Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19/06/98
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
" CABARAN KEGAWATAN "
Dalam beberapa hari lagi genaplah 12 bulan negara
kita berada dalam kegawatan ekonomi. Tahun lepas semasa
kita mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kesan tekanan
kegawatan ekonomi belum dirasai oleh kita. Sekarang ini
pun ramai yang belum merasai bahang kegawatan ekonomi.
Pekebun kelapa sawit umpamanya tidak merasai apa-apa
sama sekali bahkan mereka gembira kerana harga kelapa
sawit melambung naik.
2. Bagaimanapun ramai daripada penduduk di luar bandar
telah mula merasai tekanan ekonomi kerana beberapa
barang keperluan seperti gula telah naik harga.
3. Jika kita perhatikan kesibukan di bandar-bandar
termasuk di Kuala Lumpur adalah sukar bagi kita dan bagi
pelawat asing untuk mempercayai bahawa wujud kemerosotan
ekonomi di negara kita. Kereta sesak di jalan-jalan
seperti dahulu, gedung membeli-belah dibanjiri oleh
pembeli, restoran dan hotel tidak kurang pelanggan dan
kren-kren bergerak cergas mengangkut bahan binaan
sehingga ke larut malam.
4. Jadi di manakah buktinya ekonomi gawat? Di manakah
buktinya ekonomi merosot? Di manakah bukti kononnya
orang asing menganiayai kita dengan menurunkan nilai
matawang dan harga saham? Matawang dan saham adalah
urusan orang kaya. Biarkanlah mereka rasa sedikit pedih
pahitnya hidup dengan kejatuhan nilai matawang dan saham
mereka. Mereka terlalu mewah, memiliki kereta Mercedes,
ada kapal terbang sendiri bahkan ada kapal laut sendiri.
Biarkanlah mereka rasa sedikit penderitaan seperti yang
dirasai orang miskin, mudah-mudahan mereka akan insaf.
5. Bukankah 'Mat Salleh' sudah berkata, dan tokoh-
tokoh parti lawan kita pula menyahut, mereka yang
menghadapi masalah ekonomi adalah 'crony' pemimpin-
pemimpin Kerajaan, 'crony' Menteri-Menteri dan Perdana
Menteri. Mereka menyamun duit negara, duit rakyat
melalui pelbagai cara termasuk penswastaan projek
Kerajaan. Nah, hari ini mereka sudah kehilangan duit
bahkan diburu oleh bank kerana tidak dapat membayar
hutang. Syarikat mereka mungkin bankrap. Mereka mungkin
juga dipenjara. Ini amatlah adil. Inilah balasan kepada
mereka dan Kerajaan yang tidak telus, korup dan
sebagainya. Kejatuhan matawang adalah kerana mereka dan
elok sekali mereka merasainya. 'Mat Salleh' tahu kerana
mereka 'Mat Salleh' dan mereka lebih pandai daripada
kita.
ELAK NAFSU KUASAI DIRI SEMASA KEGAWATAN
6. Manusia biasanya amat gemar melihat yang tinggi
jatuh merudum. Perasaan iri hati dan benci memang kuat
dalam hati manusia. Tetapi manusia juga dikurniakanTuhan
dengan akal fikiran, tahu apa dianya keadilan, tahu
menimbang di antara sesuatu dengan yang lain walaupun
dengan perkara yang tidak boleh ditimbang atau diukur
secara fizikal. Manusia tidak seperti haiwan yang tidak
ada akal fikiran dan tidak tahu membanding dan menimbang
di antara sesuatu dengan yang lain. Haiwan hanya
mempunyai nafsu. Masyarakat manusia yang membenarkan
diri mereka dikuasai oleh nafsu semata-mata tidak
mungkin dapat mendirikan tamadun yang tinggi, tamadun
yang mampu berjaya, yang boleh membawa kebahagiaan hidup
kepadanya.
7. Dalam masalah kegawatan ekonomi yang kita hadapi
ini, kita, terutama UMNO, ahli-ahlinya, pemimpin-
pemimpinnya di semua peringkat, tidak boleh membenarkan
nafsu menguasai pemikiran kita. Sebaliknya pemikiran
hendaklah menguasai atau sekurang-kurangnya membendung
nafsu. Biarlah orang lain dikuasai perasaan iri hati,
benci, dendam dan sebagainya. Apa juga yang kita
lakukan hendaklah diasaskan kepada pemikiran dan
perhitungan sesuai dengan tamadun yang tinggi, insya-
Allah.
8. Apakah benar kegawatan dan kemerosotan ekonomi
disebabkan oleh Kerajaan-kerajaan negara Asia Tenggara
dan Timur tidak cekap, tidak telus, korup, mengamalkan
'crony-capitalism' dan sebagainya? Jika benar, sejak
bila? Apakah ia bermula pada bulan Julai 1997? Atau
mungkinkah dalam beberapa bulan atau tahun sebelum 1997
keburukan pemerintahan negara-negara ini telah sama-sama
menjadi begitu ketara? Mungkin. Tetapi sehingga bulan
Julai 1997 negara-negara ini dipuji kerana kecekapan
pemerintah mereka. Negara mereka digelar 'Harimau' dan
'Naga Asia', dengan ekonomi yang berkembang pesat,
dengan industri yang bertaraf dunia, yang mampu
mengeluarkan barangan yang canggih yang boleh bersaing
dengan jayanya di pasaran dunia. Rakyat mereka mewah,
mempunyai pekerjaan, tidak merusuh dan pecah kedai untuk
mencuri barang.
9. Tiada siapa menafikan adanya korupsi,
ketidaktelusan dan sebagainya dalam Kerajaan-kerajaan
di Asia Timur ini. Negara maju di Barat pun tidak bebas
daripada gejala ini. Tetapi negara yang terlalu buruk
pemerintahannya tidak mungkin dapat dibangunkan dengan
pesat. Banyak negara membangun yang tidak dapat
dimajukan sama sekali kerana pemerintahan yang korup,
tidak telus, tidak cekap dan lain-lain. Kenapakah
negara yang jelas mempunyai pemerintahan yang terang-
terang korup dan tidak telus tidak mengalami kejatuhan
nilai matawang seteruk negara-negara Asia Timur? Kita
hairan mengapa ada negara-negara membangun yang dahulu
tidak dapat dibangunkan walaupun di tahap yang sederhana
tetapi hari ini nilai matawang mereka lebih tinggi
daripada matawang kita. Sebaliknya negara-negara Asia
Tenggara yang sekarang dikatakan mempunyai pemerintahan
yang buruk pernah tumbuh dengan pesat dan tinggi dahulu,
sehingga digelar 'Harimau' ekonomi.
PENGARUH BURUK PENYERANG MATAWANG
10. Sebenarnya ketidaktelusan dan korupsi serta 'crony-
capitalism' yang dikatakan terdapat di negara-negara
Asia Tenggara ini hanyalah alasan untuk menyerang
kewangan dan ekonomi negara-negara ini. Kita tidak
menafikan sedikit sebanyak ada kebenaran dalam perkara-
perkara yang dituduh itu, tetapi penyerang juga tidak
boleh menafikan bahawa serangan ke atas matawang memberi
keuntungan yang amat besar kepada mereka. Dalam
jangkamasa yang pendek sahaja, hanya beberapa jam,
keuntungan berjuta-juta dolar boleh didapati melalui
dagangan matawang. Sebaliknya perniagaan biasa
memerlukan pelaburan yang besar, kerja-kerja yang rumit
dan memakan masa yang panjang, berisiko tinggi sebelum
keuntungan yang agak kecil diperolehi. Bagi mereka yang
mengurus dana atau bank, dagangan matawang lebih menarik
daripada memberi hutang untuk mendapat faedah. Sekarang
ini bank-bank besar di dunia semakin banyak memberi
tumpuan mereka kepada dagangan matawang yang begitu
menguntungkan, walaupun dagangan mereka merosakkan
kehidupan orang lain. Hari ini mereka perlu alasan
untuk menjatuhkan nilai matawang. Esok alasan tidak
akan diperlukan lagi. Asalkan keuntungan yang besar
boleh diperolehi apa sahaja akan dibuat oleh mereka.
11. Mereka sekarang membuat persediaan dengan
membesarkan bank dan syarikat besar mereka melalui
cantuman, belian dan sebagainya. Baru-baru ini cantuman
dua buah bank gergasi menjadikan dana mereka berjumlah
AS$653 bilion. Bandingkan ini dengan rizab negara
seperti Malaysia yang hanya berjumlah lebih kurang AS$20
bilion. Jika bank gergasi seperti ini menjual Ringgit
umpamanya, kita akan kehilangan semua simpanan Dolar
kita jika kita cuba mempertahankan Ringgit. Kerana
mereka tahu kita tidak dapat mempertahankan Ringgit,
maka mereka bermaharajalela. Mereka antara kita yang
sering bercakap berkenaan hak asasi manusia perlu ingat
bahawa bagi yang tamak, ketamakan mereka adalah
sebahagian daripada hak asasi mereka.
12. Jumlah dana yang dimiliki oleh bank-bank besar di
negara maju adalah sebanyak AS$28 trilion iaitu 28 ribu
bilion atau 28 ribu-ribu juta. Sementara itu 'hedge
fund' pula memiliki AS$180 bilion. Dengan AS$180 bilion
ini mereka dibenarkan oleh bank menggunakan 20 kali
ganda nilai dana tersebut untuk dagangan matawang, iaitu
sebanyak AS$3.6 trilion.
PENJAJAHAN CARA BARU
13. Penguasaan tanah jajahan melalui kekuatan
ketenteraan tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat
dunia. Tetapi penjajahan fizikal seperti ini tidak
perlu lagi. Penguasaan melalui dagangan matawang tidak
kurang kesannya. Negara yang berada pun boleh dijajah
dengan menjadikannya negara miskin dan pengemis dalam
jangkamasa yang amat singkat tanpa seorang pun askar
penjajah terbunuh atau tercedera. Apabila negara
menjadi miskin maka politiknya akan menjadi tidak stabil
dan rebutan kuasa akan berlaku. Dengan itu pemimpin
akan ditukar sehingga terdapat yang sanggup mengikut
kehendak kuasa dunia. Dengan perkataan lain penjajahan
sudah berlaku.
14. Walaupun kita belum dikuasai sepenuhnya oleh kuasa
asing tetapi sedikit sebanyak mereka sudah menguasai
ekonomi kita. Dengan menjatuhkan nilai Ringgit dan
harga saham, syarikat-syarikat milik kita sudah menjadi
tenat dan tidak dapat mengaut keuntungan lagi. Apabila
syarikat-syarikat kita tidak untung atau terus rugi maka
cukai Kerajaan akan berkurangan. Dengan itu Kerajaan
mungkin tidak akan dapat membiayai perbelanjaan
pentadbiran. Ini pun boleh mencetuskan kegelisahan dan
desakan supaya dijatuhkan Kerajaan. Jarum yang mereka
guna amat halus dan kita mungkin tidak sedar bahawa kita
sudah diperalatkan oleh mereka.
15. Kita telah lihat keadaan ini berlaku di beberapa
negara lain yang diserang dengan lebih teruk. Mungkin
ada yang percaya bahawa dengan menukar pemerintahan maka
masalah ekonomi akan dapat diselesaikan. Tetapi
percayalah serangan tidak akan dihentikan sehingga kuasa
terserah secara bulat-bulat kepada orang asing, iaitu
sehingga negara dijajah sepenuhnya semula. Yang penting
bagi mereka bukan pemerintahan yang lebih telus atau
demokratik dan lain-lain. Yang diutamakan mereka ialah
pemerintahan yang lebih sanggup menerima arahan daripada
kuasa tertentu.
16. Apakah boleh kita yakin apa yang berlaku kepada
negara lain tidak mungkin berlaku kepada kita? Apabila
Mexico diserang kita sedikit pun tidak gentar.
'Fundamentals' atau asas-asas ekonomi kita kukuh. Tentu
ada sesuatu yang tidak baik yang dilakukan oleh Kerajaan
Mexico yang menjadikan mereka lemah dan diserang oleh
pedagang matawang.
17. Negara-negara lain mengkaji sebab-sebab Mexico
menghadapi masalah. Mereka mengambil tindakan untuk
menyelamatkan diri mereka. Slovenia dan Chile tidak
membenarkan pelaburan dalam pasaran saham mereka tanpa
wang pertaruhan serta jaminan tidak akan menarik keluar
pelaburan mereka sehinggalah genap satu masa tertentu.
Tindakan mereka adalah radikal, tidak mengikut amalan
dan peraturan biasa yang telah dicipta di negara maju
untuk kepentingan mereka. Kita tidak akan bertindak
begitu kerana kita berpegang kuat kepada apa yang
dikatakan amalan biasa oleh dunia maju. Lagipun kita
suka dipuji oleh orang tertentu.
18. Demikianlah kuatnya 'orthodoxy' kita dan keyakinan
kepada 'fundamentals' kita sehingga kita sengaja
membukakan pasaran saham kita dengan luas. Ramailah
rombongan yang pergi ke Amerika Syarikat untuk membuat
'road shows' untuk menarik dana asing melabur dalam
industri terkemuka kita. Saham kita naik harga dengan
tinggi kerana dikejar oleh pelabur asing. Walaupun
Kerajaan berkali-kali memberi amaran bahawa harga saham
yang terlalu tinggi sehingga tidak ada kaitan dengan
aset atau prestasi syarikat adalah tidak sihat,
berbahaya, tetapi ramai pengurus yang cuma melihat
keuntungan besar daripada kenaikan harga saham.
FAHAMI KESAN PERNIAGAAN SAHAM
19. Dengan harga saham yang tinggi, pinjaman yang besar
boleh dibuat sementara tukaran saham antara syarikat
boleh mewujudkan syarikat gergasi. Bahawa syarikat
tidak begitu untung tidak mengapa asalkan saham boleh
dijual atau dicagar dengan harga yang tinggi.
Perniagaan asal tidak penting lagi. Yang penting ialah
harga saham dan perniagaan saham. Pengeluaran saham
bukan lagi untuk mengumpul modal tetapi menjadi barang
untuk dijual-beli. Kaedahnya samalah dengan menjual-
beli matawang.
20. Dalam pada itu jualan singkat atau 'short selling'
dibenar atau digalakkan. Saham untuk dijual tidak perlu
dibeli lagi. Memadai jika dipinjam, dijual dengan harga
yang tinggi, dibeli balik dengan harga yang rendah dan
dikembalikan semula kepada pihak yang memberi pinjaman.
Dengan kemudahan ini maka ramai yang menumpu kepada
pasaran saham dan hilang minat dengan perniagaan
barangan dan khidmat.
21. Cara-cara ini semuanya dicipta di Barat dan kita
mengikutnya kerana ramai yang ingin mengejar apa yang
dikatakan kecanggihan Barat. Segala amaran supaya
mengaitkan nilai saham dengan prestasi syarikat tidak
diendahkan. Akhirnya apabila pelabur asing menjual
saham bertalu-talu harga saham jatuh merudum. Mereka
mengambil untung daripada penjualan kerana mereka telah
membeli dengan harga yang rendah. Melalui 'short
selling' mereka mendapat lebih banyak keuntungan.
22. Apabila harga saham kita jatuh maka hutang kita
akan melebihi nilai saham yang dicagar. Bank mendesak
supaya peminjam menambah cagaran. Tetapi syarikat dan
pemilik saham tidak berupaya. Maka bank menjualkan
saham yang dicagar dan dengan itu menurunkan lagi nilai
saham. Bank tidak lagi memberi pinjaman kerana hutang
sudah menjadi lapuk. Perniagaan syarikat merosot,
keuntungan berkurangan dan akhirnya terus rugi. Sudah
tentu cukai Kerajaan berkurangan dan kita sukar
membiayai kos pentadbiran.
23. Yang harus kita ambil perhatian ialah apabila
peniaga dan pengusaha yang besar menghadapi masalah,
kita yang kecil juga akan mengalami masalah, bahkan
seluruh negara akan menghadapi masalah. Daripada
keuntungan perusahaan yang besarlah kita memperolehi
cukai untuk perbelanjaan negara. Justeru itu janganlah
kita terlalu terikut-ikut dengan kegembiraan pembangkang
apabila syarikat besar kita menghadapi masalah. Masalah
mereka adalah masalah kita juga. Percubaan untuk
menimbulkan perasaan benci dan irihati kepada yang
bermasalah adalah tidak wajar.
24. Kita harus faham semua ini. Kita harus faham kerana
sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha mengatasi
masalah ekonomi dan kewangan kita bergantung kepada
sejauh mana kita semua memahami masalah yang kita
hadapi. Tidak memahami apa yang menyerang kita adalah
sama dengan keadaan kita buta dan tidak tahu dari mana
datangnya serangan. Orang yang tidak tahu apa yang
menyerangnya akan bermusuh dengan orang lain, orang yang
tidak bersalah. Maka ketawa besarlah penyerang.
PERCUBAAN MENUKAR PEMIMPIN
25. Di negara di mana mereka sudah dapat menekan
sehingga menjadi begitu teruk, kuasa mereka tidak terhad
kepada ekonomi dan kewangan sahaja. Mereka berminat
menguasai politiknya dan menentukan siapa yang akan
memimpin negara. Pada mulanya cara yang digunakan ialah
dengan menekan teruk ekonomi dan kewangan negara. Bank,
syarikat, perniagaan borong dan runcit, pengangkutan dan
sebagainya semuanya ditekan sehingga bankrap atau tidak
boleh berjalan dengan baik. Pekerja kehilangan
pekerjaan dan pendapatan. Oleh kerana negara-negara di
Asia Timur tidak mempunyai 'unemployment benefits'
iaitu bayaran kepada pekerja yang menganggur seperti di
Barat maka tidak ada pekerjaan bermakna tidak ada duit
untuk membeli makanan atau ubat atau susu untuk anak.
26. Melalui media dunia yang mereka kuasai, bersama
dengan pengaruh ke atas media tempatan yang tidak ingin
dituduh tidak bebas atau takut kepada Kerajaan,
pemerintah disalahkan kerana kemerosotan ekonomi dan
kejatuhan nilai matawang. Dengan itu gerakan anti-
Kerajaan dicetuskan dan demonstrasi serta rusuhan
berlaku. Pendekatan ini akan memberi kuasa politik
kepada mereka sehingga kepimpinan sesebuah negara dapat
ditentukan oleh mereka. Sudah tentu mereka akan memilih
pemimpin yang mereka percayai boleh mereka manipulasi.
Jika tidak, pemimpin akan ditukar lagi. Pada masa itu
kemerdekaan tidak bermakna lagi.
27. Percubaan menukar pemimpin juga telah dibuat di
Malaysia apabila pemimpin didakwa anti-Yahudi.
28. Kemudian mereka mendakwa bahawa kepimpinan yang ada
sekarang menjadi penghalang kepada pemulihan ekonomi,
pemimpin yang ada sekarang tidak tahu selok-belok sistem
kewangan dunia moden. Tujuan mereka ialah supaya
politik negara menjadi keruh kerana dakwaan mereka akan
menyebabkan perselisihan faham berlaku antara pemimpin.
Penyokong-penyokong pemimpin pun akan berusaha, yang
satunya untuk mempertahankan pemimpin yang sedia ada dan
menyingkir pencabarnya, sementara penyokong pencabar
pula akan mendesak supaya dianya mencabar pemimpin yang
sedia ada. Dengan itu kempen memburukkan masing-masing
akan dilakukan sehingga suasana menjadi lebih keruh dan
politik menjadi tegang. Dalam suasana ini masalah
kegawatan ekonomi dan kewangan tidak dapat ditangani,
keadaan ekonomi menjadi lebih buruk. Akhirnya kegawatan
menjadi lebih dahsyat, pemimpin tidak dapat bekerjasama
dan salah satunya akan jatuh. Walau siapapun yang
berjaya, serangan ke atas negara akan diteruskan
sehingga pemimpin yang dipilih tunduk kepada kuasa asing
-- iaitu rela negara dijajah semula.
SYARIKAT TEMPATAN MUNGKIN DIKUASAI ASING
29. Apabila ini berlaku, ekonomi akan dibuka untuk dana
dan syarikat-syarikat asing masuk dan mengambilalih
syarikat-syarikat besar tempatan. Waktu itu mereka akan
pulih semula ekonomi dan nilai matawang. Ini mudah
dilakukan kerana mereka akan mendakwa keyakinan atau
'confidence' mereka sudah kembali dan oleh itu nilai
Ringgit boleh dinaikkan. Dengan Dolar Amerika yang ada
dengan banyaknya pada mereka, mereka akan beli Ringgit
berkali-kali. Mengikut sistem dagangan yang mereka
gubal, setiap kali mana-mana matawang dibeli dengan
Dolar Amerika, nilai matawang itu akan naik. Dengan ini
bukan sahaja ekonomi akan pulih tetapi Ringgit yang
mereka beli dengan harga murah dahulu akan naik harganya
dan memberi keuntungan yang besar bagi mereka.
30. Demikian jika mereka membeli Ringgit pada harga
RM4.00 pada satu Dolar Amerika dan mereka pulihkannya
sehingga RM2.50 satu Dolar Amerika maka mereka akan
untung sebanyak RM1.50 bagi setiap satu Dolar yang
mereka gunakan untuk membeli Ringgit. Dalam matawang
Dolar Amerika, apabila satu Dolar bernilai RM2.50,
keuntungan RM1.50 samalah lebih kurang dengan 60 sen
duit Amerika, iaitu keuntungan 60 peratus bagi setiap
satu Dolar Amerika yang mereka gunakan dahulu untuk
membeli Ringgit.
31. Yang jelas ialah mereka boleh mendapat keuntungan
sama ada mereka terus menekan Ringgit dengan menjualnya
atau dengan menaikkan nilai Ringgit dengan membelinya.
Setelah mereka membeli syarikat-syarikat kita dengan
harga yang murah kerana saham syarikat kita telah
dijatuhkan melalui penjualan saham berkali-kali, mereka
dapat pula menaikkan nilai saham kita dengan membeli
berkali-kali. Jika nilai saham mencapai harga asal yang
tinggi, mereka sekali lagi akan memperolehi keuntungan
modal daripadanya. Melalui cara ini mereka mendapat
keuntungan dua kali, sekali dengan kenaikan nilai
Ringgit, sekali dengan kenaikan nilai saham.
32. Sebab itu akhbar-akhbar mereka melapor tentang
ramainya pelabur mereka yang berminat untuk membeli
syarikat-syarikat di negara-negara yang menghadapi
kegawatan ekonomi. Mereka berkata ada 'fire-sale' di
Asia Timur, iaitu jual murah barangan kedai terbakar.
Menurut mereka syarikat-syarikat dan bank-bank di Asia
sudah seperti ikan mati yang timbul dengan perut ke atas
atau 'belly-up'. Mereka hanya perlu pilih dan kutip.
Yang lainnya boleh dibiar mati. Demikianlah sikap
mereka yang kononnya bertanggungjawab memelihara hak
asasi manusia di seluruh dunia. Lebih buruk lagi
setelah pihak asing ini merosakkan ekonomi kita mereka
mendakwa bahawa pembelian syarikat kita oleh mereka
adalah bertujuan menyelamatkan kita dan memulihkan
ekonomi kita. Perbuatan mereka tidak banyak berbeza
dengan penyamun yang menyamun duit kita dan kemudian
memberi balik separuh daripadanya sambil mendakwa mereka
menolong kita.
33. Sedikit sebanyak Malaysia masih dapat
mempertahankan diri. Kita masih mensyaratkan bahawa
orang asing hanya boleh memiliki peratusan yang terhad
dalam syarikat dan bank Malaysia, iaitu 30 peratus.
Dalam bidang insuran kita terpaksa membenar pelabur
asing memiliki hingga 51 peratus kerana tekanan ke atas
kita dalam rundingan World Trade Organisation (WTO).
Mereka masih tidak puas hati kerana mereka hendak 100
peratus. Apa perlunya kita memiliki syarikat, kata
mereka. Memadailah jika kita bekerja dalam syarikat
milik asing. Mereka akan membayar gaji yang lebih
kerana mereka lebih besar dan lebih berkemampuan. Ini
kata mereka. Tetapi setelah mencapai tujuan mereka
apakah mereka akan tunai janji mereka?
34. Di rundingan WTO kita masih mempunyai suara untuk
mempertahankan diri kita walaupun kita sudah tinggal
keseorangan. Tetapi jika kita terpaksa meminta
pertolongan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana
ekonomi kita terlalu merosot maka syarat yang akan
dikenakan oleh IMF ialah kita hendaklah membuka ekonomi
kita seratus peratus kepada orang asing. Dengan itu
orang asing bukan sahaja boleh memiliki 100 peratus
syarikat dan bank kita tetapi mereka boleh masuk
berniaga dalam negara kita tanpa perlu apa-apa
penyertaan daripada kita. Mungkin jawatan rendah akan
diberi kepada kita tetapi kerana kita dikatakan oleh
mereka tidak pandai dan tidak cekap maka jawatan tinggi
akan dipegang oleh mereka selama-lamanya. Sudah tentu
tidak akan ada kuota Bumiputera kerana Dasar Ekonomi
Baru (DEB) adalah suatu ketidakadilan, kononnya tidak
boleh diterima oleh demokrasi liberal mereka.
35. Sudah tentu tidak akan ada syarikat gergasi milik
Bumiputera. Dan kita akan gembira kerana tidak akan ada
lagi 'billionaire' dan 'millionaire' Bumiputera dengan
kereta Mercedes mereka, dengan pesawat jet mereka dan
kapal mewah mereka. Semua yang dituduh 'crony' pemimpin
politik akan hapus. Yang tinggal hanyalah pekerja biasa
dengan gaji yang setimpal dengan kebolehan mereka yang
terhad . Orang asing yang akan bergaji besar. Merekalah
yang menjadi 'millionaire' dan 'billionaire' yang
memiliki Mercedes, kapal terbang dan kapal laut.
Tentulah mereka akan mendakwa bahawa mereka terdiri
daripada orang yang betul-betul layak dan bukan 'crony'
pemimpin politik kita. Keadaan ini tentulah lebih
adil. Pengkritik yang terdiri daripada orang asing dan
orang kita juga akan gembira dan puas hati kerana amalan-
amalan yang tidak diingini sudah dapat dihapuskan. Yang
sedihnya ialah kita semua akan menjadi hamba orang asing
yang bermaharajalela di negara kita.
BUMIPUTERA MUNGKIN KEMBALI JADI HAMBA
36. Senario ini bukan suatu ciptaan saya untuk
menakutkan rakyat Malaysia, khususnya Bumiputera.
Senario ini memang dikehendaki oleh pengkritik kita,
pengkritik DEB, pengkritik pemerintahan Malaysia yang
ada sekarang. Jika kita cuba bayangkan keadaan di
Malaysia tanpa DEB, inilah senario yang akan kita
dapati.
37. Mungkin ada mereka yang berkata bahawa mereka
bersetuju dengan DEB tetapi DEB disalahgunakan untuk
memperkayakan beberapa 'crony' pemimpin UMNO khususnya.
Tetapi jika orang lain daripada yang kita kenal sekarang
dapat menjadi 'billionaire' melalui DEB, apakah mereka
tidak akan dicap sebagai 'crony' pemimpin juga?
Sebenarnya kebanyakan mereka yang menjadi kaya-raya
kerana DEB tidak pun dikenali oleh pemimpin-pemimpin
parti dan Kerajaan dahulu. Yang pemimpin-pemimpin
Kerajaan Barisan Nasional kenal ialah ahli-ahli politik
yang menyokong mereka -- ketua-ketua bahagian, cawangan,
ahli EXCO dan lain-lain. Pemimpin Kerajaan pusat lebih
kenal mereka ini. Mereka benar-benar 'crony'. Jika ada
'crony' yang hendak diperkayakan maka mereka inilah yang
patut diperkayakan, dijadikan 'millionaire' dan
'billionaire'. Sudah tentu bila 'crony' politik menjadi
'crony' perniagaan maka sokongan politik kepada pemimpin
Kerajaan akan bertambah. Menolong orang bukan politik
tidak memberi keuntungan politik kepada pemimpin
Kerajaan. Tetapi hakikatnya ialah hampir semua yang
menjadi kaya raya kerana dibantu oleh Kerajaan ialah
orang yang memang pun peniaga yang berjaya sebelum
mereka mendapat apa-apa pertolongan. Mereka ditolong,
diberi peluang kerana mereka telah membuktikan kebolehan
mereka dalam bidang perniagaan. Kemungkinannya ialah
jika mereka diberi peluang lagi mereka akan berjaya.
38. Jika orang yang tidak pernah berniaga, tidak pernah
berjaya tiba-tiba diberi peluang maka mereka akan mensia-
siakan peluang berkenaan, mungkin rugi, mungkin juga
mereka menjual peluang mereka. Kerana pengalaman inilah
maka Kerajaan tidak berminat memberi peluang kepada
mereka yang tidak berpengalaman dan tidak pernah berjaya
walaupun mereka terdiri daripada 'crony' politik yang
tetap akan membalas budi dengan menyokong pemimpin.
39. Malangnya siapa juga yang diberi peluang dan
sokongan akan dicap sebagai 'crony'. Sebelum dia
berjaya tidak ada tuduhan bahawa dia 'crony'. Tetapi
jika ia berjaya sehingga menjadi kaya-raya maka ia akan
dituduh menjadi 'crony' walaupun ia tidak mendapat apa-
apa pertolongan daripada Kerajaan dan tidak rapat dengan
mana-mana pemimpin. Dengan dituduh ianya 'crony' maka
Kerajaan tidak lagi boleh menolongnya terutama semasa
kegawatan ini. Sebarang pertolongan akan dicap
'bailout'. Kononnya Kerajaan yang telus dan lurus
hendaklah membiar syarikat yang bermasalah, terutama
syarikat Bumiputera terus mati. Ternampak seolah-olah
pihak tertentu ingin melihat Bumiputera terutamanya
tidak berjaya sehingga bila-bila. Mereka melihat
kegawatan ekonomi yang mereka cetuskan sebagai peluang
untuk membunuh semua syarikat Bumiputera. Bagi mereka
mengekalkan kemiskinan Bumiputera amatlah adil.
40. Apabila tuduhan ini dibuat oleh pihak asing maka
orang tempatan dan Bumiputera juga akan menyambut
tuduhan itu. Yang anehnya yang menyambut tuduhan itu
ialah Bumiputera yang juga telah mendapat faedah
daripada DEB. Mereka ini mendapat pelajaran, jawatan
tinggi dan mendapat saham kerana mereka Bumiputera. Jika
mereka ini dipaksa bersaing dengan bukan Bumiputera
kemungkinan ialah mereka tidak akan mendapat biasiswa
atau jawatan tinggi dalam Kerajaan atau saham.
41. Tanyalah kepada diri sendiri sebelum menuduh orang
itu dan orang ini 'crony' pemimpin, apakah tanpa DEB dan
diskriminasi yang mengutamakan Bumiputera, kita akan
sampai ke tempat yang kita berada sekarang?
42. Ada orang yang mendapat biasiswa daripada Malaysia,
dengan sombongnya mengecam sistem diskriminasi positif
DEB. Tanyalah diri sendiri kenapa kamu mendapat
biasiswa? Apakah supaya kamu akan mendapat pendapatan
besar dengan bekerja di negara asing atau apakah
biasiswa itu diberi kepada kamu supaya kamu dapat
menyumbang bakti kepada rakyat negara ini terutama
rakyat yang miskin? Memang mudah bercakap berkenaan
'merit' setelah kamu mendapat faedah daripada sistem
tanpa 'merit'. Janganlah kerana kita percaya kita boleh
bersaing secara terbuka dengan jayanya maka kita syor
ditutup peluang mereka yang tidak mampu bersaing kerana
mereka bukan daripada keluarga yang mewah dan
berkemampuan.
43. Sebenarnya tuduhan kononnya pemimpin Kerajaan
Malaysia mengamalkan 'cronyism' dalam memperkayakan
Bumiputera tertentu disebabkan benci melihat sesuatu
yang diusahakan oleh Kerajaan Malaysia ini berjaya. Di
negara manakah yang 'social engineering' untuk mencapai
keadilan dalam masyarakat telah berjaya? Sistem
Sosialis atau sistem Komunis tidak berjaya dan sistem
Kapitalis lebih buruk lagi. Hanya di Malaysia sahaja
yang penyusunan semula masyarakat berjaya tanpa rusuhan,
tanpa merampas hak dan harta sesiapa.
ATASI KEGAWATAN EKONOMI BERPANDUKAN ISLAM
44. UMNO sekarang terbuka kepada orang bukan Islam
tetapi pegangan UMNO kepada Islam dan ajarannya tidak
luntur. Dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang
Islam menjadi panduan bagi kita. Islam adalah Addin --
cara hidup. Cara hidup tidak bermakna hanya 'ritual'
tertentu yang wajib kita buat tetapi juga kegiatan dan
tindakan yang kita ambil untuk kesejahteraan hidup kita.
45. Satu daripada ajaran yang jelas dalam Islam ialah
berhijrah. Berhijrah bermakna berpindah. Kenapakah
Rasulullah berpindah dari Mekah ke Madinah? Sebabnya
ialah kerana tekanan dan halangan yang dihadapi oleh
Baginda di Mekah. Puak Jahiliah di Mekah menentang
ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka membuat percubaan untuk membunuh Nabi.
46. Nabi boleh menyerah kepada takdir. Bukankah Nabi
dilindungi Tuhan? Apa perlunya Nabi bertindak untuk
menyelamatkan dirinya? Tetapi kita tahu bahawa Al-Quran
menyuruh kita berusaha sendiri untuk menolong diri kita
sebelum Allah Subhanahu wa Ta'ala menolong kita. Sebab
itu Nabi berpindah, iaitu berusaha menyelamatkan dirinya
dan tidak hanya menyerah kepada takdir Tuhan sahaja. Ini
tidak bermakna melawan takdir kerana apa yang berlaku
setelah usaha dibuat juga ditentukan oleh takdir.
47. Berpindah bukan semata-mata melibatkan bergerak
dari satu tempat ke satu tempat secara fizikal. Apabila
Nabi berpindah dari Mekah ke Madinah, Baginda juga
berpindah secara mental. Sudah tentu pemikiran dan
pendekatan Nabi di Mekah tidak boleh sama dengan di
Madinah. Perpindahan fikiran dan pendekatan Nabi adalah
untuk menjayakan perkembangan agama Islam di Madinah, di
mana terdapat bukan sahaja orang yang bersimpati dengan
Nabi dan berminat untuk memeluk agama Islam tetapi juga
orang yang masih ragu-ragu dengan ajaran Islam serta
orang Yahudi.
48. Kita melihat kebijaksanaan Nabi dalam membentuk
Perlembagaan Madinah yang mengambilkira kepentingan
semua pihak. Tumpuan diberi kepada persaudaraan antara
pendatang dari Mekah, Muhajirin dengan penduduk Madinah,
Ansar. Mereka ini dahulu bermusuh tetapi Nabi berjaya
merapat dan menyatukan mereka supaya wujud hanya satu
ummah, satu masyarakat Islam. Dan kita tahu bagaimana
Madinah menjadi pangkalan untuk perkembangan Islam dan
mempertahankan ummah. Akhirnya Mekah tertawan dan
seluruh penduduk Semenanjung Arab memeluk agama Islam.
49. UMNO sebenarnya adalah alat yang mengambil
perjuangan Nabi sebagai contoh, sebagai cara untuk
mengubah nasib orang Melayu Islam dan Bumiputera lain di
Malaysia. Daripada bangsa yang hanya tahu bercucuk
tanam dan kerja-kerja tangan yang mudah, UMNO telah
membawa orang Melayu dan Bumiputera lain berpindah
kepada dunia ilmu dan industri. Daripada bangsa yang
kurang disiplin dan tidak yakin akan kebolehan diri
sendiri ditukar sedikit demi sedikit menjadi bangsa yang
lebih disiplin dan lebih percaya kepada kebolehan diri
sendiri. Dengan itu mereka lebih berjaya, lebih mampu
bersaing, lebih sanggup menghadapi cabaran hidup dan
mati.
50. Sepatutnyalah proses kemajuan orang Melayu yang
berhijrah daripada petani kepada pengusaha dan peniaga
yang terpelajar berjalan terus. Tetapi nampaknya ada
pihak yang tidak mahu mengizinkannya. Sama ada
dirancang atau tidak, tekanan ekonomi ke atas Malaysia
secara langsung melibatkan tekanan ke atas orang Melayu
dan Bumiputera lain. Kita disorong balik ke arah
menjadi bangsa yang mundur, lemah, bangsa yang dijajah
semula, yang mempertuankan orang lain.
51. Segala yang telah kita bina, segala kemajuan yang
telah kita capai, ramai tokoh perniagaan yang kita
wujud; semua ini mereka cuba musnahkan. Hasrat mereka
ialah sekali lagi bangsa Melayu dan Bumiputera Malaysia
diperhambakan.
KUASA PASARAN SUATU DONGENG
52. Ada antara kita yang tidak percaya bahawa apa yang
sedang berlaku sekarang boleh membawa kita balik ke
zaman penjajahan. Ada yang berkata apa yang berlaku
sekarang adalah sementara sahaja dan akan pulih dengan
sendirinya. Ada yang berkata ini hanyalah tabii pasaran
dan kuasa pasaran atau 'market forces'. 'Market forces'
kononnya berhasrat untuk membentuk kerajaan-kerajaan
yang lebih telus, selamat daripada korupsi dan nepotisma
dan bebas daripada segala jenayah pemerintahan. Justeru
itu, jika kita ikut saranan mereka dengan segera, jika
kita amalkan 'good governance', maka 'market forces'
akan menghadiahkan kita dengan memulihkan ekonomi kita
sehingga menjadi lebih maju dan lebih kuat dari dahulu.
53. Ini adalah cerita dongeng. 'Market forces' bukan
kuasa untuk kebaikan, untuk memperbaiki Kerajaan atau
memperbaikkan amalan dan urusan kewangan negara-negara
yang menjadi sasaran. 'Market forces' didorong semata-
mata oleh keuntungan yang terbesar bagi mereka. Jika
kebaikan berlaku tidak mengapa. Tetapi kebaikan, jika
ia berlaku ialah perkara sampingan. Yang utama ialah
keuntungan besar bagi 'market forces'. Lebih tetap dan
lebih besar keuntungan lebih baik bagi kuasa pasaran.
54. Jika kerana mereka mengejar keuntungan yang
terbesar maka mangsa mereka menemui kehancuran, ini
tidak dapat dielakkan. Demikian apabila 'market forces'
melalui perniagaan matawang menyebabkan nilai matawang
jatuh dengan teruk sehingga negara dan rakyat menderita,
sehingga pekerja kehilangan pekerjaan, sehingga berlaku
kebuluran, sehingga merebaknya penyakit kerana tidak
mampu membeli ubat, sehingga lari dari negara sendiri,
sehingga berlaku rusuhan, pertumpahan darah, kematian,
kejatuhan Kerajaan -- semua ini tidak mengapa jika
keuntungan yang besar diperolehi oleh 'market
forces'`ini.
55. Mengharapkan 'market forces' mewujudkan kestabilan
tukaran wang, kestabilan ekonomi dan kestabilan politik
adalah sama dengan menunggu takdir dan tidak membuat apa-
apa satu pun untuk menyelamatkan diri sendiri.
Keuntungan 'market forces' datang daripada huru-hara
atau kegawatan kewangan dan ekonomi. Apakah sebabnya
yang 'market forces' harus menstabilkan keadaan supaya
keuntungan tidak lagi boleh didapati oleh mereka?
Justeru itu, adalah tidak logik kononnya untuk
memulihkan ekonomi dan kewangan, kita harus membuat apa
yang disuruh oleh 'market forces'. Nabi tidak mengikut
kehendak kaum Jahiliah di Mekah untuk menyelamatkan
agama Islam.
56. Hakikatnya ialah dalam menangani kegawatan ekonomi
yang dihadapi oleh negara sekarang, kita tidak boleh
mengharap kepada keyakinan atau 'confidence' oleh
'market forces'. Ya, kita ingin bersihkan amalan-amalan
kita, tetapi bukan kerana 'market forces' memaksa kita.
Kita ingin berbuat demikian kerana membersihkan kita
daripada amalan yang tidak baik memanglah baik.
BELANJA DENGAN BIJAK
57. Hari ini oleh kerana 'market forces' telah
musnahkan separuh daripada kekayaan kita, maka hendaklah
kita sanggup hidup dengan separuh sahaja daripada
pendapatan kita. Apakah boleh kita berbuat demikian?
Sudah tentu boleh, kerana dahulu, 20 tahun dahulu
sahaja, pendapatan kita memang separuh daripada
pendapatan kita sebelum kegawatan 1997. Pada masa itu
kita tidak berbelanja seperti kita berbelanja sekarang.
Jika dahulu kita boleh, sekarang pun kita boleh, jika
kita berdisiplin dan mengurus perbelanjaan kita dengan
bijak.
58. Ada antara kita yang mendesak supaya kita tidak
berbelanja dan kita tabungkan duit kita. Ini bukanlah
tidak baik jika kita tabungkan dalam simpanan tetap atau
simpanan bank. Perbuatan ini akan menambah keupayaan
bank mengeluarkan pinjaman. Dan syarikat-syarikat tidak
akan kekeringan wang pinjaman untuk membiayai
perniagaan. Tetapi jika kita tidak berbelanja setakat
yang kita mampu maka perniagaan akan merosot, keuntungan
tidak akan diperolehi oleh peniaga dan Kerajaan tidak
akan dapat memungut cukai untuk membiayai
perbelanjaannya. Justeru itu, belanjalah secara bijak
dengan membeli barangan perlu yang diimport sebanyak
yang diperlukan sahaja dan barangan tempatan sebanyak
yang mungkin. Kita tidak perlu memboikot barangan atau
makanan yang telah naik harganya melainkan kenaikan itu
disebabkan ketamakan peniaga. Jangan sesiapa cuba
mengambil kesempatan daripada kegawatan ekonomi ini
untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.
59. Demikian juga kita boleh kurangkan perjalanan ke
luar negara, kurangkan menghantar anak belajar di luar
negara, bahkan membawa balik anak supaya belajar di
dalam negara.
60. Setiap orang daripada kita mempunyai harta kekayaan
yang terpendam yang tidak mendatangkan apa-apa hasil
bagi diri kita. Harta ini harus kita 'mobilise' atau
gerakkan supaya ia ditukar menjadi wang yang boleh
dilabur atau dimasukkan ke dalam bank untuk diberi
pinjaman kepada perniagaan yang memerlukan kredit.
Jumlah harta yang terpendam ini bernilai berbilion
ringgit. Harta ini tidak akan hilang terus. Jika wang
yang kita perolehi dilabur dalam saham amanah, bukan
sahaja ia akan terus dimiliki oleh kita tetapi akan naik
nilainya, insya-Allah.
61. Kerajaan yang UMNO terajui telah membentuk berbagai-
bagai strategi dan pendekatan yang tidak perlu saya
huraikan di sini kerana masa belum tiba dan ada pihak
tertentu yang akan cuba menggagalkannya. Kita yakin
kita boleh menangkis serangan terhadap kita dan
memajukan semula negara. Insya-Allah dengan sokongan
rakyat usaha kita untuk memulihkan semula ekonomi negara
kita akan berjaya akhirnya.
JANGAN PERCAYA HELAH BARAT
62. Rakyat Malaysia semuanya harus berganding bahu
dalam mempertahankan kedaulatan negara kita. Apa yang
kita lakukan sebenarnya ialah mempertahankan kemerdekaan
kita, tidak kurang daripada itu. Ingatlah mereka yang
mencetuskan kegawatan ekonomi sehingga kita mengalami
masalah besar, adalah orang yang lebih kurang sama
dengan orang yang menjajah kita dahulu, orang yang
dahulu menjajah dunia. Jangan kita fikir tabiat mereka
sudah berubah. Harimau tetap dengan belangnya.
63. Semasa mereka ditentang oleh Komunis mereka
menunjukkan muka yang manis. Mereka begitu sekali
mengambil berat dengan hak asasi manusia, dengan
penindasan yang berlaku sesama manusia, dengan keganasan
Komunis dan ketidakadilan lain dalam dunia. Mereka
mendakwa mereka akan bertindak mencegah ketidakadilan
dan sebarang penindasan di mana sahaja. Mereka akan
pertahankan kedaulatan negara yang bebas dengan kekuatan
ketenteraan mereka. Mereka bayangkan tindakan mereka
seperti 'Rambo' dalam wayang gambar keluaran Hollywood,
yang begitu berani, gagah, berjaya dan tidak pernah
mati.
64. Tetapi ingatlah Bosnia-Herzegovina. Apabila Serb
menyerang puak Islam dan Croat di Bosnia, mereka tidak
membuat apa-apa. Orang Islam disembelih, dirogol,
dibunuh beramai-ramai di hadapan mata askar Barat yang
kononnya dihantar untuk menyelamatkan orang Bosniac,
tetapi mereka tidak mengangkat sebelah tangan pun untuk
menolong dan menyelamatkan Muslim Bosnia.
65. Pesawat pejuang mereka berkeliaran di udara
menunjukkan kehandalan mereka. Tetapi mereka tidak
menembak puak Serb atau menyerang dengan 'intelligent
bomb' mereka. Penyembelihan, perogolan dan pembunuhan
terus berlaku. Kira-kira 300,000 orang Islam Bosnia
dibunuh dengan sia-sia sebelum Barat berani bertindak
terhadap puak Serb dan Serbia.
66. Melihat peristiwa Bosnia-Herzegovina, Rwanda dan
Burundi dan sekarang ini Kosovo, apakah kita boleh
percaya Barat akan mempertahankan hak asasi manusia
termasuk hak untuk bekerja dan mendapat upahan yang
halal? Amat malang sekali ada pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) di Malaysia yang begitu taksub dengan Barat dan
sering mengecam negara-negara Timur termasuk Malaysia
kerana kononnya kita mencabul hak asasi manusia. Tetapi
apabila tindakan kapitalis baru Barat menyebabkan 20
juta pekerja hilang pekerjaan dan pendapatan mereka,
kita tidak dengar NGO di mana-mana mengecam pencabulan
hak asasi pekerja dan manusia. Sudah tentu Barat tidak
mempedulikan nasib pekerja yang mereka sendiri cabul.
67. Sementara 20 juta pekerja menganggur dan yang masih
bekerja susut pendapatan mereka, sementara makanan dan
ubat dan susu untuk anak berkurangan, yang utama bagi
mereka ialah penguatkuasaan sistem dagangan yang bebas
dan bayaran hutang kepada bank mereka, bank yang kaya-
raya, bank gergasi yang lebih besar dan lebih kaya
daripada negara-negara yang mereka serang dan musnahkan.
Perbuatan membuli negara yang lemah sudah menjadi mulia
kepada mereka.
HANYA UMNO DAPAT PERTAHANKAN NEGARA
68. Bagi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan
kita, hanya yang kita boleh harapkan ialah kita sendiri,
kita rakyat Malaysia, kita Barisan Nasional, kita UMNO
yang menerajui Kerajaan Malaysia, yang bertanggungjawab
terhadap baik buruknya negara ini. Selama 40 tahun kita
merdeka, Malaysia di bawah Kerajaan Perikatan dan
Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO telah berjaya
menghindarkan permusuhan dan rusuhan kaum, telah berjaya
membangunkan negara dengan pesat, memberi kehidupan yang
lebih baik kepada semua rakyat dan lebih utama dan
bermakna lagi ialah mengembalikan maruah bangsa, maruah
orang Melayu dan Bumiputera lain, sehingga mereka bukan
sahaja tidak lagi dihina tetapi mereka dianggap sebagai
contoh kepada bangsa-bangsa lain, contoh bagaimana kaum
yang tertindas selama beratus tahun dapat memulihkan
diri sendiri sehingga dapat menduduki tempat yang sama
tinggi dengan bangsa-bangsa yang maju, yang dahulu
menjajah dan menghina kita.
69. Segala-galanya ini, pemulihan diri dan pengembalian
maruah bangsa ini, diasaskan kepada sebuah parti politik
yang ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu. UMNO ditubuh
bukan dengan cita-cita besar kerana pada masa itu
fikiran kita orang Melayu sudah begitu dikongkong oleh
penjajah sehingga tidak dapat mimpi bahawa negeri-negeri
Melayu yang berpecah-belah, yang taksub dengan
kenegerian masing-masing boleh dicantum dan boleh
memerintah diri sendiri. Selama beratus tahun kita
telah serahkan pemerintahan negeri-negeri Melayu kepada
orang asing sehingga kita tidak lagi percaya kita boleh
mengambilalih teraju pemerintahan dan memerintah
sendiri. Keyakinan kepada diri sendiri begitu rendah
sehingga ada pembesar Melayu yang menasihatkan aktivis
yang menentang Malayan Union bahawa orang Melayu tidak
sepatutnya melibatkan diri dengan politik, kerana
politik adalah urusan orang atasan dan British. Mereka
sahaja yang berhak dan layak. Orang atasan pula hanya
dikehendaki mengikut telunjuk British yang kononnya
lebih mengetahui tentang segala-galanya.
70. Tetapi apabila persatuan-persatuan Melayu bersetuju
menubuhkan UMNO, maka proses pemulihan keyakinan diri
bagi orang Melayu pun bermula. Setelah berjaya
menghapuskan Malayan Union, UMNO meneruskan perjuangan
dengan menuntut kemerdekaan.
71. Kejayaan dalam sesuatu perjuangan tidak bermakna
kejayaan yang kekal. Cabaran dan bahaya terdapat
sepanjang masa. Jika kita benarkan diri kita menjadi
lemah kerana terlalu senang, percayalah kejayaan yang
tercapai dahulu akan dipisahkan daripada kita. Justeru
itu, amatlah penting UMNO bersiap sedia sepanjang masa,
UMNO bersatu-padu secara berterusan, dan UMNO berhati-
hati akan kemungkinan percubaan dibuat lagi untuk
mengagalkan kita.
72. Dakyah Barat amat halus. Kita tidak akan sedar
bahawa kita sudah diperalatkan oleh mereka. Sepanjang
masa mereka mencipta konsep-konsep yang kononnya
mencerminkan tamadun yang tinggi, tamadun yang lebih
bersesuaian dengan keadaan zaman. Antara kita akan ada,
bahkan sudah ada yang tidak ingin dianggap oleh Barat
sebagai ketinggalan zaman. Mereka ini selalunya
menerima arus pemikiran Barat ini. Apabila kita
menerimanya maka secara halus juga mereka akan memuji
dan menerima kita sebagai anggota 'kelab' mereka.
Suntikan jarum halus ini akan diteruskan sehinggalah
mereka dapat mengasingkan di antara yang menerima konsep
dan pemikiran mereka dengan yang dikatakan kolot kerana
tidak mahu menerimanya.
DEMOKRASI AMALAN UMNO BERJAYA
73. Demokrasi dicipta sebagai satu sistem pemerintahan
oleh rakyat untuk menggantikan sistem feudal. Tujuannya
ialah supaya pemerintahan yang baik untuk semua rakyat
dapat diwujudkan. Sekarang Barat menyarankan bahawa
yang penting bukan pemerintahan yang membawa kebahagiaan
kepada rakyat tetapi yang penting ialah rakyat mesti
sanggup mendukung demokrasi walaupun ia menyebabkan
rakyat menderita. Kita lihat di beberapa negara,
pilihanraya demi pilihanraya diadakan tetapi Kerajaan
yang berwibawa tidak dapat ditubuhkan. Dengan itu
masalah rakyat tidak dapat diatasi, rakyat terus
menderita dan mundur, negara tidak dapat dibangunkan.
Tetapi pihak liberal demokrat berpendapat ini tidak
mengapa asalkan demokrasi cara mereka diamalkan. Dengan
perkataan lain manusia adalah alat demokrasi dan bukan
demokrasi menjadi alat manusia, alat untuk kesejahteraan
manusia.
74. Kita terima demokrasi sebagai satu sistem yang
baik, yang lebih mungkin menghasilkan pemerintahan yang
adil dan berkesan; lebih mungkin sahaja dan bukan tetap.
Di Malaysia demokrasi memang berjaya diamalkan. Kita
dapat membentuk Kerajaan dan memilihnya melalui proses
pilihanraya umum. Negara kita dapat dibangunkan, rakyat
hidup dalam keadaan aman dan makmur. Tetapi janganlah
kita fikir kejayaan demokrasi di Malaysia ialah kerana
demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang tidak ada
cacat-cela. Demokrasi berjaya di Malaysia kerana kita
rakyat Malaysia, ahli politik Malaysia dan parti politik
Malaysia tahu cara-cara menggunakan sistem demokrasi.
75. Jika demokrasi hanya bermakna pemerintahan oleh
majoriti, orang Melayu yang menjadi majoriti warganegara
Malaysia boleh menggunakan sentimen perkauman untuk
mendirikan pemerintahan 100 peratus oleh orang Melayu.
Dengan hak sebagai Kerajaan majoriti yang dipilih
melalui proses demokratik maka orang Melayu boleh
mengambil semua kekayaan negara untuk diri mereka,
menidak dan menindas kaum-kaum yang lain, menukar
sempadan kawasan pilihanraya supaya kuasa orang Melayu
akan menjadi lebih kuat dan lebih besar dan kekal.
Segala-gala ini boleh dibuat tanpa membelakangkan
demokrasi. Tetapi apakah demokrasi seperti ini akan
membawa keamanan dan kejayaan kepada negara kita?
76. Demokrasi mendatangkan hasil kepada Malaysia kerana
kita tidak mengambil kesempatan daripada sistem ini
untuk diri kita semata-mata. Sebaliknya kita pilih
untuk bekerjasama dengan kaum-kaum lain, kita tidak
mengenepikan hak minoriti dan kita mengutamakan keadilan
untuk semua. Dengan cara ini semua kaum, bahkan
pembangkang juga mendapat faedah dan manfaat daripada
pengamalan demokrasi di Malaysia. Dengan ini politik
menjadi stabil dan demokrasi, termasuk pilihanraya dapat
diamalkan secara berterusan. Dengan ini juga Kerajaan
pimpinan parti yang sama telah dipilih berkali-kali
untuk menjadi pemerintah negara yang tercinta ini.
77. Ada pihak yang mendakwa tidak ada demokrasi di
Malaysia kerana pertukaran Kerajaan tidak berlaku tiap
kali pilihanraya diadakan. Mereka berkata pembaharuan
adalah sebahagian daripada demokrasi. Jika tidak ada
pembaharuan tidak ada demokrasi. Dan ramai juga
daripada kita yang berasa termalu sedikit kerana tidak
ada pembaharuan. Tetapi ingatlah hak mengekalkan
Kerajaan tidak bertentangan dengan demokrasi, bahkan
menjadi sebahagian daripada demokrasi juga jika
pengekalan itu adalah kehendak rakyat melalui proses
yang demokratik.
78. Demikian dengan negara, demikian juga dengan parti
kita. Parti kita UMNO adalah parti yang demokratik,
yang menerima prinsip dan cara demokrasi kerana kita
percaya benar bahawa demokrasilah cara dan sistem yang
terbaik bagi kita. Demokrasi memberi hak dan peluang
bagi kita sebagai ahli biasa menukar, menjatuh dan
menaikkan pemimpin mengikut kehendak kita. Dengan itu
kita percaya bahawa pemimpin yang terbaik akan menerajui
parti sepanjang masa.
79. Walaupun kita percaya manusia tidak akan membuat
sesuatu yang akan membinasakan dirinya, tetapi manusia
kerap melakukan perkara-perkara yang tidak baik, yang
akhirnya mendatangkan keburukan kepada dirinya. Kita
tahu apa yang baik tetapi kita buat juga benda yang
buruk mungkin kerana nafsu atau kerana keuntungan jangka
pendek.
80. Tabiat manusia ialah apabila marah, ia lebih kuat
bertindak dan bergerak berbanding dengan masa ia puas
hati atau seronok kerana mendapat sesuatu. Oleh sebab
itu kerana marah kepada yang baik, yang buruk disokong
juga.
81. Demikian juga dengan keuntungan jangka pendek.
Kerana taksub dengan keuntungan jangka pendek manusia
sanggup melakukan sesuatu yang akhirnya merugikan
dirinya. Berhadapan dengan sogokan hari ini manusia
akan lupa kepada balasan buruk di masa hadapan, bahkan
di akhirat.
82. Sebab itu walaupun kita percaya demokrasi adalah
baik bagi diri kita, pengamalannya hendaklah dibuat
dengan berhati-hati. Jika ternampak ada usaha untuk
menggunakan demokrasi untuk tujuan yang tidak baik, maka
kita perlu perketatkan aturan-peraturan demokrasi supaya
terhindar yang tidak baik tadi. Ingatlah Barat yang
mendakwa mereka demokratik tidak membenarkan Parti
Komunis wujud di negara mereka. Demokrasi juga tidak
menyekat mereka daripada menjajah hingga sekarang ini.
83. Demokrasi bukan agama yang diwahyukan oleh Tuhan.
Sedangkan agama boleh disalahtafsir dan diputar-belitkan
oleh orang yang berkepentingan, apatah lagi demokrasi.
Oleh itu bukan semua daripada apa yang didakwa oleh
Liberal Demokrat Barat akan diamalkan oleh kita. Kita
akan pilih yang jernih dan buang yang keruh.
BERHATI-HATI TERHADAP GLOBALISASI
84. Kita hidup dalam dunia yang semakin cepat berubah.
Zaman teknologi maklumat sudah tiba dan dengan itu
peluang baru yang boleh menjadikan kehidupan kita lebih
bahagia. Tetapi peluang untuk merosak masyarakat kita
juga menjelma bersama.
85. Seperti biasa Barat yang awal-awal lagi melihat
peluang ini menggunakan peluang yang datang daripada
teknologi baru ini untuk faedah mereka. Menyedari
bahawa teknologi ini membolehkan mereka menembusi
sempadan yang mengasing dan menyelamatkan bangsa-bangsa
di dunia, mereka telah mencipta falsafah dan nilai-nilai
baru yang membenar dan menyokong pencerobohan mereka.
86. Globalisasi, dunia tanpa sempadan, deregulasi dan
liberalisasi adalah perkataan-perkataan baru yang telah
diperkenalkan oleh Barat. Tidak ada satu pun yang
dicipta oleh kita, oleh Timur, oleh Asia. Sudah tentu
Barat tidak mencipta pemikiran-pemikiran baru ini untuk
merugikan mereka. Globalisasi, dunia tanpa sempadan,
deregulasi dan liberalisasi adalah untuk kepentingan
mereka. Jangan kita sambut semua ini tanpa kajian,
tanpa curiga. Jangan sekali-kali kita sambut semua ini
kerana ingin dianggap canggih atau sofistikated. Jangan
kita berbangga dengan puji-pujian daripada mereka
apabila kita tunjuk betapa 'up-to-date'nya pemikiran
kita.
87. Manusia yang 'survive', manusia yang berjaya ialah
manusia yang selalu berhati-hati apabila sesuatu yang
baru diperkenalkan, manusia yang selalu mencari 'udang
di sebalik batu'. Globalisasi, liberalisasi dan
deregulasi mungkin membawa banyak manfaat kepada kita,
tetapi pemikiran baru ini boleh memusnahkan kita.
Peristiwa serangan ke atas matawang kita ialah
sebahagian daripada globalisasi, liberalisasi dan
deregulasi dan kita hanya memperolehi kerugian besar
daripada semua ini.
PELIHARALAH UMNO
88. UMNO sudah 'survive', bahkan berjaya selama lebih
daripada 50 tahun. Tidak banyak parti politik yang
berjuang untuk mencapai kemerdekaan kekal selama itu.
Kebanyakannya luput dan hilang sejurus selepas
kemerdekaan berjaya dicapai. Tetapi selama lebih
setengah abad UMNO bukan sahaja selamat tetapi berjaya
dalam arena politik, berjaya menerajui Kerajaan
Malaysia. Sama ada kita akan terus 'survive' atau
tidak, bergantung kepada budaya kita, sifat-sifat yang
ada pada kita, sifat berhati-hati, sifat berjaga-jaga
terutama apabila sesuatu yang baru diperkenalkan. Jangan
sekali-kali membenarkan keuntungan jangka pendek menutup
mata kita kepada kerugian jangka panjang.
89. Tidak ada yang kekal di dunia ini. UMNO pun tidak
akan kekal. Tetapi riwayatnya tidak perlu dipendekkan
kerana kita tidak berhati-hati, tidak cekap dan gila
dengan keuntungan yang cepat. Perjuangan UMNO masih
belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh UMNO.
Orang Melayu dan Bumiputera lain belum lagi cukup kuat
untuk dibiarkan mereka mempertahankan diri mereka tanpa
pimpinan dan lindungan UMNO. Mereka belum kuat untuk
bersaing dalam dunia yang kian mencabar. Kemerdekaan
kita belum terjamin. Negara yang lebih gagah daripada
kita pun sudah ditewaskan. Apakah kita dapat
menyelamatkan diri kita tanpa perpaduan dan persaudaraan
di kalangan kita, tanpa berganding bahu dengan kaum-kaum
lain yang sependapat dengan kita untuk menyelamatkan
negara bertuah ini? Jawabnya kita tidak dapat. Jawabnya
kita masih belum boleh mengamalkan liberal demokrasi ala
Barat jika kita ingin selamat.
90. Oleh itu selamatkanlah dan peliharakanlah UMNO.
Pemimpin tidak kekal, pemimpin boleh ditukar dan
pemimpin boleh dicari. Tetapi UMNO boleh kekal lebih
lama daripada pemimpin. Oleh itu berhati-hatilah,
berjaga-jagalah dalam menguruskan pertubuhan ini. Ia
banyak berbakti kepada kita dan kita hendaklah berbakti
kepadanya. Insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan memberkati
perjuangan yang halal lagi mulia.
|