Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21/02/98
Tajuk/Title : MERASMIKAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN PARTI PROGRESIF
PENDUDUK MALAYSIA (PPP) (BARU)
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP)(Baru) dan
Presidennya Datuk M. Kayveas kerana telah sudi menjemput
saya untuk merasmikan perhimpunan agung PPP bagi tahun
1997. Pada tahun lalu tidak ada perhimpunan agung PPP
oleh kerana saya tidak dapat memenuhi jemputan untuk
merasmikannya.
2. Saya minta maaf atas perkara itu. Tetapi jika saya
tidak merasmikannya kali ini, mungkin mesyuarat
ditangguhkan lagi. Oleh itu saya anggap mesyuarat yang
saya rasmikan hari ini ialah mesyuarat tahun 1997 dan
juga tahun ini.
3. Bagaimanapun saya gembira hari ini kerana PPP telah
berkembang maju dan berupaya mengatasi masalah yang
dihadapinya dengan baik. Saya berharap masalah
kepimpinan dalam PPP ini tidak akan 'menghantui'nya
lagi.
4. Negara kita memerlukan kestabilan dan kepimpinan
politik yang mantap untuk menjamin segala rancangan
pembangunan kita mencapai kejayaan. Jika parti-parti
komponen Barisan Nasional lemah maka lemahlah Kerajaan
kita. Dengan kelemahan itu kita boleh dijajah semula.
5. Masalah dalaman parti-parti komponen Barisan
Nasional hendaklah diselesaikan dengan bijaksana. Tidak
perlu kita mendedahkan masalah kita kepada orang luar.
Kita ada mekanisme masing-masing untuk menyelesaikan
sebarang perselisihan atau perbezaan pendapat dalam
parti komponen BN.
6. Pendekatan ini penting untuk menjamin Barisan
Nasional bukan sahaja ternampak sentiasa utuh tetapi
benar-benar kukuh. Kepentingan peribadi hendaklah
diketepikan. Kejayaan bagi diri sendiri yang
menyebabkan parti rosak tidak bermakna. Rosaknya parti
maka rosaklah kita. PPP yang dahulu adalah parti
politik yang berwibawa telah menjadi lemah kerana
rebutan kepimpinan parti. Akibatnya siapa juga yang
menjadi pemimpin tidak mendapat kedudukan yang dihormati
dan berkesan.
7. Jika anggota-anggota parti asyik `bercakaran'
kerana percaya tempat atau jawatan dalam parti boleh
memberi pulangan besar, alamatnya porak perandalah parti
itu. Keadaan malang ini akan menjadi bertambah buruk
jika pemimpin cuba meletakkan penyokong atau orang
kesukaannya di tempat tertentu.
8. Bagi mempastikan mereka dapat mencapai niat itu,
mereka mungkin menyalahgunakan kuasa atau pengaruh
mereka. Semua ini tidak dapat tidak akan melemahkan
lagi parti dan menjadikan perjuangan parti semakin tidak
berkesan.
9. Parti-parti yang asyik dengan politik dalaman akan
lalai dan lupa tanggungjawab mereka yang sebenar. Apakah
makna perjuangan jika kemenangan atau kekalahan dalam
pemilihan pemimpin parti menyebabkan perjuangan parti
tidak berhasil?
10. Masalah parti politik tidak boleh diselesaikan
melalui undang-undang. Jika undang-undang menentukan
kepimpinan parti, tetapi kepimpinan itu tidak direstui
oleh majoriti, maka ianya tidak akan berwibawa. Undang-
undang boleh mengharam atau mengesahkan sesebuah parti
politik, tetapi jika majoriti ahli mahu parti itu
dikekalkan, keputusan mengikut undang-undang tidak akan
menghasilkan apa-apa. Ingatlah yang menyebabkan parti
politik wujud ialah kesanggupan ahli-ahli menerimanya
sebagai alat sesuatu perjuangan. Jika perjuangan ini
diganti dengan kepentingan pemimpin tertentu maka
sokongan kepada parti akan hilang dan pemimpin tidak
mempunyai parti untuk dipimpin.
11. Kita tidak nafi bahawa adakalanya pemimpin perlu
ditukar. Tetapi penukaran hendaklah dilakukan secara
teratur dan bijak. Kata pepatah Melayu urusan penukaran
pemimpin hendaklah seperti menarik rambut dalam tepung,
rambut dikeluarkan tanpa tepung berkecamuk. Apa gunanya
pemimpin baru yang kononnya lebih baik jika parti yang
hendak dipimpin olehnya hancur berkecai.
12. Jawatan atau kedudukan dalam mana-mana parti datang
bersama dengan tanggungjawab dan amanah yang besar.
Memperolehi kedudukan adalah satu perkara. Melaksanakan
tanggungjawab jawatan adalah perkara yang lain. Mungkin
ramai orang yang boleh mendapat jawatan, tetapi tidak
boleh melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang
diharapkan. Dengan itu urusan memilih pemimpin menjadi
sia-sia sahaja.
13. Yang bertambah buruk lagi ialah apabila ada anggota-
anggota parti menyangka jawatan atau kedudukan dalam
parti boleh memberi peluang mengejar kekayaan.
14. Anggapan seperti inilah yang boleh memusnahkan
Kerajaan, parti dan negara. Justeru itu, adalah penting
setiap anggota parti komponen Barisan Nasional sentiasa
beringat semasa memilih ketua atau pemimpin mereka.
Pilihlah mereka yang boleh memimpin kita ke arah
kebaikan dan bukan yang boleh menguntungkan diri kita
sendiri. Ingatlah, bekerja atau berkhidmat dalam parti
adalah suatu perjuangan yang memerlukan pengorbanan yang
amat besar. Kita jangan mengharapkan sebarang balasan
kerana kita mungkin kecewa apabila harapan tidak
tercapai.
15. Sepertimana yang diketahui negara kini sedang
mengalami kegawatan ekonomi kesan daripada peniaga
matawang menjatuhkan nilai Ringgit dan saham kita sejak
Julai tahun lalu. Kita tidak berkata bahawa perbuatan
mereka adalah satu rancangan jahat untuk melemah dan
menekan kita, tetapi hakikatnya ialah perlakuan ini
telah menyebabkan banyak masalah menimpa kita. Penurunan
nilai matawang tetap menjadikan negara dan rakyat lebih
miskin bahkan boleh membankrapkan syarikat perniagaan,
bank, orang perseorangan bahkan negara. Kerana tekanan
ini, huru-hara dalam masyarakat dan politik negara boleh
berlaku. Kerajaan dan pemimpin boleh disalahkan
sehingga usaha dibuat untuk menjatuhkan Kerajaan dan
pemimpin-pemimpin tertentu. Tetapi kita bernasib baik
kerana keadaan dalam negara kita terus tenang.
16. Sebenarnya jika huru-hara sosial dan rusuhan
politik menyusuli kegawatan ekonomi maka keadaan ini
akan disalahkan sebagai sebab kenapa kegawatan ekonomi
menjadi teruk. Dengan itu semua pihak akan lupa bahawa
sebenarnya kegawatan ekonomi bermula dan disebabkan oleh
penurunan nilai matawang yang sengaja dibuat oleh pihak
asing. Perbuatan mereka akan dilupakan sementara
tumpuan diberi kepada rusuhan politik yang berlaku.
17. Jika kita renung sejenak tentulah kita sedar
ekonomi dan politik kita tidaklah buruk sebelum jatuhnya
matawang. Demikianlah kejayaan kita sehingga kita
digelar sebagai satu daripada 'Asian Tiger' dan ramai
pelabur asing datang ke sini untuk melabur dan mengaut
keuntungan besar. Tetapi apabila nilai matawang kita
dijatuhkan barulah tuduhan dibuat bahawa Kerajaan tidak
cekap, rasuah dan sebagainya. Dalam sistem niaga wang
yang dicipta oleh mereka, tiap kali wang dijual,
nilainya akan jatuh. Dengan menjual wang kita berkali-
kali nilai wang kita jatuh dengan teruk dan kegawatan
ekonomi pun berlaku. Justeru itu yang bersalah
sebenarnya ialah peniaga matawang.
18. Tetapi jentera propaganda mereka begitu cekap
sehingga kita lupa tentang peranan mereka dan percaya
bahawa masalah kita disebabkan oleh kita yang dikatakan
tidak cekap, rasuah dan sebagainya. Justeru itu, mereka
kononnya hilang keyakinan dan melarikan modal mereka.
Jika sebenarnya perlakuan kita yang menyebabkan mereka
kurang yakin, sepatutnya mereka dari mula lagi tidak
melabur di sini dengan begitu banyak. Mustahil mereka
baru sahaja tahu Kerajaan negara-negara Asia tidak baik
sedangkan mereka memiliki badan penyelidik yang cekap.
Sebenarnya mereka tahu dan mereka nampak peluang meraih
keuntungan yang besar daripada kita. Kemudian apabila
kita sudah kaya mereka merompak. Hakikatnya ialah
mereka mendapat keuntungan yang besar daripada
menjatuhkan nilai matawang kita. Sebaliknya negara-
negara membangun yang tidak kaya walaupun mengamalkan
sistem dan dasar pentadbiran yang sama dengan kita tidak
menghadapi kegawatan ekonomi. Nilai matawang mereka
tidak jatuh. Sebabnya ialah mereka belum cukup kaya
untuk dirompak.
19. Apabila kita sudah jadi maju dan kaya sedikit maka
ketika itu barulah kononnya keyakinan hilang dan
matawang dijatuhkan. Tetapi demikianlah cekapnya mesin
propaganda mereka sehingga ramai rakyat Asia Tenggara
menyalahkan Kerajaan-kerajaan mereka dan turut hilang
keyakinan, tidak percaya kepada matawang sendiri. Dengan
itu proses menghancurkan ekonomi negara diambil oleh
kita sendiri. Yang menyedihkan ialah sementara mereka
untung besar daripada kejatuhan matawang kita, orang
kita tidak dapat apa-apa keuntungan daripadanya.
Sebaliknya kita terus rugi dengan teruknya.
20. Kita telah menerima demokrasi dengan segala
kelemahannya. Kita lihat bagaimana adanya negara
demokratik yang tidak dapat menubuhkan Kerajaan yang
berwibawa yang menyebabkan masalah negara tidak dapat
diatasi, kemiskinan dan penderitaan rakyat yang tidak
putus-putus; kita lihat bagaimana rasuah digunakan
untuk mendapat kuasa, bagaimana media menjadi lebih
berkuasa daripada pemimpin yang dipilih dan bagaimana
minoriti boleh menidakkan hak majoriti. Kita lihat
semua ini namun kita masih percaya kepada demokrasi.
21. Tetapi hari ini diperkenalkan pula demokrasi
pasaran yang lebih kuat dan lebih tinggi daripada
demokrasi politik. Hari ini kuasa pasaran atau 'market
forces' didakwa berhak untuk mendisiplinkan Kerajaan
yang dipilih oleh rakyat. 'Market forces' ini bukan pun
dipilih atau datang dari negeri sendiri tetapi berpusat
di negara asing. Namun tidak ada siapa boleh mencabar
usaha 'market forces' untuk menentukan bentuk Kerajaan,
pemimpin Kerajaan dan negara serta dasar-dasar negara.
Bahawa 'market forces' ini hanya mengutamakan keuntungan
bagi segelintir manusia yang tamak, yang tidak
mempedulikan azab sengsara yang melanda negara dan
rakyat yang menjadi sasaran serangan mereka, tidak
mengapa. Bahawa 'market forces' ini digunakan untuk
memaksa penerimaan pendapat mereka, yang mana ini adalah
bertentangan dengan prinsip demokrasi, tidak mengapa.
Yang penting ialah hari ini pendapat Barat ialah 'market
forces' kononnya lebih tahu tentang bagaimana menentukan
Kerajaan menjadi lebih demokratik, lebih 'transparent',
lebih bebas daripada rasuah dan 'crony-capitalism'.
Walaupun ini tidak benar dan 'market forces' hanya
mengutamakan keuntungan bagi pihak tertentu tetapi semua
mesti tunduk kepada 'market forces'. Jika tidak 'market
forces' akan mendisiplinkan Kerajaan dengan mendera
rakyat, pekerja dan peniaga sehingga negara menjadi
bankrap.
22. Inilah perkembangan yang baru dalam tafsiran
demokrasi. Mereka sudah ubah tiang gol sekali lagi
supaya kita tetap tidak akan dapat mengejar kejayaan.
Dengan ini perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bermula
semula.
23. Alhamdulillah, "God be Praised, up to now we are
still able to resist. We have not been forced to submit
to the agencies which desire to establish control over
us." Bahawa kita masih dapat menangkis penguasaan orang
asing keatas kita adalah bukti dasar dan pendekatan
ekonomi negara dan Kerajaan berjaya menguatkan ketahanan
negara kita. Jika tidak sudah tentu negara kita sudah
lama tunduk kepada tekanan kuasa asing.
24. Hanya mereka yang mempunyai kepentingan lain,
seperti kepentingan politik tertentu sahaja yang tidak
mahu mengakui bahawa dasar dan pendekatan kita dalam
membangunkan negara kita adalah baik dan berkesan. Saya
harap tidak ada sesiapa dalam Barisan Nasional yang cuba
mengguna kegawatan ekonomi negara untuk kepentingan
politik mereka.
25. Sebaliknya kita dalam Barisan Nasional dan rakyat
keseluruhannya hendaklah elak daripada pertikaian dan
bersatu hati dalam usaha mempertahankan kedaulatan
negara dan memulihkan semula ekonomi kita. Kerajaan
telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)
untuk menyelaras usaha ini dan kita telah mencipta
pendekatan yang mampu menangani masalah ini. Yang
diperlukan ialah kesanggupan rakyat bersabar, berkorban
dan menolong menjayakan pendekatan yang dicipta oleh
MTEN dan Kerajaan.
26. Dengan harapan kita semua bersatu usaha dan tenaga,
dan mengenepikan segala kepentingan peribadi,
kepentingan politik, kepentingan kaum dan mengutamakan
bangsa dan negara untuk memulihkan ekonomi negara, saya
dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan
Parti Progresif Penduduk Malaysia (Baru) tahun 1997.
|