Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	30/01/98 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 



  Ucapan  ini hanya boleh disiar dan diterbitkan pada  malam
  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
  Bismillahir rahmanir rahim
  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Walillahilhamd
  
  Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat sekalian,
  
  
  1.    Tahun ini kita menyambut Hari Raya Aidilfitri  dalam
  keadaan  negara  menghadapi kelembapan ekonomi  disebabkan
  oleh  kejatuhan nilai tukaran Ringgit kita dengan matawang
  asing.   Namun demikian kita harus bersyukur  kerana  kita
  masih  dapat menyambutnya dalam keadaan aman dan  tenteram
  dengan   kemampuan  merayakannya  hanya  sedikit   berbeza
  daripada  tahun-tahun terdahulu dari ini.  Jika kita  tahu
  mengurus  kehidupan  kita,  kesan  kejatuhan  tidak   akan
  dirasai sangat.
  
  2.    Seperti  yang  saya telah jelaskan,  turunnya  nilai
  Ringgit   kita  berbanding  dengan  Dolar  Amerika   tidak
  mempunyai  apa-apa kesan kepada kita melainkan  jika  kita
  membeli  barangan asing atau isi kandungan yang  diimport.
  Ini  dapat kita kurangkan kerana selain daripada  Kerajaan
  mengawal  kenaikan harga dan menentukan bekalan mencukupi,
  kita  sendiri dapat mengurangkan penggunaan barangan  luar
  negeri  atau  mengganti dengan barangan  lain  dari  dalam
  negeri yang lebih murah dan tidak kurang bekalannya.
  
  3.    Oleh  kerana  pada umumnya Kerajaan  dan  kita  juga
  tidak  panik  dan kita tertib, maka kesan kejatuhan  nilai
  tukaran   Ringgit  kita  tidaklah  memaksa  kita   meminta
  pertolongan  dari  dana kewangan asing  yang  sudah  tentu
  akan  mengenakan syarat-syarat yang akan menyusahkan  kita
  lagi.
  
  4.    Apa  yang kita telah buat ialah mengawal  diri  kita
  tanpa  dipaksa  dan kita bertindak dan bersikap  sederhana
  dalam  segala-gala  hal.  Kawalan diri atau  disiplin  ini
  tidaklah  berbeza  dengan kawalan nafsu  semasa  berpuasa.
  Sebenarnya  ia  adalah hasil daripada  latihan  yang  kita
  dapati  daripada  ibadat puasa.   Ibadat  puasa  ini  kita
  lakukan  bukan  semata-mata  kerana  ianya  wajib   tetapi
  kerana  kita tahu ia mempunyai khasiat-khasiat  lain  yang
  boleh  menolong kita menghadapi cabaran hidup dan  mencari
  kejayaan.   Dan  hari ini kita lihat dengan  jelas  betapa
  ibadat  puasa membekalkan kita dengan kemampuan menghadapi
  tekanan  ke atas kita dan negara kita, tekanan  yang  jika
  tidak  dapat  ditangkis akan menjadikan  kita  dan  negara
  kita sekali lagi dijajah oleh orang asing.
  
  5.     Saya  tidak  perlu  memperingati  orang  Islam   di
  Malaysia  mengenai  satu lagi tekanan  ajaran  agama  kita
  yang  suci,  iaitu  terhadap  perlunya  kesederhanaan  dan
  kesabaran.   Berkali-kali di dalam Al-Quran  kesederhanaan
  dan  kesabaran  ditekankan sebagai sifat yang  mulia  yang
  perlu  ada pada orang Islam.  Kebanyakan daripada  masalah
  yang  dihadapi  oleh orang Islam adalah disebabkan  mereka
  tidak   berpegang  teguh  kepada  ajaran  Islam  berkenaan
  kesederhanaan dan kesabaran.
  
  6.    Oleh kerana itulah terdapat permusuhan sesama  orang
  Islam  yang menyebabkan ramai orang yang tidak  ada  kena-
  mengena  dengan  permusuhan  ini  dibunuh  dengan   kejam,
  termasuk  kanak-kanak  kecil  dan  orang  tua.   Ada  juga
  pelancong   asing   yang   dibunuh   semata-mata    kerana
  permusuhan politik antara sesama Islam.
  
  7.    Malangnya  mereka mendakwa melakukan perbuatan  yang
  kejam  dan  tidak berperikemanusiaan ini atas nama  Islam.
  Sebenarnya  Islam tidak sekali-kali mengizinkan pembunuhan
  seperti  ini  baik di antara orang Islam ataupun  ke  atas
  orang  bukan  Islam yang tidak bermusuh dengan  kita  atas
  tujuan   apa   sekalipun.   Jauh  sekali  Islam   membenar
  perbuatan  seperti  ini kerana agama Islam.   Mereka  yang
  melakukan  semua ini membuat dosa yang besar. Bagaimanakah
  berani  mereka mendakwa mereka berjuang atas  nama  Islam,
  kononnya   ingin   menegakkan  agama  Islam?    Apa   yang
  dilakukan  oleh  mereka sebenarnya melemahkan  umat  Islam
  dan memburukkan Islam dalam pandangan orang lain.
  
  8.    Inilah  yang berlaku apabila manusia tidak  memiliki
  sifat sederhana dan sabar, sifat-sifat yang dituntut  oleh
  agama   Islam  yang  suci  yang  juga  menjadi  sebahagian
  daripada   ibadat  puasa.   Kerana  terlalu  ekstrim   dan
  fanatik,  tidak dapat tidak kita akan sesat dan lari  jauh
  daripada tuntutan dan ajaran Islam, bahkan daripada sifat-
  sifat  yang dimuliakan oleh semua tamadun manusia.  Dengan
  itu  perjuangan kita untuk agama Islam akan  terjejas  dan
  tidak dapat dijayakan.
  
  9.    Keterlaluan  dan fanatisme bukan  sahaja  disebabkan
  oleh  salah  tafsiran ajaran agama.  Kita  dapati  fanatik
  kaum  dan puak juga demikian.  Kita tahu di Bosnia,  orang
  yang  dahulu  hidup  berbaik-baik boleh dengan  tiba-tiba,
  kerana  didorong  oleh fanatik suku  kaum,  menyerang  dan
  membunuh,  merogol  jiran mereka yang sekian  lama  mereka
  kenal  dan  tidak  bermusuh itu.   Keganasan  yang  mereka
  lakukan  amat  mengerikan sedangkan dahulu  mereka  adalah
  rakyat negara yang sama.  Demikianlah terjadi kepada mana-
  mana  kumpulan apabila fanatisme dan keterlaluan mengganti
  kesederhanaan dan kesabaran.
  
  10.   Alhamdulillah, di Malaysia tidak terdapat ramai yang
  ekstrim   dan   fanatik.   Namun  ada  juga  yang   begitu
  mengutamakan  kumpulan mereka sehingga  sanggup  menangguk
  di  air  yang  keruh.   Semasa negara  menghadapi  masalah
  ekonomi  sepatutnya kita daripada semua kaum dan  kumpulan
  atau  kesatuan,  merapatkan barisan  untuk  mempertahankan
  negara  kita.   Kita tahu bahawa ada usaha untuk  menjajah
  kita  semula.   Perjuangan melawan penjajahan  oleh  orang
  asing  adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.  Malang
  sekali   ada  orang  tertentu  dan  kumpulan   yang   cuba
  mengambil  kesempatan  daripada  masalah  ekonomi   negara
  untuk memajukan politik diri dan kumpulan mereka.
  
  11.   Kita adalah sebuah negara demokratik yang mana suara
  ramai  dihormati dan suara minoriti bebas  disuarakan  dan
  diberi   pertimbangan  yang  wajar.    Kerajaan   Malaysia
  dipilih  oleh  rakyat  dan  diberi  hak  untuk  memerintah
  sehinggalah   pemilihan  dibuat  semula.   Dalam   keadaan
  tekanan asing ke atas kita sekarang Kerajaan perlu  kepada
  sokongan   semua   pihak   untuk   menanganinya.    Amalan
  demokrasi  adalah untuk kebaikan kita dan bukan kita  yang
  harus   dikorbankan    untuk  kononnya   menunjuk   betapa
  demokratiknya  kita  sehingga  kita  dijajah  semula  oleh
  orang asing.
  
  12.   Walaupun  pihak asing bercakap tidak  berhenti-henti
  tentang  demokrasi tetapi kita lihat mereka  tidak  segan-
  segan  memaksa  Kerajaan  yang dipilih  secara  demokratik
  menerima  arahan  mereka.  Mereka ini tidak  dipilih  oleh
  kita  atau  oleh sesiapa.  Mereka hanyalah peniaga-peniaga
  negara  asing  yang  mengutamakan  keuntungan  bagi   diri
  mereka   semata-mata.   Namun  mereka  berpendapat  mereka
  bertanggungjawab  untuk  mendisiplinkan  Kerajaan-kerajaan
  negara  lain  yang  dipilih oleh  rakyat.   Jika  Kerajaan
  tidak  patuh  kepada  arahan  mereka  maka  berbagai-bagai
  tekanan  kewangan  dan ekonomi dikenakan  kepada  Kerajaan
  dan  rakyat.  Sebenarnya penekanan ke atas rakyat  menjadi
  cara  untuk memaksa Kerajaan mematuhi arahan dan  kehendak
  mereka.   Di manakah terdapat demokrasi daripada  tindakan
  mereka ini?
  
  13.   Kita  harus  faham bahaya yang besar  yang  dihadapi
  oleh  negara kita.  Jika kita tidak berjaga-jaga kita akan
  dijajah   semula  dengan  penjajahan  yang  tidak   kurang
  menghinakan.   Maruah  kita yang belum  dapat  kita  tebus
  sepenuhnya akan hancur sekali lagi.  Dan kali ini  mungkin
  kita tidak akan dapat memulihnya lagi.
  
  14.    Yang  diperlukan  daripada  kita  hanyalah  sedikit
  pengorbanan  dan  kesabaran.  Kita  tahu  kemiskinan  yang
  lebih  teruk  tidak lama dahulu dan kita tahu  kita  dapat
  mengatasinya.  Jika kita sanggup menghadapi cabaran insya-
  Allah  kita  akan  mengatasinya sekali  lagi.   Ini  bukan
  masanya  bagi  kita memperjuangkan kepentingan  diri  atau
  puak  atau  parti.   Jika perpecahan berlaku  di  kalangan
  kita  dan  tindakan  kita menjadi  kurang  berkesan,  maka
  dengan itu ekonomi kita akan merosot lagi dan pihak  asing
  berjaya  menguasai kita, percayalah nasib kita semua  akan
  menjadi  sama  buruk, termasuk mereka yang cuba  mengambil
  peluang memperalatkan masalah yang dihadapi oleh negara.
  
  15.   Jika  kita  berpegang kepada ajaran Islam,  terutama
  yang  berkaitan  dengan mengawal nafsu, kesederhanaan  dan
  kesabaran di bulan Ramadan, insya-Allah kita akan  berjaya
  dalam  usaha menyelamatkan negara daripada dijajah semula.
  Kita  telah  melihat  bagaimana rakyat  negara  lain  yang
  terpaksa  tunduk  kepada agensi bantuan antarabangsa  kini
  menderita.  Pekerja mereka menganggur, syarikat  dan  bank
  mereka  ditutup, barangan meningkat harga dan tidak  dapat
  dibekal  secukupnya dan banyak lagi tekanan hidup terpaksa
  dialami.   Jika kita tidak ingin semua ini berlaku  kepada
  kita   maka  hendaklah  kita  elak  daripada  mengutamakan
  kepentingan   diri   atau  kaum  atau  pertubuhan   tetapi
  sebaliknya   kita  mengutamakan  perpaduan.    Ini   bukan
  bermakna   perjuangan   kita  akan  terhenti   berterusan.
  Apabila  kita telah dapat mengatasi masalah yang  dihadapi
  kita   boleh  kembali  memperjuangkan  semula   apa   juga
  perjuangan  kita.  Janganlah kita menyebabkan  pecah-belah
  di  kalangan kita dan melemahkan tumpuan kita kepada usaha
  mengatasi masalah ekonomi negara kita.
  
  16.   Sehingga  kini,  Alhamdulillah  kita  masih  berjaya
  mempertahankan  kebebasan  kita.   Sebabnya  ialah  kerana
  kita  telah  membina asas-asas yang kukuh.  Sokongan  kuat
  oleh   majoriti   rakyat  membolehkan  Kerajaan   mengurus
  pentadbiran   negara  tanpa  dipengaruhi  oleh   mana-mana
  kumpulan  yang  ingin  menggunakan kuasa  Kerajaan  secara
  yang    tidak    bijak.    Kerajaan   dapat   mengutamakan
  kepentingan   negara   dan  bukan  kepentingan   mana-mana
  kumpulan.   Kita dapat perhatikan bahawa di mana  Kerajaan
  lemah  dan  terpaksa bergantung kepada penyokong-penyokong
  tertentu  untuk kekal sebagai Kerajaan, maka  wujud  pilih
  kasih  sehingga perbuatan yang merugikan negara dilakukan.
  Apabila  ini berlaku maka negara menjadi lemah  dan  mudah
  diserang   oleh  pihak  tertentu.   Tetapi   oleh   kerana
  Kerajaan  Malaysia kukuh dan tidak takut  dijatuhkan  oleh
  mereka yang dekat dengannya, maka dasar yang dibentuk  dan
  tindakan  yang diambil adalah yang sihat, wajar dan  tidak
  melemahkan negara.
  
  17.   Sekarang ternampak jelas kebijaksanaan  rakyat  yang
  memberi  mandat yang besar kepada Kerajaan.  Di  mana-mana
  sahaja di mana Kerajaan tidak mempunyai mandat yang  kuat,
  bukan  sahaja dasar dan pentadbiran menjadi lemah,  tetapi
  Kerajaan  juga  menjadi terlalu lemah untuk mempertahankan
  kebebasan negara.
  
  18.   Pada  hari  yang  mulia ini  kita  ingin  bergembira
  sedikit  dan  melupakan  masalah yang  kita  hadapi.   Ini
  memang  wajar.  Tetapi kegembiraan Hari Raya adalah kerana
  kita  telah berjaya melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan.
  Kita  bukan  gembira  tanpa sebab.   Kita  gembira  kerana
  berasa syukur bahawa kita berjaya mengatasi godaan nafsu.
  
  19.   Tetapi  tahun ini kejayaan kita adalah lebih  besar.
  Kita  bukan sahaja dapat melawan nafsu yang menyerang diri
  kita  sendiri  tetapi  kita juga  dapat  melawan  perasaan
  kecewa  dan marah kerana tekanan-tekanan lain yang melanda
  kita  seperti  sedikit  kekurangan  bekalan  dan  kenaikan
  harga  barangan.   Kerana kita tertib dan tidak  bertindak
  secara  liar,  maka  puasa kita lebih bermakna.   Demikian
  juga  perayaan  kerana kejayaan kita melawan  nafsu  lebih
  berasas dan bererti.
  
  20.   Tahun  ini  sekali lagi Raya Puasa  disambut  hampir
  bersama dengan Tahun Baru Cina.  Walaupun orang Islam  dan
  orang  Cina merayakan hari kebesaran masing-masing  kerana
  sebab-sebab   yang  berlainan  tetapi  kita  harus   ambil
  kesempatan  ini  untuk  menjalin  perhubungan  yang   baik
  antara  dua kaum yang besar ini.  Dapatnya kita  merayakan
  hari  kebesaran masing-masing dengan aman dan tenang ialah
  kerana   di  negara  kita  hubungan  kaum  tidak   menjadi
  masalah.   Justeru  itu, sepatutnyalah kita  pertingkatkan
  lagi   hubungan  yang  baik  ini  kerana  kedua-dua   kita
  mendapat manfaat daripadanya.
  
  21.    Apa  yang  dipanggil  kongsi  Raya  tidak  bermakna
  perayaan  kita disatukan.  Ia hanya bermakna kita  rayakan
  hari-hari   kebesaran   kita  bersama.    Kebolehan   kita
  merayakan   hari  kebesaran  kita  bersama  adalah   bukti
  pemahaman  kita dalam menangani masalah hubungan  kaum  di
  negara   kita.    Tentulah  ianya  lebih   baik   daripada
  permusuhan  yang buta-tuli yang kita lihat  di  sesetengah
  negara  yang menyebabkan tiada siapa boleh merayakan  hari
  raya dengan sempurna.
  
  22.   Walaupun Tahun Baru Cina jatuh semasa kaum  Muslimin
  masih berpuasa, lawatan yang kita buat ke atas rakan  kita
  daripada  kaum  Cina tidak menghalang kita daripada  terus
  berpuasa.   Orang Cina menghormati puasa orang  Islam  dan
  tidak akan menjemput kita makan atau membuat apa-apa  yang
  bertentangan  dengan  agama  kita.  Sebaliknya   kefahaman
  mereka  akan  ibadat puasa di kalangan orang  Islam  boleh
  meningkatkan  pengetahuan  mereka  tentang  pantang-larang
  orang  Islam.   Dan  ini akan menolong  menjalin  hubungan
  yang  baik  antara  kaum, yang mana  ini  akan  menjadikan
  negara  kita  terus  aman  dan  berdaya  tahan.   Kemajuan
  negara   kita   banyak  bergantung  kepada  keamanan   dan
  kekuatan  ini.   Justeru  itu lawatilah  kawan  dan  rakan
  semasa perayaan masing-masing.
  
  23.   Walaupun  negara menghadapi masalah  ekonomi  tetapi
  keadaan   dalam   negara  kita  masih   membenarkan   kita
  merayakan  Hari  Raya Aidilfitri ini  dalam  keadaan  yang
  tidak  terlalu  menekan, dengan bekalan yang  cukup  tanpa
  apa-apa  kesulitan.   Justeru itu,  kita  harus  bersyukur
  kerana  semua  ini  adalah nikmat yang dikurniakan  kepada
  kita   oleh  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala.   Seperti  yang
  disebut  dalam  Al-Quran, orang yang tahu  bersyukur  akan
  menerima  lebih banyak nikmat.  Insya-Allah  masalah  kita
  akan  dapat  dipulih dan kita akan kembali kepada  keadaan
  seperti  dahulu,  tetapi lebih bijak dan lebih  arif  akan
  cabaran  dan  ancaman  yang kita  perlu  hadapi  sepanjang
  masa.   Segala  yang kita hadapi adalah  ujian  Tuhan  dan
  kita  harus  atasi segala cabaran dengan  tabah  hati  dan
  insya-Allah kita akan berjaya.
  
  24.   Sempena  kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri  tahun
  ini  saya bagi pihak Kerajaan, diri saya, isteri saya  dan
  keluarga  saya memohon maaf zahir dan batin atas apa  juga
  kesalahan dan kesilapan kami terhadap sesiapa.
  
  25.   Kepada  semua umat Islam saya ucapkan  Selamat  Hari
  Raya   Aidil   Fitri  yang  mulia.   Bagi  anggota-anggota
  Pasukan Keselamatan kita di negara asing, bersabarlah  dan
  Rayalah hari yang mulia ini.
  
       Wabillahitaufik      walhidayah      wassalamualaikum
  warahmatullahi wabarakatuh.
  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Walillahilhamd

 
 



 
Google