Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TECHNOLOGY PARK MALAYSIA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/02/98
Tajuk/Title : PERASMIAN MASTERCENTRE TECHNOLOGY
PARK MALAYSIA
1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Technology
Park Malaysia (TPM) kerana menjemput saya untuk
merasmikan MASTERCentre Technology Park Malaysia pada
hari ini. Sejak lawatan saya ke TPM 15 bulan dahulu,
banyak kemajuan telah dicapai oleh TPM.
2. Penubuhan TPM adalah selaras dengan hasrat Kerajaan
untuk meningkatkan bidang 'knowledge-based and high-tech
industries' kerana ini adalah cara yang diperlukan bagi
negara kita maju dengan pesat dan dapat bersaing dengan
negara-negara lain. Negara-negara yang lebih maju
seperti Taiwan, Jepun dan Amerika Syarikat memberi
banyak tumpuan kepada industri kecil dan sederhana
khasnya yang berlandaskan 'knowledge-based' iaitu isi
kandungan pengetahuan yang tinggi. Oleh itu,
perkembangan serta kemajuan industri jenis ini dalam
pembangunan ekonomi adalah penting.
3. Saya difahamkan bahawa di Taiwan syarikat-syarikat
industri sedemikian yang beroperasi terutamanya di Hsin
Chu Science Park dapat menyumbang sejumlah besar kepada
ekonomi negara tersebut melalui pengeluaran barangan dan
khidmat atau 'service' bermutu untuk dieksport. Saya
yakin jika kita mengambil langkah yang sama dalam
membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang kecil dan
sederhana dalam bidang ini, kita juga akan beroleh
kejayaan yang cemerlang. Kita percaya dan yakin bahawa
rakyat kita juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang
tidak kurang daripada rakyat negara yang lebih maju.
4. Saya gembira bahawa setakat ini semua ruang pejabat
bagi syarikat tenan di TPM telahpun dipenuhi dalam masa
setahun operasinya di sini. Kecapaian ini adalah
menggalakkan dan saya percaya bahawa pembangunan Fasa
Kedua TPM yang telahpun menerima banyak tempahan juga
akan berjaya. Oleh kerana TPM juga terletak di tengah-
tengah Koridor Raya Multimedia atau MSC, TPM mampu
menambahkan nilai kepada penempatan syarikat-syarikat
yang beroperasi di sini.
5. Saya difahamkan bahawa setakat ini perkembangan
syarikat-syarikat tenan TPM adalah memuaskan. Saya
harap semua syarikat tenan TPM akan berusaha
menggabungkan daya kreatif dan kemudahan teknologi
canggih supaya dapat mengeluarkan barangan dan 'service'
yang bermutu hasil daripada penyelidikan yang dijalankan
di sini.
6. Selaras dengan tarafnya sebagai institusi
penyelidikan dan pembangunan, TPM di bawah program
'Industrial Research Priority Area' atau IRPA, hendaklah
menerajui pembangunan teknologi yang inovatif supaya
kita boleh menjadi pengeluar barangan dan perkhidmatan
yang ulung di dunia. Kecapaian ini bukanlah mustahil
bagi rakyat negara ini. Sebab itu Kerajaan telah banyak
melabur dalam membangunkan kemudahan berteknologi tinggi
seperti yang terdapat di TPM. Peralatan yang canggih
dan terkini bagi industri Teknologi Maklumat dan
Kejuruteraan telah pun dilengkapkan dan pekerja mahir
juga diadakan di TPM.
7. Syarikat-syarikat tempatan digalakkan untuk
menggunakan kemudahan yang tersedia di TPM supaya
mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada teknologi
dari luar negara. Dalam keadaan ekonomi sekarang,
syarikat-syarikat tempatan hendaklah mencari jalan yang
bijak untuk berdikari sambil mengurangkan kos
perbelanjaan. Kita mesti berkebolehan dan berupaya
untuk menghasilkan teknologi sendiri supaya kita dapat
mengeluarkan barangan bagi kegunaan tempatan dan
antarabangsa. Pengimportan segala teknologi serta
barangan untuk keperluan kita adalah jalan mudah yang
harus kita kurangkan.
8. Kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada
usaha-usaha untuk menghasilkan barangan kita sendiri.
Dalam hal ini, pengguna juga mestilah menyokong dan
membeli barangan Malaysia. Kita hendaklah percaya
sepenuhnya kepada keupayaan kita mencipta dan
mengeluarkan barangan 'world standard' yang menyaingi
apa yang dihasilkan di luar negara. Kalau pengguna kita
tidak dapat menerima barangan buatan Malaysia sendiri,
bagaimanakah industri kita dapat berkembang dengan
lebih pesat lagi?
9. Malaysia sekarang ini adalah negara pengeluar yang
ke-16 di dunia dengan hasil eksport sebanyak US$78.2
billion. Walaubagaimanapun, kedudukan kita ini haruslah
dipertingkatkan melalui pengeluaran yang lebih pesat
oleh industri tempatan. Umpamanya, Malaysia adalah
pengeluar pendingin udara yang terbesar di dunia tetapi
kebanyakan alat ini adalah dikeluarkan oleh syarikat-
syarikat besar yang mempunyai kilang di Malaysia.
Bahawa kita dapat mengeluarkan barangan ini untuk
syarikat asing bermakna kita mampu dan boleh
mengeluarkan barangan ini untuk dan oleh syarikat milik
kita. Kemungkinannya ialah kos kita dapat dikurangkan
sementara mutu keluaran terus tinggi.
10. Dalam hal ini, syarikat-syarikat tempatan harus
bertindak dengan menguasai teknologi asing dengan cepat.
Mereka juga perlu berusaha bukan sahaja memasang atau
'assemble' barangan daripada komponen yang kebanyakannya
diimport, tetapi mereka hendaklah mengeluarkan komponen
buatan sendiri. Pengeluaran komponen memerlukan
'volume' yang besar dan mutu yang bertaraf antarabangsa.
Tujuan dan matlamat pengeluaran komponen hendaklah tidak
terhad kepada membekal kilang-kilang tempatan sahaja
tetapi untuk dieksport ke negara lain supaya 'volume'
dapat menolong mencapai 'economies of scale' yang boleh
mengurangkan kos. Industri pengeluaran komponen
memerlukan 'precision engineering' kerana kebanyakan
daripada 'child parts' untuk komponen amatlah kecil dan
perlu kepada 'precision' untuk berfungsi dengan baik.
Bidang 'precision engineering' termasuk dalam takrif 'hi-
tech' yang sesuai dengan peningkatan teknologi di negara
kita.
11. Dalam bidang perkhidmatan pula, Malaysia boleh
menggunakan kedudukannya dengan menawarkan khidmat
runding kepada negara yang sedang membangun. Untuk
mengambil peluang nilai matawang kita yang kini lebih
rendah, Malaysia boleh menyediakan 'service' dalam
bidang teknologi maklumat umpamanya dengan nilai yang
agak kompetitif.
12. Semua usaha ini akan dapat dilaksanakan melalui
penyediaan kemudahan serta pekerja mahir dan berilmu
yang cekap lagi produktif. Malaysia kini sedang
membangunkan sektor pendidikan supaya pelajar-pelajar
kita boleh mendapatkan pengajian tinggi di pusat-pusat
pengajian tinggi tempatan. Saya difahamkan bahawa TPM
sedang merancang untuk menawarkan kursus-kursus khas
serta latihan kemahiran kepada kakitangan industri dalam
bidang berteknologi tinggi seperti robotik dan
kejuruteraan melalui kerjasama dengan institusi
pengajian tinggi dan universiti yang terulung di dunia.
Tujuannya adalah untuk mempertingkatkan tenaga mahir
dalam industri sambil memberi peluang kepada pelatih
untuk mendapatkan ijazah selepas tamat latihan.
Rancangan ini adalah bersesuaian dengan keperluan negara
yang tidak mencukupi sumber infrastruktur pendidikan dan
latihan. TPM sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang
pengajian tinggi memang wajar menyediakan peluang
sedemikian selaras dengan objektifnya.
13. Saya gembira bahawa pada hari ini TPM melancarkan
MASTERCentrenya yang menempatkan makmal Robotiknya,
hasil daripada perjanjian dengan Fanuc Ltd dan Mitsui
and Co. dari Jepun yang saya saksikan 15 bulan dahulu.
Dalam masa ini TPM bukan sahaja dapat menyediakan
kemudahan daripada segi peralatan, tempat dan pekerja
mahir dan terlatih tetapi juga sudah berupaya
menjalankan latihan bagi industri otomotif dan yang
berkaitan.
14. Peranan TPM dalam menyediakan kemudahan ini bukan
terhad kepada melatih pekerja mahir untuk industri
berteknologi tinggi tetapi juga untuk membantu memenuhi
keperluan tenaga kerja. Di samping itu, TPM dapat
membantu Malaysia meningkatkan tahap pengetahuan,
kemahiran dan kepakaran sumber manusia. Seperti negara-
negara maju yang lain, sumber manusia dari Malaysia yang
mempunyai kepakaran tertentu juga akan dapat mengeksport
kepakaran mereka ke luar negara.
15. Buat masa ini, banyak pembaharuan telah pun
ditingkatkan dalam pembuatan peralatan dan perisian yang
menjadikan peralatan Robotik lebih murah seperti juga
yang dialami di dalam industri komputer. Penggunaan
Robotik di dunia juga adalah lebih terjalin dengan
terdapat lebih daripada sejuta pemasangan Robot di
seluruh dunia pada masa ini.
16. Langkah TPM membantu industri tempatan adalah tepat
dan pihak industri disarankan supaya bekerjasama
dengan TPM untuk memperolehi hasil daripada kekuatan
masing-masing. Pertamanya kerjasama ini boleh menjadikan
Malaysia sebagai pusat pengeluaran yang pintar dengan
terdapatnya kemudahan infrastruktur khas, pekerja mahir
dan tumpuan teknologi tinggi. Kemudiannya, kita boleh
mengurangkan beban import melalui proses pengeluaran
'upstream' seperti pengeluaran 'mould and dies' komponen
dan 'precision child parts' yang diguna untuk membuat
komponen.
17. Pelaburan Kerajaan yang tinggi untuk membangunkan
kemudahan robotik serta pekerja mahir di MASTERCentre
TPM adalah bagi membantu industri di Malaysia mengambil
manfaat daripada kegunaannya. Saya menyeru semua pihak
supaya menggunakan sepenuhnya kemudahan robotik yang
disediakan ini dalam kegiatan latihan, pembuatan
komponen dan barangan mereka serta bagi penyelidikan,
penciptaan dan pembangunan supaya kita boleh
meningkatkan mutu dan jumlah pengeluaran negara kita.
Kita hendaklah berani mencipta cara dan produk yang baru
yang belum pernah dicuba atau dikeluarkan oleh sesiapa.
Janganlah kita terlalu terkongkong dengan produk yang
sedia ada yang dicipta oleh orang lain. Yakinlah kepada
diri sendiri.
18. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
MASTERCentre Technology Park Malaysia.
|