Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PALACE OF THE GOLDEN HORSES,
SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 18/12/97
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM DEWAN PERNIAGAAN
DAN PERINDUSTRIAN KEBANGSAAN MALAYSIA
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia
kerana menjemput saya dan isteri hadir di Majlis Makan
Malam Tahunannya dan seterusnya menyampaikan sepatah dua
kata di majlis ini.
2. Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu
muka dengan ahli-ahli Dewan walaupun ramai antara yang
hadir malam ini saya kenali kerana mereka biasa
mengikuti rombongan-rombongan ke luar negeri bersama
saya. Majlis seperti ini penting dan berguna kerana di
samping merapatkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-
ahli, ia juga dapat membantu mengukuh dan memantapkan
lagi Dewan sebagai badan yang mewakili ahli-ahli
perniagaan dan pengusaha-pengusaha negara ini.
3. Saya gembira bahawa hubungan di antara Dewan dan
Kerajaan selama ini adalah amat erat dan kedua pihak
sentiasa bekerjasama rapat di antara satu sama lain. Di
samping itu, wujud hubungan dan persefahaman yang baik
di antara pucuk pimpinan Dewan dan Kerajaan. Hubungan
erat, kerjasama rapat dan persefahaman ini telah
membantu kedua-dua pihak memahami peranan masing-masing
dan ini telah membolehkan kedua-duanya menyumbang dengan
lebih berkesan kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Malah hubungan dan kerjasama yang erat inilah yang telah
membolehkan Malaysia bangun dengan pesat dan mencapai
pertumbuhan ekonomi yang tinggi selama ini. Jelaslah
Konsep Persyarikatan Malaysia yang menekankan kerjasama
rapat di antara sektor swasta dan Kerajaan telah benar-
benar menghasilkan kejayaan. Pada hari ini ahli-ahli
perniagaan Malaysia adalah lebih berjaya, dinamik dan
dihormati. Mereka membuat pelaburan bukan sahaja di
dalam negeri bahkan di luar negeri. Kerjasama rapat di
antara sektor swasta dan Kerajaan ini adalah satu contoh
'perkongsian pintar' atau 'smart partnership' yang kini
menjadi model ikutan banyak negara membangun lain.
Adalah diharapkan kerjasama rapat ini akan berterusan
bagi membolehkan negara menghadapi cabaran-cabaran di
masa akan datang.
4. Seperti yang kita sedia maklum krisis kewangan dan
penurunan nilai matawang yang melanda Asia Tenggara yang
turut mengakibatkan kejatuhan pasaran saham telah
meninggalkan kesan buruk ke atas ekonomi negara kita.
Krisis yang bermula di Thailand dan merebak hingga ke
Hong Kong dan Korea Selatan ini memang tidak diduga dan
mengejutkan kita. Betapa tidak. Sejak satu dekad yang
lalu negara kita telah mengalami pertumbuhan ekonomi
yang tinggi. Dengan kadar pertumbuhan purata lapan
peratus lebih, inflasi yang rendah dan tiada
pengangguran, negara kita telah didakwa sebagai model
pengurusan ekonomi yang berjaya. Kejayaan ekonomi kita
bukanlah datang bergolek ataupun satu 'miracle' seperti
yang disebut-sebutkan oleh sesetengah pihak, tetapi
adalah hasil usaha gigih, hasil titik peluh kita.
Banyak masa, usaha dan perancangan yang telah
dijalankan. Tetapi kini kerana tindakan segelintir
pihak tertentu negara kita dalam beberapa bulan sahaja
telah menjadi miskin dan dilanda pergolakan ekonomi yang
sukar dikawal.
5. Krisis kewangan ini tidak menguntungkan dunia.
Kemerosotan ekonomi yang dialami oleh negara-negara Asia
Tenggara dan pengurangan kuasa membeli mereka sudah
tentu akan menjejaskan eksport rakan-rakan dagangan
mereka. Akibatnya perdagangan dunia akan turut
terjejas. Jika masalah kewangan ini tidak diatasi kita
percaya ia akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi
dunia termasuk negara-negara maju. Oleh itu masalah ini
perlu diatasi segera demi kepentingan semua pihak.
6. Walaupun kesannya ke atas negara kita setakat ini
tidaklah seteruk yang menimpa beberapa negara lain, kita
perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Jika
kita tidak berhati-hati dan tidak sanggup mengambil
langkah-langkah berani dan tegas keadaan kita boleh
menjadi sama buruk dengan negara berkenaan. Jika ini
berlaku kita akan terpaksa meminta bantuan kewangan
antarabangsa yang akan mengenakan berbagai-bagai syarat
yang akan menjejaskan kedaulatan negara kita.
7. Namun demikian kita harus akui bahawa semasa kita
makmur dan maju kita tidak selalunya mengamalkan amalan
yang baik. Ada banyak amalan kita yang meletakkan kita
dalam keadaan lemah dan terdedah kepada serangan ganas
oleh 'speculators' asing, sama ada ke atas matawang atau
pasaran saham.
8. Telah beberapa kali masyarakat pelabur tempatan
diberi amaran supaya tidak menjadikan pasar saham
sebagai kasino. Tetapi mereka terus menaikkan nilai
saham sehingga tidak ada langsung hubungan antara
prestasi syarikat dengan harga saham. Mereka mengadakan
'road show' di negara maju untuk menjual dan menaikkan
lagi harga saham mereka. Daripada tumpuan berniaga
untuk mencari keuntungan, kita telah mengalih tumpuan
kepada perniagaan saham. Saham seperti juga dengan wang
tidak ada nilai mutlak. Nilainya ditentukan oleh
kesanggupan pemain pasaran saham menjual dan membelinya.
Apabila mereka hilang kepercayaan, sama ada secara
kebetulan atau kerana sengaja dan tidak lagi sanggup
membeli, maka nilai saham akan jatuh kadang-kadang
sehingga lebih rendah daripada nilai aset syarikat.
9. Inilah yang berlaku sekarang. Apabila nilai saham
jatuh maka rugilah semua pelabur biasa. Jika sebaliknya
nilai saham dikait rapat dengan keuntungan syarikat,
maka pelabur tidak akan rugi kerana pelaburan akan
dibalas dengan dividen yang setimpal. Dan hutang yang
tidak terlalu tinggi boleh dibayar dengan perolehan
daripada dividen. Bank juga tidak akan meminta bayaran
ganti susut nilai saham yang dicagar.
10. Dalam mengurus perniagaan, kos dibiarkan naik kerana
harapan akan meraih keuntungan yang besar untuk
menampung kos yang tinggi. Pengurus-pengurus syarikat
dan semua pegawai profesional dan eksekutif meletak
nilai yang amat tinggi terhadap sumbangan mereka.
Demikian juga dengan mereka yang baru lulus dari
institusi pengajian tinggi yang meminta dan diberi upah
yang terlalu tinggi sehingga tidak munasabah. Dengan
ini kos barangan dan khidmat menjadi tinggi, menaikkan
kos sara hidup masyarakat dan membebankan mereka.
11. Ramai eksekutif yang melompat dari satu syarikat ke
syarikat lain kerana mengutamakan gaji yang tinggi.
Tidak ada kesetiaan kepada mana-mana syarikat. Dan
sudah tentu pengalaman mereka cetek dan kemahiran serta
kecekapan mereka dan syarikat berada di paras yang
rendah. Dalam bidang yang ternampak boleh memberi
pendapatan yang tinggi dan boleh naik dengan mendadak,
terdapat ramai yang meninggalkan profesion asal. Dalam
bidang broker saham umpamanya terdapat siapa sahaja,
daripada berbagai-bagai profesion yang tidak berkaitan,
yang ingin semata-mata untuk kaya cepat menjadi
'remisier' dan broker.
12. Dalam suasana mudah untung ini pinjaman diberi oleh
sesetengah bank secara kurang bijak. Dan kadang-kadang
apabila bank tempatan cuba mengguna kriteria yang baik
untuk pinjaman, ramai yang pinjam di luar negeri.
Dengan itu hutang negara meningkat. Walaupun hutang
luar negara oleh syarikat-syarikat kita tidak sebesar
negara-negara tertentu tetapi kesannya buruk juga.
Hutang luar negara yang besar inilah yang menyebabkan
beberapa negara tersungkur.
13. Sekarang kita menghadapi masalah kejatuhan nilai
ringgit yang disertai dengan keruntuhan pasaran saham.
Hasilnya ialah ramai daripada kita yang dahulu mengejar
kekayaan cepat, rugi dan mungkin muflis. Kerajaan ingin
menolong dengan merangka cara-cara bagi mengatasi
masalah yang kita hadapi ini dan memulihkan keadaan.
Tetapi untuk ini syarikat-syarikat tempatan perlu
bekerjasama dengan Kerajaan. Kita perlu disiplin yang
kuat. Kita juga perlu berkorban hari ini untuk masa
depan.
14. Saya ingin merayu kepada masyarakat peniaga supaya
tidak memburukkan lagi keadaan sekarang melalui tindakan
yang tidak bijak seperti tidak percaya kepada matawang
kita sendiri dan menyimpan dengan cawangan bank asing
atau bank di luar negara. Saya tidak perlu terangkan
kepada tuan-tuan dan puan-puan yang lebih arif daripada
saya akan kesan perbuatan tersebut. Apa yang kita takut
berlaku tetap akan berlaku kerana tindakan kita yang
tidak wajar. Kata orang putih apa yang kita lakukan
adalah 'self-fulfilling' iaitu apa yang kita jangka akan
menjadi kenyataan kerana tindakan kita.
15. Kerajaan sedang berusaha untuk memulih semula
ekonomi dengan mengurangkan perbelanjaan Kerajaan untuk
pembangunan dan pengurusan. Kerajaan dan kakitangan
Kerajaan sanggup membuat pengorbanan yang besar demi
masa depan kita. Kita harus sedar bahawa jika kita
tidak tabah hati dan sanggup berkorban sekarang kita
akan dipaksa meminta pertolongan dari Dana Kewangan
Antarabangsa. Pinjaman yang akan diberi oleh mereka
mempunyai syarat-syarat yang akan menjadikan banyak
syarikat kita rugi dan muflis. Mereka akan memaksa kita
menaikkan cukai walaupun kita sudah miskin; mereka akan
menaikkan faedah bank dan mengurangkan kredit untuk
peniaga. Mereka berpendapat jika syarikat-syarikat kita
muflis dan ditutup, ianya tidak mengapa kerana syarikat-
syarikat ini memang lemah, tidak baik dan patut ditutup.
Bahawa kelemahan syarikat-syarikat ini disebabkan oleh
kejatuhan nilai matawang dan syarat-syarat yang
dikenakan oleh mereka tidak dihiraukan. Bahawa ini akan
menyebabkan pengangguran dan penderitaan tidak
dipedulikan sama sekali. Ini bukan masalah mereka. Ini
masalah kita.
16. Kita perlu membuat pilihan antara berkorban secara
sukarela sekarang atau dipaksa berkorban lebih lama dan
lebih teruk lagi oleh kuasa asing. Bagi kita yang waras
tentulah berkorban secara sukarela sekarang lebih baik
daripada berkorban kerana dipaksakan oleh orang asing.
Untuk keadilan semua kita perlu memikul bersama
pengorbanan yang perlu kita lakukan. Tetapi ada antara
kita, yang menganggap bahawa sementara orang lain
berkorban, mereka boleh memulihkan diri mereka sendiri,
bahkan mencari keuntungan untuk diri mereka. Mereka
berpendapat bahawa keengganan mereka berkorban sedikit
ini tidak akan menjejaskan usaha pemulihan. Pendapat
seperti ini berasas kepada tamak haloba. Percayalah
jika kita tidak sanggup berkorban dan mendisiplin diri
kita, orang lain juga akan tidak sanggup berbuat
demikian. Lagi pun tindakan kita akan diketahui umum
dan pihak lain akan hilang minat untuk berkorban.
Akhirnya lebih ramai yang akan ikut menangguk di air
yang keruh ini dan akan gagallah segala rancangan kita
untuk memulihkan ekonomi negara kita. Percayalah mereka
yang mengkhianati usaha kita akan turut menjadi mangsa
apabila kita gagal dan diletak di bawah pengurusan orang
asing. Ketika itu kita bukan sahaja akan hilang
kedaulatan dan kebebasan kita, tetapi akibat orang asing
ini mengutamakan bayaran balik hutang mereka, tekanan ke
atas kita akan lebih teruk lagi dan tiada siapa yang
akan dikecualikan, majikan atau pekerja, Kerajaan atau
swasta. Ingatlah sejak dahulu lagi matlamat mereka
ialah supaya kita tidak akan mampu bersaing dengan
mereka. Untuk ini mereka akan menjadikan perusahaan di
negara kita tidak lagi kompetitif dan terpaksa ditutup
atau diambilalih oleh mereka. Apabila mereka, secara
langsung atau tidak, menguasai ekonomi negara kita
mereka tetap akan berusaha untuk menjayakan matlamat
mereka. Mereka mungkin tidak merancang semua ini tetapi
mereka tidak akan melepaskan peluang yang mereka temui.
17. Bagi peniaga dan pengusaha, sikap yang terpenting
ialah kesetiaan kepada Negara dan keyakinan kepada
matawangnya. Jika peniaga dan pengusaha mengutamakan
kepentingan diri dan kurang yakin kepada Ringgit dan
mengambil tindakan yang mencerminkan kurang keyakinan
ini, maka nilai Ringgit akan terus jatuh. Demikian juga
dengan saham. Mereka yang menjual saham apabila sahaja
harga saham meningkat sedikit kerana mengejar keuntungan
tetap akan menyebabkan pasaran saham terus lembab dan
menurun. Kita amat sedih melihat berlaku 'profit
taking' apabila sahaja saham naik harga selepas Kerajaan
mengisytiharkan tindakan-tindakan tertentu yang
melibatkan banyak pengorbanan oleh kakitangan Kerajaan.
Sepatutnya peniaga berkorban bersama. Tetapi mereka
telah menjual saham yang naik harga untuk mendapat
keuntungan.
18. Selagi peniaga dan pengusaha meneruskan amalan-
amalan buruk ini, selama itulah kita tidak akan dapat
memulihkan keadaan. Selain daripada itu amat penting
sekali kita tidak boros dengan membayar gaji yang bukan-
bukan kepada diri sendiri dan kakitangan eksekutif yang
lain. Gaji, upah dan ganjaran-ganjaran lain di pihak
swasta hendaklah diturunkan sama seperti dalam Kerajaan.
19. Majlis Tindakan Ekonomi Negara mempunyai banyak cara
untuk memperbaiki dan memulih ekonomi kita. Tetapi
semuanya bergantung kepada kesetiaan dan disiplin
rakyat.
20. Saya ingin merayu kepada masyarakat peniaga dan
pengusaha supaya berdisiplin dan sanggup mengenepikan
kepentingan jangka pendek supaya masalah ekonomi negara
dapat diatasi secara berkekalan.
21. Semua Dewan Perniagaan dan Perindustrian,
terutamanya Dewan Peniagaan Kebangsaan Malaysia
mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha
memulihkan ekonomi negara dan kesihatan ahli-ahli dan
masyarakat peniaga dan pengusaha. Saya harap semua
Dewan Perniagaan akan menunaikan peranan masing-masing
secara serius dan berkesan dalam usaha kita menangani
masalah ekonomi yang kita hadapi.
|