Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA MCA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	30/05/98 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN 
			MCA KE-45 



       Saya  ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa  Pusat
  Parti   MCA  kerana  menjemput  saya  sekali  lagi   untuk
  merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA  yang ke-45.
  
  2.    Saya juga ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada
  YB  Datuk Seri Dr Ling Liong Sik di atas kepimpinan beliau
  dalam   menerajui  parti  MCA.   Kecekapan  dan  kejujuran
  politik  adalah  penting, terutama sekali  pada  saat-saat
  ini  di mana Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi.   Saya
  berbangga  pihak  MCA  bersama-sama mempunyai  azam  untuk
  memulihkan  ekonomi  negara dan  berusaha  untuk  mengelak
  sebarang  kejadian  yang  tidak diingini  berlaku  apabila
  masalah seperti ini menimpa negara.
  
  3.    Sehingga 1997, Malaysia telah menempuh kejayaan yang
  cemerlang.    Selama  10  tahun  berturut-turut   Malaysia
  mencapai  pertumbuhan ekonomi lebih   lapan   peratus  dan
  kejayaan  ini bukan sahaja telah  menghasilkan pembangunan
  pesat  daripada segi kemewahan tetapi negara juga  berjaya
  mencapai  keadilan sosial melalui agihan  kekayaan  negara
  secara  yang saksama.  Dalam hal ini, konsep Persyarikatan
  Malaysia   yang  merapatkan  hubungan  diantara   Kerajaan
  dan  masyarakat  peniaga  dan  pengusaha  banyak  membantu
  bukan  bumiputera    mencapai  kejayaan.   Berikutan   itu
  kadar   kemiskinan  telah  menurun  dan    rakyat    dapat
  mengecapi  hasil  daripada   pertumbuhan  ekonomi  negara.
  Kualiti   hidup  pun meningkat.  Kita dipuji  dan  digelar
  'economic  tigers'  dan sebagainya  dan  Malaysia  menjadi
  'model'  untuk  dicontohi   oleh negara-negara   membangun
  lain.
  
  4.    Bagaimanapun  Malaysia  telah diserang oleh peniaga-
  peniaga  matawang  atau  'currency  traders'   pada  Julai
  tahun  1997.   Apa yang berlaku bukanlah kerana  perbuatan
  kita   yang  kononnya  salah,  iaitu  perbuatan   Kerajaan
  ataupun  rakyat.   Sebenarnya keadaan  kelembapan  ekonomi
  sekarang  disebabkan oleh segelintir manusia  yang  tamak,
  yang   sanggup  memusnahkan  negara-negara   yang   sedang
  membangun  dengan menjatuhkan nilai matawang negara-negara
  tersebut  untuk keuntungan serta-merta yang  besar.   Kini
  negara-negara  di  Asia  Timur   mengalami  berbagai-bagai
  masalah   sosial   dan  politik  akibat  kejatuhan   nilai
  matawang.    Kestabilan  politik  terus  tergugat   kerana
  rakyat  merasai kepahitan hidup akibat tekanan peningkatan
  harga barang-barang asas  dan penting seperti makanan  dan
  sebagainya.    Ramai    pekerja   kehilangan    pekerjaan,
  menganggur  dan tidak berupaya membeli  barang   keperluan
  hidup, termasuk ubat-ubatan dan susu untuk anak-anak.
  
  5.    Jelas  bahawa   40 tahun pembangunan,  kekayaan  dan
  kemakmuran   yang  dicapai   telah   dimusnahkan    dengan
  sekelip   mata.   Ini  semua  disebabkan   oleh  perbuatan
  sesetengah  golongan manusia yang tidak  bertanggungjawab,
  yang    sanggup  menjatuhkan  ekonomi  negara-negara   ini
  kerana  'greed'.   Sifat tamak  mereka telah   menjejaskan
  kehidupan   rakyat  semata-mata  kerana  kepentingan  diri
  masing-masing.   Walaupun  saya sedih  kerana  krisis  ini
  bererti   nilai  matawang kita telah merosot  sebanyak  50
  peratus,  saya masih dapat bersyukur dan berbangga  kerana
  rakyat  di negara ini menunjukkan semangat kental, sanggup
  mengenepikan  kepentingan diri dan  memberi sokongan  padu
  kepada   Kerajaan   untuk  sama-sama   mengatasi   masalah
  kegawatan ekonomi negara.
  
  6.    Satu   kesan  penting  yang  kita  perolehi daripada
  krisis  kewangan  ini ialah ianya telah  memberi  semangat
  yang  gigih  untuk kita sama-sama  menentang  'musuh'  dan
  'musuh'  yang saya maksudkan ini ialah krisis yang melanda
  rantau ini.  Krisis ini telah menjadikan kita semua  lebih
  kuat  daripada  segi keyakinan diri, keberanian,  dedikasi
  dan  semangat mahu menentang 'musuh' ini  'head on'. Tidak
  guna  kita  merungut  tetapi tidak  membuat  sesuatu  yang
  dapat membantu diri sendiri atau negara mengatasi masalah-
  masalah  yang dihadapi sekarang.  Demi kepentingan negara,
  banyak   perkara  yang  boleh  dijalankan   yang   sedikit
  sebanyak   dapat  mengurangkan  tekanan  sara  hidup  yang
  meningkat ke atas kehidupan  harian  rakyat.
  
  7.    Ini  adalah masanya bagi kita menunjukkan  kemampuan
  kita  menghadapi masalah secara rasional,  sistematik  dan
  praktikal.   Jika itu yang dikehendaki oleh  negara-negara
  maju  yang mengagung-agungkan 'market forces' atau  konsep
  seperti  globalisasi  dan  liberalisasi,  maka  pendekatan
  untuk  mengatasi  masalah-masalah ini ialah  dengan  cara-
  cara  tertentu  kita.   Pertamanya  adalah   penting  kita
  kukuhkan  perpaduan kita, dan seterusnya  kita  tingkatkan
  produktiviti  kita, tingkatkan simpanan,  dan  juga   daya
  saing  negara kita.
  
  8.    Untuk  tujuan  ini saya gembira bahawa  MCA  sebagai
  parti   komponen   Barisan  Nasional   telah   menjalankan
  beberapa  program  khususnya untuk  membantu  ahli-ahlinya
  dan  rakyat  umum   supaya tekanan  ekonomi  yang  menimpa
  Malaysia  secara  keseluruhan dapat  dikurangkan.   Usaha-
  usaha  untuk  mengutip derma untuk tabung-tabung  tertentu
  dapat   membantu negara dalam usaha membendung tekanan  ke
  atas  kewangan negara.  Sebenarnya kekayaan ada pada  kita
  tetapi  ianya tidak diguna kerana kegunaannya tidak perlu.
  Kekayaan  yang  saya  maksudkan ialah  simpanan  wang  dan
  harta  benda,  terutama barangan kemas yang tidak  memberi
  apa-apa   hasil  kepada  kita.   Kekayaan  tersimpan   ini
  hendaklah  kita gerakkan untuk menjadi modal  negara,  dan
  digunakan  oleh  peniaga  dan pengusaha  sebagai  pinjaman
  yang   boleh   menolong  membangunkan   semula    kegiatan
  ekonomi.
  
  9.     Selain  daripada   itu   perbelanjaan  kita   semua
  hendaklah  lebih bijak.  Jika kita berhenti  membeli-belah
  maka  ia  akan  menyebabkan  peniaga  menghadapi  masalah.
  Sementara   kita   patut   kurangkan   perbelanjaan   yang
  membazir,    kita   seharusnya    mengguna    duit    yang
  diselamatkan   untuk  membeli  barangan  tempatan.    Saya
  ucapkan  syabas kepada MCA kerana mengadakan kempen  untuk
  membeli  barang-barang  tempatan.  Ini  akan  mengurangkan
  aliran  wang  kita  ke luar negara, di  samping  memajukan
  industri tempatan.  Kempen ini hendaklah diteruskan.  Kita
  tidak  akan  rugi  kerana  barang tempatan  kita  sekarang
  adalah  setaraf dengan mutu  barangan yang sama di  dunia.
  "We  supply the world with quality goods.  Now  we  should
  buy  our  own  quality  goods to help  our  businesses  to
  recover".
  
  10.     Malaysia    adalah   negara   yang   mempraktikkan
  kesederhanaan  dan  toleran.  Keamanan yang  wujud  selama
  berpuluh  tahun  adalah bukti rakyat  memahami  perbezaan-
  perbezaan  kaum  yang wujud tetapi sengaja  memilih  jalan
  yang  "moderate"   yang  mengenepikan  perbezaan-perbezaan
  ini.   Bahawa  rakyat negara ini adalah  terdiri  daripada
  pelbagai   kaum,  tetapi  berjaya  hidup  dengan  harmonis
  mendapat  perhatian  rakyat negara asing  yang  menghadapi
  rusuhan  kaum,  masalah  sosial dan  sebagainya.   Formula
  yang  digunakan adalah 'simple' iaitu  semua kaum mestilah
  sama  pembangunan mereka supaya kekayaan negara  terbahagi
  secara  yang  adil.   Di masa yang sama  kita  tidak  akan
  ambil  harta kekayaan mana-mana kaum untuk  diberi  kepada
  kaum  tertentu.   Kita akan wujudkan  kekayaan  yang  baru
  untuk diberikan  kepada kaum yang tertinggal.  Dengan  ini
  semua kaum akan berasa puas hati dan tidak teraniaya.
  
  11.   Pendekatan ini adalah berbeza dengan  cara  sosialis
  yang  merampas  hak mereka yang kaya untuk  diberi  kepada
  yang  miskin.   Tidak  siapa boleh berkata  bahawa  mereka
  tidak   dapat  sesuatu  daripada   usaha  menyusun  semula
  masyarakat  yang  dimulakan pada tahun  1970.   Kita  tahu
  bahawa  ramai mereka yang berpindah ke negara lain  kerana
  takut  kepada kesan penyusunan semula masyarakat  Malaysia
  telah kembali ke Malaysia atau ingin pulang ke Malaysia.
  
  12.   Saya  gembira  MCA  sebagai parti  komponen  penting
  dalam  Barisan  Nasional  berjaya memainkan  peranan  yang
  berkesan  dalam meningkatkan perpaduan kaum  dan  membantu
  dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.
  
  13.  Sekali lagi saya ucapkan syabas kepada Datuk Seri  Dr
  Ling  Liong  Sik yang  mempunyai keazaman yang kuat  untuk
  memelihara    perpaduan   dalam   parti   dan   seterusnya
  menyumbang  kepada kesejahteraan negara.   Bersama-samalah
  kita  berusaha memulihkan semula ekonomi kita supaya  kita
  akan  terus  maju dan mencapai cita-cita yang  kita  telah
  tetapkan.
  
  14.    Dengan   ini  saya  dengan  sukacitanya  merasmikan
  mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-45.

 
 



 
Google