiti dan usaha kita
mewujudkan perkhidmatan yang lebih berorientasikan
pelanggan.
14. Pelaksanaan Kerajaan Elektronik amat penting kepada
persediaan kita memasuki alaf baru dan menghadapi
cabaran era teknologi maklumat dan multimedia yang
semakin pesat berkembang. Justeru itu kita perlu terus
memberi tumpuan utama kepada program ini. Dalam
Belanjawan 1998, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah
RM400 juta untuk pembangunan teknologi dan pelaksanaan
Kerajaan Elektronik ini.
15. Pembangunan teknologi maklumat di agensi-agensi
Kerajaan sebenarnya telah lama bermula. Jumlah
peruntukan bagi maksud ini telah meningkat dari tahun ke
tahun. Pada tahun 1987 umpamanya Kerajaan membelanjakan
sebanyak RM47.4 juta untuk program pengkomputeran di
agensi-agensi Kerajaan. Angka ini meningkat lebih
sembilan kali ganda iaitu kepada RM429.9 juta sepuluh
tahun kemudian. Dalam Rancangan Malaysia Keenam pula,
sejumlah RM 1.36 bilion telah diluluskan bagi projek dan
perolehan teknologi maklumat. Hasil daripada pelaburan
ini telah menunjukkan peningkatan dalam mempercekapkan
urusan pentadbiran Kerajaan. Tetapi kita masih belum
berpuashati kerana masih banyak potensi daripada
pembangunan teknologi maklumat terkini yang masih belum
kita manfaatkan. Itulah sebabnya kita mengambil
inisiatif yang lebih besar dan menyeluruh.
16. Kerajaan Elektronik menjangkau lebih jauh daripada
semata-mata menggunakan komputer di pejabat-pejabat.
Visinya lebih tinggi merangkumi konsep hubungan yang
lebih bermakna antara petugas-petugas dalam Kerajaan,
Kerajaan dengan rakyat dan Kerajaan dengan masyarakat
perniagaan. Matlamatnya lebih besar daripada semata-
mata meningkatkan kualiti dan produktiviti tetapi
merangkumi hasrat untuk mewujudkan persekitaran yang
menggalakkan perkongsian pintar dalam pembangunan
teknologi maklumat negara. Visi ini tentunya memerlukan
usaha yang lebih gigih, terancang dan bersepadu.
17. Bagaimanapun usaha kita sebelum ini tidak sia-sia.
Kejayaan kita membangunkan program pengkomputeran dan
infrastruktur asas selama ini sudah tentu dapat
menyediakan asas yang penting kepada pelaksanaan
Kerajaan Elektronik. Kita juga melihat semakin banyak
agensi Kerajaan yang telah mula menggunakan teknologi
maklumat dalam melaksanakan fungsi mereka. Penggunaan
rangkaian kawasan setempat atau `local area network
(LAN)' dan rangkaian jarak jauh atau `wide area network
(WAN)' semakin meluas. Banyak pula yang telah mula
beralih kepada teknologi pelanggan-pelayan atau `client-
server' untuk menggantikan komputer kerangka utama yang
tinggi kosnya. Beberapa sistem yang lebih cekap seperti
Sistem Maklumat Geografi atau GIS telah digunakan untuk
mempercepatkan urusan pentadbiran tanah, pertanian,
perhutanan dan perancangan bandar dan desa. Penggunaan
teknologi imejan juga telah semakin berkembang. Dalam
usaha memperkemaskan sistem kewangan, khususnya di badan-
badan berkanun, pakej `Standard Accounting System for
Government Agencies' atau SAGA terbukti berkesan. Di
pusat-pusat pengajian tinggi pula, hampir semua
rangkaian kampus telah menggunakan tulang belakang
gentian optik dan teknologi ATM. Terdapat juga di
kalangan institusi ini yang telah mula menawarkan
program-program pengajian jarak jauh melalui persidangan
video.
18. Dalam pembangunan infrastruktur, projek Rangkaian
Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan atau GITN misalnya,
merupakan salah satu infrastruktur telekomunikasi yang
amat berfaedah kepada pelaksanaan Kerajaan Elektronik.
Keupayaannya mengintegrasikan keperluan komunikasi
Kerajaan dengan menggunakan teknologi multimedia akan
dapat menyediakan kemudahan kepada sistem maklumat yang
diperlukan oleh pusat pentadbiran baru di Putrajaya
nanti.
19. Untuk mencapai matlamat Kerajaan Elektronik, masih
banyak yang perlu dilakukan. Peraturan, sistem dan
prosedur kerja yang ada sekarang perlu diubahsuai dengan
mengambil kesempatan daripada potensi dan faedah-faedah
aplikasi multimedia yang baharu. Ini termasuklah
pelaksanaan `proses re-engineering' yang sesuai dengan
keperluan dan persekitaran multimedia. Dengan cara ini,
pengguna, iaitu rakyat umum dan masyarakat perniagaan
dapat berurusan dengan Kerajaan secara elektronik.
Mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan
Kerajaan dengan lebih cepat secara elektronik. Mereka
boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan
perkhidmatan dan melakukan pembayaran terhadap sesuatu
perkhidmatan secara lebih mudah. Teknologi multimedia
ini juga berupaya menyediakan forum di mana orang ramai
boleh berinteraksi secara terus untuk menyampaikan
maklum balas atau menyelesaikan sesuatu masalah.
20. Di pihak Kerajaan pula penggunaan teknologi ini
dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan
perkhidmatan dan produktiviti. Pada peringkat awal
mungkin lebih banyak sumber kewangan dan tenaga manusia
diperlukan. Tetapi kesan jangka panjangnya akan dapat
mengurangkan kos seperti kos operasi dan perbelanjaan
emolumen. Malah melalui urusan yang lebih cekap,
Kerajaan akan dapat meningkatkan kutipan hasil seperti
cukai pendapatan, hasil tanah dan cukai taksiran atau
menambah sumber-sumber pendapatan Kerajaan yang lain.
21. Satu lagi elemen penting yang boleh menjadi
pemangkin terhadap pelaksanaan Kerajaan Elektronik ialah
penggunaan teknologi Internet. Internet menawarkan
banyak kemudahan jika digunakan dengan bijaksana. Saya
sukacita melihat semakin banyak agensi Kerajaan
menggunakan teknologi Internet, misalnya dalam
membangunkan laman atau `homepages' masing-masing di
samping memanfaatkan kemudahan Internet bagi
meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.
22. Sistem maklumat rasmi Kerajaan, `Civil Service
Link' atau CSL telah juga diubahsuai supaya ia dapat
berfungsi dalam persekitaran Internet. Sistem yang
dikenali sebagai `CSL Gateway' ini menjadi pintu masuk
utama kepada maklumat Kerajaan melalui saluran Internet.
Oleh kerana kejayaan `CSL Gateway' bergantung kepada
pembentukan laman jabatan, keputusan telah dibuat supaya
semua agensi Kerajaan membangunkan laman masing-masing
sebelum tahun 2000. Saya berharap setiap agensi memberi
perhatian kepada usaha ini. Di samping itu saya juga
menyeru agar lebih ramai lagi menggunakan `gateway' ini.
23. Sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi, Kerajaan
telah menawarkan kepada syarikat-syarikat swasta untuk
mengemukakan cadangan kepada Kerajaan mengenai cara-cara
yang sesuai bagaimana konsep Kerajaan Elektronik dapat
dilaksanakan. Di peringkat permulaan sebanyak lima
projek printis Kerajaan Elektronik telah dikenalpasti,
iaitu Perkhidmatan Elektronik untuk Pendaftaran Pemandu,
Kenderaan, Pengeluaran Lesen dan Saman serta
Perkhidmatan Pembayaran Bil Utiliti dan Maklumat Atas
Talian; Perolehan Kerajaan secara Elektronik; Projek
Persekitaran Generik Pejabat Elektronik untuk Jabatan
Perdana Menteri; Projek Sistem Maklumat Pengurusan
Sumber Manusia dan Projek Sistem Pengesanan. Saya
difahamkan kira-kira 50 cadangan telah diterima dan
sedang dibuat penilaian terperinci. Insya-Allah,
perlantikan syarikat yang berjaya akan diumumkan dalam
Februari 1998.
24. Pelaksanan Kerajaan Elektronik adalah satu fasa
penting yang akan mengubah cara agensi Kerajaan
berurusan dengan pelanggan. Melalui kecanggihan
teknologi multimedia, hampir semua urusan boleh
dilaksanakan secara elektronik. Sebahagian kemudahan
ini boleh kita saksikan sekarang misalnya apabila
menggunakan ATM yang disediakan oleh bank-bank.
Pelanggan hanya perlu sekeping kad serbaguna dan satu
siri nombor pin yang memberi identiti pengguna. Borang-
borang tidak lagi diperlukan. Konsep berurusan tanpa
kertas inilah yang kita akan kembangkan melalui
penggunaan kios dan kad serbaguna bagi memudahkan orang
ramai mendapat perkhidmatan dari agensi Kerajaan. Jika
kemudahan ini dapat disediakan secara meluas, maka
kebanyakan perkhidmatan yang diberikan secara
tradisional melalui kaunter-kaunter di jabatan Kerajaan
tidak lagi diperlukan atau boleh dikurangkan ke tahap
minima. Seorang pelanggan yang ingin membaharui lesen
memandu misalnya, tidak lagi perlu mengisi borang dan
beratur di JPJ. Dia tidak lagi perlu berinteraksi
dengan kerani di kaunter tetapi hanya perlu menekan
beberapa butang pada kios, memasukkan kad serbagunanya
dan akan mendapat lesen yang diperlukan melalui kios
tersebut. Begitu juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan
yang lain. Malah cara penyampaian perkhidmatan ini akan
lebih canggih melalui aplikasi-aplikasi baru seperti
penggunaan `interactive voice response, interactive TV'
dan komputer peribadi yang menggunakan saluran internet.
Di bawah konsep `seamless government', seorang pelanggan
tidak perlu bersusah-payah untuk memikirkan jabatan mana
yang menyediakan perkhidmatan yang mereka perlukan. Apa
yang penting bagi mereka ialah untuk memastikan
perkhidmatan yang diperlukan terdapat pada kios dan
memaklumkan kepada alat tersebut perkhidmatan pilihan
mereka.
25. Pembaharuan ini banyak implikasinya kepada
keseluruhan pentadbiran kita. Amalan birokrasi yang
menekankan kepada pembahagian tugas mengikut fungsi yang
khusus tidak lagi relevan. Fokus bukan lagi kepada
fungsi tetapi kepada proses. Hirarki yang berlapis-
lapis boleh dikurangkan kerana dengan proses yang jelas,
keputusan boleh diprogramkan lebih awal. Fail tidak
lagi perlu bergerak dari seorang pegawai ke seorang
pegawai untuk menentukan keputusan. Cara ini bukan
sahaja lebih cepat tetapi lebih telus. Ketelusan akan
menyukarkan berlakunya penyelewengan. Di samping itu
sebahagian besar kakitangan boleh dikurangkan tanpa
menjejaskan kualiti perkhidmatan. Kebanyakan kaunter
mungkin tidak lagi diperlukan setelah `Electronic
Government' dilaksanakan dan petugas-petugas boleh
dilatih untuk melaksanakan tanggungjawab lain yang lebih
penting dan mencabar. Inilah sebahagian daripada senario
yang kita harapkan berlaku kepada pentadbiran kita.
Organisasi awam tidak lagi terikat dengan struktur
birokrasi yang terlalu khusus; bilangan anggotanya
adalah pada tahap optima dan kemahiran mereka adalah
lebih berbagai-bagai dan luas. Sistem dan proses kerja
lebih teratur dan jelas dan dengan itu keputusan dapat
dibuat dengan cepat. Jika ini berlaku, kita sebenarnya
berjaya meninggalkan model birokrasi lama dan menuju ke
arah satu model baru pengurusan organisasi yang berupaya
beroperasi dalam persekitaran `virtual'.
26. Bagi mencapai matlamat ini, banyak lagi perubahan
yang perlu dilakukan. Transformasi dari birokrasi
kepada `seamless government' memerlukan `process
reengineering' dan bukan semata-mata berharap kepada
penggunaan komputer dan otomasi. Rombakan kepada proses
ini perlu diadunkan dengan kecanggihan teknologi
terkini. Oleh kerana perubahan teknologi bergerak
begitu pantas, maka proses juga perlu berubah serentak
dan secara berterusan. Ini bermakna mekanisme
perancangan dan pelaksanaan usaha-usaha pembaharuan ini
perlu dikaji semula dan ubahsuai sejajar dengan
perubahan tersebut, terutama yang berkaitan dengan
pembangunan IT dalam pentadbiran awam. Seiring dengan
itu usaha menambah dan melatih tenaga manusia bagi
bidang ini juga perlu diberi keutamaan yang tinggi.
27. Perubahan yang saya sebutkan tadi memerlukan
struktur pengurusan IT yang lebih lengkap. Pada masa
ini kita mempunyai National Information Technology
Council (NITC) yang bertanggungjawab menggubal dasar dan
strategi bagi pembangunan dan penggunaan IT negara
terutama daripada segi menggalakkan industri IT serta
mewujudkan jalinan hubungan dengan sektor swasta. Saya
berpendapat adalah wajar juga bagi sektor awam mempunyai
badan induk untuk menggubal visi dan strategi yang lebih
bersepadu bagi pembangunan IT di agensi-agensi Kerajaan.
Majlis ini juga boleh dijadikan mekanisme utama yang
bertanggungjawab membuat susulan terhadap pelaksanaan
dasar dan strategi IT negara lantas membudayakan IT
dalam sektor awam. Salah satu fungsi yang boleh
dirangkumkan dalam `terms of reference' Majlis ini ialah
merancang dan menentukan pelaksanaan langkah-langkah
keselamatan dan penggunaan standard yang sesuai. Satu
lagi peranan penting Majlis ini ialah untuk
mengembangkan dan mengawalselia penggunaan internet di
sektor awam memandangkan pendedahan kepada internet ini
amat terbuka dan kita telah bersetuju untuk tidak
mengadakan apa-apa dasar bagi menapis daripada segi
`content' bahan-bahan yang disalurkan melaluinya. Majlis
yang saya maksudkan bolehlah dinamakan Majlis IT dan
Internet Kerajaan (MITIK) atau dalam bahasa Inggerisnya
Government IT and Internet Council (GITIC). Saya
berharap MAMPU, selaku agensi pusat yang
bertanggungjawab kepada pembangunan IT di sektor awam
dapat meneliti cadangan untuk MITIK ini dilaksanakan.
28. Di kesempatan ini juga ingin saya tekankan sekali
lagi bahawa perubahan paradigma ekonomi dan pentadbiran
yang sedang kita usahakan ini memerlukan penglibatan
semua pihak. Perubahan yang akan berlaku bukan kecil
tetapi akan menyentuh keseluruhan cara hidup kita, sama
ada di pejabat atau di rumah; sama ada dalam urusan
rasmi atau urusan peribadi. Pendeknya perubahan ini
memerlukan penerapan dan pengamalan budaya baru, iaitu
budaya IT. Proses pembudayaan sememangnya memakan masa
yang panjang, tetapi ia mesti dimulakan dengan penuh
yakin dan terancang. Setiap orang yang terlibat perlu
diyakinkan bahawa perubahan yang akan dibawa ini adalah
lebih baik dan menguntungkan mereka, organisasi mereka
dan seterusnya bangsa dan negara.
29. Sekurang-kurangnya terdapat dua kelompok utama yang
menjadi sasaran dalam usaha pembudayaan ini. Pertama
ialah mereka yang terlibat dalam mengoperasikan setiap
aplikasi yang dibangunkan. Bagi program Kerajaan
Elektronik misalnya, setiap anggota Perkhidmatan Awam,
dari peringkat yang paling tinggi kepada serendah-
rendahnya, perlu mempunyai kefahaman yang cukup mengenai
IT dan berupaya untuk menggunapakai teknologi berkaitan
dengan cekap. Saya sukacita mendapat tahu bahawa satu
program latihan yang menyeluruh telah disusun oleh
INTAN. Buat permulaan seramai lebih 130,000 pegawai dan
kakitangan akan diberi latihan mengikut kesesuaian tahap
jawatan sehingga tahun 2000.
30. Sasaran kedua ialah pengguna, iaitu seluruh rakyat
negara ini. Mereka perlu disediakan untuk menikmati
sepenuh faedah daripada pembangunan IT ini. Bagi maksud
ini, setiap daripada kita adalah bertanggungjawab untuk
memastikan matlamat ini berhasil.
31. Akhirnya saya mengucapkan syabas atas daya
inisiatif untuk menganjurkan Simposium ini. Melihatkan
kepada program yang disediakan, berbagai-bagai aspek
mengenai Kerajaan Elektronik akan dibincangkan,
merangkumi penjelasan mengenai konsep, dasar dan
strategi kepada aspek-aspek mikro yang menyentuh
perundangan, sumber manusia, standard, latihan dan
projek-projek khusus seperti kios elektronik. Saya juga
tertarik dengan penyertaan semua pihak dalam simposium
ini termasuk pemimpin politik dan pakar-pakar dari luar
negeri. Adunan pengalaman dan kepakaran ini sudah tentu
akan merancakkan lagi pertukaran ilmu dan melaluinya
diharapkan dapat memperkayakan idea dan strategi untuk
menjayakan pelaksanaan Kerajaan Elektronik.
32. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Simposium Kebangsaan Kerajaan Elektronik.
|