Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/06/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
			SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN 
			BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG 


                                                          
             UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA

       Dengan  penuh  hormat dan takzim-Nya  pihak  Kerajaan,
  pegawai  dan  kakitangan  dan  seluruh  rakyat  mengucapkan
  setinggi-tinggi  tahniah kepada Tuanku  sempena  ulangtahun
  Keputeraan rasmi Tuanku pada hari ini.  Semua pihak  berdoa
  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala  semoga  dilanjutkan
  usia  serta dilimpahkan rahmat-Nya ke atas Tuanku dan  Raja
  Permaisuri  Agong Tuanku Najihah dan semoga  Tuanku  berdua
  berada   di  dalam  keadaan  sihat,  sejahtera  dan   penuh
  kedaulatan.
  
  2.    Syukur Alhamdulillah, negara kita terus dapat  berada
  dalam  keadaan  aman  damai dan rakyat  hidup  dalam  iklim
  bersatu  padu  dan berharmoni walaupun negara  kita  sedang
  dilanda  masalah  ekonomi.  Hanya pada  tahun  lalu  sahaja
  pada  majlis yang sama ini Kerajaan meramalkan negara  akan
  mengalami  pertumbuhan  ekonomi  yang  kukuh  dan   mampan.
  Negara  dipercayai  akan  terus  dapat  mengekalkan   kadar
  pertumbuhan  lebih lapan peratus setahun dan kadar  inflasi
  terus rendah di paras tiga peratus.
  
  3.    Bagaimanapun, seperti yang semua sedia maklum, negara
  ini   tiba-tiba  menjadi  mangsa  serangan   ekonomi   oleh
  spekulator-spekulator  matawang  asing.   Akibatnya,  nilai
  matawang  kita  jatuh  dengan teruk disusuli  dengan  nilai
  saham-saham  di  Bursa Saham Kuala Lumpur  jatuh  menjunam.
  Kesannya,   kuasa  belian  dengan  matawang  Ringgit   kita
  merosot  dan  syarikat-syarikat yang disenaraikan  di  BSKL
  menjadi  lemah  dan tidak bermaya.  Kerajaan pula  terpaksa
  mengkaji  semua  unjuran  kadar  pertumbuhan  negara   yang
  mungkin  jatuh  di  bawah paras empat peratus  dan  inflasi
  meningkat pada enam atau tujuh peratus.
  
  4.    Selama lebih satu dekad Malaysia mencapai pertumbuhan
  ekonomi  yang  pesat dan tinggi dan rakyat menikmati  hasil
  pembangunan dan kemakmuran negara yang begitu tinggi.  Kita
  digelar  'negara  ekonomi harimau' dan  pencapaian  ekonomi
  kita   dianggap  satu  'keajaiban'.  Tetapi,  seperti  yang
  diakui   Kerajaan,  mempertahankan  kejayaan  lebih   sukar
  daripada menciptanya.
  
  5.    Tiba-tiba  tanpa  apa-apa  pertukaran  Kerajaan  atau
  dasar  atau  pendekatan,  pihak  tertentu  mendakwa  mereka
  sudah  tidak  yakin  akan pertumbuhan ekonomi  negara  ini,
  lalu  mereka  bertindak  untuk menjatuhkan  nilai  matawang
  kita  dan  nilai saham kita.  Negara yang maju  sekali  pun
  akan  merosot  ekonominya  jika  nilai  matawang  jatuh  50
  peratus  dan  saham juga jatuh dengan teruk.   Apatah  lagi
  negara membangun seperti Malaysia.
  
  6.    Oleh  sebab  semua  ini keadaan ekonomi  negara  kita
  tidaklah   seperti  yang  diramal  pada   ulangtahun   Hari
  Keputeraan  Rasmi  tahun  lalu.   Namun  demikian   ekonomi
  negara   belum  menjadi  begitu  buruk  sehingga   terpaksa
  meminta  bantuan badan antarabangsa.  Jika   kita  terpaksa
  meminta  pertolongan maka bukan sahaja  ekonomi  kita  akan
  menjadi  lebih buruk tetapi urusan ekonomi kita tidak  lagi
  akan  dikuasai  oleh  kita.  Dengan lain  perkataan  secara
  langsung kemerdekaan kita akan tergugat.
  
  7.    Ada  rakyat yang berpendapat adalah lebih  baik  kita
  serah   urusan   ekonomi  kita  kepada  pakar-pakar   badan
  antarabangsa.    Malangnya  penyerahan   sedemikian   tidak
  menjamin  ekonomi  akan  pulih semula.   Kebanyakan  negara
  yang   menerima   apa   yang  dikatakan   sebagai   bantuan
  antarabangsa  mengalami kemerosotan  ekonomi  yang  semakin
  teruk  sehingga politik menjadi tidak stabil,  pengangguran
  meningkat    sehingga   berjuta-juta   hilang    pekerjaan,
  pendapatan  mereka yang masih bekerja susut  daripada  segi
  kuasa  membeli, syarikat-syarikat dan bank-bank muflis  dan
  inflasi meningkat secara mendadak.
  
  8.    Memang  benar  semua  ini  boleh  juga  berlaku  jika
  tekanan yang lebih teruk dikenakan kepada Ringgit kita  dan
  saham    kita.   Tetapi   sekurang-kurangnya   kita   bebas
  menentukan   dasar   ekonomi  kita,   menolong   memulihkan
  syarikat-syarikat  kita dan akhirnya  menyelamatkan  negara
  kita.   Pemulihan sudah tentu tidak mudah tetapi kita yakin
  dengan   mengurangkan  pergantungan  negara   kita   kepada
  tukaran   asing,  sedikit  sebanyak  kita  akan  terselamat
  daripada  ancaman  serangan ke atas  matawang  dan  ekonomi
  negara kita.
  
  9.    Pemulihan  ini akan mengambil masa yang  panjang  dan
  akan  memerlukan ketabahan hati serta pengorbanan  daripada
  semua   rakyat.   Rakyat  Malaysia  dipercayai   menghargai
  kemerdekaan  negara  dan  saranan  untuk  tabah  hati   dan
  sanggup   berkorban  bukanlah  tidak  mampu  dipikul   oleh
  mereka.
  
  10.   Kerajaan  telah  dan sedang menggubal  strategi  bagi
  mengurangkan  kesan  kejatuhan  nilai  Ringgit   berbanding
  dengan  dolar  Amerika.   Perkara  yang  terpenting   ialah
  mengurangkan  import.   Ada  barangan  yang  tidak   perlu,
  barangan mewah umpamanya yang boleh dihentikan sama  sekali
  penggunaannya.   Ini  akan mempunyai kesan  kepada  peniaga
  yang   mengimport  dan  menjual  barangan  ini.    Kerajaan
  berharap  peniaga akan beralih kepada barangan  ganti  yang
  diperolehi dalam negeri.
  
  11.   Bagi  barangan perlu seperti gula, gandum,  susu  dan
  lain-lain,   rakyat   dikehendaki   bersedia   mengurangkan
  kegunaannya sebagai bahan makanan.
  
  12.    Barang  yang  penting  ini  sudah  tentu  akan  naik
  harganya.   Tetapi  perbelanjaan bulanan  tidak  akan  naik
  terlalu sangat jika penggunaannya dikurangkan.
  
  13.   Bagi  menambah  pendapatan negara,  eksport  barangan
  akan  ditingkatkan.  Jika daya keluaran  atau  produktiviti
  dapat  ditingkatkan  maka daya saing  barangan  kita  boleh
  meningkat dan dengan itu eksport akan bertambah.
  
  14.   Selain bahan mentah keluaran tempatan seperti  kelapa
  sawit  dan  getah,  barangan  eksport  Malaysia  memerlukan
  bahan  mentah atau komponen yang diimport yang  mana  semua
  ini   meningkat   harganya.    Pengurusan   serta   pekerja
  hendaklah  menentukan  kos  dalam  negeri  tidak  meningkat
  untuk memelihara daya saing barangan kita.
  
  15.   Selain  itu  Kerajaan  akan  menentukan  dagangan  di
  antara  Malaysia  dengan  negara-negara  asing  menggunakan
  matawang  Ringgit  dan  matawang negara  berkenaan.  Dengan
  cara  ini kita tidak perlu membeli dolar Amerika yang  akan
  menyebabkan  nilai  Ringgit kita  jatuh.   Juga  kita  akan
  dapat  mengurangkan  risiko kadar pertukaran  iaitu  dengan
  tidak  melibatkan  risiko dengan dolar Amerika.   Cara-cara
  untuk   berniaga   dengan   penggunaan    matawang   negara
  berkenaan  telahpun digubal dan Bank Negara  akan  mengurus
  'clearing house' yang diperlukan untuk tujuan ini.
  
  16.   Kerajaan  juga telah mengambil banyak  tindakan  lain
  untuk  menyelamat  ekonomi negara.   Bahawa  sehingga  kini
  kita   belum   terpaksa  meminta  pertolongan   badan-badan
  antarabangsa   mungkin  disebabkan  oleh  tindakan-tindakan
  tersebut.    Namun   kepercayaan  rakyat  kepada   Kerajaan
  amatlah  penting  kerana  tidak semua  daripada  pendekatan
  negara dapat  diumumkan.
  
  17.   Alhamdulillah, berbagai-bagai tekanan, termasuk usaha
  untuk     melemahkan     keyakinan     kepada     Kerajaan,
  memecahbelahkan  kepimpinan  negara,  menjadikan  syarikat-
  syarikat kita muflis, melaga-lagakan peniaga-peniaga  kecil
  dan   besar   dan   bermacam-macam   lagi   tidak   berjaya
  mencetuskan   huru-hara.    Percubaan   untuk   menyalahkan
  peniaga  Bumiputera  kononnya kerana  peluang  yang  diberi
  kepada   mereka   melalui   penswastaan   adalah   sebabnya
  kegawatan ekonomi berlaku juga tidak berkesan.
  
  18.   Masalah ekonomi yang melanda negara tidak boleh tamat
  dalam  jangkamasa yang pendek.  Kita mesti  bersedia  untuk
  menghadapi  masalah  ini  walaupun ia  berterusan  seberapa
  lama.   Usaha ke arah ini mestilah berasas kepada keupayaan
  kita  sendiri  dan  ketabahan hati  kita.   Sementara  kita
  tidak  menolak peranan orang asing dalam meredakan  keadaan
  ekonomi  kita,  kita  tidak  boleh  bergantung  semata-mata
  kepada menyakinkan mereka.
  
  19.   Kerajaan  percaya  negara kita akan  dapat  mengatasi
  masalah  ekonomi lambat laun, InsyaAllah.  Kepercayaan  ini
  diasaskan  kepada  kekukuhan  dan  kestabilan  politik  dan
  sosial kita.  Kerajaan akan menangani sebarang usaha  untuk
  mencetuskan  ketidakstabilan  dengan  bijak.   Semua  pihak
  daripada   pekerja  yang  menganggur,  peniaga  hingga   ke
  pengusaha  kecil  dan besar akan diberi pertolongan  supaya
  mereka  tidak  terlalu  tertekan  kerana  sebab-sebab  yang
  bukan  di  bawah kuasa mereka.  Tidak ada siapa  yang  akan
  diabaikan   oleh  Kerajaan  atau  masalah  mereka   diambil
  ringan.
  
  20.   Sebelum mengakhiri ucapan ini dan sempena  hari  yang
  mulia  ini, Kerajaan dan seluruh rakyat sekali lagi memberi
  ikrar  taat  setia  kepada Tuanku sebagai  Yang  di-Pertuan
  Agong  dan  Tuanku Najihah sebagai Permaisuri Agong  semoga
  Tuanku  berdua dapat memerintah negara ini dengan adil  dan
  saksama  serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat
  dan sejahtera.

 
 



 
Google