Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGI, SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 13/01/98
Tajuk/Title : PERASMIAN `MINT TECH-PARK
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT)
kerana menjemput saya untuk merasmikan Taman Teknologi
MINT yang dikenali sebagai MINT TECH PARK pada hari ini.
Pelancaran ini membuktikan keupayaan teknologi nuklear
dalam membantu proses pembangunan negara. Semenjak
lawatan saya ke MINT lebih sedekad yang lalu, saya dapati
MINT telah mencapai banyak kemajuan bukan sahaja daripada
segi pembinaan infrastruktur tetapi juga kejayaannya
menguasai teknologi yang diperlukan oleh industri-industri
di Malaysia.
2. MINT yang menyambut Jubli Perak pada tahun ini telah
melalui evolusi pembangunan dan pengukuhan organisasi,
khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan pembangunan
kepakaran sumber tenaga manusia di pelbagai sektor sosio-
ekonomi termasuk sektor perindustrian, perubatan, alam
sekitar dan pertanian.
3. Penguasaan teknologi dan kemampuan mewujudkan
teknologi baru adalah penting untuk Malaysia mencapai
status negara maju pada tahun 2020. Keupayaan Malaysia
untuk bersaing di pasaran dunia bergantung kepada
kemampuan teknologinya. Kerajaan menyediakan peruntukan
yang besar untuk membiayai program penyelidikan dan
pembangunan atau R&D, khususnya di sektor awam, dan
menyediakan berbagai-bagai insentif kepada sektor swasta
untuk meningkatkan aktiviti R&D. Walaupun R&D memerlukan
peruntukan yang besar, kita perlu melihatnya sebagai satu
pelaburan jangka panjang yang penting untuk meningkatkan
daya saing barangan keluaran negara.
4. Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan yang berteraskan R&D,
MINT mempunyai peranan yang besar dalam membantu
meningkatkan infrastruktur teknologi negara. Saya
difahamkan bahawa MINT telah memperolehi pendapatan
terkumpul melebihi RM23 juta daripada aktiviti
komersilisasi hasil R&Dnya kepada industri tempatan.
Hubungan yang telah sedia terjalin di antara MINT dengan
pelanggannya perlulah terus dipupuk melalui perkhidmatan
pelanggan yang cemerlang. Walaupun bidang nuklear sukar
difahami dan sering disalah anggap oleh masyarakat, MINT
berjaya membuktikan keupayaan teknologi nuklear dalam
membangunkan produk serta proses yang cekap, berkesan dan
mesra.
5. Daya usaha MINT untuk menubuh dan melancarkan MINT
Tech Park pada hari ini membuka peluang yang lebih besar
kepada masyarakat perindustrian untuk menerokai teknologi
yang ditawarkan oleh MINT. MINT Tech Park adalah unik
kerana ianya menawarkan teknologi yang dibangunkan oleh
MINT sendiri. Loji-loji perintis yang dibina di sini
adalah menggunakan kepakaran tempatan. Dengan adanya
kepakaran tempatan, kita akan terus dapat memperbaiki dan
meningkatkan keupayaan teknologi tersebut untuk bersaing
di pasaran antarabangsa. Loji-loji perintis ini akan
memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang berminat
untuk menilai potensi komersil teknologi tersebut dan
seterusnya menjayakan usaha pemindahan teknologi.
Kemudahan seperti ini akan mengurangkan risiko dan
mempercepatkan lagi proses komersilisasi teknologi.
Pembinaan logi-loji perintis ini juga menunjukkan
keupayaan MINT bukan sahaja dalam penyelidikan di
peringkat makmal malahan juga membuktikan kebolehannya
dalam meningkatkan skala kepada kapasiti pengeluaran
percubaan.
6. Loji perintis RAYMINTEX yang terdapat di Taman
Teknologi MINT adalah satu-satunya loji di dunia yang
menggunakan teknik nuklear bagi proses pemvulkanan atau
'vulcanisation' lateks getah asli. Penemuan teknologi
baru seperti ini amat penting dan bermakna kepada negara
kita yang sememangnya terkenal dengan industri barangan
berasaskan lateks getah asli terutamanya sarung tangan
pembedahan dan sarung tangan pemeriksaan atau 'surgical
and examination gloves'. Malaysia merupakan pembekal
utama barangan tersebut dan menguasai 70 peratus pasaran
dunia. Pada tahun 1996, nilai eksport sarung tangan getah
mencecah RM3 billion dan ianya terus meningkat. Walaupun
demikian, terdapat persaingan yang hebat daripada
pengeluaran sarung tangan getah yang menggunakan bahan
sintetik atau getah tiruan. Pelbagai masalah alahan atau
'allergy' telah diperbesar-besarkan. Dengan kepakaran dan
teknologi yang dimiliki oleh para penyelidik MINT dan
sokongan padu daripada masyarakat perindustrian, kita
percaya Malaysia akan terus dapat mengekalkan kedudukannya
di pasaran dunia.
7. Loji RAYMINTEX yang dibina dengan kos RM6 juta
mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 6,000 tan matrik
setahun. Proses tanpa menggunakan bahan kimia ini
berupaya menyediakan lateks prapemvulkanan kepada industri
barangan berasaskan leteks getah asli tempatan dan luar
negara. Produk yang dihasilkan adalah bebas daripada
masalah 'toxicity' dan alahan, `user friendly &
environmental friendly products'. Produk-produk
berkualiti seperti ini sangat berpotensi untuk dipasarkan
di negara-negara maju seperti di Jerman, Belanda, Itali
dan Amerika Syarikat.
8. Loji perintis lain yang terdapat di MINT Tech Park
adalah Loji SINAGAMA yang merupakan suatu kemudahan di
agensi Kerajaan yang pertama menerima Persijilan ISO-9002
pada tahun 1992. Loji SINAGAMA boleh memberikan
perkhidmatan pensterilan barangan perubatan terutamanya
sarung tangan getah oleh pekilang-pekilang Malaysia untuk
pasaran eksport. SINAGAMA mungkin membekal khidmat
pensterilan untuk produk seperti herba & tumbuhan
perubatan dan kosmetik.
9. Loji perintis ALURTRON adalah merupakan kemudahan
penyinaran elektron dengan kuasa 3MeV untuk pelbagai jenis
perkhidmatan pemprosesan menggunakan sinaran. Teknologi
ini berpotensi besar untuk digunakan bagi pemprosesan
bahan seperti wayar dan kabel, paip dan filem selain
daripada tujuan sterilisasi. Loji perintis Sterifeed pula
adalah loji memproses tandan kosong kelapa sawit untuk
dijadikan makanan haiwan kruminan. Selain daripada dapat
mengeluarkan makanan haiwan, teknologi ini juga dapat
membantu menyelesaikan masalah alam sekitar akibat
pembuangan tangkai kelapa sawit.
10. Walaupun loji-loji perintis tersebut dibina melalui
peruntukan Kerajaan, saya berharap pembinaan loji-loji
perintis yang akan datang dapat dilaksanakan secara
kerjasama di antara MINT dan syarikat swasta. Kerjasama
seperti ini akan mempercepatkan lagi proses komersilisasi
teknologi-teknologi baru memandangkan Kerajaan mempunyai
peruntukan yang terhad untuk melaksanakannya. Perkongsian
pintar di antara badan Kerajaan dengan pihak swasta untuk
membangunkan teknologi sangat diperlukan dan Kerajaan
telah menyediakan berbagai-bagai insentif untuk
menggalakkannya.
11. Selain loji-loji perintis, MINT juga mempunyai Pusat-
Pusat kecemerlangan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh
syarikat swasta. Di antara pusat-pusat kecemerlangan yang
terdapat di MINT adalah Pusat Penilaian Tanpa Musnah,
Pusat Rawatan Sisa Radioaktif, Teknologi Pengeluaran
Radioisotop, Makmal Standard Dosimetri Sekunder, Bank
Tisu, Pusat Biosains & Bioteknologi dan Pusat Teknologi
Insinerasi. Pusat-pusat kecemerlangan ini menawarkan
produk dan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat swasta
dan jabatan-jabatan Kerajaan yang memerlukannya. Produk-
produk radioisotop MINT telah digunakan dengan meluas di
hospital-hospital Kerajaan dan swasta dan menggantikan
radioisotop yang diimport. Perkhidmatan penilaian tanpa
musnah MINT digunakan oleh industri berat seperti syarikat-
syarikat petroleum dan gas. Pusat Teknologi Insinerasi
pula telah menerima loji insinerasi yang dimiliki oleh
syarikat swasta untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Pisang Novaria yang dihasilkan menerusi penyelidikan biak
baka mutasi menggunakan teknik nuklear telah berjaya
dikomersilkan kepada syarikat perladangan tempatan.
12. MINT bertuah kerana mempunyai hubungan yang rapat
dengan pertubuhan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom
Antarabangsa (IAEA) yang telah banyak memberikan kerjasama
dalam melatih dan meningkatkan kepakaran kakitangannya
dalam menguasai teknologi-teknologi yang terkini. Di
arena antarabangsa, kepakaran MINT telah diiktiraf di mana
beberapa pegawai MINT telah dilantik oleh IAEA sebagai
pakar ke beberapa misi di negara membangun. MINT juga
telah dijemput untuk memberikan khidmat pakar di negara
serantau terutama dalam bidang penilaian tanpa musnah,
pemprosesan menggunakan sinaran dan pengurusan maklumat
nuklear. Di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa juga terdapat
sebilangan rakyat Malaysia, sebahagian besarnya kakitangan
MINT, sedang berkhidmat dalam beberapa bidang kepakaran
tertentu. Pertalian MINT dengan badan-badan antarabangsa
harus digunakan sebagai jambatan dalam menguasai teknologi
untuk dipindahkan kepada industri tempatan.
13. Saya sarankan syarikat-syarikat swasta untuk
merapatkan hubungan dan kerjasama dengan institusi-
institusi penyelidikan bagi memanfaatkan hasil-hasil
penyelidikan mereka. Banyak teknologi dan kepakaran yang
dimiliki oleh institusi penyelidikan boleh digunakan untuk
meningkatkan daya saing industri. Mungkin suatu masa
kelak teknologi tempatan berupaya menggantikan teknologi
asing untuk syarikat-syarikat Malaysia.
14. Saya juga menyeru kepada agensi-agensi Kerajaan untuk
membuat anjakan paradigma dalam menangani masalah yang
dihadapi oleh institusi R&D, agensi pusat dan syarikat
swasta berurusan untuk memastikan reputasi dan hubungan
baik akan sentiasa terpelihara.
15. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MINT yang telah
berjaya mengkomersilkan teknologi-teknologinya kepada
masyarakat perindustrian di Malaysia. MINT mesti sentiasa
berusaha meningkatkan kecekapannya untuk setanding dengan
pelanggan-pelanggannya daripada sektor swasta. Pengalaman
MINT berinteraksi dengan pelanggan-pelanggannya akan
membolehkan MINT melengkapkan diri dalam menyahut seruan
Kerajaan untuk mengkorporatkan agensi-agensinya yang
berpotensi.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan MINT Tech Park.
|