Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : IBU PEJABAT BPR, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/01/98
Tajuk/Title : PELANCARAN GERAKAN PEMANTAPAN
KEUTUHAN DALAM SIS URUS
PENTADBIRAN KERAJAAN
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Badan Pencegah
Rasuah (BPR) kerana menjemput saya untuk merasmikan
upacara Pelancaran Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam
Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia pada pagi
ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada BPR atas
inisiatifnya untuk melancarkan gerakan ini.
2. Dalam sistem pengurusan, "integriti" berkait amat
rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik.
"Amanah" dalam pengurusan, umpamanya, adalah sebahagian
daripada etika yang baik. Sesuatu pentadbiran tidak boleh
diuruskan jika tidak ada amanah kerana tanpa amanah
pengurusan dan pentadbiran Kerajaan tidak akan dapat
dilaksanakan, malah boleh menyebabkan huru-hara dan
keruntuhan kuasa Kerajaan. Jika pegawai-pegawai yang
diamanahkan untuk mengutip hasil mahsul negara tidak
amanah sudah tentu khazanah negara akan susut. Ini
bermakna Kerajaan tidak dapat memperuntukkan kewangan yang
cukup bagi membiayai urusan pentadbiran dan projek-projek
pembangunan negara.
3. Daripada segi amanah dalam bidang perniagaan pula,
pekerja yang tidak amanah dalam menjaga harta benda dan
kewangan majikannya lambat-laun boleh menyebabkan
perniagaan itu muflis dan dengan itu pekerja-pekerja
sendiri akhirnya akan hilang pekerjaan. Jika ramai
pekerja dan peniaga sesebuah negara tidak beramanah dalam
urusan dengan pedagang lain maka dagangan dalam dan luar
negeri tidak akan berjalan baik dan berkembang. Dengan
itu ekonomi negara tidak akan tumbuh.
4. Tetapi ada yang berpendapat, terutamanya dalam bidang
perniagaan, bahawa etika tidak perlu. Ada yang percaya
bahawa keuntungan hanya boleh didapati dengan penipuan.
Tetapi percayalah penipuan akan menghilangkan kepercayaan
rakan dagangan dan akan menyebabkan perniagaan merosot.
Akhirnya perniagaan tidak akan dapat diteruskan kerana
mereka yang sudah tertipu tidak lagi ingin berurusan
dengan peniaga yang tidak beramanah.
5. Selain daripada amanah, sifat kejujuran, keikhlasan,
ketekunan, disiplin, ketertiban dan dedikasi juga menjadi
sebahagian daripada asas integriti dan etika yang baik.
Jika nilai-nilai ini diamalkan setiap masa oleh seseorang
pekerja, maka penyeliaan sepanjang masa tidak perlu
diadakan. Ini sudah tentu akan meningkatkan efisiensi dan
mengurangkan kos. Sebaliknya jika nilai-nilai murni
kurang diamalkan maka banyaklah kerja dan masa yang perlu
dihabiskan untuk penyelia mengesan, mengawal dan bertindak
terhadap penyelewengan yang berlaku. Jika penyelia pula
tidak mempunyai nilai yang murni maka banyak lagi masa,
tenaga dan wang yang perlu dihabiskan untuk menentukan
`pagar tidak makan padi'. Tentulah jelas akan pentingnya
amanah dan nilai murni dimiliki oleh semua pihak di semua
peringkat. Dengan adanya amanah dan nilai murni, urusan
kerja bukan sahaja akan berjalan baik dan mencapai
matlamatnya tetapi kos daripada segi wang, masa dan tenaga
dapat dikurangkan.
6. Dalam keghairahan mengejar kekayaan dan kemewahan
hidup dalam zaman kebendaan ini ramai yang mengutamakan
pencapaian keuntungan yang maksima tanpa mengendahkan
batasan-batasan etika dan moral. Sejarah mempunyai banyak
contoh di mana kemajuan dan kekayaan yang dicapai tanpa
berlandaskan nilai etika dan pegangan agama, akan tercicir
akhirnya. Kejatuhan empayar-empayar gagah di zaman silam
seperti Rom, Ottoman, dan Kesultanan Melaka membuktikan
hakikat ini. Ketua negara, pemimpin dan anggota
pentadbiran begitu asyik dengan kehidupan yang mewah tanpa
mengambilkira dari mana datangnya kemewahan yang membiayai
sistem pentadbiran mereka. Dalam suasana ini segala
pendapatan negara diselewengkan oleh mereka dari peringkat
bawah hingga ke pucuk pimpinan.
7. Antara unsur-unsur buruk yang paling merbahaya dan
keji yang menghancurkan integriti manusia ialah sifat
tamak haloba dan mementingkan diri sendiri. Ini kerana
kedua-dua unsur negatif ini menjadi pendorong kepada
perbuatan rasuah dan salahguna kuasa, walaupun kuasa yang
dimiliki itu sedikit sahaja. Umpamanya jika ada
permintaan untuk berjumpa dengan pegawai tetapi perjumpaan
itu sengaja dihalang sehingga ada sogokan, kuasa yang
sekecil itu pun boleh disalahgunakan dan menjadi punca
rasuah. Sudah tentulah mereka yang mempunyai kuasa yang
lebih besar lebih mudah melakukan rasuah, jika mereka
tamak dan mementingkan diri.
8. Kesan buruk rasuah akibat tindak tanduk para pemimpin
dan pentadbir terhadap golongan kurang berada merupakan
satu penindasan sosial. Jika ini dibiarkan berterusan
maka ketidakadilan sosial boleh menggugat kestabilan
negara daripada kemarahan rakyat terhadap pemerintah.
Jika wujud pula pakatan jahat antara pentadbir atau
anggota pentadbiran dengan para peniaga atau pengusaha
yang tamak, kesannya ialah kos pentadbiran dan pembangunan
akan melambung naik dan rakyat akan terpaksa memikul kos
ini, kerana banyak kemudahan yang sepatutnya dibekal
kepada rakyat tidak akan dapat dibekal atau segala bayaran
untuk kemudahan umum akan menjadi tinggi.
9. Sebenarnya amalan rasuah dalam masyarakat mempunyai
dua peringkat. Pada peringkat yang pertama masyarakat
memandang amalan ini sebagai sesuatu yang keji dan tidak
dapat diterima. Di peringkat ini amalan rasuah disembunyi
oleh mereka yang terlibat, sama ada yang menghulur atau
menerima. Di peringkat ini kawalan boleh dibuat walaupun
sukar kerana bukti sukar diperolehi. Tetapi apabila
diperolehi maka tindakan bolehlah diambil. Di peringkat
kedua rasuah menjadi amalan terbuka. Penerima tidak segan-
segan meminta dan pemberi juga memberi secara terbuka.
Apabila rasuah menempuh peringkat ini semua pihak akan
terlibat, dari yang tertinggi sekali hinggalah kepada
kakitangan yang terendah sekali. Oleh sebab semua
terlibat dan mendapat sesuatu bagi diri sendiri maka semua
pihak akan pertahankan amalan ini. Di peringkat ini amat
sukar untuk mengawal dan membanteras rasuah.
10. Alhamdulillah di Malaysia kita masih di peringkat
pertama. Menghulur rasuah belum lagi menjadi perkara
biasa bagi kita. Justeru itu kita masih boleh bertindak
untuk mengawal rasuah. Namun pengawalan memerlukan
kesanggupan mereka yang mempunyai maklumat menyampaikan
maklumat kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu BPR atau
Polis.
11. Di sini timbul satu masalah. Ramai juga mereka yang
tidak bertanggungjawab yang membuat laporan kerana niat
lain. Ini bukan sahaja membebankan pegawai penyiasat dan
badan berkuasa berkenaan, tetapi jika tuduhan itu tidak
berasas ia akan menganiaya pihak yang dituduh. Tuduhan
seperti ini menyukarkan usaha mencegah rasuah kerana
maklumat yang diperolehi akan diragukan dan tindakan
secara serius mungkin tidak diambil.
12. Orang ramai sepatutnya mengambil berat akan kuasa
yang diberi kepada mereka untuk membuat tuduhan. Bukti
yang agak jelas perlu diperolehi supaya tuduhan bukan
sahaja tidak akan diragukan oleh badan yang
dipertanggungjawabkan, tetapi penyiasatan akan menjadi
lebih mudah. Hanya kerana ada sangkaan bahawa rasuah
telah berlaku tidak memadai.
13. Tuduhan secara surat layang yang disebar luas
sebenarnya mengganggu usaha membanteras rasuah. Banyak
masa dihabiskan untuk menyelidik tuduhan yang tidak
berasas. Sementara itu tuduhan yang berasas mungkin tidak
diberi perhatian kerana sangkaan bahawa ia adalah sama
dengan yang tidak berasas. Dengan itu maka usaha untuk
mencegah rasuah akan tergendala dan kurang berkesan.
14. Walaupun kita ingin mengadakan masyarakat yang
mengutamakan kebaikan umum dan tidak kepentingan diri,
tetapi memang menjadi naluri manusia untuk mengutamakan
diri sendiri lebih daripada masyarakat. Sebenarnya
mengutamakan kepentingan masyarakat tidak merugikan diri
bahkan ia lebih menguntungkan diri sendiri. Ini kerana
dalam masyarakat yang bersih daripada rasuah, individu
akan memperolehi lebih banyak keuntungan daripada
masyarakat yang bergelumang dengan rasuah.
15. Masyarakat yang penuh dengan amalan rasuah tidak
mungkin maju dan kaya. Masyarakat yang tidak maju ini
akan mempunyai kos sara hidup yang tinggi pula kerana tiap
sesuatu yang hendak dilakukan mestilah dijumlah kepadanya
kos rasuah. Walaupun individu dalam masyarakat yang
mengamalkan rasuah mungkin mendapat sesuatu bagi dirinya
tetapi dia pula perlu menanggung kos rasuah apabila dianya
berurusan dengan pegawai lain. Dengan itu pendapatannya
daripada rasuah tidak memberi kelebihan apa-apa kepadanya.
Semuanya akan hilang kerana terpaksa membiayai kos sara
hidup yang tinggi dan bayaran rasuah untuk segala-galanya.
16. Sebaliknya dalam masyarakat yang bebas daripada
rasuah, kos rasuah tidak akan menyebabkan kos sara hidup
naik. Diri sendiri tidak perlu membayar apa-apa yang
lebih daripada bayaran yang telah ditentukan untuk satu-
satu urusan. Dengan itu diri sendiri akan lebih untung
apabila rasuah tidak menjadi amalan dalam sesuatu
masyarakat. Dengan perkataan lain kepentingan diri
sendiri lebih mungkin tercapai dengan menolak rasuah.
17. Tetapi ramai daripada kita tidak nampak di mana
sebenar duduknya kepentingan diri apabila berhadapan
dengan godaan rasuah. Kita utamakan keuntungan jangka
pendek dan tidak hiraukan keuntungan yang lebih besar yang
datang dalam jangka panjang kerana menolong membersihkan
masyarakat daripada rasuah. Kita tidak hiraukan nasib
yang buruk yang kita tahu akan menimpa semua masyarakat
yang mengamal rasuah. Apabila berhadapan dengan peluang
mendapat sogokan maka kita tidak fikir panjang dan kita
lakukan perbuatan yang haram ini, sama ada sebagai
penerima atau penghulur. Inilah masalah yang kita hadapi.
18. Rasuah mungkin mula diamalkan secara tidak sengaja.
Kerana urusan terlambat pelanggan mungkin hulur sesuatu
untuk mempercepatkannya. Kemudian urusan sengaja
dilambatkan untuk mendapat 'pelincir' daripada pelanggan.
Kemudian amalan ini menjadi amalan biasa dan segala urusan
akan memerlukan 'pelincir'.
19. Yang salah bukanlah kakitangan yang mengurus sahaja.
Pelanggan juga perlu sabar jika terlambat sedikit dan
tidak terlalu mudah menghulur 'pelincir'. Jika didapati
urusan lambat atau sengaja dilambatkan, ada cara untuk
mempercepatkannya. Kita mempunyai Biro Pengaduan Awam dan
BPR. Kita juga boleh mengadu kepada pihak-pihak lain
bahkan melalui media.
20. Mungkin ramai yang takut membuat pengaduan kerana
pihak yang dituduh boleh bertindak balas dengan sengaja
mengganggu urusan pelanggan. Tetapi jika semua yang
teraniaya membuat dakwaan, pihak yang cuba bertindak balas
akan takut kepada tindakan yang akan dikenakan kepadanya.
21. Di sini terdapat tanggungan yang berat bagi pegawai
yang menyelia urusan. Mereka hendaklah mengambil berat
akan segala komplen yang dibuat dan jika didapati urusan
lambat, sama ada secara kebetulan atau sengaja, tindakan
kepada pihak berkenaan hendaklah diambil. Jangka masa
untuk sesuatu urusan hendaklah ditetapkan dan apabila
didapati urusan kerap lewat maka tindakan yang tegas perlu
diambil.
22. Sebenarnya pencegahan rasuah menjadi rumit kerana
banyak terdapat sikap kurang mengambil berat terhadap
kemungkinan rasuah berlaku. Ramai yang berpendapat mereka
tidak mungkin dikesan. Bahawa Tuhan melihat apa yang
mereka lakukan tidak menakutkan mereka. Tetapi percayalah
selain daripada fikiran akan sentiasa terganggu setelah
rasuah dilakukan, lambat-laun kita akan dikesan dan
tindakan akan diambil. Kita mungkin dipenjara kerana
perbuatan kita. Pada masa itu agak lewat untuk menyesal.
Ingatlah akan kemungkinan ini dan ingatlah bahawa
masyarakat yang bebas daripada rasuah bukan sahaja lebih
bahagia tetapi secara langsung menguntungkan kita semua.
23. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem
Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia.
|