Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/97
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1998
1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya sekali lagi
saya dapat menyampaikan Perutusan Tahun Baru kepada
rakyat Malaysia. Kali ini saya berhadapan dengan tuan-
tuan dan puan-puan ketika ekonomi negara yang biasanya
tumbuh dengan pesat, menghadapi kesulitan kejatuhan
tukaran matawang dan pasaran modal ekoran daripada
serangan dan manipulasi oleh pihak tertentu. Dalam
keadaan ini yang penting ialah cara kita menangani
masalah berkenaan.
2. Untuk menangani masalah ini kita harus faham bahawa
apa yang disebut sebagai kejatuhan nilai ringgit tidak
dengan sendirinya menjadi masalah. Yang menjadi masalah
kepada kita ialah susutnya kuasa membeli barangan
tertentu dengan pendapatan kita. Sebenarnya nilai
ringgit kita tidak jatuh. Yang susut ialah jumlah
matawang asing apabila kita menukar Ringgit dengan
matawang berkenaan, terutama matawang Amerika Syarikat.
Jika dahulu kita akan dapat satu dolar Amerika daripada
RM2.50, hari ini kita akan dapat hanya 0.64 dolar atau
64 sen Amerika daripada RM2.50. Atau jika dahulu
daripada RM1.00 kita akan dapat 0.40 dolar Amerika hari
ini kita akan dapat hanya 0.25 dolar Amerika.
3. Kita tidak perlu menukar wang melainkan jika kita
ingin mengimport barang. Jika kita ingin membeli
barangan di dalam negeri, kita tidak perlu menukar wang
kita kepada matawang asing. Jika harga barangan dalam
negeri tidak naik maka nilai Ringgit kita atau daya
membeli Ringgit kita tidak jatuh. Kita tidak menjadi
lebih miskin kerana tukaran Ringgit dengan dollar
Amerika sudah berubah.
4. Malangnya banyak juga barangan harian kita diimport
dari luar negara dengan matawang asing, biasanya dengan
dolar Amerika, dan barangan ini tentulah lebih tinggi
harganya, atau dengan perkataan lain nilai ringgit kita
sudah turun untuk membeli barangan import ini. Dengan
itu kita akan merasai kesan jatuhnya jumlah wang asing
daripada tukaran dengan ringgit kita.
5. Ramai daripada kita yang mengeluh apabila
dilaporkan bahawa harga-harga barangan seperti gula,
tepung gandum dan bawang telah naik. Kita boleh
mengelak kesan kenaikan harga barangan ini dengan tidak
menggunanya. Malangnya ini tidak selalunya dapat dibuat
oleh kita. Tetapi kita boleh kurangkan penggunaannya dan
kita tidak membazir seperti di zaman mewah. Jika harga
gula naik tetapi kita hanya membeli dan mengguna separuh
sahaja daripada kebiasaan, kita sebenarnya akan
menjimatkan belanja biasa kita untuk gula. Dengan itu
kenaikan harga gula tidak mempunyai kesan terhadap
perbelanjaan kita. Sebagai bonus kita menjadi lebih
sihat. Dan kita dapat menolong mematah serangan pihak
asing ke atas matawang dan ekonomi kita.
6. Barangan lain yang diimport juga boleh kita
kurangkan kegunaannya dan sebaliknya kita ganti dengan
barangan tempatan jika ada.
7. Dengan cara ini kita tidak akan merasai sangat
kesan kejatuhan nilai tukaran ringgit dengan dolar
Amerika. Kuasa membeli kita tidak akan berkurangan.
Kita tidak akan merasai lebih miskin.
8. Mana-mana negara tetap akan mengalami perubahan
nasib. Pada masa dahulu kita dijajah, tidak merdeka,
terpaksa memanggil orang asing 'Tuan'. Kita menjadi
hamba di negara kita sendiri.
9. Di zaman perang Dunia Kedua kita telah mengalami
inflasi dan banyak barang makanan dan lain-lain tidak
dapat diperolehi. Kita mengalami tekanan hidup yang
lebih dari sekarang.
10. Lepas perang kita berjuang untuk mencapai
kemerdekaan, untuk menjadi `Tuan' di negara kita
sendiri. Alhamdulillah, perjuangan kita berhasil. Kita
merdeka. Kita bekerja keras untuk membangunkan negara
kita, untuk mengisi kemerdekaan kita. Kita hadapi
berbagai-bagai cabaran -- politik, sosial dan ekonomi.
Tanpa pertolongan sesiapa kita atasi cabaran-cabaran
ini. Kita rancang pembangunan negara kita. Melalui
politik kesederhanaan, kita capai matlamat kita,
walaupun belum sepenuhnya. Kita percaya kita akan dapat
menjadi negara maju pada tahun 2020.
11. Malangnya sekarang negara kita dilanda masalah
ekonomi yang serius kerana tindakan orang asing. Mungkin
serangan mereka hanya kerana kurang percaya kepada
kesihatan ekonomi kita. Tetapi hakikatnya ialah
kejatuhan nilai tukaran matawang kita menjadikan kita
miskin sehingga terdedah kepada kemungkinan diletak di
bawah telunjuk kuasa-kuasa asing. Jika ini berlaku kita
akan hilang kebebasan mentadbir ekonomi negara kita, dan
dengan itu kebebasan politik juga. Pendek kata kita
akan dijajah semula secara tidak langsung.
12. Hari ini pun kita sudah hilang kebebasan bersuara
atau bertindak dalam negara kita sendiri. Jika apa yang
disuarakan atau dibuat oleh kita tidak disukai oleh
pihak tertentu maka mereka akan menekan Ringgit kita,
kerana kononnya perbuatan kita mengurangkan 'confidence'
mereka.
13. Alhamdulillah, tekanan ke atas kita telah
menyebabkan rakyat Malaysia daripada semua kaum lebih
bersatu padu. Mereka juga menyokong tindakan-tindakan
Kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan kebebasan
negara.
14. Perpaduan dan sokongan ini amat penting kerana kita
lihat bagaimana pertikaian politik dalam negara boleh
menjejaskan usaha menangkis serangan oleh orang asing
ini. Demikian juga kesatuan sekerja dan pekerja --
mereka tidak membenar diri mereka terperangkap dengan
mengambil tindakan liar yang boleh memburukkan lagi
keadaan ekonomi negara.
15. Saya bersyukur dengan sokongan yang dinyatakan oleh
semua lapisan rakyat terhadap Kerajaan dan juga saya
sendiri dalam usaha menangani masalah kejatuhan nilai
tukaran Ringgit dan kesan-kesan daripadanya. Tetapi
sokongan ini perlu diterjemahkan kepada tindakan dan
amalan yang boleh memulih semula ekonomi negara.
16. Untuk ini Kerajaan menubuhkan Majlis Bertindak
Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh saya. Majlis
ini akan diberi peranan penting dalam merancang dan
melaksanakan tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk
menjadikan negara kita lebih berdaya saing di peringkat
global dan untuk mengatasi masalah-masalah kewangan dan
ekonomi yang sedang dihadapi. Kempen-kempen tertentu
akan dilancar bagi mengurangkan pembaziran dan
perbelanjaan dalam Kerajaan dan di kalangan rakyat,
mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan
produktiviti, mengurangkan import dan meningkatkan
eksport, meningkatkan kemahiran, kecekapan dan
pendidikan serta menaikkan kualiti khidmat dan barangan
sepanjang masa. Usaha yang lebih gigih akan dijalankan
untuk menarik lebih ramai pelancong asing sementara
rakyat akan digesa melancong dalam negeri. Kita juga
perlu terus menarik pelaburan asing dalam pengeluaran
barangan dan khidmat untuk eksport.
17. Semua ini memerlukan kerjasama, kesetiaan dan
pengorbanan yang kuat oleh semua rakyat. Kita semua
perlu menabung dan melabur dengan penuh keyakinan. Saya
sedar bahawa wang yang disimpan akan susut nilainya jika
matawang kita terus jatuh. Malangnya jika kita kurang
percaya kepada matawang kita dan dengan kerana itu kita
tidak menabung atau melabur, dan sebaliknya kita tukar
kepada matawang asing atau kita simpan di luar negeri,
perbuatan ini tetap akan menjatuhkan nilai matawang
kita. Sebaliknya jika kita tekun menabung dan membeli
serta menyimpan saham, matawang kita tidak akan jatuh
secara mendadak. Oleh itu keyakinan kita kepada Ringgit
amat penting kerana hanya jika kita yakin baharulah kita
akan menyimpan atau melabur. Ingatlah walaupun Ringgit
terus menurun apabila ditukar dengan wang asing, ianya
tidak akan hilang kuasa membeli barangan dan khidmat
dalam negeri sama dengan susutan yang berlaku. Di
sinilah tanggungjawab kita bersama yang penting --
memelihara nilai matawang kita. Orang lain tidak akan
pertahankan wang kita.
18. Untuk menjimatkan perbelanjaan, Kerajaan akan
menggugurkan beberapa rancangan atau melambatkannya.
Kita juga telah memotong gaji dan beberapa kemudahan
bagi kakitangan Kerajaan yang bergaji tinggi, termasuk
semua anggota Kabinet dan semua ahli politik dalam
Kerajaan. Pegawai Kerajaan dalam Jawatan Utama (JUSA)
akan dipotong gaji, sementara kenaikan gaji tahunan bagi
kakitangan Kerajaan dalam Kumpulan A dan B akan
ditangguh. Adalah diharapkan sektor swasta juga akan
berbuat demikian terutama mereka yang menerima upah dan
kemudahan-kemudahan yang tinggi.
19. Banyaklah tekanan dan korban yang perlu dipikul
oleh rakyat negara kita. Tetapi apakah pilihan kita?
Yang ada hanyalah meminjam wang daripada kuasa asing.
Mereka akan mengenakan syarat yang akan menyebabkan
penderitaan rakyat menjadi lebih teruk daripada yang
telah saya jelaskan. Mereka akan paksa kita menaikkan
cukai (ke atas orang yang sudah menjadi miskin),
menaikkan faedah pinjaman, menutup sebahagian besar
daripada bank-bank dan syarikat kewangan dan membiarkan
syarikat yang lemah atau yang tenat kerana kejatuhan
tukaran ringgit menjadi muflis.
20. Mereka akan paksa bank dan syarikat gergasi asing
dibenar masuk dan mengambilalih bank-bank dan syarikat-
syarikat kita. Dengan itu segala dasar dan pinjaman
akan ditentukan oleh mereka dan dasar mereka hanyalah
untuk meningkatkan keuntungan mereka seberapa tinggi
yang boleh. Kita tidak lagi akan bebas. Rakyat akan
menganggur dan menderita. Inilah pilihan yang ada jika
kita tidak sanggup berkorban sedikit.
21. Saya bukan memberi gambaran ini untuk menakutkan
rakyat. Apa yang saya sebutkan ini telah pun berlaku
kepada beberapa negara yang menerima syarat-syarat
pinjaman asing.
22. Oleh kerana sebab-sebab ini, meminjam daripada
badan antarabangsa bukan pilihan untuk menyelesaikan
masalah kita.
23. Inilah cabaran yang terbesar yang kita hadapi
sekarang. Hanya kerana manusia lebih pandai, lebih
berteknologi tinggi tidak menjamin tamadun dunia menjadi
lebih baik. Ingatlah bahawa di zaman inilah yang kita
menyaksi dunia berpeluk tubuh sementara 200,000 rakyat
Bosnia disembelih dengan kejam. Dunia dan tamadun moden
ini tidak akan menunjukkan simpati dan menghulur tangan
untuk menolong kita kerana kita menghadapi tekanan
ekonomi. Undang-undang hutan (the laws of the jungle)
masih berleluasa. Yang berkuasa, dialah yang benar.
24. Namun kita tidak boleh putus asa dan menyerah
kalah. Kita mesti sanggup menghadapi cabaran, sanggup
berkorban dalam mempertahankan kemerdekaan dan maruah
kita. Perjuangan kita bukan sahaja belum selesai tetapi
sudah menjadi lebih genting.
25. Sekali lagi ingin saya ulangi bahawa perpaduan dan
kesanggupan berkorban amatlah penting. Menjimatkan
perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran banyak
bergantung kepada kaum wanita dan suri rumahtangga.
Mereka boleh mempengaruhi masyarakat dengan cukup
berkesan dalam segala usaha untuk memulihkan negara.
Mereka boleh menjadi teladan yang baik, bahkan memandu
masyarakat dalam melaksanakan rancangan pemulihan yang
telah kita rancangkan. Saya yakin mereka akan turut
serta dan memainkan peranan yang penting memulih dan
mempertahankan negara tercinta ini.
26. Sama ada kita terus bebas dan bermaruah bergantung
kepada kita. Selama 40 tahun kita daripada semua kaum
telah bersama-sama membina negara kita ini. Kita hampir
berjaya menebus 400
tahun kehinaan penjajahan oleh orang asing. Apakah kita
sanggup membiar segala hasil perjuangan kita dipersia-
siakan?
27. Marilah kita semua menghadapi cabaran bersama.
Marilah kita berkorban. Marilah kita bersatu padu
mempertahankan kedaulatan dan maruah bangsa, negara dan
agama kita. Dengan izin Tuhan perjuangan yang terhormat
ini akan berjaya.
|